[22] Pengecut

Fantasy Completed 3250

“Tak mungkin.” Tangisannya dipendam kemas dalam jiwa.

Suaranya mula serak bersama fikiran yang berserabut diikuti dadanya yang terasa seperti dicucuk-cucuk dengan besi hakikat hingga berdarahkan kekesalan. Jadi apa yang dia percaya selama ini hanyalah sandiwara semata-mata? Yang dia sibuk lindungi dan yang dia rasa protagonis dalam kisah ini hanyalah suatu cerita palsu?

Tubuhnya jatuh melorot pada pintu besi yang memisahkan antara dia dan Riz yang berada di luar bilik.

“Sekarang kau dah faham maksud aku, kan? Tak perlu lagi kau nak selamatkan Henry, penjenayah tak guna tu!”

“Suami kau tu, bukan orang baik dan aku datang sini bukan nak balas dendam tapi selayaknya dia memang ke tali gantung!”

“Tak, mustahil! Kau tipu aku, kan? Tak mungkin Henry macam tu. Aku tahu kau saja reka cerita, kan?”

“Aku dah jelaskan semuanya. Kepercayaan kau pada aku tak penting. Sekarang ni aku nak kau pilih, bekerjasama dengan aku atau kau pun aku tuduh ikut bersubahat sekali.”

“Apa yang kau nak aku buat?”

***

Henry melangkah pantas sambil membawa bagasinya masuk ke dalam istana sebaik sahaja mendapat berita tentang kehilangan Bella. Tangannya menyeluk poket seluar dan mula membuat panggilan kepada Connor sambil bagasi ditangannya diberikan kepada dayang-dayang istana. Kakinya masih menapak laju menuju ke bilik kerja.

“Jumpa aku dekat istana sekarang.” Panggilan itu terus dimatikan.
Berkecamuk fikirannya saat ini. Entah apa yang sudah berlaku.
Pintu bilik kerja dibuka dan dia mengambil tempat pada kerusi miliknya.

Tuk! Tuk!

“Masuk.”

Figura Connor mula kelihatan.

“Apa yang dah jadi sebenarnya ni?” Terus Henry menyoal.

“Malam semalam tuanku Bella ada keluar tengah malam untuk jumpa seseorang di pagar belakang istana dan lepas tu dia terus hilang.” Bohong Connor. Dia yang membantu Zehra atau lebih tepat lagi Riz malam semalam.

Dia dah putuskan, kali ini dia mahu tolong maharani itu.

“Oh, ya. Ada sesuatu yang tuanku perlu tahu.”

Sekeping sampul surat diletakkan di atas meja. Henry mencapai sampul surat itu sebelum laporan DNA yang terkandung di dalamnya dibaca.

“Riz Ruziana masih hidup dan orangnya ialah Zehra,” bicara Connor.

“Mustahil. Aku tahu dan aku memang pasti dia dah mati. Bukan Zehra.”

“Saya pasti tuanku perasan yang wajah Zehra memang seiras dengan Riz. Lagipun, Zehra pun hilang sekali malam semalam.” Connor memberikan pendapatnya. Kata-kata Riz masih lagi terngiang-ngiang difikirannya.

“Kalau dia tanya kau tentang dalang insiden kehilangan Bella, kau boleh sebut nama aku. Aku tak ada masalah dengan tu. Identiti aku yang palsu juga boleh kau sebutkan. Aku tak nak berteka-teki lagi. Aku nak main permainan ni secara bersemuka.”

“Ada orang yang cuba permainkan aku.”

“Siapa lagi yang nak buat semua ni kalau bukan Riz? Dah pasti dia berdendam dengan tuanku. Orang gila aje yang berani culik maharani.”

“Macam yang aku cakap, Riz memang dah mati. Walau apa pun aku tak sangkal yang Zehra terlibat sekali.”

“Kau pastikan orang dalam istana ni tutup mulut. Aku tak nak perkara ni kecoh di media. Bagi aku sendiri yang selesaikan masalah ni.”
Connor mengangguk.

“Lagi satu, aku nak tanya kau.”

“Apa dia?”

“Kau takkan tikam belakang aku, kan?”

“Ingat Connor aku tahu kau yang bunuh George.”

Connor menunduk. “Saya tak akan sekali-kali mengkhianati tuanku.”

“Keluar.”

Sebaik saja tubuh Connor lenyap dari pandangan, Henry menyandarkan belakangnya pada kerusi. “Siapa pun kau yang nak bermain dengan aku, akan aku pastikan menyesal. Kau belum kenal siapa aku,” ujar Henry.

***

Hari ini dia kembali sekali lagi. Kembali membawa tubuh yang pernah terluka. Kembali membawa hati yang pernah terseksa. Kembali membawa jiwa yang cuma ada rasa perit bersulamkan dendam. Dia kembali, namun dengan identiti yang berbeza, Zehra. Udara pagi yang meniup lembut pipinya dihirup masuk ke dalam dada.

Pemandangan taman istana dari balkoni bilik ditatap sambil menunggu kehadiran seseorang.
Satu pelukan hangat yang tiba-tiba hadir dari belakang menyebabkan Riz memaniskan wajah dengan senyuman. Palsu. Tangan kekar yang melingkar pada pinggangnya itu diusap lembut sebelum tubuhnya dipusing menghadap Henry. Raut naif Riz tayangkan. “Bella macam mana?”

Dia tahu Henry sudah pun tahu segalanya namun mereka di sini sama-sama berpura-pura bodoh.
“Pasal Bella jangan risau. Saya akan selesaikan semuanya dengan sempurna macam yang saya pernah buat dulu.”

Riz menarik satu senyuman. Pernah buat? Pasti, perangkap dia memang diakui cukup sempurna.

“Okey,” ujar Riz.

“Saya nak bawa awak ke satu tempat.” Henry berucap dalam bisikan.

“Ke mana?”

“Pejam mata.”

Kini posisi mereka berubah. Henry berada di bahagian belakang sambil menutup matanya menggunakan telapak tangan. Mereka berjalan perlahan-lahan dan masih berpelukan.

‘Dah terlambat Henry. Dah terlambat. Kau buatlah apa pun, kali ni kau tak akan berjaya sebab semuanya dah berakhir.’

“Awak nak dengar satu cerita?”

“Cerita apa?” Langkah masih diteruskan.

“Cerita tentang seorang perempuan yang pernah saya cintai. Perempuan itu cantik dan pandai menari.”

Henry membuka tirai kisah. Sebuah kisah yang bakal menyakitkan jiwa kedua-dua mereka.

***

17 tahun yang lalu,

Henry berjalan setapak demi setapak di atas lantai tanah yang penuh dengan guguran daun kering. Bunyi-bunyi unggas hutan menyapa cuping telinganya. Cahaya suria yang kadang ada kadang tiada di sebalik kanopi pokok masih juga berjaya merenjiskan peluh di bahagian dahi miliknya.

Makin lama dia berjalan, telinganya disapa pula dengan bunyi air sungai yang cukup deras. Ini pertama kali dia datang ke Vioreece ketika usia remaja selepas kali terakhir dia ke sini ketika masih berusia lima tahun, jadi dia memutuskan untuk berjalan di kawasan sekitar istana. Tak sangka pula di hutannya ada sungai yang boleh tahan jernihnya. The Pearl kedua barangkali.

“Tolong!” Suara jeritan seorang perempuan membawa mindanya yang menerawang kembali pada kenyataan. Henry mencari sumber suara gadis tadi. Angin yang bertiup lembut kini berubah kencang secara perlahan-lahan. Pokok-pokok mula bergoncang dan daun-daunnya gugur dengan lebat. Arus air sungai yang tadinya tenang kini bertukar deras dalam sekelip mata. Kepala air.

“Tolong!”
Akhirnya dia melihat susuk tubuh seorang perempuan yang tenggelam timbul di dalam air sungai itu. Henry kemudiannya mengambil keputusan untuk terjun dan menyelamatkan gadis tadi. Tak mungkin dia akan biarkan saja kejadian itu berlaku di hadapan matanya tanpa melakukan apa-apa.

***
“Awak okey?” Henry menyoal sambil jaketnya diberikan kepada perempuan itu.

Perempuan itu, ialah sepupunya sendiri. Tak sangka yang budak comot yang dia pernah kenal dulu dah jadi seorang perempuan yang cukup cantik. Hari itu dia tahu bahawa dia sudah pun jatuh cinta dengan perempuan itu. Cinta dari pandangan pertama.

“Kenapa awak selamatkan saya? Semua orang benci saya dekat dunia ni.”

“Mungkin sebab saya cintakan awak.”

“Awak cintakan saya?”

***
Dua tahun kemudian,

Hari ini dia datang ke sekolah awal. Ada sesuatu yang ingin dia selit di bawah meja Riz. Mereka tak sama kelas jadi Henry hanya mampu melihat cinta hatinya itu dari kejauhan. Bar coklat dan sekeping nota kecil di tangan dipandang. Harap-harap Riz suka hadiah yang dia bagi.

Kiri kanan dilihat bagi memastikan tiada yang memandangnya masuk ke kelas sebelah. Meja Riz dihampiri sebelum coklat dan nota tadi dimasukkan di bawah laci mejanya.

***
Tiga tahun kemudian,

Hari ini dia dapat tahu yang Riz kemalangan. Dia pasti emosi Riz kurang stabil sekarang dan dia perlu lakukan sesuatu untuk gembirakan buah hatinya yang satu itu. Jadi, dia mengambil keputusan untuk mengirimkan berpuluh-puluh surat ke Vioreece.

Bukan dia tak boleh menghantar mesej, namun baginya menghantar surat itu sendiri lebih romantis. Surat atau lebih tepat lagi hanya nota kecil seperti yang dia pernah beri ketika di zaman sekolah tinggi. Dia tak peduli kalau Riz dah tak boleh berjalan sekalipun, dia tetap akan mencintai wanita itu.

Ucapan yang dihantar bermula dengan ‘selamat pagi,’  ‘selamat malam,’ ‘tidur nyenyak,’ dan ‘mimpi indah.’

Dia juga ada menelefon seorang dayang-dayang di sana mengenai keadaan jantung hatinya itu. Apa khabar dia di sana? Masih bersedihkah?
Dan jawapannya Riz masih juga sama. Namun dia dapat tahu tentang satu perkara, katanya Riz mencari seorang perempuan. Alana namanya. Dayang-dayang itu terdengar selepas menghantar makanan tengah hari.

Kata dayang-dayang itu lagi, Alana boleh menaiki takhta. Malas mahu masuk campur, itu bukan urusannya. Pen ditangannya dimain-mainkan. Apa lagi kata-kata yang boleh dia tulis untuk Riz? Akhirnya dia menemukan idea. Harapnya, kata-kata ini boleh membantu semula jiwa Riz untuk kembali bangkit.

‘Semua orang sayang? Orang pun kadang-kadang tak ada, berkurang kuantitinya. Tapi yang ada inilah yang patut kita hargai kualitinya, kan?’
-D

‘D’ yang datang daripada namanya, Henry Darren

***
Dua tahun kemudian,
Hari ini akhirnya Henry akan bersemuka dengan cinta hatinya. Dia berkunjung ke istana Riz untuk meluahkan segala isi hati. Dia pasti usaha yang dia lakukan selama ini akan membuahkan hasil. Lagi pula, sudah lama dia memendam rasa.

Bekas cincin yang berbentuk hati dan berwarna hitam itu dipandang. Dia pilih warna hitam kerana hitam melambangkan cinta yang kekal selamanya. Bekas cincin itu dibuka dan sebentuk cincin permata yang berkilauan itu ditatap sambil bibirnya mengoyak senyum.

Dia menunggu kehadiran Riz di taman berdekatan hutan sambil duduk di bangku kayu dan merenung ke arah bulan.

“Ada apa nak jumpa saya malam-malam ni?”

“Riz, sudikah awak menjadi permaisuri dalam hidup saya?” Posisinya diubah ke posisi melamar.
Bekas cincin dibuka. Riz menekup mulutnya. Sungguh, dia terkejut.

“Saya... Saya tak boleh terima cincin ni.”

“Maksud awak?”

“Saya dah terima lamaran daripada Stephan.”

Dan pada ketika itu, hati Henry pecah berderai.

***

Kini mereka sudah pun tiba di destinasi. Henry membawanya ke bilik di sebalik potret wajah dia sendiri atau lebih tepat lagi bilik yang mempunyai laluan rahsia itu. Pergelangan tangan Riz diikat kemas dan didudukkan di sudut bilik. Bilik itu dibiarkan tanpa cahaya lampu jadi penglihatan dia yang ketika ini sedang memandang Henry tampak samar.

“Suatu hari aku berjumpa dengan seorang lagi wanita yang ada iras-iras dengan dia. Aku harap wanita tu boleh terima aku tapi rupanya-rupanya dia pun pengkhianat juga!” Henry menyambung ceritanya lagi manakala Riz hanya menunduk.

“Walaupun aku tahu, aneh kalau kau tak kenal siapa pemerintah empayar atau negara yang kau tinggal, kau tak tahu apa posisi Bella dekat istana yang sepatutnya seorang rakyat tahu tapi aku butakan mata aku, aku bodohkan diri aku sebab aku masih berharap untuk wanita yang ada iras macam perempuan tak guna tu boleh terima aku!”

“Tapi apa hak awak untuk seksa dia macam binatang?” Suaranya yang tadi lembut kini berubah menjadi jeritan. Wajahnya merah seperti udang yang dibakar.

Amarah dihambur di hadapan wajah Henry. Masih bermain-main dengan kiasan cerita yang Henry berikan walaupun dia sendiri mengerti perempuan tak guna dan perempuan hutan yang dimaksudkan oleh Henry itu adalah orang yang sama iaitu dirinya.

“Apa hak awak untuk bunuh suami dia? Fitnah dia? Menipu rakyat? Rampas kuasa? Pukul dia? Rogol dia berkali-kali? Apa hak awak?”

“Cinta kena tolak terus dapat seksa hidup dia. Habis kalau aku tolak cinta kau untuk kali kedua aku pun akan diseksa juga?”

“Hanya kerana cinta kau sanggup musnahkan kebahagiaan orang lain? Pengecut!” Pengecut. Itu ialah satu perkataan yang dia pernah ucap kepada Henry dulu.

Pang!

Pipi Riz terasa berpijar.

“Kau cakap aku pengecut? Betul, aku memang pengecut. Tapi kau tengoklah diri kau sendiri sekarang sebelum bercakap. Cermin diri kau sendiri dulu. Takhta sekarang pada tangan siapa? Kekayaan dan harta keluarga kau ada pada siapa? Yang hidup menderita siapa? Yang suami dia dibunuh oleh diri sendiri siapa? Yang dicaci maki rakyat sendiri siapa? Aku pengecut tapi aku ada segalanya, kau ada apa? Kosong.”

“Rahsia aku akan terkubur sampai bila-bila dan kau pun takkan mampu untuk bongkarkan rahsia tu!”

“Kau tak faham lagi ke Henry? Semuanya dah tamat. Kau takkan menang walaupun hari ni aku mati!”

Dush!

Kini penumbuk pula yang hinggap dipipinya. “Aku tak pernah kalah, Zehra.”

“Aku harap kau boleh berhenti panggil aku Zehra. Sebab kita memang tak ditakdirkan untuk bersama.”

maafkan saya kerana lambat update, terima kasih kerana menunggu. tinggal 10 bab lagi untuk cerita ni tamat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience