[23] Aneh

Fantasy Completed 3250

17 tahun yang lalu,

Nama diberi cukup indah jika meniti dibibir setiap orang. Dilayla. Itu namanya namun kebanyakan orang yang mengenalinya hanya memandangnya penuh jengkel dan benci. Ah, siapa peduli? Dia juga benci dengan diri sendiri. Mengapa? Porak perandakah keluarga dia? Tak juga.

Dia lahir dalam keluarga yang cukup sempurna malah harmonis juga. Dia tak pernah terima tekanan daripada mana-mana pihak untuk sentiasa dapat straight A dalam peperiksaan. Dia mungkin kena marah tapi taklah teruk. Kena pukul? Jauh sekali. Jadi apa yang teruknya tentang hidup dia?

Diri dia. Dia benci bila lihat nilainya jatuh. Dia benci dengan kekalahan, dia benci bila tengok orang lain lebih berjaya daripada dia. Dengki? Bukan definisi tepat. Setiap kali dia tengok orang lain berjaya, dia tak benci orang itu tapi benci pada diri sendiri yang makin bertambah sebab dia tak mampu untuk jadi yang terbaik.

Dia akan tekan diri dia dengan lebih kuat lagi dan bila gagal dia akan marah diri sendiri walhal ketika dia berjaya sedikit pun dirinya tidak mahu dia puji atau diberi penghargaan. Baginya, memberi penghargaan kepada diri sendiri ialah sifat mengada-ngada.

Dalam kepala dia selalu mengulang-ulang masa lalu sebab dia nak semua yang dia lalui sempurna tanpa cela walaupun hakikatnya hidup bukan begitu. Hari-hari yang dia lalui terasa cukup perit ibarat ditikam oleh diri sendiri. Jiwanya dihenyak-henyak tanpa henti. Andai kata sehari dia tak menyalahkan diri sendiri, dia akan sakit.

Contohnya, hari ini pinggang dia terkena bucu meja. Kenapalah aku ni bodoh sangat nak kenakan pinggang aku dekat bucu meja? Tak reti nak hargai pemberian tuhan langsung. Rosak pinggang tu nanti baru nak menyesal. Cuba kalau jalan tu hati-hati sikit. Kemudian harinya diteruskan lagi dan kali ini kepalanya pula yang terhantuk pada dinding. Jaga sikit kepala tu boleh tak? Tak fasal-fasal jadi bodoh pula nanti.

Kemudian dia teruskan lagi, kali ini kakinya pula yang tersadung. Jalan tu pakai mata boleh tak? Elok-elok dah ada mata tak nak guna. Sekarang sudah nampakkah kalian bagaimana dia menjalani hidup?

Menyumpah seranah diri sendiri ialah hobi. Dia selalu rasa diri dia teruk. Dia sakit bila menyalahkan diri sendiri tapi bila tak buat juga dia menderita. Fikiran dia berkecamuk. Dia selalu tarik rambut sendiri sebab penat dengan jiwa dia yang asyik nak menyalahkan diri.

Bayangkan dalam hidup, tak mungkin untuk kita tak langsung cedera atau kena marah atau apa-apa sajalah perkara yang buruk. Kaki tersadung bukan sesuatu yang kita minta pun. Kepala terhantuk dan pinggang yang terlanggar bucu meja bukannya perkara yang kita boleh kawal pun.

Walaupun di satu sisi dia adalah seorang yang suka menyalahkan diri sendiri. Di satu sisi yang lain dia juga seorang yang pentingkan diri sendiri. Dia benci diri sendiri tapi diri sendiri juga ialah nombor satu dalam hidup dia. Kalau ada dua orang kawan dia yang hampir jatuh ke dalam gaung dan dia perlu pilih salah satunya, dia mungkin pilih untuk lari dan tinggalkan kedua-duanya sekali.

Kejam? Ya, itu dia. Sebab itu orang cakap dia gila. Dia pun terfikir juga, ini ke yang orang cakap sebagai depresi atau anxiety itu? Entahlah dia pun tak mengerti.

Dunia dia terasa kelam dan begitu gelap walaupun pada tahun ini usianya baru menginjak 13 tahun. Sampailah satu hari semuanya berubah. Hari bila dia mula mengenal Stephan. Hanya Stephan seorang saja yang mahu berkawan dengan dirinya yang orang lain panggil aneh.

Dia juga bukankah gadis yang bila tengok lelaki terus nak terkinja-kinja melayan. Atau pun bila lelaki ajak gaduh pasal benda remeh terus nak naik angin. Buang masa. Buang tenaga aje nak marah untuk sebatang pen yang patah atau pun untuk correction tape yang hilang.

Nampak sangat nak attention. Bagi dia kalau lelaki ajak gaduh untuk perkara remeh, kalau memang kita tak nak dekat lelaki itu, buat tak tahu aje dahlah. Melayan buat apa? Dan begitu jugalah layanan dia terhadap Stephan.

“Rehat seorang-seorang lagi ke?”

Suara daripada Stephan mengejutkan dia daripada lamunan panjangnya sebentar tadi.

Dia yang baru saja duduk lima minit di meja kantin itu terus bangun dan mengorak langkah untuk pergi. Malas.

“Dilayla, tunggu!”

Langkahnya terhenti.

“Kenapa susah sangat kau nak berkawan dengan aku? Padahal kau bukannya ada kawan pun.”

“Bukan masalah kau. Kalau aku tak ada kawan pun.” Hanya itu menjadi jawapan. Badannya masih lagi membelakangi Stephan.

“Aku ikhlas nak berkawan dengan kau.”

“Ada sebab.”

“Ha?”

“Ada sebab kenapa tak ada orang nak berkawan dengan aku.”

“Aku tahu kau tak jahat, Dilayla. Kau cuma jahat pada diri sendiri. Dahlah.”

Wajahnya dipalingkan menghadap Stephan.. “Betul cakap kau. Aku memang jahat pada diri aku sendiri. Kalau dengan diri sendiri pun aku jahat, macam mana kau boleh jamin aku akan buat baik dengan orang lain, terutama sekali kau?”

***

“Okey, ini markah kertas kuiz kamu semalam. Cikgu sebut nama, kamu datang, ya?” Lembut suara cikgu sains tersebut mengujar bicara.

Satu-persatu nama murid dipanggil hinggalah tiba ke nama Dilayla.
Langkah Dilayla atur perlahan untuk mengambil kertasnya sebelum kembali ke tempat duduk asalnya.

“Tahniah bagi yang dapat markah penuh. Yang dapat markah rendah tu, boleh cuba lagi kemudian. Banyakkan membaca.”

Bicara cikgu itu hanya didengar sekilas saja oleh Dilayla. Sesampai saja dia di tempat duduknya, markah terus dilihat. 6/10. Giginya digertap. Paling rendah yang dia sepatutnya dapat adalah tujuh, bukan enam. Kenapalah dia bodoh sangat? Sepatutnya dia kena baca banyak kali buku sains itu sebelum kuiz. Tak guna betullah.

“Cikgu, izinkan saya ke tandas,” pamitnya.

Langkah dibawa laju untuk ke tandas. Dia geram, marah dan benci dengan duri sendiri. Kertas kuiz itu dironyok kuat sebelum dia koyak dan akhirnya sampai ke dalam tong sampah luar tandas. Masuk saja ke tandas, wajahnya direnung pula pada cermin.

“Bodoh.”

“Argh!” jeritnya bagi meluah rasa geram. Rambutnya ditarik sekuat mungkin.
Dia benci, benci, benci dan benci dengan diri sendiri.

***
Akhirnya tiba juga waktu untuk pulang dari sekolah. Dilayla pantas berjalan menuju ke kereta pemandu peribadi ayahnya bagi mengelakkan dia terserempak lagi dengan Stephan.

“Dilayla!”

Dia dah agak. Stephan pasti akan datang.

“Kau nak apa lagi?”

“Aku nampak kau tarik rambut kau dalam tandas tadi.”

Mata Dilayla membulat. Dia tak suka bila orang lain pandang dia lemah.

“Macam mana kau..”

“Kelas kita selorong. Aku pun kebetulan nak pergi tandas juga masa tu.”

“Kau dapat markah teruk, ke?”

“Aku dah cakap, kan? Jangan masuk campur urusan hidup aku. Sibuk nak jaga tepi kain orang sangat kenapa? Urus diri sendiri aje dahlah.”

Langkahnya diteruskan bagi menjauhi Stephan.

“Tak hina pun lah kalau dapat markah rendah!”

“Kalau kau dapat markah penuh, kau hebat. Tapi kalau kau dapat markah rendah, bukan bermaksud kau tu tak guna!”

Langkah Dilayla terhenti.

“Kau tetap hebat kalau dah berusaha semampu kau. Jangan terlalu keras dengan diri sendiri. Kita ni manusia bukan malaikat yang serba-serbi kena sempurna!”

“Kau marah dekat diri sendiri sebab kau rasa kau tak baca buku semampu kau, kan? Kau rasa tak cukup? Kau rasa sepatutnya kau boleh buat lebih baik? Okey, kau boleh dan patut fikir macam tu untuk perbaiki lagi diri kau. Tapi kau kena ingat, masa lalu kita tak boleh ubah. Menyesalinya adalah satu benda yang bagus tapi kalau melampau, benda tu sia-sia. Kau hidup dalam masa lalu bukannya kau boleh ubah apa yang jadi sekarang. Kau cuma menyakitkan diri sendiri. Berhentilah.”

“Kenapa kau nak sangat berkawan dengan orang yang pelik macam aku?”

***
Sejak dari hari itu, hubungan Dilayla dan Stephan mula membaik. Dilayla, gadis yang tiada siapa ingin rapat meski dia juga golongan elit yang bersekolah di sini bersama dengan Stephan, putera mahkota bagi empayar ini, terkenal di seluruh sekolah namun memilih untuk berkawan dengan gadis 'sakit' sepertinya adalah ibarat satu anugerah.

Kini, mereka rehat bersama, pulang dari sekolah juga jalan bersama. Kata Stephan dia unik dan itulah sebab utama mengapa Stephan mahu menjadikannya sahabat.

“Nah aiskrim kau.” Huluran kon aiskrim daripada Stephan di sambut.

Dia memilih perisa vanilla manakala Stephan memilih perisa coklat. Mereka sama-sama sedang menunggu pemandu masing-masing untuk dijemput.

Wajah Stephan yang agak muram disebelahnya ditatap. “Kenapa muka kau nampak macam sedih semacam?”

“Baru-baru ni kan ada exam. Markah aku jatuh.”

“Kau ingat tak, kau pernah cakap dengan aku Tak apa jika nilai kita jatuh. Tak apa kalau sekali keputusan kita tak begitu baik dan tak apa kalau kita kalah dalam satu-satu pertandingan. Kadang-kadang bukan kita berputus asa ketika gagal. Cuma, apabila gagal adalah perkara selalu kita rasakan, setiap kali cuba, gagal. Gagal dan gagal lagi. Kita merasa diri kita tak layak untuk berjaya. Kita rasa, walau sekuat apa pun yang kita cuba kita tetap akan gagal.”

“Salah satu punca perkara tu jadi, adalah sebab kita kurang menghargai usaha kita. Sentiasa merasa kurang dan mahukan yang sempurna. Jadi belajar. Belajar untuk hargai titik peluh sendiri dan jangan terlalu membenci dengan diri sendiri kerana hidup adalah tentang melakukan kesilapan."

"Kita buat silap, kita belajar dan kita baiki. Hidup adalah perjuangan memperbaiki diri yang tak akan pernah bernoktah kerana kita manusia yang mustahil untuk jadi sempurna. Manusia hanya boleh menilai berdasarkan apa yang mereka nampak dan usaha kita adalah sesuatu yang mereka tak boleh lihat makanya mereka cuma menilai melalui hasil."

"Jadi siapa yang kena hargai usaha kita? Kita sendiri. Kejayaan adalah milik kita semua jadi yakinlah yang kita boleh menggapainya asalkan kita tak berputus asa.”

Stephan tersenyum. “Terima kasih.”

***
Namun persahabatan mereka hancur begitu saja ketika detik itu tiba. Hari itu, dilayla pergi ke sekolahnya seperti biasa. Sudah sebulan hari dia tak melihat kelibat Stephan. Biasanya kalau Stephan ada riuh rendah sikit sekolahnya itu.

Ada juga dia tanya dengan rakan-rakan Stephan tapi tiada seorang pun yang tahu apa sebabnya sampailah satu hari, dia dengar berita daripada Kevin. Adik Stephan yang sebaya dengannya. Kata Kevin, Stephan sakit jadi Kevin mahu Dilayla mengikutnya pulang atas permintaan abangnya.

Dilayla akhirnya bersetuju. Dia sudah pun menelefon ayahnya supaya tidak menyuruh pemandu untuk mengambilnya. Hari ini dia pulang dengan Kevin. Setibanya di perkarangan istana, dia kagum untuk seketika. Indah sungguh seni bina istana itu.

Kemudiannya dia diajak masuk oleh Kevin dan ditunjukkan jalan tentang keberadaan kamar Stephan.
Masuk saja ke dalam bilik, Dilayla menyapa. “Hai.” Wajah Stephan dia tatap. Pucat. Rambut Stephan juga gugur semua.

“Terima kasih sebab sudi datang.”

“Sama-sama. Kau sakit apa sebenarnya?”

Untuk soalannya itu, Stephan membalasnya dengan satu senyuman nipis sebelum dia mengujar bicara. “Kanser.”

Dilayla kaget. Kanser?

“Duduklah dulu,” pintanya.

Dilayla terus mengambil tempat pada kerusi di sebelah katil.

“Dulu kau pernah tanya aku, kenapa aku nak sangat berkawan dengan kau, kan?”

Dilayla mengangguk kecil. Entah kenapa suasana antara mereka terasa begitu suram.

“Selain daripada sebab kau unik, ada lagi satu sebab.”

“Sebab apa?”

“Aku... Aku...”

Uhuk!

Uhuk!

Batuknya membantutkan perbicaraan mereka.

“Kalau kau tak larat, tak apa. Aku faham, aku datang sini bukan sebab nak ganggu kau.”

“Aku cintakan kau.”

Dilayla bisu.

“Kau takkan tinggalkan aku, kan?”

Dilayla buntu.

Dia juga cinta akan Stephan, tapi memilih untuk hidup bersama pesakit kanser hanya akan menyusahkan diri sendiri. Dia juga orang senang jadi soal harta tak begitu penting tapi bagaimana pula dengan kebebasannya?

Berkahwin dengan seorang putera mahkota mungkin nampak indah tapi berkahwin dengan seorang suami yang menghidap kanser dia tak rasa akan indah juga. Kalau Stephan menderita dengan sakitnya selama lima tahun ke depan berarti dia pun hanya mampu terperuk di sini bagi menjaga dan mengurus suaminya saja?

Ah, memikirkan itu saja cukup menyesakkan. Dia mahu kejar cita-cita dan impiannya dulu. Dia mahu hidup bebas.

“Aku minta maaf tapi aku tak boleh terima cinta kau dan mungkin persahabatan kita cukup sampai di sini saja.”

“Apa maksud kau?”

“Aku pernah cakap dan aku pernah ingatkan kau yang aku bukan perempuan baik. Aku pernah bagi amaran supaya kau tinggalkan aku sebelum kau aku tinggalkan. Jadi sekarang aku rasa dah tiba masanya.”

Mata Stephan tampak berkaca. “Aku tak percaya.”

“Aku cintakan kau tapi aku tak nak dan tak rela untuk menyusahkan diri sendiri.”

??????

Dan pada hari ini, kata-kata itu ialah kata-kata yang paling dia kesalkan. Dia boleh untuk menolak cinta Stephan kerana itu adalah haknya tapi dia tak patut hina dan bersikap biadap kepada lelaki itu. Air mata yang jatuh menitis di kulit pipi Dilayla kesat perlahan.

Dia tahu dia telah melakukan kesilapan jadi hari ini dia mahu tebus semuanya semula. Sejak dari hari dia dapat tahu mengenai insiden pembunuhan Stephan itu sebenarnya dirancang oleh Henry, dia nekad untuk membongkarkan kebenaran sebagai seorang anggota polis dengan melakukan penyamaran atas arahan pihak atasan.

Namun, kalau tak diarah pun dia tetap sanggup walaupun dia tahu orang yang dia tentang adalah maharajanya sendiri.

Langkahnya dari lantai di bilik yang dia tumpangi kini, dibawa ke kamar mandi untuk mengambil wuduk. Dia mahu mendirikan solat maghrib.

Satu-persatu anggota tubuh yang perlu dibasuh dikenakan dengan air paip yang laju mengalir. Dia masih lagi berada di istana lama bersama Connor. Rancangan dia dan Riz masih lagi diteruskan. Usai mengambil wuduk, terus Dilayla mencapai telekung dan memulakan solat.

Di akhir sujudnya dia berdoa meminta agar semua dosa-dosanya diampunkan oleh Allah. Dia tahu dia banyak berdosa, dahulu dia tak menutup auratnya dengan sempurna, ada juga sesetengah ikhtioat yang dia tak jaga. Kata-kata yang dia bicarakan kepada orang lain berbaur dengan hinaan, dia minta ampun.

Tangisnya juga keluar ketika itu. Bangun daripada sujud, salam diberi. Tangannya diangkat untuk berdoa lagi. Kali ini, dia meminta pula supaya segala urusannya dipermudahkan dan semoga kebenaran dapat segera terbongkar.

Kalau dulu dia adalah seorang yang pentingkan diri sendiri, yang lebih memilih untuk lari daripada menyelamatkan seseorang yang akan jatuh ke dalam gaung, yang jahat dan lebih rela mengkhianati, hari ini dia sanggup berkorban walau nyawanya yang menjadi taruhan.

Semua doanya akhirnya diaminkan. Dia terus bangun daripada tikar sejadah dan melipat telekungnya sebelum diletakkan di dalam tas tangan miliknya. Langkahnya dibawa pula  ke arah Connor yang masih setia menunggu dihadapan bilik kurungan Bella.

“Mulakan rancangan kita sekarang.”

??????

Ke mana perginya semua orang di dalam istana ini? Diana menyoal sendiri. Dari tadi sunyi saja. Tak apalah, bukan urusannya juga.

Langkahnya dibawa ke dapur untuk mengetuk secawan minuman dingin. Dahaga pula rasanya. Secawan air sejuk dia ambil daripada penapis air automatik yang sudah tersedia.

Kling!

Michael yang baru saja keluar dari tandas dia tatap sejenak. Nampak seperti dikejar waktu namun sempat juga Michael memberinya segaris senyuman. Air tadi diteguk perlahan-lahan sehingga selesai.

Cawan diletakkan pada sinki dan dia mengambil keputusan untuk kembali ke kamarnya. Namun ada sesuatu yang menyebabkan dia berpatah balik. Rasanya, Michael ada menjatuhkan sesuatu. Langkahnya diatur kembali untuk ke dapur. Pemacu kilat yang jatuh tepat di hadapan tandas itu diambil. Apa ini?

***

Riz memandang tubuh Henry yang ralit melihat notifikasi baru pada telefonnya. Ah, pasti Connor sudah menghantar lokasi keberadaan Bella. Kau tunggulah nasib kau nanti Henry. Wajah Henry kembali menatapnya dengan rahang yang digertap manakala dia hanya memandang Henry dengan senyuman.

Dia hanya menghantar kepergian Henry yang mengorak langkah untuk mencari isteri tercintanya itu dengan pandangan. Serta-merta perbualan antara dia dan Dilayla terimbas semula di memori.

"Apa rancangan kau lepas ni?"

“Kita dah tak boleh tunggu lama lagi. Aku faham kau kalau boleh nak berkas semua yang terlibat dalam insiden pembunuhan tu tapi makin lambat kita bergerak rasa macam makin bahaya.”
 
"Jadi kau nak aku berkas dia orang minggu ni juga?”

“Ya. Aku tahu Bella tak terlibat dengan hal ni. Dia dah kena tipu hidup-hidup dengan Henry.”

“Jadi kau nak buat apa?”

“Aku akan paksa dia untuk ikut rancangan kita. Kalau tak,  aku akan tuduh dia bersubahat sekali. Lagipun, dia memang berpotensi untuk jadi suspek.”

“Apa yang kau nak suruh dia buat.”

“Dia cuma perlu ikut Connor. Connor akan hantar lokasi dia kemudian bawa dia ke lokasi lain. Istana lama yang dah kosong tu aku serahkan pada kau macam mana kau nak selesaikan dia.”

“Okey.”

***

Tapak kaki Bella akhirnya menjejak lantai tanah. Dia berjaya menyelinap keluar dari istana kama ini melalui tingkap dan selimut yang dijadikan sebagai tali. Dalam kegelapan malam dia berlari dari kawasan istana lama itu.

Baju-baju yang masih tersidai di ampaian rumah-rumah sekitar jalan yang dia lalui dicapai. Cap juga dia sarung di atas kepala. Dia tak boleh benarkan sesiapa melihatnya ketika ini.

Riz Ruziana, sampai mati pun aku takkan ikut arahan kau.

Pondok telefon awam dia singgah sebentar. Nombor Henry didail.
“Helo?”

“Henry, ni saya Bella. Jangan datang istana lama tu. Saya dah lari, dia orang nak perangkap awak. Tunggu aje dekat istana, saya datang.”

Panggilan terus diletak.

***

“Cik Dilayla, tuanku Bella dah terlepas.”

Mata Dilayla membulat. “Macam mana boleh terlepas? Kau reti buat kerja ke tak ni?”

Connor hanya menunduk memandang Dilayla yang berada dihujung lorong bilik.

“24 jam kau dekat luar bilik dia, takkan boleh hilang?” Suara Dilayla naik seoktaf.

“Dia keluar ikut tingkap.”

“Tak guna!” Terus dia membawa langkah untuk keluar dari istana melalui pintu utama. Habis rosak rancangan mereka nanti kalau Bella terlepas.

“Cik Dilayla tunggu!”

“Apa lagi?”

Trrk!

“Argh,” Diayla mengerang sakit. Cuba menahan keperitan yang menusuk pada abdomennya. Mulutnya memuntahkan darah.

Pisau yang menikam itu dia tatap. “Apa yang kau buat ni Connor?”
Cecair merah dimuntahkan lagi dan dia akhirnya rebah.

***

“Riz Ruziana!” Pintu rahsia di sebalik dinding batu pada bilik bawah tanah itu akhirnya terbuka.

“Bella, macam mana kau...” Riz yang sedari tadi diikat pada kerusi dan hanya duduk menunduk mengangkat kepalanya bagi memandang gerangan suara yang berbicara.

“Kenapa? Kau terkejut?” Kali ini Henry pula yang muncul melalui pintu di sebalik potret.

“Aku dah cakap awal-awal. Kau takkan menang lawan aku.” Henry berbicara lagi.

“Bella, aku tak faham. Macam mana kau masih boleh cintakan lelaki tak guna macam Henry?”

“Kau yang tak pakai otak sebenarnya,” balas Bella.

Ikatan rambut Riz dicengkam kuat sebelum kepalanya ditarik secara paksa untuk ke depan. “Aku memang rakan subahat Henry.”

“Apa maksud kau?”

Bella menarik senyum senget.

***

Lima tahun lalu,

Hari ini Bella mengikuti Henry dan Diana yang berkunjung ke empayar Vioreece. Dia sudah pun bertunang dengan lelaki itu. Kata Henry, hari ini akan berlaku sesuatu yang cukup menakjubkan namun Henry juga ada meminta bantuannya bagi memastikan rancangannya berjalan dengan lancar.

Dia hanya setuju. Rancangan itu bakal menguntungkan mereka berdua. Jadi, apa salahnya kalau dia ikut, kan?
Pintu utama istana itu kelihatan dibuka. “Masuklah,” pelawa Riz kepada mereka.

Bella hanya tersenyum nipis. Mereka berehat-rehat sebentar di bilik tamu sebelum Riz menunjukkan kamar untuk dia, Henry dan Diana. Mereka tiba pada waktu senja dan masing-masing juga sudah keletihan. Riz meminta mereka untuk membersihkan diri, rehat dan turun untuk makan malam bersamanya.

Tepat pukul 10 malam, Henry memanggilnya untuk berjumpa di kamar. Rancangan mereka akan dimulakan sebentar saja lagi. Punggungnya dilabuhkan pada kerusi meja kopi berhadapan dengan Henry.

“Apa yang saya kena buat?”

“Sebelum saya bagi arahan, saya nak tanya satu soalan. Awak betul-betul sanggup untuk buat semua ni?”

“Saya sanggup buat apa saja kalau untuk awak.”

“Bagus.” Beberapa bungkus sianida dicampak ke atas meja kopi.

“Letak sianida tu dekat bilik bawah tanah.” Segugus kunci pula dicampak.

“Jangan sampai tertangkap.”

“Mana awak dapat kunci ni?”

Gugusan kunci itu kini sampai ke tangan Bella.

Henry hanya tersenyum. “Abu tu orang saya. Saya yang hantar dia ke sini. Sekarang, segala maklumat ada dalam tangan saya. Ini kunci duplikat. Masuk bilik tu guna jalan luar. Jangan masuk melalui pintu dalam istana. Cuma dekat situ yang tak perlu ada kod laluan. Simpan kunci ni baik-baik.”

Bella mengangguk.

***

Tiba saja di dalam ruang terakhir bilik itu, Bella segera menyelesaikan tugasnya. Sianida itu dipegang menggunakan sarung tangan hitam kemudian diletakkan di dalam laci meja lampu, belakang cermin solek dan ada juga di sembunyikan di bawah tilam.

Dia akan buat apa saja untuk Henry asalkan Henry menikahinya nanti. Dia terlalu cintakan lelaki itu. Selesai tugasnya, Bella terus keluar dari bilik tersebut namun melalui pintu dalam yang akan membawanya terus ke dalam istana.

Sebelum itu, sempat dia menelefon Henry. “Helo, kerja saya dah beres,” bicaranya sambil melirik pada jam tangan. 2:30 pagi.

Keluar saja dari bilik itu, potret kembali diletak pada tempat asalnya. Potret itu adalah potret gambar perkahwinan Riz dan Stephan.
Sempat Bella merenung wajah Riz pada ketika itu dengan pandangan yang cukup dalam. Kesian.

***

“Jadi kau pun terlibat dalam pembunuhan Stephan?” Riz menjerit dengan tangisan.

“Ya, memang aku terlibat! Kenapa? Kau ingat aku tak tahu Henry orang yang jenis macam mana? Kau ingat aku tak tahu dia pembunuh?” Bella berbicara sambil ketawa histeris.

“Kau orang berdua ni memang gila!”

Pang!

“Kau orang tunggu ajelah, dalam 15 minit lagi polis terap akan datang cari kau orang dekat sini. Masa tu meringkuklah kau orang berdua dekat dalam penjara!”

“Hahaha. Apa? Polis? Itu pun kalau Dilayla hidup lagi. Kalau dia dah mati, aku sendiri pun tak pasti macam mana.”

“Apa maksud kau, Dilayla dah mati?”

“Riz, kau kena ingat. Vioreece bukan empayar kau lagi. Kau bukan sesiapa dekat sini, macam mana kau boleh yakin yang Connor tu orang kau?”

“Saya dah selesaikan urusan saya tuanku.” Kini Connor pula yang masuk ke dalam bilik itu.

“Kau... Kau khianat aku?”

“Saya cuma ikut arahan maharaja.”

Gigi Riz gertap rapat. Ikatan pada tangannya dibelakang kerusi cuba untuk dibuka. “Kau orang tetap tak akan menang.”

“Siapa cakap?”

“Sekarang ni kita orang cuma perlu reka cerita. Isteri kedua seorang maharaja rupa-rupanya ialah seorang pengkhianat negara. Dia yang cuba untuk membolot harta suaminya itu telah merancang rancangan gila bagi menculik maharani untuk dijadikan sebagai tebusan. Polis? Ingat, ini empayar aku.”

“Henry, kita terlupa satu perkara.* Bella menatap wajah Henry.

“Oh, ya. Aku lupa. Kau bekerjasama juga dengan Myla. Mungkin dua empayar ni akan berperang lepas ni, kan?”

Riz menatap wajah Henry tadi dengan rasa marah.

“Tapi tak boleh. Dia orang tak boleh salahkan saya kalau tak ada bukti.” Ayat itu dilafaz cukup sarkastik.

Pemacu kilat yang mengandungi segala bukti mengenai insiden pembunuhan Stephan lima tahun lepas itu kini sudah berada di tangan Henry.

“Sekarang tinggal kau saja yang belum selesai. Aku dah agak dah, semua benda ni memang kau yang rancang dan kau jadikan ruang ketiga bilik bawah tanah ni sebagai tempat pertemuan kau dengan konco-konco kau.” Rambutnya sekali lagi ditarik ke bawah menyebabkan kepala Riz terdongak ke atas.

Sempat Bella membisikkan kata ditelinganya. Cukup perlahan namun masih mampu untuk dia
“Hanya aku yang betul-betul tahu dan kenal kau siapa. Dengan matinya kau, rahsia pasal kau akan terkubur selama-lamanya.” Rambutnya dilepaskan.

Picu pistol ditarik dan hujungnya diletak tepat pada dahi Riz. Henry hanya diam menonton adegan itu.

“Sekarang, bersedia untuk mati.”

Bang!

“Tunggu!”

tq for reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience