Takdir I: Setia Menanti

Fantasy Completed 3250

(Ke hadapan wahai suami yang amat saya cintai, jika dihitung hari, ternyata sudah enam bulan kita tidak bersua muka. Saya tahu, tak layak jika saya mengungkap rindu, tapi soal hati saya sendiri tak boleh tipu.)

(Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk meluahkan segala isi hati yang selama ini terbuku dan terpendam jauh. Secebis kisah hidup dan bagaimana besarnya rasa cinta saya untuk awak.)

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup rambut perang keemasan Zehra yang berlari-lari anak sambil memegang tangan seorang wanita yang dia sangat ibu kandungnya dengan riang. Senyumnya tak lekang daripada bibir, layaknya seperti kanak-kanak yang berusia lima tahun yang lain.

Rambut panjangnya yang dikuncir di kiri dan kanan kepala turut berayun-ayun seiring gerak langkahnya. Hari ini, hari pertama dia ke taman didikan kanak-kanak. Ibu cakap, dia budak baik jadi mesti dia boleh belajar dengan cepat.

"Seronok tak, nak pergi tadika?" Ibunya bertanya.

"Seronok!" Girang Zehra menjawab.

Sesampainya di hadapan pagar tadika tersebut, ibu terus melepaskanya kepada guru yang bertugas dan dia terus dibawa masuk ke dalam kelas.

Di kelas, ramai kanak-kanak sepertinya sedang seronok bergaul dan bergelak ketawa. Ada juga yang teresak-esak menangis kerana tak mahu bersekolah.

Zehra yang sudah sedia ramah cuba menegur kanak-kanak perempuan yang menangis tadi. "Hai, saya Zehra." Tangannya juga dihulur.

"Ibu, ada raksasa!" Jerit kanak-kanak itu sambil meraung dalam tangisan.

Zehra terkesima. "Awak tak nak kawan dengan saya ke?"

Kanak-kanak itu hanya menyambung tangisannya tanpa membalas soalannya walau dengan sepatah kata. Zehra angkat kaki dan melangkah ke arah dua orang kanak-kanak perempuan yang sedang bersembang.

"Hai, saya Zehra." Sekali lagi dia memperkenalkan diri.

"Tak payahlah kawan dengan dia. Muka dia buruk," bicara salah seorang daripada mereka. Hati Zehra terguris.

(Di saat itu saya sedar, yang saya tak cantik. Hodoh. Buruk dan mimpi ngeri saya ternyata tak terhenti cuma di situ.)

Lima tahun kemudian,

Menduduki bangku seorang pelajar sekolah rendah darjah empat, Zehra hadir ke sekolahnya seperti biasa. Walaupun dia tak cantik seperti orang lain, dia ialah pelajar paling cerdik di dalam kelasnya. Nilainya sentiasa menjadi yang paling tinggi, kedudukannya juga sentiasa menjadi yang pertama.

Tapi masih, dia langsung tidak mempunyai teman. Hanya hidup bersendirian, tapi dia bahagia juga bersama keluarganya yang cukup menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Lama berdiam diri dan cuma duduk di kerusi, Zehra mengambil langkah untuk mendekati rakan sekelasnya. "Aira, nak pinjam buku sains boleh? Nak tengok latihan semalam," pintanya penuh sopan santun.

"Tak naklah. Nanti berjangkit pula sakit kulit kau dekat aku."

Zehra senyum kelat. Hinaan dan cacian yang sebegitu sudah lali di koklea telinganya. Dengan rasa hampa dia berlalu kembali ke tempat duduknya, namun...

Gedebuk!

Tubuhnya tiba-tiba tergelincir dek lantai yang berubah menjadi licin. Kulit pisang.

Splash!

Simbahan air mineral daripada botol Charles tepat mengena pada wajahnya. Habis baju dan rambutnya basah tak terurus.

Krak!

Lemparan beberapa biji telur pada badannya membuatkan bau hanyir memenuhi ruang kelas.

"Selamat hari jadi, budak pembawa malang!" Jerit mereka beramai-ramai sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Air mata Zehra menitis jatuh.

"Budak sial macam kau ni tak layak masuk kelas kitaorang," tukas Alfred.

"Kenapa kau orang benci aku sangat? Apa salah aku? Aku ada buat apa-apa salah ke?" Teresak-esak Zehra bertanya soalan itu. Rakan seisi kelasnya sudah pun berkumpul mengelilinginya.

"Salah kau, sebab kau hodoh! Muka kau tu buruk, kau faham tak? Aku jijik kau tahu tak tengok muka kau, jijik!" Kepala Zehra ditunjal Alfred.

Jijik.

***
Selesai membersihkan diri, malam itu Zehra bersedia untuk makan malam bersama keluarga kecilnya. Keluar dari bilik, tapak kakinya diatur menuju ke meja makan. Rumahnya tidaklah besar namun di rumah ini dia bahagia.

Walaupun sering dibuli di sekolah, dia selalu ada keluarga yang menemaninya. Ibu cakap, dia sangat matang berbanding usianya yang sebenar. Mungkin kerana kesempitan hidup, dia harus belajar melakukan semua perkara dengan sendiri sekaligus membuat dia menjadi satu sosok yang cukup berdikari.

Punggung dia dudukkan pada kerusi. "Macam mana sekolah tadi?" Soal ibunya.

Siang tadi ketika pulang ke rumah, ibunya masih lagi belum pulang daripada bekerja. Begitu juga dengan ayahnya, jadi tiada siapa pun yang melihat bagaimana keadaannya tadi. "Okey aje, macam biasa." Segala masalahnya dia pendam seorang diri.

"Baguslah, belajar elok-elok. Nanti boleh dapat kerja bagus, boleh ubah nasib hidup," bicara ibunya.

"Baik ibu."

Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan daripada pintu hadapan rumah membuatkan Zehra menoleh.

"Kejap, ibu pergi buka pintu." Ibunya mula melangkah ke muka pintu.

Figura ayah yang sedang memegang plastik putih yang berisi sebuah kotak Zehra tatap. "Apa tu, yah?*

"Ha, hadiah hari jadi anak ayahlah." Langkah ayahnya diiringi dengan senyuman sambil kotak kek itu diletak di atas meja.

"Ayah tahu, anak ayah ni suka kek strawberi, kan?"

"Tapi kek ni bukan mahal ke yah?"

"Alah, untuk anak ayah. Bukannya selalu pun, kan?"

"Thank you ayah!" Tubuh ayahnya itu didakap erat.

(Walaupun saya selalu dibuli ketika di sekolah, saya bersyukur sebab saya masih ada sebuah keluarga yang bahagia dan menyayangi saya dengan sepenuh hati. Tapi kegembiraan saya tak kekal lama.)

Zehra begitu teruja untuk pulang ke rumah. Dia memperoleh keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya pada hari ini dan kesemua nilainya A+. Tak sabar nak tunjuk dekat ibu.

Loceng yang akhirnya berbunyi menyebabkan Zehra bingkas bangun daripada duduknya. Selesai mengucapkan terima kasih kepada guru mata pelajaran terakhir, dia berlari dengan perasaan yang cukup gembira menghuni jiwa.

Pulang dari sekolah menaiki bas awam seperti biasa, akhirnya Zehra tiba di perkarangan rumah. Namun, ada sesuatu yang janggal di sana. Banyak selipar yang berada di hadapan pintu rumah. Apa yang dah berlaku?

Pintu rumah itu diketuk laju sebelum akhirnya ada seseorang membuka pintu tersebut. Seorang wanita yang bukan ibunya melainkan seorang mak cik yang merupakan jiran mereka.

"Kenapa ni mak cik?" Zehra menyoal dengan penuh tanda tanya.

Soalannya tidak dijawab namun tubuhnya langsung didakap erat. "Ibu dengan ayah dah tak ada sayang," bisik mak cik itu perlahan di cuping telinganya.

Di saat itu, hati saya benar-benar hancur.

"A...apa? Tak ada? Maksud mak cik?" Pelukan terus dileraikan. Zehra menapak masuk ke dalam rumah bagi mencari ibu dan ayahnya namun hanya jasad kaku yang menjamu mata.

"Ibu..." Air mata Zehra jatuh lagi.

Zehra jatuh terduduk. Kenapa? Kenapa semuanya harus jadi begini?
Bahu ibunya digoncang kuat sambil asakannya bergema di seluruh ruang tamu rumah kecilnya itu. "Ibu, ibu tak boleh tinggalkan Zehra. Siapa yang nak teman Zehra lagi lepas ni? Ibu, ibu bangunlah!" Kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun itu berteriak.

Tubuh ibunya dipeluk serapat mungkin. "Ibu..." Dia merengek sebelum melilau memandang jasad kaku ayahnya pula.

"Ayah... Kalau ayah tak ada siapa yang nak bergurau dengan Zehra lagi? Siapa yang nak bagi hadiah hari jadi nanti? Zehra nak manja dengan siapa? Zehra cuma ada ayah aje. Ayah bangunlah..." Sedu-sedannya kedengaran.

(Maka sejak itu, bermulalah kehidupan saya di rumah anak yatim yang hanya menambah coretan luka dan calitan duka.)

Tiga tahun kemudian,

Penyakit kulit misteri yang dihidapi oleh Zehra beransur pulih apabila usianya semakin meningkat. Wajah dan lehernya sudah bersih, yang tinggal hanya lengan dan kakinya saja. Walaupun begitu dia masih saja dianggap lemah dan masih lagi dibuli dengan begitu kerap.

Pen yang meluncur laju di atas buku latihan sekolahnya terhenti apabila bahunya disentuh oleh seseorang. Dia yang tadinya tekun menghadap meja memusingkan badannya ke belakang untuk melihat gerangan yang memanggil. "Ya?" Senior di rumah anak yatim itu Zehra sapa.

"Kau dah basuh ke belum baju aku?"

Tersentak Zehra dengan soalan yang diaju begitu kasar. Zehra tunduk memandang lantai sebelum teragak-agak untuk menjawab. "Belum. Saya terlupa semalam."

"Kau ni, kan aku dah cakap basuh baju tu semalam. Esok aku nak pakai, kalau tak kering macam mana? Kau pergi basuh sekarang!" Tengking senior itu.

"T... tapi saya ada kerja sekolah yang saya kena siapkan."

"Masalah aku ke? Kau punya fasallah kerja sekolah kau siap ke tak. Sekarang ni aku nak baju sekolah aku dah siap basuh, kau faham?" Beberapa helai baju sekolah dan skirtnya dicampak tepat ke wajah Zehra.

"Fah... Faham." Baju-baju sekolah itu dikutip.

"Sampah," monolog senior itu sendiri sebelum mengambil langkah untuk berlalu pergi

***
Senja akhirnya tiba. Selesai melakukan semua tugasnya, Zehra bingkas bangun daripada meja belajar menuju ke kamar mandi. Baju-baju yang diarahkan untuk dicuci pagi tadi telah pun disidai dan diangkat.

Segala keperluan mandinya bersama tuala dibawa sekali. Lampu kamar mandi dibuka dan dia melangkah masuk ke dalam kamar kecil yang paling hujung. Mandiannya dimulakan seperti biasa namun tiba-tiba keadaan berubah menjadi gelap gelita.

Ada sesiapa yang tutup lampu ke? Tak akanlah dia dibuli lagi.

Mandiannya diselesaikan secepat mungkin. Tuala diambil dan pintu kamar kecil itu cuba dibuka. Namun, tak berjaya. Ada yang menguncinya dari luar. Pintu itu kemudiannya di ketuk-ketuk dari dalam. "Siapa yang kunci ni?" Laung Zehra.

"Bukalah!"

Tuk! Tuk! Tuk!

"Jangan main-main boleh tak?" Esak tangis Zehra kedengaran.

"Tidurlah kau dekat dalam tu seorang-seorang malam ni!" bicara seorang pelajar dari luar sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Tinggallah Zehra seorang diri. Tubuhnya yang tadi berdiri kini melorot jatuh sebelum disandar pada pintu kamar mandi sambil teresak-esak menangis meratapi nasib diri. Hingga akhirnya dia juga dibuai lena dalam kebasahan dan keinginan malam.

***

Pagi akhirnya tiba dan pintu Zehra baru boleh dibuka setelah semalaman dia terlena di kamar mandi itu. Segera dia melangkah keluar dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Kemeja putih bersama vess dan skirt berwarna merah hati dia sarung ke tubuh

Dah lambat, jadi dia kena cepat. Buku-buku yang perlu dibawa dimasukkan ke dalam beg bersama kotak pensel. Namun ada sesuatu yang buat perlakuannya itu terhenti.

Air matanya bergenang seketika.
Salah satu buku latihannya telah pun lunyai dikoyak dan dihancurkan. Latihan yang baru dia siapkan semalam.

Dia tahu dia hodoh. Dia sedar dia buruk. Dia sedar dia tak cantik. Dia tahu dia jijik. Tapi, dia tak ada buat apa-apa salah dengan orang. Jadi kenapa? Kenapa dia dilayan seperti manusia yang tak layak hidup?

***

Seminggu kemudian,

Pagi ini mereka di rumah anak yatim itu bersiap sedia untuk melakukan aktiviti menjelajah hutan dan berkelah di salah sebuah air terjun. Katanya lokasi hutan itu, at dekat dengan istana empayar ini. Bahkan ada yang kata, istana yang terletak di atas bukit itu boleh dilihat dari bawah air terjun.

Sejak dulu, dia selalu berangan-angan bagaimana kalau dia ialah seorang puteri diraja. Ibu ialah maharani dan ayah ialah maharaja. Bagaimana rasanya tinggal di rumah besar? Bagaimana rasanya memakai gaun kembang setiap hari?

"Jalanlah cepat sikit!" Bahunya ditolak ke depan.

Menungan Zehra terhenti dan dia segera melangkah menaiki tangga bas yang akan membawa mereka ke lokasi. Zehra mengambil tempat di kerusi sebelah tingkap. Tubuhnya kemudian disandarkan pada kerusi.

Sepanjang perjalanan, Zehra melentokkan kepalanya pada jendela bas sambil menikmati pemandangan bandar Vior. Bermula daripada menikmati bangunan-bangunan tinggi pencakar langit, berubah kepada pohon-pohon besar di pinggir hutan.

Sejam perjalanan akhirnya mereka tiba di arah tujuan. Bas berhenti di satu stesen di pinggir jalan dan satu-persatu murid turun berpusu-pusu sebelum mula bergerak pergi meninggalkan lebih kurang 30 orang murid dan penjaga serta warden rumah anak yatim yang ikut serta.

Di seberang jalan besar, Zehra melihat ada gerai yang menjual buah potong manakala di kiri stesen bas terdapat satu gerai yang menjual air minuman. Di sebelah kanan pula ada lorong kecil menuju ke pintu gerbang utama hutan yang mereka ingin jelajahi.

Udara segar Zehra hirup. Kawasan di sini cukup nyaman dan damai. Keadaan yang sedikit berangin dan cuaca yang tak begitu panas membuatkan Zehra merasa begitu selesa. Selesai semua urusan, Zehra dan kesemua tiga puluh orang murid mula berjalan masuk ke lorong yang bakal membawa mereka ke destinasi beramai-ramai.

Zehra berjalan dengan kelajuan sederhana dan berada di kedudukan paling belakang barisan. Sepanjang perjalanan, terdapat chalet-chalet dan rumah tumpangan bagi mereka yang mahu bermalam di sini.

Langkah demi langkah akhirnya mereka tiba juga di hadapan pagar utama.

(Hari itu ialah hari kita bertemu. Hari yang saya tak pernah sangka dengan pertemuan yang seketika, rasa cinta yang saya genggam dalam jiwa, mampu bertahan hingga ke belasan tahun.)

"Okey semua dah ada dekat sini ke?" Laung penjaga mereka.

"Dah!"

"Saya nak kamu semua jaga mulut bila kita dah masuk hutan nanti. Jangan cakap yang bukan-bukan, jangan celupar. Yang senior tolong jaga junior elok-elok. Faham?"

"Faham!"

Langkah mereka teruskan melepasi pagar sebelum melintasi sebuah jambatan gantung perlahan-lahan. Brung-burung berterbangan bersama awan-awan yang berarak tampak begitu harmoni.

Pandangan di bawah jambatan gantung juga masih terlihat indah dengan pohon-pohon besar hutan meski ketinggian jambatan gantung itu berada di ketinggian yang mampu buat orang lain gayat.

Panorama hutan melepasi jambatan gantung juga cukup untuk buat Zehra rasa teruja. Daun-daun kering yang jatuh berguguran di tanah yang Zehra pijak menghasilkan bunyi-bunyi yang berkombinasi dengan kicauan burung-burung dan unggas hutan. Terik mentari tidak begitu terasa kerana ditutupi dengan kanopi pokok.

Jalan yang mereka lalui termasuk jalan rata, sedikit berbukit dan ada yang curam juga. Lama berjalan, Zehra merasa sedikit lelah. Botol air mineral daripada beg yang digalas dibelakang dikeluarkan sebelum diteguk sedikit bagi melegakan rasa dahaga sebelum langkah diteruskan lagi.

(Entah bagaimana ketika itu, saya sendiri juga sudah lupa bagaimana saya boleh terkeluar daripada barisan dan rombongan itu. Yang saya ingat, saya berjalan tanpa arah tuju dan sangat kelelahan. Air mineral juga telah habis diminum hingga menjadikan matlamat utama saya adalah untuk mencari sebatang sungai.)

Nafas Zehra tercungap-cungap. Langkahnya yang tadi cergas kini mula lemah. Kadang kala dia tersadung kemudian jatuh namun dia masih juga bangun dan terus melangkah. Peluh yang jatuh berjuraian di dahi dia lap dengan lengan baju.

Ah, air. Dia mahukan air. Bunyi arus sungai yang menyentuh gegendang telinganya buat bibirnya tersenyum kecil. Ada sungai di kawasan berdekatan. Dia perlu cari sungai itu.

Gerak kakinya dipercepat mengikut bunyi arus sungai. Lima minit kemudian, sebatang sungai yang tadi hanya didengar bunyinya kini terhidang di depan mata.

Zehra terus berlari ke arah sungai terbabit dengan lemah sebelum sekali lagi tersadung dek akar pokok lalu terjatuh ke dalam air sungai yang jernih tadi.

Splash!

Malang menimpa, hari itu terjadi kepala air. Arus derai menghentam tubuh Zehra habis-habisan dalam sekelip mata. Tubuhnya terkapai-kapai meminta tolong. Dia cuba untuk kekal di permukaan namun setiap kali dicuba acap kali gagal.

"Tolong!"

Dia cuba juga untuk berenang ke tepian walaupun kemahiran itu langsung tak dia miliki. Nafasnya cuba untuk ditarik namun tercungap-cungap. Seketika dia batuk dek air yang ditelan secara terpaksa.

Uhuk!

Uhuk!

"Tolong!"

Tubuhnya tenggelam timbul. Matanya pedih di hentam arus namun aliran air sungai yang cukup laju masih saja menghanyutkan tubuhnya ke tempat yang dia sendiri tak tahu di mana.

Bush!

Kepalanya terhantuk pada batu sungai yang cukup keras. Tubuhnya juga berlaga-laga dengan batu-batu tersebut.

"Tolong!"

"Tolong!"

Air yang mula memasuki dan memenuhi peparunya buat dia terbatuk-batuk sebelum arus deras air kembali menenggelamkan jasadnya yang tidak berdaya.

Air matanya hampir menitis. Dadanya sesak.

"Tolong!" Itu ialah laungan terakhirnya sebelum tubuhnya terus tenggelam dibawa arus deras. Tangan yang tadi berada di atas permukaan air kini ikut jatuh. Matanya dipejam. Dia masih cuba untuk menarik nafas namun gagal. Dia cuba lagi, gagal lagi. Dia cuba lagi dan gagal lagi. Matanya makin cetek. Peparunya terasa dipenuhi dengan air.

Akhirnya, dia berputus asa...

Splash!

Terasa tubuhnya diangkat daripada kedalaman air, namun mindanya kini sudah tidak sedar lagi. Segala-galanya gelap.

(Dikala itu, awak cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa saya yang bukan siapa-siapa, terima kasih.)

Tekanan pada kawasan dada memaksa Zehra untuk bangun dan memuntahkan segala isi air.

Uhuk!

Uhuk!

(Ketika itu, awak merasa saya ialah Riz Ruziana yang pernah awak kenal, mungkin kerana awak belum nampak kekurangan saya.)

Kembali sedar dari pengsan, Zehra menoleh ke tepi. Seorang budak lelaki yang menyelamatkannya dipandang.
"Kenapa awak selamatkan saya?" soal Zehra.

Entah bagaimana soalan itu yang terbit pada bibir. Walhal niaga saya hanya mahu mengucapkan terima kasih. Saya sendiri juga terfikir, kenapa saya tanya soalan yang sebegitu sedangkan ayat memang mahu diselamatkan.

"Sebab saya cintakan awak."

(Saya terkesima. Sepanjang hidup saya, tak pernah seorang pun yang mahu berkawan dan berteman. Rakan saya cuma ibu dan ayah. Hidup saya hari-hari dicaci dan dibenci. Saya cakap dengan binaan saya sudah kalau, tapi saya tipu. Itu masih lagi mengguris hati.)

(Saya dibuli dan disuruh itu ini. Paling penting sekali, saya tahu yang saya tak cantik. Saya hodoh jadi saya tak pernah berharap yang akan ada seseorang yang cintakan saya pun.)

"Awak cintakan saya?" Zehra menyoal balik.

Pergelangan Zehra ditarik. "Ya, inilah kali pertama saya merasa jatuh cinta."

(Ah, saya sendiri pun terlalu muda ketika itu. Tapi entah kenapa kata-kata awak saya pegang hingga 19 tahun. Saya tunggu awak, Henry. Saya tunggu.)

thank you for reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience