Bab 42

Romance Series 12288

SUDAH dua minggu Ridhwan berpindah. Sepanjang tempoh itu juga Ridhwan menyepi tanpa berita. Walau berkali Ainan menghubunginya, tiada satu pun panggilan yang berjaya ditembus.

Sungguh Ainan terluka dan kecewa. Selama dua minggu itu jugalah Ainan tidak ceria. Terasa hampir separuh nyawanya hilang.

Dia juga mula hilang fokus ditempat kerja. Prestasinya mula menurun. Beberapa kali dia ditegur oleh pihak atasan.

"Ainan ni dah kenapa? Macam orang mati laki je. Padahal abang elok je hidup lagi." Aazad bersuara keras. Geram hatinya apabila dilayan acuh tak acuh oleh Ainan.

Lagi bertambah geram apabila apa yang dikatakan olehnya langsung tidak didengari oleh Ainan.

"Ainan!" Kali ini Aazad menjerit. Semakin sakit rasa hatinya.

"Kau apahal?" Aazad mencengkam lengan Ainan kuat. Ainan yang tersentap terus mengerang kesakitan.

"Sakitlah. Lepaskan Ainan boleh tak?" Air mata mula bertakung. Ainan tidak mahu menangis.

"Kau ingat aku tunggul kayu ke? Dua minggu ni aku bersabar dengan kau. Dua minggu tau. Makan minum aku, langsung kau tak endahkan." Suara Aazad mulai meninggi. Dia sudah tidak betah lagi berdiam diri.

"Abang pergilah makan dekat kedai. Ainan penatlah. Selalu boleh je makan kat kedai. Kenapa? Dah takde duit nak makan? Tak pe. Biar Ainan bagi duit."

Pang!

Berpinar rasa saat tangan Aazad menampar pipi Ainan.

"Kau jangan nak hina aku, Ainan. Selama ni aku diam je bila tau kau curang. Aku cuba ambil semula hati kau. Tapi ni balasan yang aku dapat dari kau? Sedikit pun kau tak pandang. Tapi jantan lain bukan main lagi kau, kan? Siap bagi pegang tangan. Cuit hidung! Apa lagi kau bagi dia pegang? Bagi dia cuit?"

Ainan terkesima. Tidak menduga Aazad mengetahui kecurangannya. Mata Aazad yang merah menahan marah ditatap lama. Perit dilempang tidak seperit hatinya ketika itu.

"Ye, aku curang. Tapi securang aku, tak sampai ke bilik. Ye, dia pegang tangan aku. Cuit hidung aku. Sekurang-kurangnya dia tak cium aku."

"Sampai hati Ainan curang dengan abang. Abang tak sangka Ainan tergamak buat abang macam ni." Ainan tenung wajah Aazad dalam. Jelas terpancar kekecewaan di wajahnya apabila mendengar pengakuan Ainan.

"Ainan fikir abang boleh percaya? Entah apa yang Ainan buat belakang abang. Abang tak pernah tahu!" bentak Aazad.

"Takpe kalau abang tak percaya. Talak ada pada abang, abang berhak cari kebahagiaan abang sendiri. Mungkin ada yang telah menunggu. Ainan minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum Ainan selama ni." Ainan tarik nafas dalam.

Berat rasa hati untuk berkata begitu. Tapi Ainan nekad dan pasrah. Ainan tidak mahu lagi terus menipu

"Ainan sentiasa jaga maruah Ainan. Ye betul Ainan salah sebab main cinta dengan lelaki lagi. Tapi hubungan kami tak pernah berakhir di katil. Abang buatlah keputusan sebaik mungkin. Ainan redha dengan apa jua keputusan abang."

Ainan bangkit dari sofa untuk ke bilik, namun langkahnya terhenti saat rambutnya direntap oleh Aazad.

"Aku pernah cakap, aku tak boleh terima kalau ada lelaki lain yang sukakan kau sebab aku boleh jadi pembunuh." Tubuh Ainan dihumban ke atas katil. Ainan menjerit kesakitan apabila kepalanya terhantuk di dinding.

Mujur saja hari ini anak-anaknya pulang ke kampung bersama orang tuanya. Jika tidak, pasti mereka trauma melihat sikap baran Aazad.

Ainan bangkit semula. Berdiri bertentangan dengan Aazad. Dia juga tak mahu kalah.

"Jangan lupa aku juga pernah cakap, sekali kau naik tangan dekat aku, aku akan minta cerai!" Aazad tergamam. Lama dia memerhatikan Ainan.

"Ainan..." Aazad bersuara lembut. Langkahnya perlahan diatur merapati Ainan.

"Abang lempang Ainan sebab Ainan curang. Bagus sangat ke apa yang Ainan buat tu?" Bahu Ainan dicengkam kuat.

"Lepaslah!" Jerit Ainan. Dia meronta minta dilepaskan.

"Kau ingat apa yang kau buat pada aku baik ke? Kau siksa hati aku, siksa perasaan aku. Bagus ke apa kau buat? Tak bagi nafkah. Abaikan tanggungjawab kau. Tak pedulikan anak-anak. Bagus ke huh?" Ainan menjerit geram.

Biarlah apa pun nak jadi dia pasrah. Tersiksa rasanya hidup begini. Bila hati dan perasaan sentiasa diabai. Bila tanggungjawab tidak digalas dengan amanah.

Ye... dia sayangkan Aazad. Tak pernah putus doanya supaya Aazad berubah menjadi suami dan ayah yang lebih bertanggungjawab. Tapi dia sedar, Aazad seakan selesa dengan keculasannya mengalas tangggungjawab.

Aazad semakin lepas tangan apabila dia mula bekerja. Aazad semakin tidak peduli keperluan rumah dan anak-anak. Walau ada sesekali Aazad membelikan susu dan lampin pakai buang anak-anak mereka, namun ianya tidak cukup untuk menampung keperluan mereka selama sebulan.

"Kau cuma peduli anak-anak kau kat sana je. Makan pakai dorang je yang kau ambil tahu. Makan pakai anak-anak aku sikit pun kau tak heran." Aazad membungkam. Dia hanya mampu merenung wajah Ainan.

Tubuh Aazad ditolak kasar lalu dia melangkah ke bilik Dasuki. Dihempasnya pintu sekuat hati. Melorot tubuhnya jatuh ke lantai. Dia menangis teresak-esak.

Puas menangis, dia bangun mengadap cermin. Pipinya berbekas merah. Bibirnya pecah. Dahinya benjol akibat terhantuk di dinding. Lengannya lebam dicengkam kuat oleh Aazad tadi.

'Ya Allah. Sesungguhnya aku pendosa. Ampunilah kesalahanku. Ampunilah kekhilafanku.' Ainan merintih hiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience