[26] Tabir

Fantasy Completed 3250

Lima bulan sebelum,

Dilayla melabuhkan punggungnya di sofa hadapan kasur sambil menatap wajah Kamelia. "Aku rasa ada sesuatulah antara Bella dengan Zehra."

Ruang ketiga bilik bawah tanah ini terasa begitu hening dengan sinaran lampu yang berwarna kuning ditengah-tengah bilik.

Kamelia yang tadinya bersandar menukar posisi ke duduk tegak. "Maksud kau?"

"Setahun kita siasat kes tu dekat sini, Bella taklah pula benci dengan golongan bawahan. Maksud aku, aku tahu kadang-kadang emosi dia memang tak berapa stabil tapi taklah seteruk tu. Jadi, aku syak ada sesuatu yang Bella sembunyikan. Cara dia pandang Zehra, bukan pandangan benci tau. Lain kalau Diana yang memang agak sombong. Tapi, Bella ni macam takut. Terlalu takut dengan Zehra seolah-olah Zehra akan rosakkan segalanya."

"Tak mungkin. Takkanlah Zehra dengan Bella pernah kenal, kut?" bidas Kamelia.

Daripada duduk, Dilayla bangkit berdiri. Tangannya disilang ke dada sambil merenung dinding dan memikirkan sesuatu. "Aku tak pasti fasal tu. Jadi, malam ni aku nak buktikan sesuatu."

"Buktikan apa?

"Aku nak buktikan betul ke tak sangkaan aku yang Bella memang paranoid dengan Zehra atau itu cuma firasat aku aje."

***

Dilayla membancuh laju jus oren yang perlu disediakan untuk makan malam hari ini. Ada sesuatu yang sudah dia letakkan di dalam air. Pintu tandas dia tatap lama. Zehra masih lagi di dalam.

Pintu tandas yang sudah terkuak buatkan Dilayla sedikit terkejut sebelum dulang air itu diberikan kepada Zehra. "Maaf, tapi boleh tak cik bawa dulang air ni ke ruang santapan. Saya nak ke tandas sekejap." Dia mahu buktikan sesuatu. Adakah Bella memang takut akan Zehra atau itu cuma perasaannya saja.

"Baik," balas Zehra.

"Terima kasih."

Apabila dulang bertukar tangan, segera Dilayla membawa langkahnya ke tandas. Pintu sengaja dia biarkan sedikit terbuka supaya dapat mengintai.

Prang!

Dulang yang dipegang Zehra jatuh. Semua gelas kaca yang ada di atasnya juga pecah.

"Apa yang kau masukkan dekat dalam air ni?" Tegas suara Bella yang baru saja masuk ke ruang dapur.

"Apa yang awak cakap ni? Saya tak letak apa-apa pun," kata Zehra separa merayu. Dia mula menunduk untuk mengutip kaca gelas yang pecah tadi.

"Jangan tipu aku. " Wajah Zehra dipegang kuat.

"Tak, saya tak letak apa-apa pun dekat dalam air ni. Percayalah! Saya sumpah saya tak letak."

"Kalau kau tak letak apa-apa, jilatlah tumpahan air tu."

Zehra mendekatkan wajahnya pada lantai istana.

"Mana lidah kau? Jilatlah apa lagi!" Kepala Zehra ditolak hingga menekup lantai. Habis basah wajah Zehra terkena tumpahan jus oren tadi. Dia mengeluarkan juga lidahnya untuk menjilat tumpahan air tersebut.

"Dah, saya dah jilat. Puas hati?"

"Bella!" Henry menjerkah mereka berdua.

Dilayla mengambil langkah untuk keluar dari tandas sebelum terus ke bahagian hadapan dapur. "Saya minta maaf, tuanku. Salah saya, sepatutnya saya yang hantar air."

"Bella awak ikut saya sekarang. Dilayla, tolong bersihkan semua ni dan tolong Zehra sekali." Tegas Henry memberi arahan. Bella pula hanya memandang Henry dengan tatapan tak berouas hati.

"Baik tuanku." Seperti yang dia sangka, Bella terlalu paranoid dengan Zehra.

***

Daun pintu salah sebuah bilik yang tak diketahui umum di istana ini Dilayla tolak. Bilik kepunyaan Kamelia. Tak, lebih tepat lagi, bilik mereka berdua. Sudah dia pastikan, semua yang lain nyenyak beradu di kamar masing-masing.

"Akhirnya kita boleh jumpa di malam hari, Mel." Satu senyuman terukir sambil kaki terus melangkah masuk ke bilik tersebut. Punggung dia labuhkan dibirai katil. Kamelia yang juga duduk di situ membalas senyumnya tadi.

"Dah setahun kita buat penyamaran dekat istana ni, Dilayla dan dah dekat empat bulan kau jaga mak cik Ruqayyah. Kau tak rasa ke kau patut hantar dia ke hospital psikiatri?"

"Aku cuma rasa simpati dekat mak cik Ruqayyah tu, tapi aku tahu lambat-laun aku tetap kena hantar mak cik ke hospital juga," balas Dilayla.

"Aku bukan apa, kita kena fokus untuk selesaikan misi kita dekat sini. Lagi cepat kita tahu siapa lagi yang terlibat, lagi senang kerja kita nanti. Takkan nak buat penyamaran sampai dua tahun, kut?"

"Aku faham. Aku datang sini, sebab nak ucap terima kasih sempena setahun kita bekerjasama." Segelas air kosong di meja kecil sebelah katil diambil dan diteguk rakus.

"My pleasure. So, apa rancangan kau lepas ni? Rancangan kau sebelum ni apa cerita?" Tubuh Kamelia bawa ke meja solek. Wajahnya ditilik seketika sebelum tubuh kembali dipaling menghadap Dilayla. Belakang badannya disandar pada meja solek tadi.

"Betul sangkaan aku. Bella dengan Zehra tu pernah ada hubungan sebelum ni. Bila? Di mana? Mengapa? Bagaimana? Untuk rancangan yang akan datang, kau tengok ajelah apa yang jadi nanti."

"Tapi kau tak rasa ke Zehra tu terlalu naif?"

"Itu pun masih lagi jadi tanda tanya."

"Hati-hati, kau ada dalam kawasan dia. Satu lagi, jangan kau pula yang jatuh cinta nanti," bicara Kamelia sedikit tegas.

Sekali lagi bibir Dilayla mengoyak senyum senget.

"Istana tu bukan milik dia, dan sampai bila-bila pun tak akan jadi milik dia. Mustahil untuk aku cintakan dia. Dia bunuh cinta aku Mel, Cinta aku!"

"Kau masih cintakan, Stephan?"

Dilayka kaku. Pandangannya jatuh menunduk pada lantai. "Memang aku masih cintakan dia. Walaupun aku tahu aku tak layak. Aku tak layak untuk berdiri di samping abang kau, Mel. Jadi, setidaknya aku nak tengok dia bahagia dengan Riz. Sebab tu aku sakit hati bila tengok kematian dia tak dibela selain tu memang tugas aku sebagai anggota polis."

Kamelia bisu untuk seketika waktu sebelum akhirnya kembali berbicara. "Kita mesti berjaya, walau apapun cara. Tapi, kau pun tahu, kau akan ada pesaing dekat sini jadi aku tak nak kau pandang rendah dengan siapa-siapa."

"Kita tengok siapa yang akan menang,"

Punggung Dilayla angkat daripada duduk. Langkah dibawa untuk keluar dari bilik.

"Riz Ruziana." Nama itu Dilayla lafaz sambil langkah kakinya ikut terhenti daripada bergerak.

"May you reign," lafaznya lagi.

***
Teh panas yang berada dicawan, dicicip sedikit. Pandangan Dilayla lemparkan ke arah taman bunga istana yang dipenuhi dengan mawar merah. Puas. Apa yang terjadi semalam betul-betul berlaku seperti yang dia mahukan.

Cawan teh tadi diletak kembali di atas meja. Langkah kaki diatur ke arah sebatang pokok Beech yang berada dihujung taman. Pohon yang daunnya jingga dan cukup redup itu dipandang lama lalu batang pohon itu diperhatikan.

Riz x Stephan

Mindanya masih ingat satu kenangan yang tak akan dia lupa. Kenangan indah yang bertukar pahit dan membuatkan sakit sampai ke hari ini. Kenangan pahit yang bermula dengan salah sendiri.

Kali ini, dia mahu tebus semua salah yang pernah dia lakukan. Dia akan tuntut keadilan sampai ke titisan darah yang terakhir. Telefon bimbit dikeluarkan daripada poket gaun. Nombor Kamelia didail.

"Mel, aku nak kau masuk campur untuk permainan kedua aku."

"Selama ni, memang aku ikut campur pun, kan?"

"Aku nak cepat, kita dah ada orang baru yang akan ganggu percaturan ni, aku tak nak kita berlengah."

"Kau takut dengan Zehra? Sejujurnya aku tak rasa dia ancaman untuk kita. Dia tak tahu apa-apa."

"Henry dengan Zehra tu pasangan yang sangat mencintai satu sama lain. Kalau Bella libatkan Zehra, belum tentu dia nak kerjasama dengan kita."

"Okey, aku faham maksud kau. Sekarang ni kau nak minta aku buat apa?"

"Kita jumpa dekat bilik sekarang."

***

Perbincangan mereka dijalankan sekali lagi di bilik bawah tanah itu.

"Kau nak aku buat apa?" soal Kamelia.

"Aku nak kau yang hantar air untuk Henry pukul lapan malam ni, pandai-pandailah kau uruskan."

"Bagi aku arahan lengkap. Apa sebenarnya yang kau nak aku buat, kedudukan perabot dan benda-benda penting yang lain." Habis mengujar, tubuh Kamelia sandarkan pada kerusi kayu miliknya.

"Okey, disebabkan ini kali pertama kau buat tugasan ni, aku nak kau tahu sebaik saja pintu dibuka, arah pukul 12:00 akan ada satu set sofa dengan meja kopi."

Kamelia angguk.

"Arah pukul sembilan akan ada sebuah katil mewah. Di bawah katil tadi aku dah siapkan sepucuk pistol yang mengarah ke pukul empat. Picunya terikat dengan seutas benang yang bersambung di sofa sebelah kiri meja kopi."

"Jadi, kau nak suruh aku buat apa sebenarnya ni?"

"Letak air tu atas meja," bicara Dilayla.

"Lepas tu?"

"Bila kedudukan Henry tepat pada arah pukul empat, aku nak kau langgar sikit sofa tadi."

"Senang sangat."

"Aku nak kau pastikan rancangan ni menjadi malam ni."

"No problem. Tapi apa tujuan kau buat semua ni?"

"Aku nak bayang-bayang aku terhapus."

"Untuk?"

"Untuk aku singkirkan dia sebelum dia rosakkan segalanya."

***

Kamelia melangkah perlahan menuju dapur, segelas jus epal yang sudah sedia disiapkan diambil dan dibawa di atas dulang seperti rancangan yang sudah dia bincang bersama Dilayla.

"Eh, Lia. Tak payahlah hantarkan air tu, biar saya yang hantarkan. Lagipun, tu tugas saya hari ni."

Seorang dayang-dayang menyapanya dari arah belakang.

"Tak apa, saya boleh tolong awak hantarkan."

"Tak payahlah, saya takut nanti saya pula yang kena marah."

"Tak ada apa-apalah, saya tolong sikit aje." Kaki terus melangkah cepat untuk menuju ke kamar Henry. Dia perlu pantas untuk memastikan rancangan ini membuahkan hasil.

Tuk! Tuk!

Pintu diketuk perlahan dan satu-persatu arahan yang diberi terimbas kembali pada memori.

Pintu dibuka oleh Henry.

"Nak hantar air?" soalnya.

Kamelia hanya mengangguk.
Perlahan-lahan dia melangkah ke arah meja kopi yang berada tepat di hadapannya sebelum jus epal tadi diletakkan.

"Lepas awak keluar nanti, tolong kuncikan pintu, saya nak mandi." Perintah Henry.

"Okey." Hanya sepatah jawapan Kamelia.

Selesai meletakkan air, kaki disenggol sedikit pada kaki sofa.

Bang!

***
"Kau dah siapkan semuanya?"

"Dah." Sebilah pisau dimasukkan ke dalam kotak bersama sekeping nota.

Perbincangan mereka adakan untuk kali yang entah ke berapa itu bagi memastikan setiap rancangan membuahkan hasil.

"Kau pasti kau nak buat benda ni?" soal Kamelia.

Dilayla angguk. "DNA dia dengan Riz memang menunjukkan diaorang kembar dan aku sendiri rasa Zehra macam tahu sesuatu tentang pembunuhan tu."

"Kau pasti dia akan menyebelahi kita?"

"Takkan dia nak hidup dengan pembunuh kembar dia sendiri?"

***

Pen yang tadinya dimainkan dijari Zehra tiba-tiba jatuh ke lantai bilik. Dengan pantas pen itu cuba dicapai semula namun apakan daya, pen tadi sudah pun tergolek ke bawah katil. Tubuh diturunkan juga dari kasur dan Zehra mula menunduk untuk mencapai sebatang pen yang cukup berharga buat dirinya itu.

Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Pagi tadi Azalea ada berpesan yang ada sebuah kotak yang dia tinggalkan di bawah katil. Pen yang sudah terjatuh tadi dia lupakan sebentar.
Jemarinya yang meraba-raba ruang di bawah katil akhirnya bertemu dengan sebuah kotak.

Kotak tadi kemudiannya dikeluarkan. Kotak apa ni sebenarnya? Rambut diselak ke belakang telinga, habuk yang menempel pada kotak itu kemudiannya disapu menggunakan telapak tangan sebelum secara perlahan-lahan penutup kotak tadi dibuka.

Isi daripada kotak itu kini menjamu pandangan Zehra dengan sebilah pisau yang cukup tajam dibalut rapi menggunakan sehelai kain nipis berwarna putih yang tersimpan kemas. Sekeping kertas yang dilipat kecil dibawah bilah pisau tadi juga diambil dan dibuka lipatannya. Satu nota ringkas yang tertulis dikertas tersebut kemudiannya dibaca satu persatu.

Ada jasad yang masih tinggal,
Ada roh yang masih tunggu,
Sekeping hati yang masih bisu,
Semanis buah epal, enak namun beracun,

Muslihat ini milikku,
Meski zaman telah berlalu,
Namun dasar hati ini tetap suram, Mungkin kerana tertutup dek dendam.

Tuk! Tuk!

Bunyi ketukan pada pintu menyebabkan Zehra merasa kaget lantas kotak itu terus dimasukkan semula ke bawah katil sebelum langkahnya dibawa untuk membuka pintu.

Dilayla yang berdiri tepat di hadapan pintu menatapnya dengan cerlungan tajam. "Sertai aku. Jangan tipu diri sendiri, Zehra. Kau dah tahu segalanya, kan?"

***

"Tuanku!" panggil Dilayla. Dia tak boleh memanggil Zehra hanya menggunakan nama di hadapan khalayak ramai.

Zehra yang sedang membersihkan kandang kuda tadi menoleh untuk melihat Dilayla yang berlari menghampirinya.

"Dilayla, kenapa datang sini?" Zehra menyoal.

"Siapa kau sebenarnya?" Soalan itu

"Apa maksud kau?" Kening Zehra terangkat.

Lipatan kertas yang dia simpan di dalam poket apron dikeluarkan perlahan. Kertas yang dia perolehi daripada kotak pemberian Zehra untuk adiknya. Dia mahu jawapan itu keluar daripada mulut Zehra. Jawapan yang membuktikan Zehra ialah Alana.

Secara biologinya, kembar Riz menang Zehra, tapi kalau Zehra sendiri tak tahu atau mungkin tak ingat, maksudnya ada sesuatu yang tak kena. Riz cari dua merata-rata tempat, mereka sendiri pun hampir berjumpa Hadi tak mungkin Alana yang sebenar tak tahu dia ialah saudara kembar maharani itu.

"Boleh kau jelaskan, apa maksud surat ni?"

Zehra terkaku sebelum kembali berbicara. "Suatu hari nanti, kau akan tahu juga."

thank you for reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience