[25] Nama

Fantasy Completed 3250

"Kau rasa aku ada tersalah cakap ke?" Lily menyoal sambil air teh o aisnya dihirup perlahan. Suasana ruang makan guru pada tengah hari ini agak lengang. Hanya ada dia dan rakan sekerjanya saja, Alia, seorang guru Bahasa Melayu di sekolah ini.

Alia yang duduk berhadapan dengannya sambil menjamah makam tengah hari menjawab. "Secara amnya, apa yang kau sampaikan dekat budak-budak tu tak salah tapi spesifiknya ada salah sikit. Nak lagi molek kau tambah lagi satu ayat dekat belakang."

"Maksud kau?"

"Kita akan bersama dengan orang yang kita cinta dekat akhirat nanti. Kalau kita cinta nabi Muhammad maka disyurgalah kita, kalau kita cinta orang kafir macam Anthony pelakon terkenal tu, nerakalah tempat kita nanti. Itu ayat kau, kan?"

"Haah."

"Dia jadi salah sebab kau letak nama Anthony."

"Itukan contoh."

Alia menghela nafas sambil sesuap daging dimasukkan ke dalam mulut.

"Kau pernah dengar tak, orang cakap kita ni tak boleh rasa bahawa kitalah orang yang paling baik dekat dunia ni."

"Pernah."

"Ha, ni aku nak tambah sikit. Selain daripada kita tak boleh nak rasa kitalah orang yang paling baik, kita juga tak boleh rasa semua orang buruk."

"Tak, aku tak faham. Apa yang kau cuba nak sampaikan ni sebenarnya?"

"Kau yakin ke yang Anthony tu masuk neraka? Kau yakin ke yang dia akan mati dalam keadaan dia kafir? Kau nampak? Ke Allah bagitahu kau? Tak, kan?"

"Memanglah, tapi kan sekarang dia kafir. Aku bagi contoh berdasarkan apa yang berlaku sekaranglah."

"Mana boleh. Kau ambil contoh apa yang berlaku sekarang, tapi kau cerita fasal masa depan. Kau macam nak cakap seolah-olah Anthony tu masuk neraka. Eh, kita tak tahu tau, hidayah ni bila-bila masa je boleh sampai. Walaupun kau nampak macam mustahil. Kau cakap orang kafir masuk neraka, tak salah. Tapi kalau kau sebut, Anthony masuk neraka ataupun kau petik nama sesiapa, itu yang jadi salah. Sebab hakikatnya kita tak tahu. Kita tak tahu sebab tu bukan urusan kita, tu kerja tuhan. Di luar pemikiran kita untuk tahu."

"Kau kena ingat, orang bukan Islam ni kalau masuk Islam lepas tu meninggal dunia, dia bersih tau. Suci tanpa dosa ibarat bayi yang baru lahir. Jadi nasihat aku, kalau kau nak cerita topik tu lagi nanti, jangan petik nama sesiapa. Cakap secara umum aje. Nak lagi molek tambahlah ayat, walaupun kita tak boleh terlalu mengidolakan orang bukan Islam, bukanlah maksudnya kita kena benci dia orang. Asalkan jumpa maki, caci, hina. Bukan begitu caranya. Sebaiknya bila kita nampak orang bukan Islam, kita doakan dia. Semoga terbuka hati dia untuk masuk Islam." Tenang bicara Alia.

"Lagi satu, aku rasa lagi baik guna perkataan bukan Islam berbanding kafir. Kalau perkara apa jawapan yang kau nak bagi dekat Darwisy tu, kau suruhlah dia doa banyak-banyak supaya mummy dia terbuka hati."

"Panjang pula aku ceramah kau hari ni. Patutnya kau yang bagi ceramah, yalah kau kan ustazah, aku ni cikgu bahasa Melayu aje."

"Weh ustazah pun tak sempurna. Aku okey aje kalau kena tegur. Lagipun apa yang kau cakap ada betulnya juga."

"Oh ya lupa nak cakap, bukan orang hidup aje tau yang kita tak boleh petik nama, yang dah meninggal pun tak boleh. Sebab yang telah pergi bukan kita yang tentukan pengakhirannya dan yang masih ada bukan kita juga yang tentukan penghujung hidupnya bagaimana."

***

Hari ini Riz menghirup udara segar di taman mawar merah hadapan istana. Taman yang ada banyak kenangan tentang dirinya dan orang tersayang. Haruman mawar ini begitu mengasyikkan hingga matanya ingin terpejam dibuai lena di atas bangku kayu yang kini sedang dia duduki.

Kepalanya disandarkan sambil haruman mawar itu masih lagi dicium baunya. Sesekali angin meniup lembut rambutnya yang dibiarkan lepas mengurai indah.

"Boleh saya duduk?" Suara lembut seseorang menyapa kokleanya.

Kelopak mata dibuka, tubuh dayang Khadijah menjamu pandangannya.

"Duduklah," Riz tersenyum manis.

Punggung dayang Khadijah labuhkan. Maharaninya ini cukup lembut dan sopan santun budi pekertinya. "Saya ada bawakan tart telur untuk sarapan pagi tuanku." Mangkuk tart telur dihulur dan huluran itu kemudiannya bertukar tangan.

"Terima kasih."

"Tuanku pernah dengar tak fasal pari-pari yang boleh mengabulkan apa saja permintaan?"

"Saya tak sangka yang saya boleh dengar pertanyaan tu untuk kali kedua."

"Kali kedua?"

"Dulu, Dilayla pun pernah tanya soalan yang sama juga." Sebut saja nama gadis itu wajah Riz bertukar sedikit muram.

"Saya minta maaf. Saya tak tahu yang soalan saya ni akan buat tuanku sedih."

"Eh, tak apalah. Tak salah pun. Saya akan jawab walaupun untuk kali kedua. Siapa tahu, perbincangan dan hala tuju cerita kita berbeza dengan apa yang saya pernah bincangkan?"

Dayang Khadijah tersenyum. "Kalau tuanku diberi tiga permintaan, apa yang tuanku inginkan?"

Nafas berat Riz hela. "Saya cuma nak hidup bahagia dengan orang yang saya sayang. Kalaulah saya lebih cepat bertindak, mungkin semuanya tak jadi macam ni."

Dayang Khadijah tersenyum pahit. "Dalam kepercayaan dan agama saya, kita boleh minta apa saja yang kita nak minta, mintalah apa pun walau sejuta akan dikabulkan, pastinya diiring dengan usaha juga. Itu pun tak semua orang nak minta. Tapi untuk kes macam tuanku, jujur saya cakap, kalau saya sendiri pun saya tak mampu sebab terlalu perit."

"Saya tak boleh doa supaya masa boleh diputarkan kembali kerana itu adalah hakikat bagaimana dunia berfungsi. Yang salah tetap juga perlu dihukum meski yang di sini menahan sakit yang terlalu dalam lukanya membekas. Jadi saya doakan supaya tuanku dikurniakan rasa bahagia yang sesungguhnya dan terus kuat untuk teruskan hidup."

"Terima kasih." Riz tersenyum nipis.

***

Kini bulan sudah pun menjelma ditirai langit meskipun dia sendiri sudah tidak lagi boleh menatapnya. Bella termenung sendiri sambil meratapi nasib diri. Menyesalkah dia? Entahlah. Dia juga tak tahu.

Hatinya terasa kosong. Menungnya terhenti apabila tiba-tiba telinganya menangkap bunyi pagar besi penjara dibuka. Kepalanya yang tadi hanya tunduk merenung lantai diangkat memandang anggota polis yang sedang bertugas itu. "Henry setuju untuk jumpa kau." Bella hanya senyum pendek mendengar pernyataan itu.

Sekarang tidak ada lagi gelaran tuanku pada namanya. Mereka hanya memanggilnya dengan panggilan kau.

Tubuhnya bangkit berdiri sebelum digari dan dibawa ke suatu bilik. Dari jauh, tubuh Henry yang sedang duduk menunggunya dia perhatikan sebelum punggungnya juga duduk pada kerusi berhadapan dengan lelaki itu. Ada sebuah meja yang berada di antara mereka.

Bilik ini, tak terang namun tak juga gelap. Cahayanya suram, tapi tak mengapalah asalkan dia dapat jumpa Henry pada hari ini.

"Ada apa awak nak jumpa saya?" Dingin suara Henry ketika mengaju soalan.

Perbualan antara mereka ditemani dengan seorang anggota polis yang sentiasa memerhatikan mereka.

"Tak pernah ke walau sedetik pun awak cintakan saya?" tanya Bella.

"Tak."

"Jadi siapa yang awak cintakan?"

"Riz."

Mendengar nama itu disebut, Bella terkekeh-kekeh ketawa. Ketawa mengejek. "Kalau awak cintakan dia, awak takkan siksa hidup dia."

"Saya malas nak bergaduh dekat sini. Bagitahu ajelah apa yang awak nak cakap sangat."

"Okey, okey. Relaks. Awak percaya ke yang Riz masih hidup?"

"Tak."

"Kalau macam tu awak rasa siapa Zehra?"

"Tak tahu."

"Sejak bila awak jatuh cinta dengan Riz?"

"Apa yang awak nak ni sebenarnya? Kalau cuma nak tanya fasal benda tu lebih baik saya keluar."

"Jawablah dulu soalan saya. Bila awak jatuh cinta dengan Riz?"

"Waktu pertama kali saya selamatkan dia."

"Awak sebenarnya tak cintakan Riz pun. Sebab orang yang awak selamatkan tu bukan dia."

"Maksud awak?"

***

Butang pada alat kawalan jauh itu ditekan. Televisyen yang telah pun dihidupkan itu memaparkan berita mengenai suatu kes tergempar yang berlaku di Vioreece baru-baru ini. Suara wartawan yang sedang melaporkan kes tersebut ditempat kejadian dia dengar dengan teliti.

"Mayat bekas maharani ke-lapan yang dikatakan telah dihukum mati namun sebenarnya telah dibunuh dan difitnah atas sebuah kesalahan yang memisahkan Vioreece dan Myla lima tahun lepas telah dijumpai berdekatan kawasan tasik Maharani. Kes yang cukup menggemparkan empayar ini..."

Secara serta-merta, memorinya yang pernah kabur dulu kembali jelas di pelantar minda. Memori yang dulu dia sangka mungkin dia salah lihat, mungkin cuma mimpi dan mungkin hanya khayalan semata-mata rupanya ialah realiti yang cukup pahit.

***

Lima tahun yang lalu,

Tiba di sebuah pulau terpencil menggunakan bot haram, bagasi itu George angkat lagi sebelum ditarik di pesisir pantai menuju ke tasik belakang hutan. Meski gelap yang memenuhi suasana dan bunyi unggas yang menemaninya, hatinya tidak pernah gentar.

Dia sudah biasa melakukan kerja-kerja demikian. Asalkan mendapat bayaran lumayan, apa saja pun sanggup dikerjakannya. Langkahnya menderap perlahan di lantai hutan yang penuh dengan patahan ranting kayu.

Bukan yang begitu terang pada malam ini sedikit sebanyak membantu pergerakannya. Tapak kakinya akhirnya berhenti ketika sudah tepat berada di destinasi yang semenjak tadi dituju. Bersaksikan tasik yang hijau gelap bersama bulan di waktu malam, kerja jahatnya dilakukan lagi.

Beg bagasi itu dibuka. Telinganya menangkap bunyi seseorang mengerang kesakitan.

Uhuk!

Uhuk!

"Lah, hidup lagi?"

"George tolong aku. Tolonglah, aku minta sangat-sangat. Kalau kau tolong aku, aku janji aku sanggup bayar berapa aje yang kau minta."

"Kau nak bayar? Kau nak bayar pakai apa? Kau dah tak ada apa-apa!"

Tubuh Riz dikeluarkan daripada beg itu. Ikatan tangannya dibuka sedangkan ikatan kakinya dibiar tersimpul. "Kau nak tolong aku?" Riz menatap wajah George dengan pandangan membundar.

George hanya bisu. Jasad Riz digendong sebelum dicampakkan jasad bekas maharani itu ke dalam tasik.

Malam ini langit kelihatan mendung akibat ditutupi oleh awan komulunimbus. Perlahan-lahan jatuh titisan hujan dan pada malam yang bernuansa suram serta menyedihkan itu tubuh Riz cuba ditenggelamkan ke dalam tasik.

"Lepaskan aku!" Gerak mulut Riz berbicara dalam kegelapan air. Barangkali, buat kali yang terakhir. Kakinya diikat ketat dan tubuhnya terus menerus ditenggelamkan. Hanya tangan yang mampu dia gunakan untuk terus berada di permukaan. Hujan yang turun lebat membasahi jasad kedua-dua mereka.

Dia meronta-ronta meminta agar tubuhnya dilepaskan. Ada ketika tubuhnya berjaya timbul.

"Lepaskanlah aku!" Nafas ditarik sedalam mungkin sebelum jasad sekali lagi jatuh ke dalam air.

"Diam!" Kepalanya ditolak dengan keras ke bawah oleh George diiringi dengan dentuman bunyi guruh yang sabung-menyabung. Ikutkan kemampuan, tubuhnya kini terlalu lemah untuk melawan setelah apa yang dia lalui namun yang namanya manusia, ketika yang perlu dipertaruhkan itu nyawa, akan dicuba sedaya-upaya dengan apa pun cara.

"Apa salah aku?"

"Kau tak faham lagi ke?" Senyum sinis terbit pada bibir George sebelum tubuh kecil Riz tadi terus dibawa beradu di dalam tasik.

Penat meronta, dadanya semakin sesak akibat sejumlah air yang memenuhi ruang peparunya sekaligus merenggut daya tubuhnya untuk bernafas. pandangannya yang tadi kabur kini berubah gelap namun jasadnya masih juga ditenggelamkan terus-menerus tanpa sedikit pun rasa simpati. Dasar manusia yang tak memiliki hati.

"Maaf sayang, tapi kau perlu mati."

Tanpa mereka sedar, ada seseorang yang menonton adegan tersebut dari kejauhan. Seseorang yang tinggal dan menginsafi gua kawasan berdekatan.

***

Getaran pada telefon bimbitnya menyebabkan fokusnya di televisyen beralih arah. Panggilan tersebut diangkat. "Sekarang semuanya dah betul-betul selesai. Jadi boleh tak kalau aku nak panggil kau Zehra balik?"

Zehra tersenyum mendengar bicara Kamelia. "Silakan. Dah lama aku tak dengar kau panggil aku dengan nama tu."

"Aku call kau ni sebab aku nak pastikan sesuatu. Kenapa kau pilih untuk bekerjasama dengan aku dan Dilayla untuk jatuhkan suami kau sendiri? Maksud aku, aku faham yang Henry memang salah tapi apa sebabnya kau menyebelahi kita orang selain daripada tu?"

"Kau cakap kau nak pastikan sesuatu, kan?"

"Ya."

"Maksudnya kau sebenarnya dah tahu aku siapa. Kau cuma nak tahu sama ada tekaan kau tu betul atau tak, kan?"

Nafas berat Kamelia kedengaran berhembus di hujung talian. "Ya. Aku memang nak tahu."

"Tekaan kau tepat. Aku memang Alana yang kau dan Dilayla cari selama ni."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience