[7] Janji

Fantasy Completed 3250

Mentari mula memunculkan sinar pagi disebalik tirai langit menggantikan si bulan dan bintang diwaktu malam. Pada waktu siang, awan putih pula jadi peneman. Henry meregangkan tubuhnya yang baru saja sedar daripada beradu.

“Pagi, cinta,” katanya sambil merenung tubuh Zehra yang sedang berdiri di beranda.

“Pagi, sayang.” Zehra yang tadinya menghirup kesegaran bayu pagi di balkoni bilik berpaling sambil wajah Henry direnung kembali dengan senyuman. Kadang-kadang dia merasa semua ini seolah-olah mimpi indah, di mana dia sudah pun menjadi isteri kepada seorang maharaja.

“Zehra, saya nak tanya awak sesuatu, boleh?” Henry memandang tepat ke arah anak mata Zehra.

“Apa dia?” Lembut Zehra membalas. Tubuh disandar ke dinding balkoni.

“Apa beza awak dengan hutan?” Henry menyoal.

“Beza saya dengan hutan?”

“Ya, beza awak dengan hutan.”

“Tak tahu. Apa jawapannya?” Kening Zehra bertaut, soalan apa ini?

“Hutan, daripada bumi, Awak pula sebahagian daripada hidup saya.” Habis saja Henry melafaz, kedua-dua mereka ketawa sebelum akhirnya Zehra pula yang membuka mulut.

“Ceh, sebahagian daripada hidup konon."

"Eh, betul tau. Saya ni betul-betul cintakan awak."

"Yalah tu. Okey, bagi saya pula yang tanya awak.”

“Tanya apa?”

“Awak nampak tak matahari tu?”

“Nampak.”

“Matahari tu warna apa?”

“Kuning.”

“Awak nampak matahari itu kuning, walau hakikat sebenarnya tidak. Kita melihat warna kuning tersebut kerana ia jauh.”

“Jadi? Kenapa?”

“Henry, saya nak awak tahu. Walau apa pun yang saya buat dekat awak suatu hari nanti, di sudut hati kecil saya, selalu ada awak. Walau macam mana pun awak tengok saya berubah, saya tetap Zehra awak.” Mata Zehra membundar.

“Saya tahu awak sayangkan saya, Zehra. Cinta dan sayang awak ialah sesuatu yang saya takkan lupa,” balas Henry.

Zehra tersenyum lebar. “Kalau saya tak cinta, tak adalah saya susun ayat cantik-cantik untuk balas ayat manis awak.”

“Saya pun tak suruh awak balas.”

Nafas dihembus Zehra. “Henry...” Suaranya mula meleret.

“Apa?” Balas Henry tanpa rasa bersalah.

“Suka hati awaklah. Baik saya pergi mandi, penat nak layan perangai awak.” Kaki Zehra mula menapak ke kamar mandi.

“Eh, nantilah sekejap,” panggil Henry.

“Apa lagi?”

Tidak menghiraukan soalan Zehra, Henry bingkas bangun dari katil empuk milik mereka. Tubuh Zehra dihampiri.

“Awak jangan cakap kita kena mandi sekali.” Zehra memandang Henry dengan jelingan tajam.

“Kalau memang itulah yang awak nak sampaikan, jawapan saya, saya tak nak.” Tegas suara Zehra namun Henry langsung tidak mempedulikannya, tubuh Zehra terus didukung masuk ke kamar mandi.

“Henry!” Jeritan Zehra bergema.

•••

Sarapan pagi untuk hari ini, mereka hanya makan berdua di kamar mereka. Ini dilakukan untuk memberi ruang kepada pengantin baharu. Henry juga dibenarkan untuk beradu di bilik Zehra selama tiga hari berturut-turut sebelum menggunakan giliran. Garfu Zehra hentak ke pinggan kaca. Bibirnya dicebik sambil nafas yang dihembus sedikit berbaur dengan kesal.

“Marah lagi ke sayang?” Sengaja Henry mengusik sambil potongan roti  perlahan-lahan masuk ke mulutnya.

“Tak adalah, tak marah. Cuma geram sikit.”

Balasan daripada Zehra hanya membuatkan Henry ketawa.

“Janganlah merajuk.” Garfu yang dicucuk dengan potongan roti diacu ke arah Zehra. Dengan wajah kelat, suapan tadi masih juga diterima.

Mereka menyambung suapan mereka sedikit demi sedikit. Buat seketika waktu, hanya bunyi sudu garfu dan pinggan kaca yang berdenting memenuhi suasana.

“Zehra, saya ni hari-hari makan masakan dayang-dayang, kadang-kadang adalah Bella yang masak.” Setelah lama menyepi Henry membuka bicara semula sambil matanya dibundarkan sedikit.

"Habis tu?” Zehra membalas dengan wajah tanpa reaksi.

“Tak adalah, saya teringin juga nak merasa air tangan awak.”

“Saya masak? Jawabnya meletuplah dapur awak Henry," seloroh Zehra.

Dia memang kurang pandai memasak menggunakan peralatan moden. Rasa kekok.

“Masak apa sampai meletup?” Sengaja Henry menghangatkan lagi keadaan.

“Masak awak.”

“Kalau nak masak saya, tak payah pakai kuali.”

“Habis tu nak pakai apa?”

“Pakai ketuhar.”
Kening Zehra terangkat. Mengapa pula perlu masak dalam ketuhar?

“Ketuhar hati awak, biar saya sentiasa hangat dengan cinta dan kasih sayang awak.”

Dengan wajah kosong, Zehra membalas. “Nasib baik hati saya tak ada ketuhar.”

“Zehra...” Henry menyebut nama itu dengan nada tidak puas hati.

“Apa?”

“Kalau saya bagi ayat manis, cuba senyum sikit.”

Zehra menghembus nafas sebelum sudu dan garfu miliknya diletak ke dalam mulut sebelum bahagian dalam mulutnya ditarik membentuk senyuman yang penuh keterpaksaan.

“Cuba kalau senyum tu, ikhlas sikit.”

“Mana awak tahu saya tak ikhlas?”

Zehra masih lagi dengan wajah tanpa reaksi malah, hanya menyambung suapan hidangan yang tergendala sebentar tadi.

Tuk! Tuk!

Bunyi ketukan pintu terus membawa tubuh Henry untuk bangun. “Sekejap, saya pergi buka pintu,” bicaranya kepada Zehra.

“Maaf, kalau saya mengganggu tuanku.” Lembut patah bicara dayang-dayang yang mengetuk pintu tadi.

“Ada apa?”

“Tuanku Bella pelawa tuanku untuk makan tengah hari sekali, dia juga minta untuk tuanku bawa cik puan Zehra nanti.”

•••

“Awak, mana lagi cantik? Warna coklat ke warna kelabu?” Zehra terus menyoal sejurus melihat tubuh Henry yang menghampiri dirinya. Keliru mahu memilih baju apa yang sesuai untuk dipakai ketika makan tengah hari sebentar lagi.

Mereka bangun agak sedikit telat, jadi sarapan pun mereka makan ketika matahari sudah pun hampir ditengah hari.

“Saya suka warna kelabu.”

“Kenapa?”

“Sebab nampak elegant. Barulah sedondon dengan saya.” Sekelip mata, dahi Zehra dikucup.

“Okeylah, kalau awak kata kelabu, saya pakai kelabu. Awak keluarlah dulu.” Badan Henry Zehra tolak keluar.

“Kalau saya tak nak keluar?” Kening Henry terangkat nakal.

“Awak...”

“Okey, okey. Saya keluar.” Henry mengangkat tangan tanda menyerah.

Langkahnya dibawa keluar. Sliding door walk-in closet yang terbuka tadi ditutup kembali oleh Zehra

Lima minit kemudian,

Kaki Zehra melangkah keluar dari bilik baju tadi. Gaunnya sudah kemas tersarung ditubuh.

“Beautiful,” bicara Henry yang sedang menatap tubuhnya.

Senyuman Zehra melebar. Langkahnya menuju ke arah Henry sebelum mereka berpegangan tangan lalu membuka pintu kamar dan langkah mereka bawa seiring ke ruang santapan.

Diana yang sedari tadi memerhatikan kelibat abangnya dengan isteri barunya yang sedang menuruni tangga dari hadapan pintu ruang santapan mula menjeling. Meluat. Dia memang tak setuju atas perkahwinan abangnya dan dia juga tak mengerti dengan keputusan kakak iparnya, Bella. Langkahnya dibawa masuk ke ruang makan sebelum punggungnya dihenyak disalah satu kerusi. Wajah Bella yang berada di sebelahnya dipandang.

“Kak, kenapa akak terima perempuan murahan tu? Akak tak sayangkan abang lagi?” Keras nada suara Diana.

Belum sempat Bella menjawab,

“Diana, jaga mulut tu sikit.” Henry yang sudah tiba dimuka pintu bersama Zehra membidas kata-kata adiknya tadi.

Dia melangkah ke arah meja makan, punggungnya dilabuhkan serentak bersama Zehra. Mereka duduk bersebelahan. Diana yang duduk berhadapan dengan Zehra menghantar jelingan membunuhnya.

Zehra hanya menunduk memandang lantai. Bola matanya hanya terangkat memandang meja apabila beberapa orang dayang-dayang membawa hidangan makan tengah hari mereka.
Makanan yang sudah dihidang tadi, disendukkan ke dalam pinggan mereka oleh dua orang dayang-dayang.

Setelah selesai, salah seorang dayang-dayang antara mereka mula menuang jus epal hijau pada gelas yang sudah tersedia disebelah pinggan. Diana yang sedari tadi mencari peluang, menyiku sedikit tangan dayang-dayang yang sedang menuang air pada gelas Zehra.

Splash!

Air tersebut tumpah dan tepat mengenai baju Zehra. Henry yang melihat perlakuan adiknya tadi memberi isyarat mata.

“Apa? Setakat tertumpah air sikit pun nak terasa?” Dengan berani Diana bersuara.

“Aku tak pernah ajar kau jadi biadab Diana.” Sudah lama dia perhatikan tingkah adiknya yang satu itu. Dari dulu hingga kini, tak pernah mahu berubah, sombong!

“Dan abang pun tak pernah ajar Diana maca mana untuk beradab.” Meja makan ditolak kasar sebelum langkahnya dibawa keluar dari situ.

•••

Sayur dipotong perlahan-lahan  menggunakan pisau dapur bagi menyediakan hidangan makan malam. Wajah Dilayla masih lagi menunjukkan riak yang muram. Sejak dua menjak ini terlalu banyak perkara yang dia fikirkan dan tanggungjawab yang digalas juga semakin bertambah. Dia merupakan dayang-dayang termuda di istana ini.

Usianya pada tahun ini, baru saja menginjak 18 tahun dan dia juga satu-satunya dayang-dayang yang pulang ke rumah sedangkan yang lain turut bermalam di istana megah ini. Setiap kali dia bekerja acap kali mindanya berfikir tentang keadaan ibunya. Dahulu, dia tinggal bersama ibunya beserta dua lagi adiknya.
Di bawahnya, ada seorang adik lelaki. Darwisy diberi nama, comel dan manja juga. Manakala, adiknya yang seorang lagi, perempuan. Dalina namanya.

Mereka tinggal berempat tanpa seorang bapa namun itu juga sudah cukup membahagiakan buat seorang Dilayla. Tapi, semuanya berubah apabila adiknya, Dalina yang baru menginjak usia setahun pada tahun lalu meninggal dunia. Ibu berubah dan mengalami kemurungan. Keadaan ibu sekarang dah tak sama seperti dulu. Ibu lain, ibu dah tak macam ibu, fikirannya berlari ke masa lalu untuk mengimbau memori lama.

“Dalina! Dalina!” jerit ibu memanggil nama adik bongsunya yang telah lama tiada dimuka pintu.

Itu sudah menjadi rutin ibu setiap hari. Dia pasti akan memanggil-manggil nama Dalina ketika waktu tengah hari tiba kerana Dalina meninggal di waktu itu.

“Ibu, Layla dah siapkan makanan. Jom, kita makan.”

“Diamlah! Aku nak tunggu Dalina.”

“Ibu, ibu kena makan.”

“Aku takkan makan selagi Dalina tak balik, kau faham?” Gertak ibunya lagi.
Dilayla hanya menunduk.

Waktu kerjanya sudah hampir tiba, dia runsing memikirkan keadaan ibunya. Ingin ditinggal seorang diri tak sampai hati, tapi jika dia tak pergi mencari wang siapa lagi yang mahu menanggung kos sara hidup? Mahu tak mahu dia tetap perlu bekerja.

“Comelkan Dalina?” Kini ibunya memandang dirinya sambil memegang boneka bayi yang dia beli untuk ibunya. Niatnya hanya mahu menghibur ibunya dengan boneka itu.

“Anak aku hidup lagi, siapa yang cakap dia dah mati? Ni, dia hidup lagi,” omel ibunya lagi.

“Ibu,” panggil Dilayla.

“Apa? Kau tak nampak ke aku tengah dodoikan Dalina?”

“D... Dalina dah tak ada.” Gagap bicara Dilayla.

“Eh, kau cakap apa ni? Kau gila ke?” Sinis soalan ibunya.

“Apasal kau cakap anak aku dah mati?” Suara ibunya kembali meninggi.

Dilayla hanya menunduk.

“Aku tanya ni, kenapa kau cakap anak aku, Dalina dah mati?” Rambut Dilayla ditarik kasar.

“Ibu, ibu, sakit.” Teriak Dilayla.
Genggaman rambut tadi dilepaskan.

“Anak aku hidup lagi. Kau jangan nak buat cerita. Aku tahu anak aku hidup lagi,” kata ibunya sambil ketawa.

“Dalina hidup lagi, dia tak mati.” Ibunya ketawa lagi sambil boneka tadi dibawa bersama untuk duduk di atas sofa.

“Darwisy, tolong tengokkan ibu, ya? Akak nak pergi kerja,” ujarnya kepada Darwisy.

“Dah siap ke potong sayur tu?” Suara daripada dayang Khadijah di belakang membuatkan air mata yang menitis dipipi dilap pantas.

Sayur dipotong secepat mungkin. Hari ini, dia mengelamun lagi.

“Belum,” katanya perlahan.

“Cepat sikit, kita nak mula masak ni.” Lembut suara dayang Khadijah memberi arahan.

Dilayla tersenyum nipis. Nipis, namun pahit. Sungguh, jauh di sudut hatinya dia rindu seseorang yang dia gelar sebagai ibu.

•••

Jam lima petang, Darwisy duduk di atas bangku halaman rumah sambil menunggu kepulangan kakaknya. Seekor patung beruang kecil berwarna coklat digenggam erat di pangkuannya. Ini hadiah daripada ibunya.

“Bear tahu tak? Ibu cantik, pandai, baik.” Darwisy berbicara sendiri kepada patung beruang tadi.

“Wisy, suka ayam goreng yang ibu masak untuk Wisy. Ibu masak sedap,” bicaranya lagi.

“Tapi, ibu dah tak macam dulu. Kenapa ibu berubah, Bear?” Dia menyoal patung kecil itu lagi.

“Dulu, ibu selalu belai kepala Wisy bila Wisy baring dekat paha ibu. Ibu selalu peluk Wisy bila Wisy sedih, ibu selalu masak makanan yang sedap-sedap untuk Wisy. Ayam goreng ibu paling terbaik. Tak ada siapa boleh lawan.”

Langit yang semakin mendung tak dipedulikan. Patung beruang tadi dipeluk rapat ke dada sambil setitis air matanya mengalir di pipi.
Patung ini, merupakan hadiah pertama dan terakhir yang ibunya belikan ketika sambutan ulang tahun kelahirannya sebelum segala-galanya berubah. “Wisy rindu ibu.”

Hujan renyai-renyai mula turun membasahi tubuh kecil Darwisy.

“Lari, lari, hujan!” Tiga orang kanak-kanak lelaki yang sebaya dengannya berlari melintasi halaman rumahnya.

“Eh, ada Darwisy-lah!” jerit salah seorang daripada sekumpulan kanak-kanak tadi.

“Budak lembik ni ada dekat sini, apa yang kau pegang tu?” Soal yang seorang lagi sambil merampas patung beruang yang erat dalam dakapan Darwisy.

“Janganlah, tu aku punya!” Darwisy menjerit. Kakinya dihentak-hentak ke tanah.

“Eh Darwisy, kau tu lelaki mana boleh main teddy bear,” kata budak lelaki ketiga dalam kumpulan itu.

“Bagilah balik!” Darwisy menjerit lagi.

“Kau nak? Nah!” Patung beruang itu dibaling ke tengah jalan.

“Bear!” jerit Darwisy sambil berlari untuk mendapatkan patung beruang miliknya kembali. Ketiga-tiga orang budak lelaki tadi hanya ketawa melihat gelagat Darwisy.
Patung beruang itu dicapai pantas dengan tangan kecil miliknya.

Pon! Pon!

Sebuah kereta yang meluncur laju di atas jalan membunyikan hon apabila melihat seorang kanak-kanak kecil melintas secara tiba-tiba.

“Ah!”

“Darwisy!” Dilayla mengangkat tubuh kecil adiknya sebelum berlari ke bahu jalan.

“Darwisy buat apa dekat tengah-tengah jalan ni?” Suara Dilayla sedikit tegas.

“Darwisy nak selamatkan Bear.” Wajah Darwisy menunduk. Anak patung itu direnung sambil tangisan kecilnya mula kedengaran.

Dilayla kelu tanpa bicara. Posisi berdiri tadi diubah menjadi duduk mencangkung bagi menjadikan ketinggian mereka setara. Bahu Darwisy diusap perlahan. “Wisy sayang ibu tak?” soal Dilayla.

“Sayang.”

“Kalau sayang, jangan bahayakan diri lagi macam ni, okey?” Tegurnya lembut sambil air mata dipipi adik kecilnya itu diusap.

“Kakak, kenapa ibu pelik?”

Mata Darwisy ditatap penuh sayu. “Ibu sakit, sayang. Ibu sakit.” Tekak Dilayla terasa perit apabila melafaz kata sakit.

“Ibu boleh sembuh tak?” Polos Darwisy bertanya.

Dilayla diam buat seketika. Mindanya berfikir, apa yang hendak dia beri sebagai jawapan untuk adiknya. Nafas dalam ditarik. “Boleh, ibu boleh dan akan sembuh. Akak akan buat ibu sembuh.”

“Janji?” Darwisy menghulurkan jari kelingkingnya.

Teragak-agak Dilayla untuk menghulur jari kelingking miliknya pula namun akhirnya kedua jari itu bertemu dan bertaut juga. “Janji.”

Dahinya dilagakan dengan dahi adiknya, mata mereka pejam sambil berjurai air mata menitis satu-persatu bersama rentak hujan dan tubuh yang sudah pun kebasahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience