Riwayat IV: Kaca

Fantasy Completed 3250

Sebulan kemudian,

Bahagian atas gaun yang lehernya direka dengan bentuk square bersama lengan panjang yang gobos namun di-pleat dibagian pergelangan tangan dipadankan dengan bahagian bawah gaun yang begitu kembang.

Materialnya adalah lace yang dipakaikan berlapis-lapis. Labuhnya pula hanya sampai dibahagian lutut. IItu adalah gaun yang tersarung ditubuhku sekarang. Belakang tubuh disandarkan pada kerusi meja solek. Wajah aku yang sedang ditatarias dilihat melalui pantulan cermin.  Riasan tipis berona peach sama seperti warna gaun yang dipakai.

Rambut perang keemasan milik aku pula disanggul gaya French braid twist yang ditengahnya diletakkan sekuntum mawar merah.
Kelopak mata aku melilau ke sekeliling kawasan kapal. Majlis perkahwinan ini diadakan di kapal persiaran mewah milik kerajaan Myla yang menuju ke Istana baru di Vioreece.

Iris hijau aku merenung pula ke arah jemari runcing milikku yang tersarung sebentuk cincin yang Stephan berikan tempoh hari. Untuk kemasan terakhir akhirnya kaki aku disarungkan dengan flat shoes dengan hiasan berbentuk hati yang warnanya perak dibahagian atas kasut. Jantung milik aku mula berdetak tanpa irama yang jelas.

Aku gemuruh. Hari ini adalah hari yang terbesar dalam sejarah hidup aku. Hari di mana aku bergelar seorang isteri. Aku tak sabar, teruja tapi dalam masa yang sama gelabah juga.

“Tuanku dah bersedia?” Dayang-dayang yang berdiri dikiri kananku menyoal. Aku mengangkat wajah memandang ke arah cermin. Senyum aku ukirkan.

“Bersedia.”
Serta-merta sekeping kain diikat pada mata. Aku sudah tahu tentang itu. Kata Stephan dia mahu beri kejutan untuk aku. Aku bangun dari kerusi dimeja solek tadi lalu perlahan-lahan langkah kaki dibawa bersama dua orang dayang-dayang yang memimpin dikiri kanan.

Langkah aku terasa berat. Kenapa aku begitu gemuruh sekarang? Semakin aku melangkah koklea telinga aku menangkap sebuah melodi yang semakin kuat kedengaran. Melodi muzik yang kedengaran begitu lembut. Sampai saja dihadapan pintu langkah kami terhenti.

Tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir membanjiri majlis tersebut memeriahkan lagi atmosfera majlis. Rakyat jelata juga ada yang dijemput hadir. Serta-merta kasut yang tadi aku pakai diganti dengan kasut yang lain. Setelah berjaya disarung aku dapat merasakan sesuatu. Ini bukan kasut biasa. Ini kasut luncur ais. Apa kejutan yang Stephan rancangkan sebenarnya?

Kain yang menutup mata aku tadi dibuka perlahan. Semua tetamu mula bangun dan menunduk hormat. Begitu juga dengan aku. Namun ada sesuatu yang berjaya menarik perhatian aku di dewan persandingan ini. Dewan ini dihias ala-ala tiga musim. Dihadapan aku beberapa langkah terdapat sebuah pelantar tempat luncur ais.

Jika terus lagi kehadapan terdapat pelamin yang dihias dengan tema musim bunga bersama pancutan air kecil dikiri dan kanan pelamin. Dibahagian barat dewan tersedia meja untuk santapan pengantin yang bertemakan musim luruh. Daun-daun jingga menutupi lantai jubin dewan dikawasan tersebut. Disebelah timur hiasannya juga sama.

Meja-meja tetamu kehormat dikiri kanan dibalut dengan sarung meja berwarna merah hati bersama bunga mawar putih ditengahnya. Kepala aku dongakkan, kaca lutsinar yang menjadi bumbung di atas pelantar ais diindahkan dengan pemandangan bulan dan bintang diwaktu malam. Lantai dua dan tiga dewan pula dipenuhi dengan rakyat jelata yang ikut serta dalam majlis ini.

“Suka?” Tangan kekar yang tiba-tiba melingkar dilenganku mengeluarkan aku dari fantasi sendiri. Suara serak-serak basah yang menegur tadi aku tatap pemiliknya.

Aku tersenyum ke arah Stephan yang memakai kot berwarna sama dengan gaun yang aku pakai. Dia juga memakai kasut luncur ais. Kami melangkah perlahan sebelum mula meluncur. Irama piano, violin dan gitar bermelodi dan bergemersik cukup indah. Tubuh aku dipeluk erat dari belakang.

Pergerakan kami bermula dengan mengelilingi pelantar ais yang berbentuk hati kemudian menuju ke tengah pentas. Jasad yang tadinya membelakangi kini berhadapan. Lengan aku merangkul erat lehernya manakala tangannya melilit dibahagian pinggang.

Kami meluncur mengikut rentak. Ke kiri dan ke kanan sebelum aku membuat satu lompatan loop dan lompatan rama-rama kemudian sekali lagi jatuh dalam dakapannya dan bersaksikan purnama dan si kejora yang menghiasi bahagian siling  lutsinar di atas, aku berbisik perlahan.

“Selamanya, hati saya hanya untuk awak.”

***

Selesai menjamu selera bersama hidangan yang cukup lazat kami bergambar sebagai tanda kenangan.

“Okey, senyum,” Jurugambar memberi arahan.
Aku dan semua rakan-rakan serta rakyat yang turut hadir tersenyum bersama. Kami yang lain berdiri di sebuah pentas yang sudah pun disiapkan di bahagian kanan dengan tema musim luruh.

Manakala rakyat jelata yang lain berdiri di beranda tingkat masing-masing sambil menghadap lensa kamera. Wajah Bella aku lihat sekilas. Entah mengapa aku lihat dia seolah-olah tidak fokus dan nampak seperti merisaukan sesuatu. Tapi, tak mengapalah. Mungkin dia ada hal penting yang sedang difikirkan.

Pasti ada yang tertanya mengenai urusan pentadbiran kami. Soal pentadbiran, empayar kami telah bersatu dengan Stephan menjadi maharaja dan aku adalah maharaninya. Soal takhta, kerajaan ini akan jatuh kepada keturunan kami nanti. Seandainya salah seorang dari kami sudah tiada dan anak itu belum mencapai umur matang maka empayar Vioreece-Myla akan diperintah oleh penjaganya iaitu antara aku ataupun Stephan.

Selesai sesi bergambar dan semua tetamu juga telah beransur pulang aku mengambil tempat di salah sebuah meja makan sebelum menegur Bella. “Fikir apa? Lain macam aku tengok kau dari tadi.”

“Tak ada apa-apa. Aku rasa tak berapa sihatlah. Aku masuk bilik aku dulu. Sorry.”

Aku mengangguk. Barangkali dia letih. Langkah aku bawa ke suatu sudut untuk mengambil segelas air putih. Malam ini menjadi malam yang cukup meletihkan namun dipenuhi dengan bibit-bibit rasa bahagia yang terbit. Sedang aku menuang air ke dalam gelas mata aku tertancap pada satu figura yang tampak seperti dikenali.

Melihatkan wajahnya. Aku sedikit tergamam sambil mengukir satu senyuman pahit.
Ya, Itu Henry.

***

“Tahniah atas perkahwinan kau,” ucap Henry perlahan. Kami sama-sama mengambil tempat disalah sebuah meja.

Aku mengukir senyum sebelum membalas. “Terima kasih.”
Henry merupakan anak ibu saudara aku disebelah bapa atau dalam erti kata lain dia ialah sepupu aku. Namun, aku tak jangka yang dia akan datang.

Bulan lepas sewaktu aku dilamar oleh Stephan, Henry juga melakukan hal yang sama. Stephan juga belum tahu mengenai hal ini. Akan tetapi, sudah aku tolak dengan cara baik. Jujur, aku nampak wajahnya ketika itu kecewa dan agak terkilan. Aku juga tak mahu ada hubungan buruk dengan mana-mana ahli keluarga namun perasaan sendiri tak mampu aku bohongi.

“Walaupun aku dah usahakan segalanya kau tetap juga pilih dia. Tapi tak apa, aku faham. Soal hati bukannya boleh dipaksa, kan?”

“Aku harap kau jumpa dengan orang yang lebih baik nanti.”

“Sayang!” Panggilan dari Stephan menyebabkan aku menoleh ke belakang. Stephan mengambil tempat disebelah sebelum pinggangnya aku rangkul. Aku hanya tersenyum sebelum meminta diri daripada Henry untuk masuk beradu.

***

Perlahan-lahan langkah kami menelusuri lorong di kapal itu menuju ke kamar tidur. Tangan Stephan aku rangkul dan kepala aku sandarkan pada bahunya. Berkahwin. Sah, rasanya seperti keajaiban.

“Awak suka dengan majlis yang saya siapkan?”

“Mestilah saya suka. Apa saja yang awak bagi pun, saya tetap akan terima, Stephan.” Senyum manis aku hadiahkan untuknya.

Langkah kami teruskan satu-persatu namun ada sesuatu yang menghentikan langkah aku. Bella. Dia berjalan sambil memintas aku dan Stephan dari belakang dengan tergesa-gesa. Jujur, aku rasa ada sesuatu yang mencurigakan, tapi apa?

“Bella.” Langkahnya terpaku pada lantai. Tubuhnya dipusingkan menghadap aku.

“Ya?”

“Dari mana? Bukan tadi kau cakap, kau sakit kepala? Aku ingatkan aku dah tidur.”

“Erm, aku pergi tandas tadi.” Bella menjawab soalan itu dengan agak kekok.

Ah, tak mengapalah. Bukannya perkara penting pun.
Aku dan Stephan kembali meneruskan langkah.

***

Enam bulan kemudian,

Hari ini musim luruh datang lagi dan untuk itu sudah ada kejutan yang aku siapkan. Sebuah kejutan istimewa untuk Stephan sempena hari lahirnya yang jatuh pada hari ini. Kini aku melabuhkan punggung di sebuah bangku di bawah pohon Beech yang cukup rendang sambil menunggu kehadiran Stephan.

Langit yang mulai jingga kerana siang sudah mula melabuhkan tirainya tampak mempesona dengan dedaun kering yang jatuh layu ke tanah. Di telapak tanganku sudah aku siapkan sebuah hadiah yang aku harap dapat menambahkan lagi kebahagian dalam perkahwinan kami. Sepanjang enam bulan ini, sumpah aku merasa cukup bahagia.

Tentang Stephan, sudah aku selitkan nota-nota kecil di beberapa sudut di dalam istana untuk membawanya menuju ke arah ini. Istana baru ini dibina atas asbab penyatuan dua negara dan kini ibu negaranya terletak di bandar Vior, Vioreece. Namun pembinaan istana ini juga tanda penyatuan dua keping jiwa.

“Hadiah apa yang awak sediakan kali ni?” ujar Stephan yang baru muncul sambil memegang kertas-kertas kecil nota yang aku lekatkan di dalam istana.

Dia terus mengambil tempat di sebelahku. Lengannya mula melingkar di bahagian pinggang dan mata kami saling bertatap-tatapan sambil tersenyum.

“Hadiah yang paling istimewa yang awak pernah dapat sepanjang hidup awak.”

“Untuk saya, awak adalah yang terbaik yang pernah ada dalam hidup saya.”

“Jadi saya harap, dengan hadiah yang saya bagi ni, akan melengkapkan lagi hidup kita.” Kotak hadiah dihulur. Kotaknya kecil sahaja namun dihias dengan cukup cantik dengan balutan biru gelap dan riben berwarna merah.

Penutup kotak itu dibuka perlahan oleh Stephan.

“Awak mengandung?”

Aku tersenyum. “Anak ni adalah tanda perkahwinan kita cukup bahagia dan saya nak istana ni adalah tempat kita sematkan kenangannya untuk selamanya.” Pokok Beech dibelakang bangku diukir perlahan oleh sebilah pisau yang dibawa oleh Stephan.

Riz x Stephan

***

Setahun kemudian,

Seorang bayi yang baru saja berusia tiga bulan dibaringkan di atas katil. Dipakaikan lampin dan sepersalinan baju yang aku kait sendiri. Comel. Bayi ini namanya sama seperti ayahnya, Stephan namun wajahnya lebih iras dengan aku. Dahi bayi itu dicium sebelum dia tersengih ketawa.

Aku juga turut ikut tersenyum sama. Selesai menidurkan anak itu, langkah kaki aku bawakan ke beranda bilik. Menatap bulan purnama yang seolah-olah berada tepat di atas kepala.

Hembusan bayu malam terasa cukup dingin namun nyaman. Nafas aku tarik perlahan-lahan sebelum dilepaskan. Satu tangan sasa yang tiba-tiba terasa melingkar dipinggang menyebabkan aku menoleh kebelakang buat seketika.

“Saya rasa, saya nak namakan istana ni.”

“Untuk apa?”

“Saja. Barulah sempurna kalau ada nama.”

“Awak nak letak nama apa?”

“Moonlight palace.”

“Istana cahaya bulan?”

“Moonlight palace where’s the night sky never be lonely.”

Aku mengukir senyum.

“Saya nak tunjukkan awak sesuatu,” bicara Stephan.

“Apa dia?”
Lengan aku serta-merta ditarik masuk ke dalam kamar. Sebuah lampu berbentuk patung beruang yang diletakkan di rak buku bilik diambil oleh Stephan.

“Cantik tak?” Lampu itu dihulur ke arahku.

“Cantik. Nak buat apa dengan benda ni?”

Biji mata yang terdapat pada lampu patung beruang itu dikeluarkan. “Ini kamera. Kalau ada apa-apa yang jadi dekat sini, kamera ni boleh dijadikan bahan bukti.”

“Impressive,” bicara aku sambil tersenyum. Lampu itu diletakkan semula pada ruang rak buku yang aku letakkan segala pingat dan piala yang aku peroleh.

Kami kemudiannya berjalan ke arah kasur dan bersedia untuk beradu dengan bayi yang baru saja aku lahirkan. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuh.

Wajah aku dielus lembut sebelum Stephan berbicara lagi. “Saya sebenarnya nak sangat tanya awak fasal satu hal.”

“Tanyalah apa yang awak nak tanyakan tu.”

“Awak pernah ke jumpa Alana sebelum ni?”

“Tak pernah tapi saya kenal muka dia.”

“Awak ada gambar dia ke?”

“Tak ada.”

“Habis tu?”

“Kaca.”

***

Aku merenung jendela yang kini tampak menitiskan air mata. Cuaca hari ini mendung dan terasa suram.
Langkah dibawa ke luar kamar dan menuju ke luar istana atau lebih tepat lagi berlari ke taman istana tanpa sebarang payung. Aku amat menyukai hujan dan orang-orang di istana juga tahu.

Namun mereka tak tahu bahawa hari ini aku mahu menangis bersama hujan bukan untuk bermain. Sejak mendapat tahu Stephan perlu ke luar empayar atas urusan diplomatik esok untuk beberapa hari, hati aku rasa tak sedap. Satu rasa yang cukup sukar untuk aku gambarkan. Jadi pada hari ini aku mahu curahkan rasa yang terbuku bersama awan yang mencurahkan hujannya.

Berharap agar lega yang bakal mengganti mendung dihati. Tubuh dibiarkan basah lencun dan kesejukan di bawah titisan hujan. Entah mengapa, aku suka merasakan kesejukan yang membaluti tubuh ini serta bunyi hujan yang menutup segala macam bunyi juga bau hujan yang bagi aku ibarat sebuah melodi yang menenangkan hati.

Tangan aku depakan membenarkan air untuk mengalir ke seluruh tubuh. Seketika mata aku pejamkan. Jasad aku pusing perlahan-lahan sambil menikmati aroma hujan. Tangis aku mengalir dipipi. Sesekali aku meraung kecil membebaskan beban yang terasa berat dijiwa. Tiba-tiba satu pelukan hangat memeluk tubuhku yang basah dari arah belakang.

“Tak sejuk ke?” Stephan datang bersama sebatang payung.

Aku menggeleng. “Awak jadi juga ke nak pergi?”

“Saya perlu pergi. Itukan tugas saya.”

“Tapi saya rasa tak sedap hati.” Tubuh Stephan didakap erat.

“Janganlah pergi.”

“Perasaan awak aje tu. Tak ada apa-apalah.”

Dahi terasa hangat dengan satu kucupan. “Awak pergi sekejap aje, kan?”

“Ya, saya pergi sekejap aje. Janganlah menangis.”

Air mata dipipi dikesat lembut oleh ibu jari Stephan. “Saya sayang awak.” Aku berbicara perlahan.

“Saya pun sayang awak.”

“Jadi janganlah buat saya rindu.”

“Awak janji dengan saya yang awak akan balik.”

“Saya cuma selesaikan urusan biasa aje. Saya janji saya akan balik.”

***

Fajar yang mula naik secara automatik membangunkan jasad aku daripada beradu. Katil dikemas rapi. Si kecil yang masih nyenyak dibuai mimpi aku angkat perlahan sebelum meletakkannya di tempat tidur bayi. Telefon pintar aku ambil dan nombor seseorang aku dail.

“Helo, pak cik masuk bilik kerja saya sekejap lagi. Ada hal penting yang saya nak bagitahu pak cik.” Aku mengatur kata dihujung talian sebelum menerima persetujuan daripada orang tersebut dan panggilan dimatikan.

Itu adalah salah seorang pengawal istana. Memang ada hal penting yang harus aku ceritakan. Selesai mengemas kamar langkah aku atur untuk ke kamar mandi untuk membasuh muka dan memberus gigi. Baju kasual aku pilih dan aku sarungkan sebelum bergegas ke bilik kerja.

***

Figura seorang pak cik yang aku gelar sebagai Abu masuk ke kamar. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan aku.

“Ada apa tuanku nak jumpa dengan saya?”

“Saya nak bagitahu awak satu rahsia.”

“Rahsia apa?”
Lampu patung beruang dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Biji matanya juga diambil.

“Kamera?”

“Dalam istana ni pak cik adalah antara orang yang paling saya percaya. Andai ada apa-apa yang berlaku nanti saya minta pak cik untuk simpankan buktinya.”

“Apa yang akan berlaku?”

Aku menarik satu senyuman. Entah mengapa sejak kebelakangan ini ada suatu rasa yang kurang enak menganggu jiwa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience