[15] Pemacu Kilat

Fantasy Completed 3250

10 tahun lalu,

Dadanya berombak kencang diikuti bersama peluh yang merenik laju didahi. Jantungnya berdebar hebat diikuti kadar pernafasannya yang bertambah cepat. Peluh yang memancut-mancut keluar tadi dilap dengan lengannya.

Hatinya dirundung rasa gelisah, keadaan di dalam kapal terbang ini mula kecoh. Guruh berdentum sabung-menyabung. Cuaca buruk yang datang tanpa dipinta ini mengganggu proses penerbangan mereka.

"Apa yang berlaku ni?" soal Kevin. Abangnya.

"Apa yang dah berlaku?" Riuh kedengaran suara 10 orang penumpang yang berada di dalam pesawat peribadi itu.

"Para penumpang yang dihormati, sila pastikan tali pinggang keselamatan sudah dikenakan. Cuaca ketika ini dilaporkan kurang baik, diminta untuk semua bawa bertenang dan duduk ditempat masing-masing." Pramugari yang bertugas membuat pengumuman.

Dush!

Pesawat menghentak awan.
"Argh!" jerit Kamelia.
Terbang dalam keadaan cuaca buruk bukan suatu benda yang baik. Nyawa mereka semua yang berada di sini mungkin terancam.

Angin menderu-deru menolak badan pesawat hingga terumbang-ambing. Pesawat hampir hilang keseimbangannya.

Dush!

Buk!

Kepala Kamelia terhantuk pada kerusi hadapan. Sesekali tubuhnya sedikit miring ke kiri apabila pesawat itu ditolak oleh angin.

"Argh!" Jeritan orang-orang di situ nyaring berbunyi. Pancaran kilat dikiri kanan kapal terbang terus muncul silih berganti.

"Abang kita boleh selamat ke?" soalnya. Mungkin soalan terakhir sebelum...

Bom!

Pesawat tadi berkecai.

***

Kelopak mata Kamelia terbuka. Nafasnya ditarik dalam. Dia merenung tubuhnya yang penuh dengan wayar dan alat bantuan pernafasan. Kepalanya juga dibalut oleh sehelai kain. Hospital. Dia pasti dia berada di hospital sekarang.

Mimpinya malam tadi mengingatkan dia tentang kejadian terakhir sebelum dia dimasukkan ke rumah sakit ini. Sebuah kemalangan kapal terbang yang diakibatkan oleh cuaca buruk. Di sisi katilnya, Kamelia melihat susuk tubuh ibunya yang sedia menunggu.

"Ibu?"

"Lia? Lia dah bangun?"
Kamelia menganggukkan sedikit kepalanya.

"Doktor! Doktor!" Ibunya melaung. Tak lama kemudian datang seorang doktor lelaki yang lebih kurang sebaya ibunya.

Doktor tadi terus memeriksa kondisi tubuh badannya. Bola matanya juga diperiksa. Kata doktor itu, keadaan tubuhnya menunjukkan perkembangan yang positif semenjak seminggu yang lalu. Menurut doktor itu juga, kesedarannya pada hari ini merupakan satu keajaiban setelah lama tak menyedarkan diri.

Biasanya, pesakit sepertinya tak punya harapan untuk sembuh. Setelah selesai pemeriksaan, doktor itu memberi sedikit ruang dan masa untuk dia dan ibunya. Topeng bantuan pernafasan juga sudah dicabut.

"Lia, ibu rindu sangat dengan Lia," kata ibunya dengan suara yang agak pecah. Telapak tangannya digenggam erat dan dikucup lembut. Kamelia hanya diam. Fikirannya bercelaru. Jiwanya juga terasa kosong. Agaknya dia sudah lupa bagaimana caranya untuk bereaksi.

Dibenaknya kini hanya memikirkan seperkara saja, sudah berapa lama? Sudah berapa lama dia berada di hospital ini?

"Ibu, berapa lama Lia dah tidur?"

"10 tahun." Suara seorang lelaki muda yang baru saja masuk ke bilik wad menjengah telinganya.

"10 tahun?" Kamelia menyoal kembali.

***

Seminggu berlalu,

Kerusi roda milik Kamelia ditolak perlahan oleh Edward ke beranda bilik. Udara pagi dihirup perlahan oleh Kamelia. Sudah terlalu lama matanya tak melihat awan. Sepuluh tahun dia tak sedarkan diri, jujur dia rasa terkejut dan tak percaya.

"Sepanjang sepuluh tahun akak tidur, ada banyak perkara yang dah jadi." Mendengar adiknya berbicara, Kamelia mendongak memandang wajah Kevin.

"Apa yang dah jadi?"

"Bermula dengan perkahwinan abang kita, Stephan Dani kemudian berlanjut kepada sebuah pengkhianatan, pembunuhan dan pengeboman."

"Pengeboman?"

***

Lima tahun lalu,

Tidur nyenyak Caroline sedikit terganggu apabila nafasnya terasa mulai sesak. Matanya dibuka dan dia melihat kamarnya sudah pun dipenuhi dengan kepulan asap hitam.

Uhuk! Uhuk!

Tangannya dikipas-kipaskan ke udara bagi melancarkan proses pernafasannya dan menjelaskan pandangan. Dalam samar-samar dan kemamaian, Caroline melangkah mencari arah ke pintu kamar untuk keluar. Dadanya terasa sesak dek kepulan asap yang terlalu banyak namun dia tetap melangkah.

Uhuk! Uhuk!

Bam!

"Argh!" jeritnya apabila daun pintu jatuh menghempap lantai. Pintu itu telah pun disambar api yang cukup marak. Api tadi mula menjalar dan menjilat perabot-perabot yang berdekatan. Dia kaku. Tak tahu apa yang harus dia lakukan seterusnya.

Jantungnya sudah pun hilang rentak asalnya diikuti peluh yang menitis-nitis tanpa henti di dahi. Dia cemas. Semakin lama ruang untuk dia berdiri semakin sempit. Kepala ditoleh merenung jendela sebelum kaki turut dibawa melangkah ke sana. Jendela ini memiliki jeriji besi menjadikan kebarangkaliannya untuk keluar adalah mustahil.

"Tolong!"

"Tolong!"

Caroline menjerit walaupun dia tahu tidak ada sesiapa yang mampu menolong kerana deretan rumah di sini juga turut terbakar sama. Apa yang sudah terjadi? Air matanya hampir menitis. Rasa takut mula mendominasi diri. Jerit tangis orang-orang yang masih hidup dia kawasan kejiranan ini kedengaran. Termasuk juga dengan esakannya. Pasti ada jalan keluar. Tolonglah.

Uhuk! Uhuk!

Dadanya makin sesak. Nafasnya kini semakin sukar untuk ditarik dan dihembus. Dia harus bergerak pantas sebelum api menjilat kasur tempat tidurnya.

Bom!

Segala keluh-kesah dan tangisan yang bermelodi dengan sambaran api terhenti sekelip mata. Terhenti dengan satu letupan besar dan yang tinggal kini hanyalah mayat-mayat yang tergeletak bersama daging-daging yang bersepai di kawasan tersebut dan dibanjiri oleh cecair merah.

***

Seminggu sebelum kejadian,
"Serahkan semula Myla kepada aku." Edward bersuara tegas. Dia tak boleh duduk diam begitu saja. Nyawa abangnya sudah melayang, maruah keluarga Smith seolah-olah dipijak dengan hina.

"Aku rasa kau tahu apa isi perjanjian kita, kan?" Suara aku sedikit gentar.

"Ya, aku tahu. Kalau Stephan Dani mangkat, kedua-dua empayar akan diwarisi oleh anaknya,"

"Dan selagi waris aku tak cukup umur, empayar ini akan berada sepenuhnya di bawah pentadbiran aku." Kata-kata itu dipotong sebelum sempat Edward melengkapkan ayat.

"Masalahnya, kau pengkhianat. Kau bunuh Stephan supaya Myla jatuh pada tangan kau. Kau ingat aku akan biarkan dan tengok aje? Ini tak adil. Kau ambil Myla dengan cara yang salah." Suara mereka bergema di bilik takhta.

"Percayalah, bukan aku yang bunuh Stephan. Takkan aku bunuh suami aku sendiri?" Kini aku hampir merayu. Aku tak salah dalam hal ini.

"Demi harta, manusia sanggup buat apa saja. Kau ingat aku ni bodoh sangat ke? Kau perangkap George bunuh Stephan, cipta alibi yang bagus, hilangkan jejak tapi kau masih tak cukup bijak. Satu empayar ni dah tahu kau yang bunuh Stephan. Bukti pun dah cukup. Kau bunuh abang aku, kau faham tak?" Suara Edward naik seoktaf.

Abang dia mati dibunuh isteri sendiri, sebuah pengkhianatan yang tak akan boleh dimaafkan. "Aku tak kira, pulangkan balik Myla. Kau dengan empayar kau bukan masalah aku."

"Kalau tak?"

***

"Akhirnya membawa kepada peperangan." Kamelia tekun mendengar cerita Edward.

"Macam mana keadaan abang masa menghembuskan nafas terakhir?"

"Mati ditikam pada jantung." Nafas berat Edward hembuskan. Dia sendiri tak sanggup untuk menceritakan hal itu. Lebih-lebih lagi ketika keadaan adik perempuannya masih belum sembuh sepenuhnya.

"Tapi tu hanya untuk mengaburi mata. Stephan dah pun meninggal dunia malam sebelumnya akibat minuman beracun." Kamelia kaku mendengarnya. Stephan ialah abang yang cukup rapat dengannya jadi mendengar kemangkatan abangnya sebegitu rupa, dia rasa terkilan.

***

Tiga bulan kemudian,

Bingkai gambar yang dihiasi dengan senyuman pada wajah Stephan dan dirinya sendiri itu ditatap Kamelia. Air matanya menitis. Dia rindu. Bahkan terlalu rindu. Mengapa harus begitu pemergiannya? Mengapa dia harus koma sehingga 10 tahun? Perkahwinan abangnya saja dia tak pernah lihat. Mengapa perempuan seperti itu yang harus diperisterikan?

Tuk! Tuk!

Ketukan di pintu kamar menyedarkan dia dari lamunan. Seorang dayang-dayang masuk dengan membawa dulang yang berisi secawan kopi dan beberapa tart telur. Dayang-dayang itu tersenyum manis kepadanya. Bingkai gambar dia bersama abangnya diletak kembali di atas rak.

Lirik matanya mengikuti pergerakan dayang-dayang tersebut meletakkan dulang di meja kecil yang sudah tersedia di bilik itu.

"Saya pergi dulu, ya?" Lembut bicara dayang-dayang itu. Kamelia mengangguk.

Pintu ditutup perlahan dan Kamelia mula bergerak untuk menyantap sarapannya pagi ini. Sebiji tart telur diambil dan digigit perlahan. Bola matanya baru perasan akan sesuatu. Ada sekeping kertas di bawah cawan yang berada di atas dulang itu. Kertas itu di ambil dan dibaca.

Tuanku Stephan tak pernah salah dalam memilih wanita untuk dijadikan isteri, hanya saja nasibnya kali ini tak menyebelahi diri.
Di bawah kertas tadi, ada sebuah pemacu kilat. Kamelia beriak hairan.

"Pendrive?" Kopi yang disediakan dicicip sedikit sebelum pemacu kilat itu segera di cucuk pada komputer riba miliknya. Satu rakaman video mengenai kejadian besar yang berlaku di empayar Vioreece terpapar, menyaksikan itu, Kamelia menekup mulut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience