Riwayat V: Pembunuhan Berlaku

Fantasy Completed 3250

Bahtera perkahwinan aku dan Stephan dilayari dengan cukup indah dan bahagia sepanjang dua tahun ini.
Terasa cukup manis alam berumah tangga. Setiap harinya dipenuhi dengan gurau senda dan gelak tawa.
Si kecil yang sudah menginjak usia setahun jagung juga cukup lucu di mata kami. Namun semuanya hancur ketika detik itu tiba.

***

“Nah, kek keju kegemaran Diana.” Pinggan yang berisi sepotong kek keju itu ditolak menghampiri Diana yang kini duduk berhadapan bersama aku.

“Akak buat sendiri ke kek keju ni?” Diana menyoal sambil sesuap kek dimasukkan ke dalam mulut.

Aku hanya tersenyum melihat itu sebelum mengangguk. Hubungan aku dengan Diana sudah rapat sejak kecil jadi aku tak ada masalah apabila Henry bersama Diana mahu datang melawat ke istana ini. Bunyi cengkerik kedengaran di luar istana.

Siang sudah pun melabuhkan tirainya tak lama tadi dan aku masih berbual di bahagian ruang santapan bersama Diana. Ibu saudara aku, Margaret yang bernikah dengan seorang raja dari kerajaan Aerza memiliki tiga orang cahaya mata dan Henry adalah anak kedua. Kini putera sulungnya yang memegang takhta di Aerza.

Kisah silam antara aku dan Henry sudah lama kami lupakan dan hubungan aku dengan Henry juga masih baik seperti dulu.

“Keputusan peperiksaan Diana kali ni okey?” Aku menyoal. Diana masih belum menamatkan pengajiannya di pusat pengajian tinggi.

“Okeylah juga.”

“Diana ingatkan pesan akak?”
Dia mengangguk.

Tatapan mata aku redup memandang Diana di hadapan sambil bibir masih lagi tersenyum manis.
Ayat yang mahu aku sambung disambung sendiri oleh Diana.

Aku tersenyum lagi. “Habiskan kek tu. Lepas tu naik tidur, dah lewat.”

“Okey.”

***

Diana sudah pun nyenyak dibuai lena manakala aku masih di bilik tamu. Menunggu Stephan untuk pulang. Aku terlalu merindui lelaki itu. Katanya dia akan tiba pada hari ini atau lebih tepat lagi pada malam ini. Mata aku jujur agak dibuai kantuk namun aku tahankan agar dapat bertemu dengannya.

“Selamat pulang tuanku.” Suara yang datang dari arah pintu utama menyebabkan aku segera bangun dari dudukku. Langkah aku atur pantas untuk ke pintu besar istana.
Melihatkan figura Stephan, aku terus berlari untuk mendapatkannya.

Tubuh Stephan aku dakap erat. Walaupun pemergiannya kali ini cuma untuk waktu seminggu, rasa rindu yang menggamit jiwa begitu besar. Hampir saja aku menangis ketika ini. Belakang kepala aku dielus lembut sebelum dahi aku dikucup perlahan. Pelukan dileraikan.

“Saya dah tepati janji saya. Saya dah balik jadi janganlah sedih lagi.”
Air mata aku dikesat olehnya.

***

Selimut tebal ditarik menutupi tubuh. Tidur berhadapan dengan Stephan membuatkan mata kami saling bertatapan sambil jemari aku masih menyentuh rantai emas berloketkan bentuk hati yang tergantung dileher. Di dalam loket itu ada nama aku yang terpahat.

“Terima kasih sebab bagi rantai ni.”

“Sama-sama.”

“Terima kasih juga sebab awak tak pernah peduli tentang parut saya.” Ya, aku memiliki parut yang agak dalam di bahagian urat belikat.
Ketika berkahwin dengan Stephan jujur aku sendiri merasa risau walaupun aku tahu sepanjang aku tak boleh berjalan dulu hanya dia yang sentiasa menemani.

“Parut tu tak akan pernah menjejaskan hubungan kita.”

Aku mengukir senyum. “Sebenarnya saya ada sesuatu yang saya nak bagitahu.”

“Apa?”
Kit uji kehamilan aku keluarkan. Ya, aku hamil sekali lagi.

“Awak mengandung lagi ke?” Suara Stephan kedengaran girang.

“Seriuslah ni?”

Aku mengangguk laju.
Dahi aku kemudiannya dikucup lama.

“Jaga anak tu elok-elok.”

“Mestilah saya jaga.”
Tubuh aku dipeluk erat sebelum kami sama-sama hanyut dibuai mimpi.

***

Deringan daripada telefon bimbit memaksa aku untuk membuka mata. Siapa pula yang menelefon tengah malam begini? Telefon itu diangkat dan aku bangun meninggalkan Stephan sendirian di atas katil. Tak mahu mengganggu tidurnya.

“Helo?” Bicara aku sambil punggung aku labuhkan pada sofa.

“Saya dah jumpa orang yang tuanku cari selama ni.”

“Maksud kau?”

“Ya, Alana.”

Aku menelan liur. Akhirnya, aku berjaya juga untuk jumpa dia. “Dekat mana dia sekarang?”

“Saya dah bawa dia ke tempat yang tuanku minta.”

“Tunggu dekat sana. Lima minit lagi saya sampai.”

Panggilan telefon dimatikan dan langkah aku menuju ke arah suatu kamar. Sebuah kamar yang akan menuju ke ruang bawah tanah.

***

Kunci dicucuk pada lubangnya sebelum tombol pintu dipulas. Masuk saja ke bilik itu, pintu aku tutupkan semula dan derap langkah aku perlahan-lahan menuruni tangga. Di dalam bilik ini terdapat juga beberapa bilik lain yang pintunya kelihatan namun bukan ke situ yang aku tuju. 

Langkah aku teruskan lagi melalui set sofa yang sudah tersedia di sana. Bantal sofa aku angkat dan di situ terdapat sebuah kunci yang perlu aku masukkan kata laluan. Selesai memasukkan kod laluan, dinding di sudut kamar mula bergerak dan menampakkan sebuah pintu kebal.
Bantal sofa aku letakkan kembali dan arah itu aku tujukan.

Kod laluan dimasukkan lagi pada pintu itu sebelum ia terbuka secara automatik. Bilik ini disediakan atas tujuan kecemasan. Seandainya ada apa-apa berlaku, bilik ini ada laluan untuk keluar dari istana tanpa menggunakan pintu utama. Kaki aku terus melangkah sebaik saja pintu itu terbuka. Berjalan perlahan melalui lorong yang cukup panjang dan akhirnya tiba di akhir tujuan.

Sebuah pintu dibuka lagi dan aku sampai di ruang terakhir bilik ini. Ruang terakhir yang memiliki set bilik tidur dan sebuah meja kecil. Ini adalah tempat yang dijanjikan tapi aku masih tidak melihat kelibat siapa-siapa di sini. Nombor George aku dail semula. Tak diangkat. Panggilan aku cuba berkali-kali namun masih saja tak diangkat.

Apa yang dah berlaku ini? Jam dinding yang sedia tergantung di bilik itu dilihat sekilas. Jarum jam menunjukkan arah 3:00 pagi. Takkan aku perlu menunggu di sini? Barangkali ada sedikit masalah yang berlaku. Aku menapak semula untuk pulang ke kamar beradu.

***

Melangkah masuk ke kamar. Tiba-tiba saja degup jantung aku terasa berhenti. Kaki aku juga begitu lemah untuk berdiri, lembik seperti agar-agar. Mata aku terbeliak besar bersama nafas yang mula mencungap. Darah yang sepatutnya dipam oleh jantung kini seolah-olah berhenti mengalir dan tidak ada nadinya lagi.

Ada sesuatu. Sesuatu yang paling ngeri berlaku dalam hidup aku. Stephan...
Tak mungkin. Apa semua ini? Apa yang dah berlaku? Kenapa boleh jadi begini? Otak aku tak mampu mencerna apa yang aku lihat sekarang. Pintu kamar yang kini dalam posisi terbuka juga cukup mengelirukan. Bagaimana? Bagaimana perkara begini boleh terjadi? Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Baru saja aku meninggalkan Stephan sepuluh minit yang lepas, bagaimana mungkin semua ini boleh berlaku dalam tempoh masa yang begitu singkat? Pupil kembali menatap tubuh Stephan yang terbaring lena di atas kasur.

Sebilah pedang kini tegak di bahagian dadanya. Darah memancut-mancut di seluruh kawasan katil. Tilam sudah pun bermandi darah bersama selimut putih yang berubah merah.

Uwek!

Uwek!

Uwek!

Tangisan bayi yang berada di tempat tidur juga kedengaran begitu kuat.
George yang terpacak berdiri di sisi katil aku pandang dengan penuh rasa amarah. “Apa yang kau buat ni George?” Suara aku naik seoktaf.

“Tak, bukan saya.”

“Argh!” Jeritan seorang dayang-dayang yang melalui ruang koridor kamar kedengaran.

Prang!

Serta-merta dulang air yang dibawanya pecah jatuh ke lantai. Mulutnya ditekup dengan telapak tangan. Mendengarkan jeritan dayang-dayang tadi, hampir kesemua anggota istana bangun daripada mimpi mereka.

“Apa yang bukan?”

“Kau... Berani kau bunuh seorang maharaja?” Nafas aku tak menentu. Dada berombak laju bersama detak jantung yang sudah hilang iramanya. Air mata aku tahan dari jatuh namun akhirnya menitis jua membasahi kulit pipi.

“Kau bunuh suami aku!” Aku berteriak.

Aku keliru. Tak tahu apa yang perlu aku buat sekarang. Suami aku, Stephan dah mat... Tak! Tak mungkin.

Langkah aku bergerak rapat ingin ke katil. Bilah pedang itu aku cabut dengan teriak tangis yang maha hebat. Pedang yang kini dipenuhi darah itu tercampak ke atas lantai.

Pring!

Aku menatap tapak tangan aku yang dibasahi cecair merah pekat. Tak. Tak. Wajah Stephan aku sentuh lembut.

“Stephan, bangunlah. Awak kena tolong saya. Janganlah tidur dalam keadaan macam ni.”

“Awak kena bersihkan darah ni dulu.”

Gila?

Memang aku gila. Beberapa orang dayang-dayang yang melihat adegan itu tak mampu berbicara. Mulut mereka terkunci dan diam membisu tanpa sepatah kata. George yang berada di sebelahku juga terkaku sendiri.

“Awak tak boleh tinggalkan saya!” Aku meraung.

“Stephan!”

“Stephan!”

“Stephan, bangun!”

Pipinya aku tepuk perlahan berkali-kali. “Awak dah janji! Jangan mungkir dengan janji awak. Stephan awak tak dengar ke saya panggil awak? Stephan!” Esak tangis aku jatuh melimpah bersama raungan yang memenuhi kamar itu.

Seorang dayang-dayang cuba menenangkan aku dan menarik tubuh aku kembali ke belakang. “Tuanku, maharaja dah tak ada...”

“Kau merepek apa?” Aku menengkingnya semula.

“Suami aku hidup lagi. Dia cuma penat sebab tu dia tidur mati.”

“Tuanku, tapi...”

“Diam!”

“Aku tak nak dengar apa-apa daripada mulut kau.” Bibir aku menggeletar. Baju aku juga kini sudah dibasahi dengan darah. Tangisan sendiri aku seka yang kemudiannya meninggalkan kesan merah dimuka sendiri.

“Saya nak semua keluar dari bilik ni. Jangan bising-bising. Saya tak nak kau orang semua ganggu tidur nyenyak tuanku Stephan.” Jari aku bawa ke bibir. Menunjukkan tanda supaya mereka senyap. Aku cukup pasti yang aku memang sudah hilang akal sekarang.

“Apa yang dah berlaku ni?” Suara Henry dimuka pintu menyebabkan semua yang melihat adegan ngeri itu berpaling dan kini memandang wajah Henry pula.

***

Selesai upacara pemakaman, aku melabuhkan punggung pada sofa di bilik tamu. Mata aku masih sembab bersama wajah yang cukup pucat dan tak bermaya. Tubuh aku merasa terlalu lemah hingga untuk bernafas pun terasa begitu sukar. Bingkai gambar perkahwinan yang terletak di meja kopi aku capai dan aku bawa ke dada.

Empangan air mata aku pecah lagi. Esak halus tamgisanku kedengaran untuk kali yang entah ke berapa. Bunyi guruh di luar istana bersama gugusan hujan yang turun seolah-olah ikut menangis bersama aku pada pagi ini.

George sudah pun ditahan di balai polis untuk disoal-siasat sementara semua warga istana yang ada semalam juga akan disoal-siasat di istana. Ah, George. Aku akan pastikan dia dihukum dengan hukuman yang setimpal.

Ikutkan sekarang, aku tak mampu untuk melakukan apa-apa lagi. Tapi ada sebuah empayar yang perlu aku jaga sebelum putera mahkota cukup umur untuk mengambil takhta. Riuh-rendah di istana ini akibat polis yang menjalankan tugasnya di tempat penyiasatan aku buat tak peduli.

Biarlah mereka menjalankan tugas mereka mencari segala bahan bukti. Hati ini terlalu sakit. Sakit, retak dan pecah berkecai.

“Riz.”

Suara daripada seseorang yang cukup aku kenal, Henry masuk ke pendengaran. Dia terus mengambil tempat pada sofa di hadapan aku. Air mata yang meleleh ditubir aku kesat perlahan.

“Takziah,” bicara Henry.
Henry juga banyak membantu untuk menyelesaikan segala urusan hari Ini. Begitu juga dengan Edward yang baru tiba pagi tadi selepas mendapat berita.

“Sabar okey? Aku akan sentiasa ada untuk kau.”

Entah mengapa, secara tiba-tiba pergelangan tangan aku ditarik dan diusap oleh Henry. Aku yang masih terkejut menarik semula tangan aku.

“Apa ni?”

“Sorry. Aku tak sengaja.”
Ketika itu aku tak pernah langsung menyangka kalau yang di hadapan aku sekarang adalah pengkhianat yang sesungguhnya.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik tamu yang sedia terbuka itu diketuk perlahan. Seorang dayang-dayang memandang aku dengan senyuman manis. Aku pula membalas senyumannya dengan senyum kelat. Tak berdaya lagi aku untuk terus tersenyum pada waktu begini.

“Polis nak menyoal siasat tuanku. Saya izinkan mereka masuk ke sini, ya?” soalnya.

Aku mengangguk sebagai tanda jawapan sementara Henry mengambil langkah untuk keluar. Tak lama selepas itu datang seorang anggota polis wanita dan aku memintanya untuk duduk berhadapan denganku.

“Pada waktu kejadian saya diberitahu yang tuanku tiada di tempat insiden ini berlaku. Jadi boleh saya tahu tuanku berada di mana ketika tu?”

“Semalam saya dapat satu panggilan daripada George. Sebenarnya saya ada seseorang yang saya perlu jumpa jadi saya minta dia untuk carikan. Jadi semalam katanya orang tu telah dijumpai, dia dan orang itu dah pun menunggu di tempat yang kami janjikan. Kami janji untuk berjumpa di bilik bawah tanah tapi sesampainya saya di sana. Tak ada orang.” Aku bercerita panjang lebar.

“Jadi saya putuskan untuk naik semula ke bilik dan waktu tulah semua perkara ni terjadi.”

“Siapa orang yang tuanku nak jumpa tu? Kalau nak jumpa kenapa sampai perlu jumpa dekat bilik bawah tanah?” Detektif itu menyoal penuh curiga.

“Saya rasa detektif tak perlu tahu siapa orang yang saya maksudkan.”

“Kenapa pula? Tuanku ada sembunyikan apa-apa ke daripada saya? Kalau tak ada bagitahu sajalah.”

Jari aku ramas penuh gelisah. Kewujudan Alana tak patut diketahui sekarang. Rahsia itu saja cukup untuk menggemparkan seluruh empayar. Itu saja sebabnya aku merahsiakan tentang identiti gadis itu.

Kalau boleh aku sendiri ingin berkenalan dulu dengannya sebelum identitinya diketahui umum. Tapi sekarang aku tak ada pilihan. Polis akan mengesyaki aku kalau aku tak beritahu mereka. Nafas aku hembus berat.

“Tunggu sekejap. Saya nak ambil sesuatu,” pinta aku.
Detektif itu hanya mengangguk. Aku melangkah untuk naik ke kamar kerja. Laci di bahagian bawah meja aku yang sedia berkunci aku buka dan sehelai dokumen penting aku keluarkan.

Kaki pantas melangkah untuk menuruni tangga dan kembali ke bilik tamu. Dokumen itu aku hulurkan kepada detektif tadi sambil identitinya secara jelas aku sebutkan dan seperti yang aku jangkakan, Detektif itu terkejut besar.

“Saya minta awak untuk rahsiakan perkara ni. Lebih-lebih lagi daripada pihak wartawan. Saya rasa setakat ni saja soal siasat kita. Saya dah bagitahu segalanya kepada awak termasuk yang saya tak patut pun bagitahu.”

“Baik tuanku.”

Bunyi deringan telefon milik detektif itu kedengaran dan dia dengan pantas mengangkat panggilan terbabit. Aku hanya menyaksikan dia berbual melalui telefon bersama mulut yang diam membisu.

Sesekali mata detektif tersebut memandang aku seolah-olah ada hal yang perlu diberitahu  Selesai menjawab panggilan, telefon kembali diletakkan di tepi. Aku sedia menunggu perkhabaran baru mengenai kes ini daripada mulut detektif itu..

“Ada sesuatu yang kami baru dapat tahu.”

“apa dia?”

“Laporan bedah siasat menunjukkan maharaja Stephan tidak mangkat kerana ditikam.”

“Bukan kerana ditikam?” Aku membuat riak hairan.

“Ya. Tapi sebab diracun.”

“Racun?”

“Sianida.”

“Apa-apa perkembangan kes nanti saya akan inform tuanku. Oh ya, saya rasa tiga hari lagi saya akan datang hanya dengan pegawai atasan untuk masuk ke bilik yang tuanku cakapkan tadi. Jangan risau kami tak akan bagitahu yang bilik itu sebenarnya ada laluan kecemasan untuk melarikan diri kepada pihak media.”

Aku mengangguk mendengar pernyataan itu. Orang di dalam istana ini juga tidak tahu yang bilik itu ada sebuah laluan. Mereka hanya tahu itu hanya sekadar bilik bawah tanah.

“Apa-apa pun terima kasih atas kerjasama tuanku.”
“Sama-sama.”

***

Makan malam dijamah dengan wajah suram. Hari ini, aku menjamah makan malam seorang diri tanpa Stephan yang selalu berada di sisi. Jujur aku langsung tak berselera. Tapi aku paksakan juga makanan dan hidangan ini untuk masuk ke dalam perut walhal untuk setiap bolus itu melalui esofagus saja sudah terasa pahit.

Tuk! Tuk!

Ketukan pada pintu ruang santapan menyebabkan aku memaksa kepala untuk diangkat. Tersembul wajah Edward dimuka pintu. Dia memberi senyum sebelum masuk ke dalam dan duduk berhadapan dengan aku.

“Aku tak sangka yang Stephan boleh pergi dalam keadaan macam tu,” bicaranya.

“Aku sendiri pun terkejut. Aku betul-betul tak sangka, Ed.”
Nafas aku tarik dalam sebelum dihembus kembali.

“Malam tu kami baru aje berbual. Aku... Aku rasa terkilan sangat.”

“Aku faham perasaan kau. Yalah, Stephan pun bukannya orang asing. Dia abang aku. Aku betul-betul tak sangka. Tapi, masa kejadian tu kau dekat mana sebenarnya?”

“Aku ada hal sikit yang perlu diselesaikan.”

“Hal apa yang penting sangat tu.”

“Aku tak boleh bagitahu kau sekarang. Nanti dah sampai masa aku cakap.”

“Bukan kau yang rancang semua ni, kan?”

“Maksud kau?”

“Sengaja melakukan pembunuhan supaya kau dapat pegang kedua-dua tampuk pemerintahan?”

“Ed! Apa kau merepek ni?” Suara aku meninggi. Aku tak menyangka yang adik ipar aku boleh menuduh aku sedemikian rupa.

“Aku sangsi. Bukan ke kau yang terakhir yang bagi minuman kepada Stephan sebelum tidur?”

“Kau nak tuduh aku yang letak racun dalam minuman tu?”

“Siapa tahu?”

Aku mendengus geram. “Bukan aku yang buat dan aku tak nak dengar kau cakap  macam ni lagi, faham?”

***

Tiga hari kemudian,

Pintu bilik bawah tanah itu aku bukakan kuncinya. Tiga orang pegawai polis yang terlibat aku persilakan masuk. Langkah mereka dipimpin oleh aku dihadapan. Segala pintu rahsia aku buka namun aku hanya menunggu pada ruang pertama sahaja. Lorong dan ruang terakhir cuma dimasuki oleh semua pegawai polis dan detektif yang terlibat.

“Boleh tuanku terangkan tentang ni?” Sekembalinya mereka ke ruang pertama. Detektif wanita yang menyoal aku tempoh hari itu menyoal sambil ditangannya ada sebungkus serbuk halus yang dipegang. Semua pintu rahsia sudah pun aku tutup semula.

Saliva aku tersekat dikerongkong. Bagaimana? Bagaimana ‘barang’ itu boleh ada di sini?

“Kenapa tuanku diam? Sianida ni, macam mana boleh ada dekat sini?” Detektif itu menyoal lagi.

“Saya tak tahu apa-apa. Saya tak tahu langsung yang sianida tu ada dekat sini dan macam mana dia boleh ada di bilik ni pun saya tak tahu.”

“Tak tahu? Kami jumpa sianida ni di ruang terakhir. Bukan ke semua warga istana tak tahu langsung pun pasal laluan tu? Maharaja Stephan ditemui mangkat akibat ditikam pada jantung. Tapi rupanya dah mangkat tiga puluh minit sebelum tu akibat racun sianida. Ikut keterangan tuanku, yang tikam Maharaja ialah George. Tapi tak ada cap jari George pun, yang ada cuma cap jari tuanku.”

“Tuanku cakap mungkin sebab tuanku yang tarik pisau itu daripada terus menikam jadi macam mana boleh tak ada cap jari George?”

“Detektif!” Suara seorang anggota polis yang baru tiba diruang bawah tanah memanggil detektif wanita yang sedang berbicara di hadapan aku menyebabkan fokus detektif itu beralih ke arahnya pula.

“Kami jumpa sianida dekat bawah tilam.”

“Apa semua ni, tuanku?”
Aku kaku. Lidah aku kelu dan keras untuk berbicara. Soalan-soalan yang diajukan semuanya aku tinggalkan tanpa jawapan bersama tangisan yang mula berbunyi namun hanya pada jiwa.

“Saya betul-betul tak tahu. Lagipun cik tak ada bukti yang menunjukkan saya yang letak racun dalam mana-mana air maharaja.”

Aku berfikir sejenak untuk mengingat semula segala yang berlaku pada hari itu sebelum insiden itu terjadi. Mata aku terbuka luas. “Dayang-dayang itu. Dia yang bancuh air teh untuk maharaja.”

***

Dua hari kemudian,

“Serahkan semula Myla kepada aku.” Edward bersuara tegas dan aku memandangnya dengan penuh rasa tak percaya.

“Aku rasa kau tahu apa isi perjanjian kita, kan?” Suara aku sedikit gentar.

“Ya, aku tahu. Kalau Stephan Dani mangkat, kedua-dua empayar akan diwarisi oleh anaknya,”

“Dan selagi waris aku tak cukup umur, empayar ni akan berada sepenuhnya di bawah pentadbiran aku.” Kata-kata itu dipotong sebelum sempat Edward melengkapkan ayatnya.

“Masalahnya, kau pengkhianat. Kau bunuh Stephan supaya Myla jatuh pada tangan kau. Kau ingat aku akan lepaskan kau dan tengok aje? Ini tak adil. Kau ambil Myla dengan cara yang salah.”

Suara kami bergema di bilik takhta.

“Percayalah, bukan aku yang bunuh Stephan. Takkan aku bunuh suami aku sendiri?” Kini aku hampir merayu. Aku tak salah dalam hal ini.

“Demi harta, manusia sanggup buat apa saja. Kau ingat aku ni bodoh sangat ke? Kau perangkap George yang bunuh Stephan, cipta alibi yang bagus, hilangkan jejak tapi kau masih tak cukup bijak. Satu empayar ni dah tahu kau yang bunuh Stephan. Bukti pun dah cukup. Kau bunuh abang aku, kau faham tak?” Suara Edward naik seoktaf.

“Aku akan lawan kes ni dekat mahkamah! Bukan aku yang letakkan sianida tapi dayang-dayang tu!”

“Dayang-dayang? Apalah gunanya dayang-dayang tu bunuh maharaja? Kalau maharaja mati pun dia tak akan dapat apa-apa keuntungan melainkan kau yang upah dia!”

“Cukuplah Riz. Cukup.”

“Aku tak kira, pulangkan balik Myla. Kau dengan empayar kau bukan masalah aku.”

“Kalau tak?”

“Rakyat kau jadi korbannya.”

***

Dua minggu kemudian,

“Kami tak nak Riz Ruziana jadi maharani kami!”

“Turunkan takhta!”

“Turunkan takhta!”

“Turunkan takhta!”

Luah perasaan besar-besaran dilakukan hampir diseluruh negara supaya aku menurunkan takhta. Walaupun perbicaraan masih berlangsung kemarahan rakyat meluap-luap terhadap aku yang dituduh membunuh suami sendiri. Lebih parah lagi apabila minggu lepas berlaku pengeboman di sebuah kawasan di Vioreece. Kerja Edward. Dia juga marah terhadap aku tapi aku tak sangka dia sanggup bom empayar Vioreece.

Tuk! Tuk!

Pintu bilik pejabat aku diketuk.

“Kami dah cuba cari Abu di merata tempat tapi tak jumpa.”

Bam!

Tangan aku menumbuk meja. Mana pula pak Abu pergi? Telefon yang berada di atas meja aku capai dan nombornya aku dail. Sejak minggu lepas aku menelefonnya tapi satu pun tak berangkat. Kalau pak Abu tak mahu datang untuk memberi keterangan dah tak ada apa-apa bukti lagi melainkan dayang-dayang itu mengaku atas kesalahannya.

Bagaimana bilik dan laluan rahsia yang ada di bawah tanah itu diketahui pun aku tak tahu. Siapa sebenarnya yang menjadi musuh dalam selimut? Kamera yang dipasang oleh Stephan juga hilang dari tempatnya. Polis juga gagal menjumpainya. Siapa yang cuba nak perangkap aku sebenarnya? Tunggu, Henry. Tapi tak mungkin.

“Mana Riz?” jeritan Edward daripada pintu hadapan istana kedengaran hingga ke pejabat. Pintu bilik aku ditolaknya kasar.

“Mengalah ajelah. Kau takkan menang!”

“Bagi aku masa. Selagi perbicaraan tu masih berlangsung, aku belum terbukti bersalah!”

“Kalau memang aku yang bunuh Stephan urusan empayar kita kau tak perlu risau. Kau boleh ambil semula Myla. Itu janji aku.”

Aku tak pernah terfikir hidup aku boleh jadi bercelaru sampai begini. Dalam sekelip mata aku hampir hilang segala-galanya. Cinta yang baru menghembuskan nafas terakhir bersama takhta yang kian tak jelas masa depannya ditangan aku. Semua yang aku miliki tampak akan hancur tak lama lagi.

***

Sebulan kemudian,

Edward betul. Aku kalah dalam perbicaraan itu. Dayang-dayang itu memang menuduh aku yang mengupahnya. “Argh!” Tangan dan kaki aku kini dirantai dengan tali besi.

“Dah umumkan kepada rakyat yang Riz Ruziana sudah pun dihukum mati?” Suara Henry yang sedang berbual dengan beberapa orang di luar sayup-sayup kedengaran dari kurungan berbatu ini.

Tanpa mentari. Siang dan malam tiada berbeza dan ini adalah hari pertama aku berada di sini. Di bawah tanah istana aku sendiri. Ruang terakhir yang pintu keluarnya semua berkunci termasuk juga dengan tubuh badan aku yang ikut terkunci sama. Derap tapak kaki Henry kedengaran mendekati tubuh aku. Pintu dibuka dan tubuhnya aku pandang penuh dengan rasa kecewa.

“Kau memang manusia tak guna!”
Aku menjerit meluahkan segala isi hati dan mendengarkan itu dia hanya tersenyum senget.

“Janganlah menjerit. Nanti suara rosak.” Pipi aku dibelai perlahan namun yang aku rasakan cuma jijik. Jijik dengan sentuhannya.

“Kau memang licik Henry. Aku tak faham. Aku tak faham macam mana kau boleh tahu semua rahsia yang ada dalam istana ni.”

“Akal.”

“Kenapa kau buat aku macam ni?” Suara aku hampir pecah saat menuturkan kata itu.

“Kau tak tahu atau pura-pura tak tahu?”

“Sebab dendam?”

“Mungkin juga sebab dendam tapi tambah sikit sebab aku tamak. Aku pun nak merasa juga ada empayar sendiri dan duduk di takhta.”

“Aku tak sangka kau masih berdendam hanya sebab aku tolak cinta kau dulu. Hanya sebab ditolak kau sanggup buat jenayah? Pengecut!”

Pang!

“Aku belum sewel lagi nak palsukan kematian kau dan perangkap kau hanya sebab kau tolak cinta aku. Aku cuma kecewa. Kecewa dengan sikap kau!”

“Apa yang kau maksudkan sebenarnya ni?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience