[9] Pistol

Fantasy Completed 3254

Begitulah seterusnya kisah cinta antara mereka terus terukir dilembaran sejarah,
Cinta mereka terus hidup di sebalik kemewahan, kekayaan dan kemegahan sebuah empayar,
Tika siang, gelak tawa terus meniti dibibir mereka,
Makannya hanya yang lazat-lazat semata,
Pakainya hanya yang cantik-cantik sahaja,
Tika malam beradunya mereka berkatilkan emas,
Bermimpi bahagia bersama cinta yang terus menghanyut sehingga lemas.

Namun, disebalik bahagianya mereka bersama harta,
Masih ada yang berusaha keras di luar sana,
Untuk terus bertahan hidup di dunia,
Yang terus membanting tulang meski lelah,
Yang harus tak makan dan bersusah-payah,
Dengan alasan yang juga sama, cinta.

"Mak, adik laparlah..," keluh seorang budak kecil sambil paha ibunya ditepuk-tepuk perlahan. Mata kanak-kanak itu membundar sambil memegang perutnya yang sudah bising dengan bunyi keroncong.
Tangisan si ibu yang duduk menghadap jendela memandang suasana malam di luar menitis lagi. Allah apa aku nak bagi anak aku makan ini?

Bisik hatinya sambil berharap agar sang suami dapat membawa pulang walau hanya secupak beras pada malam ini. Tubuh badan sendiri dipandang sayu. Dia tak lagi mampu untuk berjalan akibat kemalangan yang dia alami setahun lalu dan kerana kondisi dirinya begini dia tak boleh untuk bekerja, bagi meringankan beban suaminya.

Mereka sekeluarga hanya mampu untuk menyewa bilik dengan bayaran sewa perlu dibayar setiap hari. Tak mampu untuk menyewa rumah yang bayarannya setiap bulan kerana suaminya masih belum ada pekerjaan tetap.

"Mak, ada makanan tak?" Suara anak kecilnya memberhentikan dirinya daripada terus kekal dalam lamunan.

Air mata dikesat perlahan.
Sebalang biskut diberi kepada anaknya. Biskut kering yang tinggal cuma beberapa keping. "Pergi makan dengan kakak."

"Kenapa kena kongsi?"

"Mak minta maaf, sayang. Nanti bila mak ada duit, mak beli makanan yang sedap-sedap untuk adik, ya?"

Tuk! Tuk! Tuk!

Ketukan dari pintu bilik menyebabkan Ayeshah segera mengesot bagi membuka pintu untuk menyambut suaminya pulang.

"Abang," sapanya sambil tangan suaminya diambil dan dicium. Suaminya hanya memandangnya dengan senyuman.

"Yey, ayah dah balik!" Si kakak memeluk kaki ayahnya dengan rasa girang.

"Ayah ada bawa balik makanan, tak?" soalnya dengan suara manja.

Muhammad hanya mampu menggeleng mendengar soalan itu.

"Abang duduklah dulu," pelawa Ayeshah.

"Abang, masih tak dapat kerja lagi?"

"Belum." Satu keluhan kedengaran. Sejujurnya dia kasihan melihat ahli keluarganya. Dia masih tak mampu untuk menyara keluarga kecilnya kerana masa silamnya yang agak teruk. Dahulu, dia merupakan seorang penagih dadah dan bekas banduan, asbab hal itu dia mengalami sedikit kesukaran untuk diterima kerja dan kalau boleh dia tak mahu lagi melakukan kerja-kerja buruk yang pernah dia lakukan dulu..

Kadang-kadang kepalanya runsing memikirkan apa lagi yang harus dia lakukan untuk menyara keluarganya. Mujur isterinya seorang yang cukup memahami dan masih lagi setia walaupun hidup mereka kini papa kedana.

"Abang minta maaf sebab masih tak mampu untuk bagi awak kehidupan yang terbaik."

"Sepatutnya saya yang minta maaf sebab tak mampu untuk jadi isteri yang terbaik."

"Hey, janganlah cakap macam tu. Awak tetap yang terbaik dimata saya, Okey?" Air mata isterinya dikesat dengan ibu jari.

"Abang, walaupun kita susah, kita cari duit halal, ya?" Senyuman tetap diukir meski pahit menyelubungi jiwa.

•••

Tubuh direndamkan ke mandian hangat peribadi milik mereka berdua. Haruman mawar merah yang masuk ke rongga hidung cukup untuk buat mood-nya gembira pada hari ini. Sambil berendam, buih-buih putih pada kolam mandian itu disapu rata pada kulit gebu miliknya.

Selesai pemandian, kini Zehra bergerak pula untuk membersihkan muka dengan pencuci wajah khas sebelum krim pelembap disapu ke seluruh raut wajah. Losen dengan haruman coklat manis dipilih dan diambil sebelum isinya diratakan ke kulit tubuh. Haruman tangan sendiri dihirup.

Gaun berwarna hitam tanpa lengan dan hanya separas pahanya dikenakan pada malam ini. Gaun ini mendedahkan separuh daripada belakang tubuhnya yang menawan sekaligus menyerlahkan kaki jinjangnya.

Solekan tebal disapu pada wajah bersama pewarna bibir berwarna merah klasik bagi menyempurnakan hasil akhir tampilan. Rambut panjangnya dibiarkan lepas.
Parfum dengan wangian sama disembur ke tubuh dan untuk seketika haruman coklat manis itu memenuhi ruang persalinan kamar mereka.

Langkah di bawa dari bilik persalinan terus ke beranda bilik yang sudah dilitupi dengan pemandangan langit malam bersama bulan yang menemani. Pintu beranda itu dibiar terbuka luas dan kini hanya satu sumber cahaya yang masuk ke kamar. Hanya purnama. Lampu memang sengaja tak dihidupkan olehnya.

Muzik klasik dimainkan dan seluruh bilik kini bergema dengan alunan piano, Moonlight Sonata daripada Beethoven. Berdiri ditengah ruang kamar dalam kegelapan malam sambil sekuntum mawar hitam dibawa rapat ke dada. Dia menunggu kehadiran Henry untuk ke bilik.

Kriuk...

Engsel pintu berbunyi, perlahan-lahan tubuh Henry melangkah masuk ke dalam kamar yang serba gelap namun tubuh Zehra masih mampu untuk ditatap dalam kesamaran cahaya.

"Cantik." Satu suara garau menghambat saraf auditori Zehra. Kini terasa bahagian belakang tubuhnya seolah melekap pada sesuatu. Sesuatu yang cukup hangat. Tubuh dipusing menghadap tuan punya suara.

"Kenapa mawar hitam?" Henry menyoal.

"Tanda setia, mungkin?" Mawar tadi dilepaskan. Kini kedua tangannya naik melingkar ke leher Henry bersama pinggangnya yang didakap erat oleh lengan lelaki itu.

Dahi mereka lagakan. "Wangi."

Zehra hanya tersenyum untuk pertanyaan itu.

Tatapan Henry bermula daripada dahi jatuh pada hidung mancung milik Zehra dan turun pada bibir mungilnya yang merah menyala. Semuanya kelihatan sempurna. Tubuh mereka mula bergerak mengikut alunan muzik yang sudah dimainkan sejak tadi. Satu langkah ke hadapan, satu langkah ke belakang, pusing.

Sekalipun langkah Zehra tak pernah salah. Malam ini, Henry hanya milik dia seorang.

"Awak nak tahu sesuatu?" Lembut suaranya dialun kepada Henry.

"Apa?"

"Saya sayang awak."

Dahi Zehra dikucup lembut. "Dulu saya pernah jatuh cinta dengan seorang perempuan sebelum awak," sambil tubuh bergerak sebuah cerita lama yang selalu dipendam kini dibuka.

"Bella?"

"Bukan. Bukan Bella."

"Dia cukup cantik. Pandai menari, sama macam awak."

"Baik, manis, sopan santun dan agak naif."

"Tapi..."

"Tapi apa?"

"Tak ada apa-apa, lupakan."

"Kadang-kadang saya keliru sama ada yang berada dihadapan saya dan yang saya kahwini ni, awak atau dia."

"Saya Zehra dan selama-lamannya akan jadi Zehra awak." Anak mata Henry ditatap dan dikunci.

Tarian mereka hentikan dan terus diganti dengan satu dakapan. Leher Zehra dikucup sebelum sekali lagi pada telinga itu dia berbisik. "Jom."
Dan pada malam itu, tubuh mereka bersatu dengan bulan buat kesekian kalinya menjadi saksi.

•••

Ketika matahari mula mengganti bulan ditirai langit, Zehra sudah pun keluar mencemar duli di kota Vioreece. Dia telah meminta kebenaran Henry untuk keluar sebentar menemani Dilayla ke pasar untuk membeli keperluan dapur istana. Mereka telah dihantar oleh pemandu untuk ke bandar.

Tentang hal yang terjadi semalam biarlah tersimpan dalam memori. Mengenangkan hal itu, Zehra malu sendiri. Apalah yang dia lakukan semalam?

Sebenarnya, ini merupakan kali pertama dia ke kota Vioreece, ketika pertama kali dia tiba di empayar yang cukup kuat dan disegani ini dia terus menginap di hutan dan ketika kakinya kini memulakan langkah satu-persatu, rasa teruja mula menguasai diri.

Langkah demi langkah diiring dengan senyuman meski senyumnya tersembunyi disebalik pelitup muka. Zehra hanya memakai pakaian yang biasa saja, dia tak mahu orang mengenalinya sebagai orang istana, dia juga rimas mahu keluar dengan pengawal peribadi yang mengikut ke mana saja dia pergi.

Sebuah demi sebuah rumah dia lewati, sumpah segala-galanya di sini cukup rapi, teratur dan cantik. Akhirnya dia tiba pula di deretan restoran dan kedai-kedai. Bangunan di sini semuanya mewah-mewah belaka. Ada juga yang setinggi menara.

Empayar ini boleh dikatakan sebagai sebuah empayar yang maju, kaya dan mewah juga. Sesekali telinganya menangkap bunyi kereta api yang melalui landasannya.

Sebenarnya dia tahu dan ada mendengar cerita juga mengenai sesetengah orang tak senang mendengar maharaja mereka menikahi dua wanita. Itu adalah pertama kalinya berlaku dalam sejarah.

Selama ini maharaja tak pernah memiliki dua isteri, lebih-lebih lagi isteri keduanya berasal daripada golongan marhaen. Mungkin mereka rasa tak selesa atau menyangka Zehra mahu mengambil harta negara. Dia kalau boleh tak mahu stigma seperti itu ada. Apa yang dia boleh tolong, dia akan tolong sedaya-upaya.

Dia mahu rakyatnya senang akan kehadirannya. Sekuntum bunga mawar merah yang sedari tadi dia bawa sekali seiring dengan langkahnya ditarik ke hidung untuk dihidu. Entah kenapa sejak kebelakangan ini dia kecanduan dengan bau harumnya mawar.

Ke mana-mana saja dia berada pasti akan ada sekuntum mawar, betapa sukanya dia dengan bunga tersebut meski tangkainya penuh dengan duri.

"Cantik mawar tu, sama macam tuanku," puji Dilayla.

"Apa maksud bunga mawar bagi awak?" Kuntuman mawar tadi dibawa ke atas kepala sebelum diselit di antara rambut.

"Mawar? Semua orang tahu, mawar merah itu sinonim dengan cinta. Semakin gelap merahnya mawar, maka semakin dalam pula cinta yang ditanam pada jiwa."

Zehra hanya tersenyum mendengar jawapan Dilayla.

"Tapi mawar berduri." Zehra berkata lagi.

"Mungkin sebab tu ada yang samakan mawar dengan seorang perempuan yang susah untuk dimiliki." Dilayla membalas.

"Mawar warna merah, merah bukan saja warna hati. Merah juga warna darah." Renungan mata Zehra berubah sedikit tajam.

"Tuanku pernah dengar tak fasal kisah pari-pari yang selalu mengabulkan permintaan?" Soalan itu tiba-tiba diajukan.

"Pari-pari? Mungkin saya selalu dengar cerita-cerita tu waktu saya kecil. Kenapa?"

"Kalau tuanku diberi satu permintaan untuk dikabulkan, apa yang tuanku nak minta?"

"Sebelum saya bagi jawapan, apa kata awak dulu yang mulakan?"

"Kalau saya, saya berharap sangat supaya lagi ramai orang daripada kalangan kita jadi pendengar yang baik. Penat tengok orang lain termasuk diri saya sendiri di-judge macam tu aje. Entahlah, kadang-kadang saya rasa kebanyakan orang hanya mendengar menggunakan mulut bukan lagi telinga."

Dilayla menundukkan wajahnya memandang jalanan yang sedang mereka lalui. Nafas ditarik dan dihembus sebelum bicaranya terus dibait dimulut.

"Dia orang cuma tahu untuk prejudis fasal hidup orang lain."

"Sebab dia orang ukur usaha dengan berjaya." Zehra mencelah.

"Maksud tuanku?"

"Kadang-kadang kita akan nampak ada seseorang yang pada waktu kecil mungkin hidup dalam keluarga yang agak kacau bilau. Ayah panas baran, hari-hari ada aje benda yang pecah. Ibu pula hari-hari kena pukul. Dia hari-hari ditengking. Jiwa sarat dengan rasa seksa. Tapi dia tak mampu untuk lawan, yang dia mampu cuma menangis."

"Setiap kali bercerita, orang cakap dia buka aib keluarga, tapi selalu juga dia dengar yang memendam tu tak elok untuk jiwa. Jadi nak suruh buat apa sebenarnya?"

"Pergi mana-mana pun tetap dia yang dipersalahkan walaupun kalau diberi pilihan dia tak akan pilih untuk lahir dalam keluarga yang rosak macam tu."

"Tapi akhirnya hidup berjaya juga dia tempuh. Bila dewasa, perlahan-lahan dia belajar erti menerima dan memaafkan. Dia juga berjaya jadi seorang jutawan dan setiap orang yang tengok dan tahu tentang hidup dia akan cakap dia adalah seorang wanita yang cukup kuat menempuh ujian hidup."

"Ada pula satu ketika, kita tengok seseorang lagi yang diuji dengan perpisahan ibu bapa. Hati dia rapuh, pecah berkecai. Dia rasa dialah yang paling malang dekat dunia. Hari-hari dia fikir kenapa dia tak mampu hidup bahagia macam orang lain?"

"Walaupun ada orang yang nasibnya lagi buruk. Daripada seorang yang baik, dia berubah jadi nakal. Fasal belajar tak lagi dia pedulikan. Yang penting cuma keseronokan. Masa depan? Tak ada maknanya lagi."

"Akhirnya dia terjerumus ke kancah dadah. Cuma dengan dadah aje dia rasa dia boleh bahagia dan waktu tu orang yang pandang dia mungkin fikir, mak ayah cuma bercerai aje pun sampai nak ambil dadah. Tak fikir masa depan ke? Ataupun, tak tahu ke ada ramai lagi yang susah dekat dunia ni? Dia ingat dia seorang aje yang ada masalah? Atau mungkin, Ada lagi yang terima nasib lagi buruk boleh pun berjaya. Boleh pun bangkit, kenapa kau tak boleh?"

"Bercakap memanglah senang. Gagal tandanya mencuba, walaupun hakikatnya dengan berjaya juga kita nilaikan usaha. Cuma sebab dia gagal, dan terjerumus ke arah yang salah kita cakap dia langsung tak mencuba. Mana kita tahu kalau-kalau berkali-kali juga dia cuba untuk terima hakikat? Mana kita tahu kalau dia cuba juga untuk berperang dengan hati yang terus melawan arus. Terus cuba melawan nafsu tapi akhirnya tewas?"

"Betul, kita cuma tahu untuk bersikap prejudis. Setiap kali orang bercerita tak sudi kita menadah telinga lepas tu kita sendiri tertanya-tanya kenapa dia orang cuma tahu untuk mengeluh? Kenapa dia orang tak nak berubah? Kenapa pemikiran dia orang terlalu kolot? Kalau cuma tahu tanya tapi tak nak dengar jawapan, tak ke lebih baik diam?"

"Tapi taklah saya membenarkan kesalahan yang dia lakukan. Mahu perit macam mana pun hidup, kesalahan adalah pilihan. Yang salah tetap juga salah, makanya kita di sini perlu menegur dan menasihati bukan mengata dan mengeji mereka."

"Sama juga dengan golongan kaya dan miskin, kita suka label yang miskin sebagai pemalas dan tak nak berusaha. Bila dah usaha, kita tengok dekat televisyen, kita cakap pula dia orang minta simpati. Entah apa yang sebenarnya kita nak. Kata kita, bahagia tak perlukan duit sedangkan hidup aje kena guna duit. Kita ukur kebahagiaan orang sebab kita nampak ada orang kaya yang tak bahagia, sedangkan yang miskin belum tentu semuanya gembira."

"Kerana pada hakikatnya semua orang berjuang dan berusaha, cuma kita yang menilai usaha mereka dengan keberhasilan." Sambung Zehra lagi.

Dilayla yang mendengar agak terkesima buat seketika dengan pemikiran Zehra meski mereka tidaklah seagama.

"Saya dah bagitahu apa permintaan saya, jadi sekarang giliran tuanku pula."

"Awak nak tahu apa impian saya?"

"Apa dia?"

"Menuntut keadilan."

Pandangan Zehra kini tertumpu pada deretan rumah-rumah yang mungkin sudah tak layak lagi dipanggil sebagai kediaman. Segalanya rosak. Dindingnya usang, atapnya bocor dan pintunya reput. Melihatkan itu hatinya dirundung rasa hiba.

Rupa-rupanya masih ada yang tidur bertilamkan lantai ketika dia beradu dengan emas. Masih ada yang tak makan ketika dia dihidang dengan mewahnya hidangan. Masih ada yang tak tukar ganti pakaian ketika dia menyarungkan indahnya sebuah busana.

"Tolong, ada pencuri!" Satu jeritan kedengaran di jalan tersebut. Bahu Zehra sedikit terhinjut mendengarkan suara itu. Dia segera berpaling mencari punca suara.

Terdapat sekumpulan lelaki sedang mengejar seorang perempuan yang kini laju berlari di belakang Zehra serta pada tangan perempuan itu ada sebuah tas tangan mewah yang dipeluk erat.

"Pulangkan beg tangan tu semula!" Jerit sekumpulan lelaki tadi namun jeritan itu langsung tak dihiraukan.

Derap tapak kaki si pencuri semakin hampir mendekati Zehra. Permaisuri kedua itu cuba menahan lengan perempuan itu bagi memberhentikannya daripada terus berlari.

"Berhenti." Lengan perempuan itu digenggam kuat hingga tak boleh lepas.

"Lepaslah! Jangan sibuk dengan hal orang lain boleh tak?"

"Tinggalkan beg tangan tu dekat sini dan aku bagi kau lari." Tegas suara Zehra.

"Aku cakap, lepas. Lepaslah!" Perempuan itu menengking.

"Aku ada anak kecil yang mampu minum susu pekat aje dekat rumah. Aku terpaksa buat macam ni sebab ada keluarga yang perlu aku sara. Orang kaya macam kau tak akan faham." Tangannya direntap dan berjaya lepas dari genggaman Zehra.
Sejumlah wang Zehra keluarkan dari poket dan dihulur ke arah perempuan itu.

"Ambil duit ni, tinggalkan beg tangan tu."

"Cepat kalau kau tak nak kena tangkap."

Arahan Zehra akhirnya dipatuhi.
Zehra tahu dia bukanlah maharani Vioreece namun orang-orang di sini masih digelar sebagai rakyatnya bukan? Terdetik dihatinya untuk membantu mereka-mereka yang mengalami kesusahan di sini. Dia perlu melakukan sesuatu untuk rakyatnya. Ya, dia perlu. Kini langkah sekumpulan lelaki tadi pula datang menghampiri.

"Tunggu!" jerit Zehra.

"Ni beg tangannya." Tas tangan tadi dihulur.

"Oh, terima kasih. Mana perempuan tu?"

"Dia dah lari."

"Sempat dia curi apa-apa?"

"Tak sempat. Awak bagilah balik kepada pemiliknya." Lelaki itu mengangguk.

•••

Henry bermain-main dengan pen yang ada pada tangannya sebelum pen itu diketuk-ketuk pada lantai meja. Wajahnya merenung segenap ruang pada kamar kerja dan urusan rasminya ini sambil menunggu kehadiran Connor untuk masuk.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu kamarnya diketuk.

"Masuk."

"Maafkan saya kerana lewat tuanku."

"Hm, duduklah. Apa yang awak nak sampaikan sangat?"

Kerusi dihadapan meja ditarik sebelum punggungnya dilabuhkan.

"Tuanku ingat tentang George?" Mendengarkan nama itu disebut bulu romanya naik.

"George yang hilang tu? Kenapa?"

"Dia disahkan mati selepas sebulan pencarian."

"Sebab?"

"Kemungkinan besar lemas dan dibaham buaya. Tapi ada banyak benda yang janggal tentang kehilangan George."

"Apa yang janggal?"

"Tak ada satu pun mayat yang ditemui dalam tasik, lokasi terakhir George terlihat sebelum hilang. Tambahan pula, satu pun pakaian tak ada yang terapung. Ada teori mengatakan George mati dibunuh bukan dibaham atau tenggelam."

"Lupakan tentang George. Aku nak kau siasat pasal Azalea."

"Azalea?"

"Ya, dayang-dayang kita."

"Untuk apa?" soal Connor kehairanan.

"Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dengan dia. Cari semua informasi tentang dia, nama penuh, dari mana dia berasal dan info-info yang lain."

Ada satu hal yang janggal, ketika kemalangan tembakan yang berlaku kepada dirinya, orang terakhir yang masuk ke kamar sebelum insiden ialah Zehra, yang ada pada waktu tembakan berlaku ialah Azalea tapi cap jari yang dia temukan pada pistol itu adalah milik Bella.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience