[24] Syurga

Fantasy Completed 3250

Seminggu kemudian,

Kelopak mata Riz buka perlahan-lahan. Badannya rasa sakit-sakit. “Argh,” keluhnya. Dia selamat daripada insiden yang hampir saja membunuh nyawanya tapi dia sendiri masih belum tahu siapa yang menyelamatkannya?

Tangan kirinya cuba diangkat ke kepala namun ianya terasa seolah-olah disekat.

Bola mata dia bawa ke bawah. Gari? Tangannya digari? Perlahan-lahan kepala ditoleh ke kanan dan baru dia sedar ada seorang pegawai polis wanita di sebelahnya. Apa semua ini?

“Cik dah sedar?”

“Apa semua ni? Kenapa saya digari? Saya mangsa dalam hal ni!”

“cik ditahan atas tuduhan menculik, mengurung dan cubaan membunuh keluarga diraja Vioreece, maharani Bella.”

“A...apa? Mustahil. Mustahil. Apa yang awak merepek ni?”

Pintu wad tersebut dilihat terbuka. Figura Bella masuk ke bilik wadnya dengan riak berang.

“Dah sedar dah kau? Perempuan gila. Berani kau khianat kerajaan kau sendiri? Kau culik aku, kau kurung aku dan kau cuba untuk bunuh aku!”

“Bella! Kau jangan nak pusing cerita. Henry dah bunuh Stephan, maharaja Vioreece yang asal lima tahun lepas dan kau pun terlibat sama. Kau tak malu ke? Kau yang cuba bunuh aku!”

Televisyen yang sedia tergantung pada dinding wad dinyalakan oleh Bella. Kes mengenai penculikannya kini sudah tersebar ke seluruh empayar dengan Riz sebagai suspek utama.

“Seorang perempuan yang dikatakan mengkhianati kerajaan dengan menculik, mengurung dan cuba membunuh maharani disebabkan kegilaannya terhadap harta kini sedang ditahan oleh pihak polis. Suspek yang juga merupakan isteri kedua maharaja Henry menggunakan kelebihan utama wajahnya yang mirip dengan maharani Riz bagi memanipulasi keadaan.”

“Beliau kemudiannya menyamar sebagai maharani Riz yang kononnya diperangkap atas pembunuhan suaminya oleh maharaja Henry dan diperkatakan ingin kembali untuk membalas dendam. Namun, kata-katanya diketahui dusta belaka apabila pihak polis langsung tidak menjumpai bukti bahawa maharaja Henry-lah yang membunuh maharaja yang sebelumnya. Tidak cukup dengan itu, suspek juga dikatakan bersubahat dengan seorang anggota polis bagi menjayakan misi tersebut. Akan tetapi, misinya berhujung dengan kegagalan sebaik saja anggota polis tersebut ditemui meninggal dunia malam semalam.”

Nafas Riz cuba atur dan fikirannya cuba menghadam segala apa yang dia dengar dan dia tonton tadi. Tak akanlah... Segala yang dia usahakan selama ini hanya sia-sia.

“Pastikan perempuan tak guna ni dapat hukuman yang setimpal! Tengok mukanya aje dah cukup menakutkan.” Bella berbicara tegas sebelum melangkah keluar.

Tangan cuba dia lepaskan daripada
ikatan gari meski dia tahu itu tak akan berhasil. Bunyi dentingan gari besi yang melanggar penghadang katil di sebelah kirinya memenuhi suasana buat seketika. “Tak!” Dia meraung dalam tangisan.

“Lepaskan aku!” Raungannya semakin detik berlalu semakin kuat kedengaran.

“Aku tak salah! Dasar penipu!”

“Lepaskan aku!”

***

“Riz, kau kenapa ni?”  Sebaik saja Riz membuka matanya dengan riak yang ketakutan dan agak terkejut buat dia tertanya-tanya.

Nafas Riz hembus laju. Peluh yang menitis di dahinya bersama mutiara jernih yang jatuh di kawasan pipi segera dilap. “Mel, aku dekat mana ni?”

“Relaks, kau dekat hospital. Semuanya dah selesai, kan?” Lengannya diusap perlahan.

Tubuh Kamelia yang melabuhkan punggung pada kerusi sebelah katilnya dia pandang. “Ta... Tangan aku...” Kedua-dua tangan Riz angkat sedikit dek kerana sakit dibahu kanannya masih terasa. Pandangannya dari wajah Kamelia dibawa ke pergelangan tangannya dan kini tangannya itu tidak lagi bergari.

“Kau kenapa ni?”

“Aku mimpi. Aku mimpi yang kita dah gagal.”

“Kau banyak sangat fikir ni. Nah, minum air ni.” Lembut Kamelia berbicara sambil menghulurkan segelas air putih.

Riz menghembus nafas lega. Mujurlah yang itu hanya mainan tidur dan bukan realiti yang perlu dia hadapi. Dia betul-betul takut kalau kejadian itu berlaku.

“Terima kasih.” Gelas dihulur kembali.

“Dilayla macam mana?” Soalan itu terpacul keluar daripada mulutnya apabila air selesai diteguk.

“Dia... Dia dah tak ada.” Kamelia menunduk. Kesungguhan gadis itu cukup menyentuh hati. Mata Kamelia mula berkaca.

“Dia sanggup buat apa saja Riz, untuk bongkarkan kebenaran.”

“Dilayla ada bagitahu aku supaya jangan terlalu percaya dengan Connor dan aku tak sangka yang ramalan dia tu tepat.”

Memori antara dia dan Dilayla terimbas lagi. Perbualan antara dia dan anggota polis wanita yang cukup berani itu ketika mereka masih lagi dalam proses merancang bagaimana caranya untuk memberkas Henry dan Bella terngiang-ngiang ditelinganya.

“Riz, aku tak rasa kau boleh percayakam Connor.”

“Maksud kau?”

“Aku rasa tak sedap hati.”

“Jadi kau nak tukar rancangan kita ke macam mana?”

“Bukan tukar, aku cuma nak tambah sikit.”

“Bahagian mana?”

“Pendrive tu aku akan serahkan pada orang bawahan aku, Michael. Dia pun anggota polis juga. Aku akan pegang pendrive kosong. Kalau ada apa-apa yang jadi dekat aku nanti, aku nak kau pastikan yang kau berjaya dan masih lagi hidup.” Tangan Riz digenggamnya.

Air mata Riz jatuh lagi. Terima kasih, Dilayla. Terima kasih sangat-sangat.

“Aku faham perasaan kau, Riz.” Kata-kata Kamelia membawa jiwanya kembali ke realiti. Telapak tangannya juga diusap perlahan oleh Kamelia.
Riz hanya mengulum senyuman nipis.

“Aku pun tak sangka yang dia akan terkorban.” Kamelia menyambung sambil air matanya yang jatuh dia lap perlahan. Salivanya juga ditelan.“Tapi kan Riz, kau tetap akan terkejut bila kau tahu siapa yang sertai kau di saat-saat akhir.”

***

Kakinya berjalan lemah sebelum akhirnya rebah di atas sofa bilik tamu. Pipinya basah lagi, wajahnya pada hari ini pucat dan tak lagi berseri seperti hari-hari sebelumnya. Bibirnya kering, kulitnya kusam, matanya juga sudah sembab. “Argh!” Jiwanya menjerit bagi melepaskan segala tekanan.

“Kenapa?”

“Kenapa abang sanggup buat kerja terkutuk macam tu?”

“Kenapa abang boleh tergamak untuk bunuh orang?”

“Kenapa abang buat Diana macam ni?” Tangisnya pecah lagi.
Riz Ruziana ialah kakak saudara yang paling dia rapat dan paling dia sayang. Dalam banyak-banyak orang, Riz adalah yang paling memahami sekali.

Jika dia sedih, Riz akan memujuk, jika dia meluah, Riz akan mendengar. Walaupun mereka tidak tinggal sekali namun hubungan mereka cukup akrab. Namun apabila dia dapat tahu yang Riz sebenarnya punya dua muka dan sanggup membunuh suaminya sendiri, rasa percaya dan sayangnya mula berubah. Dia tak percaya yang Riz sanggup melakukan demikian namun bukti terlalu banyak untuk dia nafikan.

Beberapa bulan lepas, apabila Bella memberitahunya yang Zehra ialah Riz yang ingin membalas dendam terhadap Henry kerana merampas takhtanya, walhal dia sendiri yang bunuh suami sendiri, Diana berang. Namun sekali lagi kebenaran terbongkar. Hari ini dia dikejutkan dengan sebuah kenyataan yang lebih menyakitkan.

Dia serba salah tapi nasib kakak saudaranya perlu dia suarakan. Keadilan bagi pihak Riz perlu ditegakkan. Baru tadi dia bertemu dengan Henry di penjara. Semua soalan yang terbuku dihati dia tanya, namun abangnya hanya bisu seperti boneka. Dia kesal dengan dirinya sendiri yang membenci Zehra pada awalnya.

Orang yang dia benci rupa-rupanya orang yang teraniaya. Sekarang kesombongannya tidak berguna lagi, nama dia dan keluarganya sudah pun busuk. Segala-galanya juga sudah hancur dan hari ini baru dia sedar betapa pentingnya untuk menjadi satu sosok yang rendah hati.

***

“Macam mana dengan Bella dan Henry?”

“Kedua-duanya akan dihukum gantung sampai mati. Henry atas tuduhan membunuh, merasuah, mengurung dan menyeksa dan cubaan membunuh. Bella pula atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh sebanyak dua kali dan bersubahat dalam melakukan pembunuhan.”

Riz hanya mengangguk selepas mendengar bicara Kamelia. Hari sudah pun menjelang petang namun mereka masih lagi berbual di wad hospital. Mendengarkan jawapan Kamelia yang dia diselamatkan oleh Diana buat dia kaget namun bersyukur juga pada masa yang sama.

“Riz, aku rasa dah tiba masanya untuk kau jumpa dengan seseorang yang paling kau rindu sekarang.” Bicara daripada Kamelia membangunkan dia daripada lamunan pendeknya sebentar tadi.

“Siapa yang kau maksudkan? Orang yang paling aku rindu?”

Tuk! Tuk!

Pintu wad kedengaran diketuk sebelum akhirnya satu susuk tubuh kecil meluru ke arahnya dengan senyuman manis. Seorang budak lelaki.

“Darwisy.”

“Mama? Ni mama Wisy ke aunty Diana?” soal anak kecil itu pada gadis di sebelahnya.

Riz bangun daripada pembaringannya dan terus menuju ke arah Darwisy. Tubuhnya direndahkan dan jasad Darwisy didakap erat.

“Panggil mummy, ya?”

“Okey mummy.”

Pelukan dileraikan. Mata Riz naik pula memandang ke tubuh Diana yang masih lagi berdiri. Dari duduk, Riz bangun semula bagi menyamakan tingginya dengan Diana. Bola mata Diana mula berkaca dan tubuh Riz dipeluknya.

“Diana minta maaf, kak.”

“Maafkan Diana.”

Memori berkenaan insiden itu kembali diputar dilayar difikiran mereka.

Bang!

Satu das tembakan dilepaskan. Diana kaku, tangannya yang memegang pucuk pistol kian melonggar dan pistol itu akhirnya jatuh ke lantai bersama tubuhnya juga. Bella juga rebah dengan bahagian belakang tubuhnya yang penuh cecair merah akibat tembakan tadi manakala Riz yang sudah terlalu lelah pengsan di tempat kejadian. Diana tak pernah menyangka yang suatu hari nanti dia akan menembak kakak iparnya sendiri.

“Tunggu!” Suara daripada pihak polis yang menyerbu masuk ke ruangan itu kedengaran. Dah terlambat. Tembakan telah pun dilepaskan.

“Diana?” Henry menoleh menghadap wajahnya.

“Diana tak sangka yang Diana ada seorang abang berperangai macam syaitan.”

Henry kelu. Diana tahu? Diana tahu yang sebenarnya dialah gerangan yang membunuh Stephan kemudian memerangkap Riz atas kesalahannya?

Pihak polis yang sudah tiba terus menggari pergelangan Henry. Tak, dia tak salah. Bukan dia yang bersalah dalam hal ini.

“Lepaskan aku!”

“Lepaskan aku!”

“Diana pun nak khianat abang juga ke?”

“Kalau itu yang dapat buat abang sedar, Diana akan buat.”

Pelukan dileraikan. Tangis yang terbit ditubir mata Diana dilap perlahan oleh Riz.

“Terima kasih. Terima kasih sebab selamatkan akak.”

***

Enam bulan kemudian,

Hari ini umur Darwisy sudah pun menginjak ke tujuh tahun dan buat pertama kalinya dia akan ke sekolah. Riz sendiri yang mengambil keputusan untuk menghantar anak kecilnya pada hari ini. Dia memilih untuk menghantar anaknya ke sekolah rakyat untuk tahap sekolah rendah.

Sebenarnya, identiti Darwisy yang sebenarnya merupakan anaknya masih tak diberitahu atas satu alasan penting. Dia juga menghantar anaknya menggunakan kereta biasa bukannya kereta diraja.

“Seronok tak nak pergi sekolah?”,

“Mestilah Wisy seronok, kan mummy yang hantar?”

Riz tersenyum nipis sambil fokusnya masih terarah ke hadapan bagi memastikan pemanduannya lancar. 

“Nanti dah sampai sekolah, belajar betul-betul tau.”

“Okey mummy.”

Soal ibu angkat Darwisy, dia sedang dirawat di rumah sakit bagi menyembuhkan kemurungannya. Mulai sekarang, Riz akan menjaga anaknya sendiri, namun begitu dia ada juga melawat ke hospital jika ada masa terluang. Dia sangat berterima kasih kepada makcik Ruqayyah kerana telah menjaga anaknya dengan baik.

Ya, Darwisy telah dibesarkan oleh keluarga muslim jadi dia ialah seorang muslim dan Riz tak ada masalah pun dengan kenyataan itu. Dia masih ingat cerita Kamelia yang Darwisy hampir dibunuh oleh Edward lima tahun lalu. Barangkali lelaki itu terlalu benci dengan dirinya hingga sanggup membunuh anak yang tidak bersalah itu walaupun anak itu juga merupakan anak dari abangnya.

Namun Darwisy sempat diselamatkan oleh makcik Ruqayyah yang merupakan pembantu istana pada ketika itu di Myla. Dia membuat keputusan untuk menjadikan Darwisy sebagai anak angkatnya dengan perjanjian kerahsiaan.

Selepas itu, berita mengenai kematian Darwisy pun disebar. Makcik Ruqayyah pula berhijrah ke Vioreece bersama suaminya. Mereka bersama-sama membesarkan Darwisy kerana Darwisy adalah anak tunggal mereka ketika itu.

Ketika usia Darwisy menginjak ke empat tahun, dia dikurniakan seorang adik perempuan, mereka hidup seperti keluarga yang cukup bahagia ketika itu. Selepas kematian suaminya, barulah makcik Ruqayyah bertemu dengan Dilayla, anggota polis yang sedang melakukan penyiasatan untuk sebuah kes dan dia diminta untuk memberi kerjasama.

Pada awalnya, semuanya baik-baik saja namun ketika Dalina meninggal dunia semuanya berubah. Dilayla terpaksa menghantar makcik Ruqayyah ke hospital untuk dirawat dan buat sementara waktu, Darwisy berada dalam jagaannya.

“Dah sampai.” Brek kereta ditekan.

Riz membantu anaknya untuk memakai beg sekolah sebelum dahi anak lelakinya dikucup lembut.

“Belajar elok-elok. Nanti dah balik tunggu mummy dekat depan sekolah.”

“Okey, bye mummy.”

Darwisy turun dari perut kereta sambil melambai ke arahnya.

***

Tubuh seorang guru kelihatan berjalan perlahan masuk ke kelas. Sebaik sahaja guru itu meletakkan buku-bukunya dimeja guru, dia terus menguntum senyum ke arah anak-anak muridnya.

“Okey, assalamualaikum semua.”

Mendengar bicara guru itu, semua murid termasuk Darwisy bangun daripada kerusi.

“Waalaikumussalam, cikgu.”

“Okey, boleh duduk semua anak-anak cikgu. Seronok tak datang sekolah hari ni?” soal guru itu dengan nada lembut namun ceria.

Ada sesetengah murid yang menjerit gembira kerana teruja ada juga yang menggeleng tanda tak mahu atau tak suka untuk ke sekolah.

“Seronok tau pergi sekolah. Boleh jumpa dengan kawan, belajar, main sama-sama pun boleh. Cikgu-cikgu dekat sini pun baik. Jadi, jangan nangis tau. Kalau ada apa-apa, bagitahu aje cikgu, okey?”

“Okey cikgu.”

“Oh ya, lupa pula cikgu nak perkenalkan diri. Nama cikgu, Lily. Ustazah Lily. Ustazah akan ajar kamu subjek agama sekaligus cikgu kelas kamu untuk tahun ni.”

“Hari ni kita nak berkenalan dan nak belajar benda simple aje. Mula dari kumpulan sana cuba perkenalkan diri.”

Selesai mereka memperkenalkan diri, Darwisy mengajukan soalan untuk bertanya. “Hari ni kita nak belajar apa ustazah?”

“Ha, hari ni kita nak belajar fasal syurga.”

“Syurga?” seorang murid mengerutkan dahinya tanda tak tahu.

“Ya. Syurga ni lagi luas daripada bumi yang kita tengah duduk dan jauh lebih cantik. Dekat sana, kita boleh minta apa-apa aje yang kita nak.”

“Kalau nak ayam goreng boleh ustazah?” Qalish bertanya.

“Mestilah boleh.”

“Nak main masak-masak?” Giliran Amyra pula menyoal.

“Boleh. Nak buat apa pun boleh.”

“Jadi, semua anak-anak ustazah ni nak masuk syurga, tak?”

“Nak!” seru mereka beramai-ramai.

“Jadi, kalau nak masuk syurga kena buat baik. Kena tolong orang, sedekah, hormat orang tua dan beribadah kepada Allah.”

“Kita juga kena sayang Allah dan nabi Muhammad sebab kita akan bersama dengan orang yang kita sayang dekat akhirat nanti. Kalau kita sayang nabi, nanti kita akan masuk syurga dengan nabi. Kalau kita sayang ataupun cinta dengan orang kafir, contohnya macam pelakon terkenal, Anthony tu, rasa-rasa kita dekat mana nanti?”

“Dekat neraka sebab orang kafir tak masuk syurga kan, ustazah?” jawab Emir.

“Pandai anak-anak ustazah ni.”

“Ustazah, saya  nak tanya soalan.” Baru kali ini Darwisy membuka suara sambil tangannya diangkat.

“Ya, nak tanya apa Darwisy?”

“Mummy saya kafir, tapi saya sayang mummy saya. Nanti saya masuk neraka juga ke ustazah?”

Buat seketika, suasana kelas bertukar sepi.

thank you for reading(◍•ᴗ•◍)❤

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience