Riwayat III: Alana

Fantasy Completed 3250

Lima tahun kemudian,

Hubungan antara aku dan Stephan semakin lama menjadi semakin akrab. Mungkin lebih daripada seorang kawan. Ah, itu sudah pasti. Belakang badan disandarkan pada kerusi. Kini aku berada di bilik kerja. Kertas yang berada di atas meja tulis di hadapanku dipandang. Kepingan surat.

Entah mengapa itu menjadi tabiat Stephan, walhal boleh saja kami berbual melalui telefon.
Kepingan-kepingan surat yang bertandakan huruf 'D' itu diambil dan dibaca satu-persatu. Bibir milikku mengukir senyum memandang setiap kata-kata yang tercatit. Stephan, dia kini sudah berada di Myla, menjalani latihan ketenteraan serta bersiap sedia menjadi seorang Tengku Mahkota.

Kalian mahu tahu? Apa yang paling aku suka pada Stephan? Apa yang menyebabkan aku jatuh cinta pada dia? Selain cinta pada pandangan pertama, sebabnya adalah dia sentiasa ada. Walau ketika itu hadirnya sebagai gerangan sahabat namun, itu saja sudah mencukupi, dia tak pernah mengatakan cinta namun perbuatannya dibiarkan berbicara. Barangkali, dia pemalu orangnya.

Hari itu. Aku masih ingat mengenai hari itu. Hari di mana aku dapat tahu tentang sebuah kebenaran. Kebenaran yang cukup untuk membuat jiwa aku rasa mencengkam dan pada ketika itu juga Stephan menerima pengakuan aku selepas dua tahun hubungan antara kami renggang kerana aku yang terlalu gelojoh meluahkan perasaan.

***
Tiga tahun lalu,

Getaran daripada telefon bimbit yang terletak di meja kopi itu diangkat. Air mata aku kesat. Sungguh aku tak menyangka akan hal ini. Telefon dilekapkan pada telinga. Tubuh yang tadinya bersandar pada sofa kini berubah tegak. "Helo, awak dah jumpa orang yang saya cari?" Langit malam aku tatap dengan riak sayu melalui jendela besar kamar. Suasana malam ini terasa begitu dingin dengan salji yang turun lebat. Bibir aku gigit perlahan.

"Saya dah jumpa tuanku." Satu suara kedengaran dihujung talian. Berat nafas aku berhembus. Aku sendiri tak tahu adakah ini satu keputusan yang betul untuk aku ambil.

"Dekat mana dia sekarang? Bagi lokasi dia cepat. Ingat, jangan sampai hal ni sampai ke telinga maharaja." Tegas bicaraku.

"Baik, tuanku."

"Rahsia ni hanya antara kita, faham?"

"Faham."
Panggilan dimatikan. Aku perlu bertemu dengan orang itu sekarang.

Air liur ditelan dan rasanya cukup kelat. Langkah aku bawa masuk ke bilik persalinan yang pintunya di bahagian kiri katil. Jaket tebal yang sudah sedia tersangkut pada almari disarung sebelum sepasang tapak kaki ini menapak laju untuk keluar dari istana melalui pintu belakang. Kegiatan aku hari ini tidak boleh diketahui oleh sesiapa.

Jam tangan aku pandang, 02:00. Salju agak lebat pada malam ini, jika diikutkan agak berbahaya untuk memandu namun kebenaran ini adalah sesuatu yang aku wajib ambil tahu. Enjin kereta dihidupkan dan kereta itu mula bergerak keluar melalui jalan tikus. Beberapa pengawal istana yang mengetahui mengenai hal ini sudah aku pastikan untuk mengunci mulut.

Kereta dipandu laju membelah jalan. Pedal minyak terus ditekan meski jalan raya agak licin. Takkan mungkin ayahanda melakukan hal yang sedemikian? Mengingatkan hal itu air mata aku menitis lagi. Setiap hembusan nafas terasa begitu berat. Jantung aku berdetak laju untuk bertemu dengan orang ini sebelum akhirnya

Bam!

Kereta milikku terbabas dikedinginan malam.
Dan pada hari itu, hidup aku berubah 180°.

***
Kelopak mata dibuka perlahan. Tubuh yang terbaring di atas katil itu dipandang. Keseluruhan bilik mewah ini juga ditatap. Sudah tiga bulan aku kemalangan. Musim juga sudah berubah ke musim semi. Kemalangan itu.

Aku benci kemalangan itu. Aku diberitahu bahawa aku tidak lagi mampu untuk berjalan buat sementara waktu atau mungkin juga selama-lamanya dan mendengarkan itu, sekeping jiwa aku hancur. Aku cacat. Menyusahkan orang, tak berguna dan hodoh. Kadangkala aku terasa seperti mahu mati. Kawan? Semuanya hilang entah ke mana.

Betul, aku memang seorang puteri yang lahir didulang emas tapi seorang puteri yang cacat dan tak layak untuk mewarisi takhta. Aku benci melihat cermin. Aku benci melihat diri sendiri. Jijik.

Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan pada pintu membawa aku untuk kembali ke realiti. Seorang dayang-dayang masuk ke kamar.

"Ini sarapan tuanku, ya? Saya letak di sini," bicara dayang-dayang itu lembut sambil dulang sarapan diletakkan pada meja kecil di tepi katil.

Dengan wajah dingin aku membalas. "Cepatlah sikit keluar. Rimaslah!"

"Baik tuanku."

Nafas aku dengus kasar. Serabut.

"Riz, sampai bila kamu nak jadi macam nii?" Suara dari ayahanda yang baru muncul tepat di hadapan pintu bilik membuatkan aku menoleh.

"Sampai mati."
Ayahanda bergerak mendekati aku dibirai katil sambil dayang-dayang tadi mula melangkah keluar dari kamar.

"Macam mana kamu nak gantikan tempat ayahanda ditakhta nanti kalau..."

Belum sempat ayat itu disambung aku sudah pun memotongnya. "Kenapa? Ayahanda nak cakap yang Riz tak layak naik takhta juga?" Suara aku mula tinggi. Hati ini terlalu sakit.

"Ayahanda tahu tak? Bila Riz keluar dari bilik ni, semua orang dalam istana ni bercakap pasal Riz? Tak layak naik takhta, cacat, buruk. Riz penat. Letih. Telinga ni dah bingit dengar apa yang orang dekat luar sana cakap."

"Sayang, itu cuma perasaan kamu aje."

"Perasaan? Habis semua yang Riz dengar salah faham? Salah dengar? Salah tafsir? Kalau sepanjang tiga bulan ni apa yang Riz dengar semuanya perasaan, maksudnya Riz ni gilalah. Riz masih boleh fikir dengan waras ayahanda. Riz bukannya bodoh."

"Riz, semua orang sayangkan kamu." Ayahanda masih memujuk.

"Semua orang? Mana semua orang? Berapa orang aje yang ada dengan Riz sekarang? Cuba ayahanda bagitahu. Kalau setakat nak cakap macam tu untuk sedapkan hati Riz lebih baik tak payah cakap."

"Habis apa yang Riz nak sebenarnya?" Ayahanda menyoal.

"Jawapan." Tegas suara aku ketika menyebut kata itu.

Serta-merta wajah ayahanda berubah riak. "Kamu masih fikir tentang dia walaupun dalam keadaan macam ni?"

"Siapa perempuan tu?"

"Dia tak penting dalam hidup kita."

"Riz berhak untuk tahu semua tu!"

"Kalau Riz tahu pun apa yang Riz boleh buat?"

"Bukan ke ayahanda yang cakap, Riz mungkin tak layak naik takhta? Perempuan tu layak untuk ganti tempat Riz, kan?"

"Riz!"

***
Seminggu kemudian,

Makan tengahari yang sudah tersedia di meja kecil tepi katil dijamah perlahan. Mahu tak mahu perut ini harus juga aku isi. Selesai bubur itu disantap, gelas yang berisi jus epal pula aku hirup dan ketika itu mata aku tertancap pada sehelai nota kecil. Nota ini sama seperti yang pernah aku terima ketika dizaman sekolah menengah dulu.

'Jangan lupa makan.'
-D

Mustahil Stephan yang bagi.
Sekarang aku dah cacat. Bagaimana mungkin Stephan masih mahukan aku? Aku yang normal dulu pun belum ada kata putus yang diberi. Inikan kalau keadaannya sudah seperti ini. Mengarutlah, sanggup hidup susah senang, sehidup semati kalau sesuatu itu menyusahkan diri buat apa terima, kan?

Sejak dari hari itu, nota-nota kecil sering menemani setiap hari aku.

'Selamat pagi.'

'Selamat malam.'

'Tidur nyenyak.'

'Mimpi indah.'

Pernah juga aku bertanya kepada dayang-dayang mengenai gerangan yang memberinya nota itu namun tak pula diberitahu jawapannya. Jujur, awalnya nota itu tak membantu aku begitu banyak dan kadangkala aku sendiri juga malas untuk membacanya. Tak penting. Namun ada satu nota yang buat hati aku rasa tersentak ketika membaca.

'Semua orang sayang? Orang pun kadang-kadang tak ada, berkurang kuantitinya. Tapi yang ada inilah yang patut kita hargai kualitinya, kan?'

***
Malam ini dibawah cahaya sang purnama, tubuh aku telah didudukkan di atas sebuah sampan yang bergerak perlahan-lahan akibat tolakan sepasang dayung. Di hadapan aku kini, ada Stephan. Sampan ini bergerak melalui sebuah perairan di Vioreece yang dikiri kanannya terdapat bangunan-bangunan rumah penduduk.

Bayu malam yang masuk ke rongga hidung terasa begitu tenang. Malam ini langit dihiasi bintang dan disekeliling kami pula ada kelip-kelip yang mengiringi perjalanan. Sudah dua tahun aku tak bertemu dengan Stephan. Hari ini dia datang melawat tapi entah apa mimpinya tiba-tiba saja dia membawa aku ke tempat yang agak dingin meski suasananya terasa begitu hangat ketika dia ada bersama.

"Kenapa kau bawa aku ke sini?" Aku menyoal.

"Saja. Tenangkan hati yang mungkin bergelora di bawah purnama, kan indah?"
Jujur aku hairan dengan sikap Stephan. Dia tak sama seperti yang pernah aku kenal dulu. Bicaranya juga terasa agak berbeza.

"Lagi satu, boleh tak kau tukar panggilan 'kau' kepada 'awak' bila bercakap dengan saya?"

"Kenapa aku rasa kau macam lain?" Panggilan itu masih belum aku tukar. Rasa kekok pula untuk menukarnya.

"Awak." Tegas bicara Stephan.

Aku mengeluh. "Okey. Kenapa saya rasa awak lain?"

"Tak suka ke?"

"Taklah. Tapi rasa macam pelik."

"Awak rasa kenapa saya bawa awak ke sini malam ni?"

"Tak tahu."

"Dua tahun lepas awak pernah buat satu pengakuan, kan?" soal Stephan.
Bibir aku terkunci rapat apabila ditanya soalan itu. Pengakuan perasaan ke maksudnya? Malu pula bila teringat tentang itu.

"Hari ini saya nak beritahu keputusan saya."

Sekejap, dia nak mengaku juga ke? Maksudnya dia pun sukakan aku?
Mengarut! Aku dah tak sama seperti dulu lagi. Aku dah cacat. Barangkali keputusannya adalah untuk menolak cinta aku. Jantung mengepam darah dengan cukup laju. Mahu berdiri di samping seorang bakal maharaja buat aku merasa tak layak. Namun jika ditanya, tak sanggup juga aku bila cinta itu ditolak.

"Saya terima pengakuan awak."

"Tapi saya dah tak sempurna macam dulu lagi."

"Itu tak penting. Saya cuma nak cakap yang aku betul-betul cintakan awak."

Sekeping bar coklat dikeluarkan.
Bar coklat itu cukup untuk membuat aku mengimbau kenangan. "Awak bagi saya coklat ni?"

"Suatu hari nanti saya akan gantikan coklat tu dengan sebentuk cincin."
Sampan yang dikayuh akhirnya tiba di jeti kecil. Di sini ada sebuah taman yang pokok-pokoknya dihiasi dengan lampu dan pastinya cukup cantik tika malam menunjukkan jasadnya.

Tubuh aku digendong sebelum diletakkan di sebuah kerusi roda yang sudah disediakan.

"Oh ya, sebenarnya saya tak rancang nak buat semua ni, seorang diri. Ada orang yang tolong saya."

Aku mengukir senyum. Sudah aku agak, Stephan yang aku kenal tak langsung tahu yang namanya romantis. "Siapa yang tolong?"

"Alah, awak kenal. Kita satu sekolah dulu."

Siapa pula?

"Tahniah." Satu suara lembut yang datang dari arah belakang melalui saraf auditori milik aku. Suara seorang perempuan.

Jadi inikah gerangannya yang menolong Stephan? Perempuan itu kemudiannya berdiri di hadapan aku. Bella?

??????

Dan malam ini pada tanggal yang sama coklat bar yang diberi tiga tahun lepas sudah pun diganti dengan sebentuk cincin. Dibalik setiap sampul surat tadi ada satu yang mengandung cincin. Cukup cantik.

Sekarang Stephan sudah pandai membuat kejutan meski jasadnya kini tiada di Vioreece. Cincin yang bertatahkan batu delima itu disarung ke jari manis. Surat yang satu itu dibaca ulang.

'Sudikah awak menjadi mawar kepada kumbang, separuh dari si buah pinang dan permata pada sebentuk cincin sampai bila-bila?'

Jam dinding dipandang sekilas. Sudah jam 12 tengah malam dan ini adalah waktunya untuk aku beraksi. Selepas kemangkatan ayahanda tahun lalu, kini aku yang memegang tampuk pemerintahan. Mengenai jawapan yang dari dulu aku minta akhirnya ayahanda berikan semasa dia dalam keadaan gering. Cuma sepatah yang dia bicarakan. Alana.

Nama perempuan yang seharusnya aku jumpa pada malam itu adalah Alana dan ayahanda juga mengaku kesemua informasi yang aku dapatkan sebelum itu adalah benar. Walau bagaimanapun perempuan itu harus aku temukan. Setiap hujung bulan aku sendiri akan keluar dengan menyamar menjadi rakyat jelata untuk memberi bantuan makanan pada sesiapa yang memerlukan.

Kaki aku juga sudah sembuh berkat sokongan orang sekitar. Hoodie hitam yang sedia tergantung pada tempatnya aku capai sebelum senyap-senyap aku melangkah keluar dari Istana sambil telefon bimbit aku buka. Gambar jari aku yang bersarung dengan cincin tadi ditangkap dan dihantar.

'Untuk si kumbang bukan cuma mawar, barangkali pinang juga tak dibelah tepat dan untuk cincin tak semuanya dipadankan dengan permata. Maka aku lebih memilih untuk menjadi seorang Riz untuk seorang Stephan.'

Suratnya aku balas melalui mesej dan pada ketika itu aku belum sedar ada yang kecewa dengan keputusan yang aku piliih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience