Takdir II: Cinta Kita

Fantasy Completed 3250

10 tahun kemudian,

Zehra kini sudah pun tinggal sendiri di bilik sewa miliknya. Baru tamat pengajian pada tahun lalu, dia masih lagi mencari pekerjaan dalam dunia perakaunan. Dalam masa yang sama, dia memiliki hobi untuk menumis blog juga. Jadi masa lapangnya kini dihabiskan dengan menulis blog. Sakit kulitnya juga sudah sembuh sepenuhnya sekarang.

Sementara menunggu tawaran pekerjaan dalam bidang yang dia pelajari, dia ambil keputusan untuk melakukan kerja sambilan di sebuah kafe.

Mata Zehra melirik ke arah jam dinding. Sudah pukul 12 tengah malam. Komputer ribanya ditutup dan dia bergerak ke arah kasur yang hanya terletak di belakang meja belajarnya.

Belum sempat Zehra angkat punggung daripada kerusi, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Teringat akan sebuah kotak kayu berukiran motif mawar yang pernah ibu beri kepadanya dulu.

Dia tak pernah sentuh dan buka pun kotak tersebut. Hanya disimpan dengan baik. Lebih-lebih lagi sekarang, dia sibuk dengan pekerjaannya. Kadangkala kewujudan kotak tersebut pun dia lupa.

Laci meja belajar ditarik dan kotak tersebut dikeluarkan sebelum dibuka perlahan-lahan. Seutas rantai emas berloket hati dengan ukiran nama Riz diperhatikan. Riz? Siapa Riz?

Ada satu surat juga di dalam kotak tersebut. Lipatan kertas surat dibuka dan satu-persatu isinya dibaca. Surat itu ditulis oleh ibu mengenai identiti sebenarnya.

(Hari itu, saya baru tahu yang saya juga berasal daripada kerabat diraja. Tapi saya langsung tak percaya tentang itu. Mustahil. Ianya terlalu mustahil untuk berlaku. Walaupun memang ada sesetengah orang dan saya sendiri pun perasan kemiripan saya dan puteri tunggal Vioreece tapi kenyataan ini seolah-olah tak mungkin.)

(Jadi surat dan rantai itu saya simpan seperti biasa dan saya jalani hidup saya juga seperti sedia kala. Sampailah satu masa, ada seorang pak cik yang datang berjumpa saya di kafe tempat saya bekerja.)

"Order pakcik?" Soal Zehra kepada seorang pelanggan yang datang ke kafe. Buku catatan kecil bersama sebatang pen kemas berada di tangannya.

"Kamu Alana, kan? Riz Alana."

Rantai yang berukir nama 'Riz' di dalam kotak ukiran kayu itu terbayang di pemikiran Zehra. Adakah itu sebuah kenyataan yang sesungguhnya? Bahawa dia memang kembar kepada Riz Ruziana?

"Maksud pak cik, Zehra." George membetulkan ayatnya.

"Ya, saya Zehra. Kenapa ya?"

"Pak cik nak cakap sikit. Duduk dulu, boleh?"

Zehra mengangguk dan mengambil tempat pada kerusi meja bulat tersebut.

"Pak cik tak tahu sama ada kamu dah tahu atau belum tentang perkara ni, tapi pak cik nak kamu tahu yang kamu ialah kembar Riz Ruziana."

"Jadi benda tu betul?"

"Kamu dah tahu?"

"Saya ada rantai ni." Rantai emas itu dia bawa ke mana-mana cuma tidak dia gantung pada leher.

"Betul. Kamu memang kembar dia yang dibuang kerana hodoh."

Zehra kecil hati. Dia tak sangka yang ibu bapa kandungnya sendiri juga benci akan dirinya.

"Tapi ibu kandung kamu buat semua ni sebab terpaksa. Kalau ikutkan maharaja, kamu akan dibunuh tapi disebabkan ibu kamu, kamu hanya dibuang daripada keluarga tersebut."

Zehra angguk faham. "Jadi apa tujuan pak cik nak jumpa saya?"

"Ruziana nak jumpa kamu."

(Maka pertemuan pertama antara saya dan Riz diatur. Pertemuan yang berhujung kegagalan kerana dia ditimpa kemalangan yang menyebabkan dia lumpuh untuk sementara waktu. Saya rasa awak juga tahu mengenai itu.)

Malam yang begitu dingin bersama salji yang turun cukup lebat, tidak mematahkan semangat Zehra yang masih menunggu kelibat kembarnya di sebuah rumah usang di pinggir hutan.

Sesekali, air kopi panas dicicipnya sebelum tubuhnya bangkit berdiri merenung jalan di luar daripada jendela. Tiada satu pun kereta yang lalu lalang di jalan tersebut.

Berapa lama lagi dia harus tunggu?

Deringan telefon bimbit mengejutkan dia daripada menungnya. Panggilan daripada Pak cik George diangkat.

"Zehra, kamu boleh balik dulu sekarang."

"Balik? Kenapa? Apa yang dah jadi?"

"Riz kemalangan."

***

Kereta dipandu laju membelah jalan. Pedal minyak terus ditekan meski jalan raya agak licin. Takkan mungkin ayahanda melakukan hal yang sedemikian? Mengingatkan hal itu air mata Riz menitis lagi. Setiap hembusan nafas terasa begitu berat. Jantung aku berdetak laju untuk bertemu dengan kembarnya yang selama ini dia langsung tak tahu tentang kewujudannya sebelum akhirnya

Bam!

Kereta miliknya terbabas dikedinginan malam.

(Selepas itu, pak cik George tak pernah menghubungi saya lagi. Saya pun sudah melupakan kejadian tersebut. Saya sudah bahagia dengan kehidupan saya jadi saya tak begitu peduli mengenai kenyataan itu.)

(Namun beberapa tahun kemudian, saya dapat tahu Riz ingin berkahwin dengan seorang maharaja dari empayar Myla dan empayar kita bakal bersatu. Di majlis perkahwinan itu dijemput rakyat jelata juga untuk hadir. Pada awalnya, tak terlintas pun di pemikiran saya untuk hadir, namun jika difikirkan semula, saya rasa, saya perlu berjumpa dengan Riz. Rahsia dan sengketa ini perlu diselesaikan.)

(Empayar dan rakyat patut tahu, yang Riz Ruziana bukan puteri tunggal dan saya sendiri pun sepatutnya berkenalan dengan satu-satunya ahli keluarga saya. Jadi, saya memutuskan untuk hadir ke majlis tersebut.)

(Lagi pula ada kemungkinan dia menjemput rakyat jelata untuk turut hadir bersama bagi mencari dan bertemu dengan saya.)

Malam itu, selesai menghabiskan hidangan majlis yang disediakan, Zehra pergi ke beranda kapal untuk mengambil angin malam. Bulan purnama pada malam itu dia tatap dengan senyuman lebar. Cantik. Kapal yang bergerak perlahan menuju ke kawasan istana baharu yang disambut dengan sapaan bayu malam terasa begitu indah.

Dia perlu tunggu majlis selesai dan kesemua tetamu masuk tidur dahulu sebelum bertemu dengan Riz. Yalah, dia tak mahu buat kecoh kerana baginya hal ini sepatutnya diselesaikan secara peribadi. Kerana itu juga tidak mewar-warkan identiti dirinya di media sosial.

Satu sentuhan yang menyapa bahunya menyebabkan dia menoleh belakang.

"Ya, tuanku?"

(Itu ialah saat pertama kali saya bersua muka dan bertentang mata malah berbicara dengan Bella. Seseorang yang membuatkan pertemuan antara saya dan Riz sekali lagi gagal.)

"Ni, kotak awak tertinggal." Kotak kayu miliknya yang berada di tangan Bella dia ambil kembali.

Dia tahu berdasarkan wajah saja sudah cukup untuk kembarnya mengenali dia tapi lebih baik kalau surat karangan ibu angkatnya bersama rantai itu dibawa sekali. Dia juga sering membawa sebuah buku catatan atau pun orang gelar sebagai diari ke mana-mana sahaja dia pergi. Oleh sebab dia malas mahu membawa barang yang banyak, diari itu juga dimasukkan ke dalam kotak.

Di dalam kotak itu juga ada dia letakkan satu kanvas yang mengandungi gambar dirinya ketika remaja.

"Terima kasih."

"Apa tujuan kau datang sini sebenarnya?"

"Ha?"

Leher Zehra lantas dicekik. "Aku tahu kau siapa, Alana."

"Apa yang tuanku cakap ni?" Dalam sekat dan sesak, dia menyoal. Ah, dua tak boleh bernafas. Nafasnya teraejat dikerongkongan.

Namun lehernya masih dicekik habis-habisan sebelum jasad Zehra ditolak jatuh ke samudera yang begitu gelap dan dalam. "Kau tak boleh ada dekat sini, hari ni dan sampai bila-bila."

Bush!

(Maka saya sekali lagi lemas dihanyutkan arus deras bersama kotak ukiran itu dalam pelukan. Kali ini, tiada siapa pun yang datang menyelamatkan.)

(Saya tak sangka yang saya masih lagi hidup dan terdampar di sebuah pulau terpencil tak berpenghuni. Ketika saya sedar, saya tak mampu mengingat apa-apa. Separuh daripada ingatan saya hilang.)

(Yang saya tahu, nama saya Zehra dan dahulu saya sering dibuli. Selebihnya langsung saya tak ingat. Hidup di pulau itu pada awalnya memang sukar untuk saya sesuaikan diri namun lama kelamaan saya sendiri suka dan senang tinggal di sana.)

Zehra berlari laju mengejar seekor rakun peliharaannya. Satu-persatu daun pepohon rimba diselak. Kakinya tangkas melangkah dari satu dahan pokok besar hutan ke pokok yang lain. Jari kakinya turun pula menjejak tanah. Pemandangan di hutan ini, cukup indah. Dedaun hijau yang berembun dipagi hari terasa cukup menyegarkan.

Langit tampak berseri dipagari oleh awan-awan yang berarak sambil menunjukkan jasadnya yang putih seperti kapas. Beberapa bunga-bunga hutan yang liar menjalar menyerikan lagi keindahan hutan semula jadi yang terletak jauh dari bandar yang serba mewah. Di sini juga, terdapat sebuah air terjun yang sangat jernih seperti permata, The Pearl. Air terjun yang paling indah di Vioreece, sebuah empayar metropolitan dimana dia baru diami sekarang.

Empayar ini megah dan cukup terkenal dengan kecanggihan dan teknologi yang dimiliki, kukuh juga daripada segi pertahanan. Namun, bagi seorang Zehra, dia masih memilih untuk hidup bersama alam. Kakinya terus laju melangkah mengejar si rakun. Pokok epal hutan yang mula berbuah merah sempat dicapai buahnya lalu dimasukkan ke dalam mulut. Manis."Rocco!" Jeritnya dari jauh. Mereka terus berkejar-kejaran sehinggalah rakun tadi lenyap daripada pandangan.

Zehra mula terasa mengah. Ada saja keletah rakun itu untuk meloloskan diri. Ah, rakun itu sememangnya comel namun tingkahnya kadang agak menyebalkan tapi memahami juga. Terkadang dia juga meluahkan isi hatinya kepada haiwan tersebut, bagi dia, bercakap dengan haiwan terasa lebih selesa berbanding dengan manusia sendiri yang lebih kepada menjuri daripada benar-benar mendengar dengan sudi dan lebih banyak prejudis daripada sebenar-benar mengerti.

(Hidup saya hanya bersama haiwan dan pepohon rimba. Saya bahagia hidup di sana meski saya hidup seorang diri.)

(Setahun kemudian, saya menjadi saksi utama satu adegan pembunuhan yang dilakukan oleh pak cik George. Saya nampak dengan jelas tubuh wanita yang dia tenggelamkan.)

(Kerana itu terlalu menakutkan dan mengerikan untuk saya, memori tersebut terasa seperti dihapus. Hinggalah sembilan tahun kemudian kita bertemu kembali.)

"Awak sejukkan?" Henry menyoal.

"Eh, tak apa. Saya dah biasa tinggal dekat sini. Awak pakailah, awak kan tak sihat lagi," balas Zehra sambil jaket tadi cuba untuk dia lepaskan namun ditahan sekali lagi oleh Henry.

"Pakai. Saya tahu awak sejuk."

Dan kali ini Zehra hanya mampu untuk akur.

"Terima kasih sebab selamatkan dan rawat saya selama tiga hari ni."

"Awak nak tak tan saya pergi tasik dekat belakang ni malam nanti?"

"Nak buat apa?"

"Saja. Tengok bintang. Itu pun kalau awak sudi."

(Sepertimana awak jatuh cinta pada saya pada pandangan yang pertama, begitu juga saya. Kehadiran awak menggamit satu-persatu memori yang hilang dahulu.)

(Perkenalan kita hanya beberapa hari namun rasa cinta kita seperti sudah kuat bersemi. Sepanjang perkahwinan kita, jujur saya bahagia Henry. Saya bahagia sangat dengan awak. Terlalu bahagia.)

(Gurau senda awak dan saat-saat manis kita bersama tak akan pernah saya lupa dalam memori.)

“Apa beza awak dengan hutan?” Henry menyoal.

“Beza saya dengan hutan?”

“Ya, beza awak dengan hutan.”

“Tak tahu. Apa jawapannya?” Kening Zehra bertaut, soalan apa ini?

“Hutan, daripada bumi, Awak pula sebahagian daripada hidup saya.” Habis saja Henry melafaz, kedua-dua mereka ketawa sebelum akhirnya Zehra pula yang membuka mulut.

“Ceh, sebahagian daripada hidup konon."

"Eh, betul tau. Saya ni betul-betul cintakan awak."

***

“Marah lagi ke sayang?” Sengaja Henry mengusik sambil potongan roti  perlahan-lahan masuk ke mulutnya.

“Tak adalah, tak marah. Cuma geram sikit.”

Balasan daripada Zehra hanya membuatkan Henry ketawa.

“Janganlah merajuk.” Garfu yang dicucuk dengan potongan roti diacu ke arah Zehra. Dengan wajah kelat, suapan tadi masih juga diterima.

Mereka menyambung suapan mereka sedikit demi sedikit. Buat seketika waktu, hanya bunyi sudu garfu dan pinggan kaca yang berdenting memenuhi suasana.

“Zehra, saya ni hari-hari makan masakan dayang-dayang, kadang-kadang adalah Bella yang masak.” Setelah lama menyepi Henry membuka bicara semula sambil matanya dibundarkan sedikit.

"Habis tu?” Zehra membalas dengan wajah tanpa reaksi.

“Tak adalah, saya teringin juga nak merasa air tangan awak.”

“Saya masak? Jawabnya meletuplah dapur awak Henry," seloroh Zehra.

Dia memang kurang pandai memasak menggunakan peralatan moden. Rasa kekok.

“Masak apa sampai meletup?” Sengaja Henry menghangatkan lagi keadaan.

“Masak awak.”

“Kalau nak masak saya, tak payah pakai kuali.”

“Habis tu nak pakai apa?”

“Pakai ketuhar.”
Kening Zehra terangkat. Mengapa pula perlu masak dalam ketuhar?

“Ketuhar hati awak, biar saya sentiasa hangat dengan cinta dan kasih sayang awak.”

(Sampailah satu masa, ingatan saya mengenai pembunuhan Riz semakin jelas. Saya juga ingat bagaimana saya dicekik dan dicampak ke dalam laut oleh Bella. Itu benar-benar nyata, bukan mimpi.)

(Kemudian satu lagi kebenaran tersingkap. Ada sebuah diari lama di perpustakaan yang saya baca. Diari milik Riz. Diari itu tercatat sehingga tarikh dia dihukum mati. Segala luahannya tentang pembunuhan Stephan bahawa dia tak bersalah ada di sana.)

(Sudah semestinya diari itu tak boleh saya percaya, kerana Riz sendiri sudah diputuskan bersalah dan telah dihukum mati. Catatan itu pasti catatan palsu. Tapi kalau ianya palsu, dan Riz memang dihukum gantung, siapa yang saya lihat di tasik?)

(Akhirnya semua menjadi jelas apabila Dilayla menunjukkan saya satu klip video yang menjelaskan segala-galanya.)

Tuk! Tuk!

Bunyi ketukan pada pintu menyebabkan Zehra merasa kaget lantas kotak itu terus dimasukkan semula ke bawah katil sebelum langkahnya dibawa untuk membuka pintu.

Dilayla yang berdiri tepat di hadapan pintu menatapnya dengan cerlungan tajam. "Sertai aku. Jangan tipu diri sendiri, Zehra. Kau dah tahu segalanya, kan?"

"Masuklah dulu." Dilayla dia pelawa.

Pintu ditutup. Dilayla ambil tempat pada sofa bilik. Zehra kemudiannya melabuhkan punggung di sebelah Dilayla.

"Ambil ni." Satu pemacu kilat dihulur.

"Apa ni?" Pemacu kilat bertukar tangan.

"Tengoklah dulu."

Segera Zehra mengambil komputer riba yang sudah tersedia di kamar itu. Pemacu kilat kemudiannya dicucuk. Video yang memaparkan adegan pembunuhan maharaja Stephan oleh Henry melalui kamera kecil buat mulut Zehra terlopong.

(Pada ketika itu, jiwa saya retak, pecah berderai. Saya sakit, Henry. Saya menderita.)

(Kenyataan ini malah lebih menyakitkan daripada hakikat Bella ialah isteri awak. Mungkin juga kerana saya yang terlalu cinta. Saya yang terlalu sayang. Kalau diikutkan mahu, saya lebih memilih untuk buat tak tahu mengenai kenyataan itu, tapi saya tak boleh.)

(Saya tak boleh sebab yang awak seksa tu kembar saya, Henry. Darah daging saya. Hati saya hancur sehancur-hancurnya. Sumpah, kalau boleh saya tak nak berpisah dengan awak. Saya tak sanggup pun kehilangan awak, tapi itu tanggungjawab saya.)

(Tujuan utama saya tulis surat ini untuk buat permintaan. Saya cuma nak minta satu daripada awak Henry. Maafkan saya, Henry. Maafkan saya.)

***

Tiga hari kemudian,

Hari ini ialah harinya. Hari di mana selepas ini hanya jasad tak bernyawa Henry yang dapat dia tenung. Ya, ini ialah konsekuensi yang akan dia dapatkan ketika dia memutuskan untuk menyertai Dilayla. Hilang orang yang dia sayang.

"Hai." Zehra menyapa Henry yang berada di hadapannya kini. Mereka dipisahkan dengan sekeping kaca di tengah-tengah. Gagang telefon Zehra genggam rapat. Cuba untuk menahan tangis diperjumpaan kali terakhir mereka.

Terakhir.

"Hai," balas Henry dengan senyum kelatnya.

"Awak apa khabar?" Ah, soalan itu terlalu bodoh untuk ditanya. Bertanya khabar untuk orang yang tak lama lagi akan pergi.

"Saya rindukan awak, Zehra." Tangisan Henry mula kedengaran.

Zehra ikut menangis. "Saya minta maaf, Henry."

Esakan mereka memenuhi suasana.

"Tak, awak tak salah. Semua ni salah saya. Memang patut pun saya dihukum." Air mata Henry kesat dengan belakang tapak tangan.

"Kalaulah, kalaulah saya tak seksa Riz dulu. Semua benda ni takkan jadi."

"Saya dengar cerita, awak pun masuk Islam baru-baru ni. Betul ke?"

"Betul."

"Kenapa?"

"Saya tahu orang macam saya mungkin tak layak tapi saya nak masuk syurga dengan awak, Zehra." Air mata Henry jatuh lagi. Sebelah tangannya naik menyentuh cermin yang memisahkan mereka.

Mendengar bicara Henry. Zehra menundukkan kepala. Menangis lagi. Di mana terletak tangan Henry, dia juga meletakkan tangannya pada kaca tersebut meski kedua telapak tangan mereka tak akan mungkin dapat bersatu lagi.

"Betul ke awak cintakan saya, Zehra? Betul ke awak tak bencikan saya?"

“Henry, matahari kita warna apa?”

Sebak Henry makin berat. Dadanya merasa sesak. Soalan itu, soalan yang pernah Zehra tanya kepadanya dahulu.

“Kuning.” Dalam tangisan dan sedu-sedan dia menjawab.

“Awak nampak matahari itu kuning, walau hakikat sebenarnya tidak. Kita melihat warna kuning tersebut kerana ia jauh.” Zehra membalas lagi. Ayat yang sama seperti yang pernah dia ucap ketika mereka baru melangsungkan pernikahan.

“Jadi, saya nak awak tahu. Walau apa pun yang saya buat dekat awak, walaupun saya dah khianati awak dan hukum awak begini, di sudut kecil hati saya, selalu ada awak. Walau macam mana pun awak tengok saya berubah, saya tetap Zehra awak.”

"Awak cakap dulu, cinta dan sayang saya ialah satu benda yang awak takkan lupa. Jadi kenapa, sekarang awak tanya semula?" luah Zehra.

"Saya cuba Henry. Saya cuba untuk bencikan awak sebab memang tu pun yang patut saya rasa tapi saya tak boleh. Saya tak boleh." Esakan Zehra semakin kuat ketika detik makin berlalu.

Hingusnya ditarik naik ke hidung. Sedu-sedannya cuba untuk dia kawal agar percakapan mereka untuk terakhir kali dapat berjalan dengan lancar.

"Masa hanya tinggal beberapa minit lagi." Suara seorang pegawai polis yang bertugas yang berada di sebelah Henry dan Zehra juga.

Henry menyeka mutiara jernih yang jatuh berjuraian seperti tak akan pernah habis.

"Zehra awak nampak cantik dengan gaun awak hari ni. Padanannya sangat sempurna dengan selendang awak."

"Gaun ni kan, gaun pertama yang awak bagi saya waktu pertama kali saya jejakkan kaki dekat istana. Mestilah cantik." Nafas Zehra cuba tarik sedalam mungkin.

"Lepas ni, awak dah tak boleh tanya saya nak pakai baju apa lagi dah. Awak kena pandai pilih sendiri."

"Henry, tak boleh ke kalau saya nak peluk awak sekarang?"

"Dah tak boleh lagi sayang."

"Henry...."

"Satu minit lagi."

"Tolong halalkan makan minum saya selama ni, baju yang awak bagi, masa yang awak luangkan dan tolong maafkan saya atas semua salah silap saya."

"Maafkan saya juga, Zehra."

"Selamat tinggal." Sebaris ucapan selamat tinggal yang mampu Zehra ucapkan kepada Henry cuma pada ketika ini. Kerana selepas ini, jiwa Henry sudah tiada lagi di dunia ini.

Terima kasih sebab sudi baca!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience