[3] Potret

Fantasy Completed 3250

"Apa yang awak cuba buat?" Soalan terus ditanya sebaik sampai di ruang tamu. Pintu dikunci rapat.

"Saya cuba selamatkan awak." Bella membalas. Punggungnya dilabuhkan. Dia memang tak berapa suka dengan kehadiran Zehra dan dia yakin firasat dia benar.

"Selamatkan saya? Boleh tak awak berhenti masuk campur dalam urusan saya?" Suara Henry sedikit keras ketika mengaju soalan. Bukan apa, ini bukannya kali pertama Bella berkelakuan sebegini rupa.

"Tak boleh. Perempuan tu bahaya."

"Bella, saya faham awak sedih dengan apa yang dah berlaku sebelum ni, tapi perkara tu dah setahun. Tolonglah, move on. Sampai bila? Sampai bila awak nak tuduh semua orang pembunuh, bahaya?" Akhirnya yang terbuku dijiwa Henry lepaskan.
Dia memang dah tak tahan lagi.

"Awak nak cakap saya gila ke?" Suara Bella kini agak perlahan dengan pandangan mata yang sayu. Sebab perempuan itu dia dilabel kurang siuman? Jadi Henry lebih memikirkan perempuan itu berbanding dirinya?
Hatinya rasa semakin panas. Siaplah kau nanti, Zehra.

"Nampak tak? Awak tak stabil," kata Henry sebelum membuka langkah untuk keluar namun lengannya tiba-tiba digenggam.

"Awak sukakan dia?"

"Kalau saya sukakan dia pun, tak ada kena mengena dengan awak."

•••

Kaki Zehra melangkah perlahan untuk ke bilik. Tubir matanya sedikit panas, kadang kala dia sendiri tertanya mengapa Bella dan Diana seolah-olah berlaku kasar dengannya? Mungkin juga disebabkan hidup mereka yang tak sama tarafnya, yalah dia ini cuma pipit, mana nak sama dengan enggang.

Punggung dilabuhkan di birai katil. Cincin emas yang bertatahkan berlian putih dijari manisnya dipandang. Cincin ini Henry hadiahkan pada hari dia bersetuju untuk mengikut Henry pulang. Katanya, dia boleh memulangkan kembali cincin ini kepada Henry jika dia mahu pulang dan tak mahu tinggal di istana ini lagi.

Dia sendiri masih keliru sama ada mahu menerima atau menolak pelawaan tersebut. Di sini, dia diberi pakaian yang cantik, bilik yang mewah dan makanan yang lazat, yang langsung tak sesuai untuk seorang Zehra biasa sepertinya.

Layanan yang diberi oleh dayang-dayang juga cukup mesra, walaupun sesetengah golongan diraja yang tinggal di sini kurang selesa dengan kehadirannya. Air mata dikesat.

"Apa yang cik menungkan tu?"

Suara dayang Khadijah yang tiba-tiba menyapa membawa Zehra kembali ke alam realiti.

Dayang Khadijah yang berdiri di hadapan pintu bilik tersenyum manis kepadanya sambil memegang secawan susu. "Boleh saya masuk?"
Zehra mengangguk.

Dia bergerak mendekati Zehra sebelum punggungnya juga dilabuhkan di sebelah gadis itu sejurus selepas gelas susu diletakkan di meja hadapan katil.

"Cik janganlah terasa sangat dengan apa yang dah jadi tadi, tuanku Bella tu memang kasar sikit dengan orang luar tapi dia baik sebenarnya." Pujukan dayang Khadijah hanya dibalas dengan segaris senyuman.

Kakinya di atur ke beranda sambil menatap langit malam dengan bulannya.

"Cik suka tengok bulan?" soal dayang Khadijah lembut.

"Suka." Dari beranda badannya dipusing untuk kembali menghadap wajah dayang Khadijah.

"Ada orang kata, bulan selalu hadir dengan bintang, mereka sentiasa bersama dilangit malam. Tapi, adakalanya saya perhatikan, bulan cuma sendiri."

Senyum manis dayang Khadijah ukirkan pada bibir.

"Saya rasa apa yang cik Zehra katakan, ada betulnya juga tapi apa yang orang lain cakap juga tak salah bagi saya."

"Kenapa pula?" Pernyataan dayang Khadijah itu agak mengelirukan. Siapa yang betul sebenarnya?

"Betul cakap cik, adakalanya bulan sendiri di waktu malam," ayat itu dijeda sambil segelas susu yang dibawa tadi dihulur ke arah Zehra. Kini mereka sama-sama berdiri di balkoni.

"Tapi bintang selalu ada, walaupun bulan tak nampak."

•••

Zehra melangkah perlahan ke arah taman mawar merah hadapan istana. Bayu pagi meniup lembut rambut hitamnya. Dirinya tampak jelita dengan gaun ungu gelap yang tersarung di tubuhnya sekarang. Matanya tertumpu pada sebuah meja makan yang sudah ditempah khas untuk dia dan Henry. Henry yang sedari tadi menunggunya di hadapan meja dihadiahkan satu senyuman manis.

"Pagi, Zehra," sapa Henry sambil tangannya menarik kerusi untuk Zehra.

Kini, kedua-duanya duduk berhadapan sambil ditemani ribuan mawar merah dikiri dan kanan. Hidangan puding mangga khas yang dibuat untuk mereka bersama secawan teh istimewa dipandang sebelum matanya terangkat pula menatap wajah Henry di hadapan.

Renungan dijatuhkan kembali ke arah hidangan khas tadi. Puding tadi dicedok sebelum sesuap dimasukkan ke dalam mulut. Manis.

"Saya minta maaf fasal Bella semalam." Perlahan Henry membuka bicara.

"Tak apa, saya faham."

"Saya pun nak minta maaf kalau-kalau sepanjang awak tinggal dekat sini ada sesiapa yang buat awak terasa, saya harap awak tak ambil hati."

"Tak, saya okey. Semua orang layan saya dengan baik." Puding disuap lagi ke dalam mulut.

Henry tersenyum sendiri. Zehra, betul-betul sama macam dia.

"Awak tak makan ke?"

"Boleh awak suapkan?" pinta Henry

"Kenapa tiba-tiba saya pula yang kena suap awak?" Soalan dibalas soalan.

"Please... Suap saya macam yang awak pernah buat dekat hutan dulu."

Akhirnya sesudu tersuap juga ke mulut Henry.

"Awak nampak cantik."

"Apa?"

"Tak ada apa-apa." Keadaan antara mereka menjadi sunyi buat seketika.

"Sebenarnya, saya nak tanya awak sesuatu." Zehra membuka suara.

"Apa dia?"

"Apa hubungan awak dengan Bella?"

•••

Teh panas yang berada dicawan, aku cicip sedikit. Pandangan aku lemparkan ke arah taman bunga istana yang dipenuhi dengan mawar merah. Puas. Apa yang terjadi semalam betul-betul berlaku seperti yang aku mahukan.

Cawan teh tadi aku letak kembali di atas meja. Langkah kaki aku atur ke arah sebatang pokok Beech yang berada dihujung taman. Pohon yang daunnya jingga dan cukup redup itu aku pandang lama lalu batang pohon itu aku perhatikan.

Riz x Stephan

Minda aku masih ingat satu kenangan yang tak akan aku lupa. Kenangan indah yang bertukar pahit dan membuatkan aku sakit sampai ke hari ini. Ketika hati aku merintih pilu, tak ada satu pun manusia yang sudi memberi bahu untuk aku membuka cerita.

Kali ini, sejarah itu akan aku pastikan berulang, tapi bukan pada diri aku.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket gaun. Nombor Kamelia aku dail.

"Mel, aku nak kau masuk campur untuk permainan kedua aku."

"Selama ni, memang aku ikut campur pun, kan?"

"Aku nak cepat, kita dah ada orang baru yang akan ganggu percaturan ni, aku tak nak kita berlengah."

"Kau nak minta aku buat apa?"

•••

Zehra menghembus nafas perlahan. Tubuhnya direhatkan di atas katil mewah biliknya. Fikirannya masih buntu memikirkan jawapan apa yang harus dia beri pada Henry esok. Esok adalah hari terakhirnya di sini.

Dengan perlahan Zehra bangkit dari pembaringannya. Kakinya diatur untuk keluar dari bilik dan langkahnya ingin dibawa ke taman mawar istana yang dikunjunginya pagi tadi.

Setiap kali dia pergi ke taman itu, dia rasa tenang dan dia yakin, pada waktu malam pasti taman itu lebih indah dengan langit yang dihiasi terangnya cahaya bulan bersama lampu-lampu bercahaya kuning yang menghiasi taman itu.

Bibirnya mengukir senyum manis seiring langkahnya melalui sebuah lorong istana. Detik berjeda di atmosfera masa. Langkah kaki Zehra yang tadinya laju kini terhenti. Matanya merenung sebuah kanvas yang gambarnya merupakan seorang wanita.

Dan, gambar itu, sama seperti gambar yang dijumpainya di hutan beberapa hari yang lepas namun gambaran wanita itu lebih cantik di sini. Dia memiliki rambut perang keemasan dan kulitnya sangat bersih serta halus. Jadi dia orang istana? Yang peliknya, cuma kanvas itu satu-satunya yang ada di lorong ini.

"Kau tenung apa?" Tak semena-mena ada suara yang menegurnya dari arah belakang.

Kepala ditoleh, wajah Bella yang menjamu pandangan mata. Zehra beranikan diri untuk bertanya. "Siapa ni?"

"Kau tak kenal siapa dia?"

Zehra menggeleng kepala.

"Kau pasti kau tak kenal dia?" Sinis.

"Kalau kau tak kenal tak apa, biar aku kenalkan."

"Riz. Itu Riz Ruziana. Sebelum Henry tadbir Vioreece, empayar ni ditadbir oleh dia dan suaminya. Empayar ni maju masa zaman pemerintahan dia, rakyat hidup dengan harmoni. Semuanya indah-indah belaka."

"Tapi sayang," Patah kata Bella sengaja dijeda.

"Kenapa?"

"Sayang sangat, sebab keharmonian Vioreece dia hancurkan sendiri. Dia bunuh suami dia sebab nak naik takhta, tak sempat naik takhta pun dia dah tertangkap atas usaha Henry."

"Selepas kejadian tu, Henry dilantik sebagai pemerintah kerana cuma dia satu-satunya waris yang tinggal.

"Dahlah tak cantik, hodoh. Ada hati pula nak rampas takhta, takhta suami sendiri pula tu."

"Untuk pengetahuan kau, aku tak suka kau ada dekat sini. Aku akan singkirkan kau, macam yang Riz pernah hadap dulu, Zehra." Nama Zehra dan Riz seolah-olah ditekan.

Bang!

Kedua-dua mereka terkejut. Waktu seakan terhenti. Jantung Zehra berdetak laju. Itu bunyi tembakan. Dia tahu, bunyi tembakan itu datang dari kamar Henry. Jantungnya semakin kencang, adrenalin mula memainkan peranan.

Segera kaki Zehra melangkah untuk ke bilik. Kelajuan lariannya ditambah. Setiap derap langkahnya dipercepat dalam kerisauan yang menggunung. Dia tak mahu ada apa-apa berlaku kepada Henry. Kenapa semua benda ni jadi lepas kehadirannya di sini? Adakah dia punca segalanya? Pintu bilik Henry ditolak kasar.

"Henry!" Segera Zehra melangkah ke arah Henry yang jatuh terbaring dengan bahunya yang penuh darah. Kepala Henry diangkat dan diletakkan pada ribanya.

"Argh," hanya itu yang mampu untuk Henry lafazkan.

"Tolong!" jerit Zehra kuat.

"Apa yang dah berlaku ni?" Suara Bella di pintu bilik menyebabkan wajah Zehra berpaling.

"Henry!" Tubuh Zehra pada Henry ditolak ke tepi.

"Henry kena tembak." Air mata Zehra menitis jua akhirnya.

"Siapa yang tembak?"

sorry semalam lupa update. Hari ni kita buat double, malam nanti saya update lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience