[1] Tasik

Fantasy Completed 3250

Mereka kata, salah satu rasa yang paling indah ialah ketika kita jatuh cinta. Jadi, mungkin rasa yang paling perit ialah ketika perlu berpisah tanpa rela, kan?

Kota Vior, Vioreece, 2022.

Suasana ibu negara Vioreece, kota Vior atau lebih dikenali sebagai kota cinta itu bising dengan hiruk-pikuk bandar. Bunyi hon dan tren kedengaran di merata-rata tempat. Kapal terbang melintasi layar jumantara yang membiru bersama jasad putih yang digelar awan.

Keadaan lalu lintas begitu macat dan padat dengan pacuan empat roda yang memenuhi jalan raya. Ramai juga yang berjalan dengan cukup pantas untuk mengejar waktu lebih-lebih lagi pada hari Isnin begini.

Vioreece, sebuah empayar moden di masa kini yang sangat terkenal dengan kesibukannya mahu di bandar atau di kawasan perdesaan. Sebuah empayar yang cukup popular dengan kemajuannya daripada segi seni bina.

Empayar yang terletak di tengah-tengah antara benua Eropah dan Asia itu menggabungkan unsur seni Eropah dan Asia dalam seni binanya yang mampu menarik ramai pelancong, lebih-lebih lagi kota Vior yang sering menjadi destinasi pilihan bagi pasangan yang ingin berbulan madu.

"Satu, dua, tiga."

Click!

Bunyi punat kamera ditekan di hadapan menara cinta, menara tertinggi di dunia dengan puncak yang berbentuk hati.

"Suka tak, hadiah perkahwinan kita?" Arman menyoal isterinya.

"Suka sangat. Terima kasih abang."

Ada pula kisah pelajar-pelajar sekolah menengah tinggi yang di denda kerana datang lambat ke sekolah.

"Ha, ni kenapa ni lewat?" Mata guru disiplin itu mencerlung tajam.

"Motor habis minyak cikgu." Budak lelaki itu hanya tunduk memandang lantai.

"Banyaklah alasan kamu."

Ada juga yang bergaduh untuk menentukan penghujung filem yang sedang ditonton.

"Nanti mesti hero dia mati punya." Rina berbicara dengan rasa yakin.

"Tak ada maknanya, mesti heroin dia yang mati. Kan dah cakap tadi, heroin dia ada sakit kanser." Amanda membidas kata-kata kakaknya.

"Memanglah ada sakit kanser, tapi mesti hero dia yang mati dulu."

"Heroin yang mati."

"Hero."

"Heroin."

"Kau orang berdua ni tak ada kerja ke? Orang lain pagi-pagi macam ni dah sibuk dah pergi kerja. Kau orang? Tengok filem pula pagi ni. Pergilah bersiap, cari kerja ke. Takkan sampai ke tua nak harapkan duit ayah je."

Jadi bagaimana pula dengan kisah hidup dia? Kisah hidup mengenai seorang Zehra yang menemui cinta sejatinya. Sebuah cerita yang manis namun pilu, yang indah namun cukup haru, dan yang bahagia tapi bersulam duka. Kisah yang akan membuat kalian bungkam dan bisu terdiam. Kisah di mana hancurnya manusia kerana cinta.

Maka di sini, dipersembahkan kepada kalian, sekeping kertas lakaran jiwa, tentang sesuatu yang masyarakat gelar sebagai kehidupan juga sebuah coretan hati daripada si pungguk yang terlalu merindukan bulannya.

•••

Zehra melangkah lemah bersama keringat lelah yang membasahi seluruh tubuhnya. Hasil buruan dan buah-buahan serta apa saja yang boleh dimakan dibawa dengan sekarung guni dibelakangnya. Perlahan-lahan tapak kakinya menuju ke arah gua tempat dia beradu. Sempat juga dia menjeling ke arah mentari yang hampir ditutupi awan.

Nampaknya, pagi masih awal. Selesai meletakkan dan menyusun sumber makanan yang dia dapati di kawasan belakang guanya, kayu api pula diambil untuk membuat unggun api bagi memasak sarapan pagi.

Bunyi unggas hutan kedengaran sayup-sayup. Udara segar di belantara itu Zehra hirup sebelum dia terus memulakan langkahnya untuk menyalakan unggun api. Usai api sudah pun menunjukkan jasadnya yang jingga kemerah-merahan, Zehra terus mengambil seekor ayam yang baru saja ditangkap dan disiangnya tadi. Ayam itu dicucukkan pada sebatang kayu kemudian dibakar.

"Argh."

Erangan daripada seorang lelaki yang dia selamatkan daripada bangkai kapal terbang yang terhempas itu masuk ke koklea miliknya. Dia segera memalingkan kepalanya ke arah lelaki itu.

"Awak dah sedar?"

"Saya dekat mana ni?"

"Rumah saya."

"Rumah? Maksud awak gua?"

Zehra mengangguk.

"Dah berapa hari saya pengsan?" soal lelaki itu lagi.

"Tiga hari."

Bunyi gerimis hujan yang menyentuh gua sudah mula memainkan iramanya sendiri. Nampaknya pagi ini hujan lagi. Tak hairan juga, memang dari tadi pun sudah mendung. Zehra menyambung kembali perbuatan membakar ayamnya yang tergendala sebentar tadi.

"Awak makanlah. Saya masak banyak ni." Ayam yang sudah siap dibakar dihulur ke arah lelaki itu.

"Siapa nama awak?" Huluran ayam tadi disambut olehnya sambil satu soalan diaju.

"Zehra." Lembut Zehra menjawabnya.

"Awak?"

"Henry. Nama saya Henry."

Zehra mengangguk mendengar pernyataan itu. Proses membakar ayamnya disambung lagi namun tiba-tiba sakit kepalanya kembali menyerang. Dia mengerang sendiri sambil sebelah tangannya memegang tempurung kepala. Sakit kepala ini akan menyerang setiap kali hujan turun. Dia sendiri pun tak mengerti mengapa, dan setiap kali itu pasti akan ada imbasan ingatannya di masa lalu. Sebuah ingatan yang ertinya dia sendiri tak tahu.

("Janji dengan saya, awak tak akan tinggalkan saya." )

("Janji.")

Dialog itu muncul lagi dibenaknya.

(Kaki miliknya diheret kasar dalam keadaan tubuhnya yang terbaring oleh seseorang menuju ke luar bangunan. Luka tikaman pada perut dipegang kuat. Taburan tanah mula terasa di atas kakinya, perlahan-lahan naik pula ke wajahnya. Hujan yang turun dengan lebat pada hari itu langsung tak dihiraukan, tanah tetap juga terus menutupi jasadnya yang kebasahan.)

"Zehra?"

"Zehra awak okey?"

Mata Zehra yang tadinya dipejam kembali dibuka.
"Saya okey," bicaranya sambil sesuap ayam bakar masuk ke dalam mulut.

"Awak memang tinggal dekat sini ke?" Henry menyoal bagi memulakan perbualan antara mereka.

"Haah. Saya memang tinggal dekat sini. Kenapa? Awak tak selesa ke?"

"Eh, taklah. Awak dah selamatkan saya pun saya dah bersyukur."

"Bukan apa, saya tengok gaya berpakaian awak pun saya tahu awak bukan orang biasa-biasa. Jadi saya takutlah kalau awak tak selesa. Tapi kalau awak selesa saya tumpang gembira."

Tiba-tiba Henry membuka jaketnya sebelum diletakkan di atas bahu Zehra yang terbuka. Zehra hanya memakai sehelai gaun lusuh yang labuhnya hanya sampai dilutut namun kehangatan tubuhnya mulai terasa apabila jaket itu disarung.

"Awak sejukkan?" Henry menyoal.

"Eh, tak apa. Saya dah biasa tinggal dekat sini. Awak pakailah, awak kan tak sihat lagi," balas Zehra sambil jaket tadi cuba untuk dia lepaskan namun ditahan sekali lagi oleh Henry.

"Pakai. Saya tahu awak sejuk."

Dan kali ini Zehra hanya mampu untuk akur.

"Terima kasih sebab selamatkan dan rawat saya selama tiga hari ni."

"Awak nak tak tan saya pergi tasik dekat belakang ni malam nanti?"

"Nak buat apa?"

"Saja. Tengok bintang. Itu pun kalau awak sudi."

•••

Tapak kaki mereka akhirnya menjejak tanah yang sedikit kebasahan dek hujan pagi tadi. Rama-rama kecil yang putih warnanya terbang perlahan-lahan di kawasan hutan yang belum pernah Zehra terokai. Hutan di pulau ini terlalu besar jadi tidaklah semua dia hafalkan jalannya.

Pada tengah hari ini dia bersiar-siar bersama Henry untuk menerokai kawasan hutan yang belum pernah dia jejakkan kaki. Niatnya mahu mengetahui di mana lagi yang boleh dia cari bekalan makanan. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah ke pangkal lengan. Alang-alang sudah datang lebih baik dia bawa saja bekalan makanan yang dia temui di sini pulang ke gua.

"Tak apa ke awak teman saya ni, Henry?" Kepala Zehra berpaling ke sebelah kiri memandang raut Henry.

"Tak apa. Awak dah tolong saya, jadi sekarang ni giliran saya pula untuk tolong awak."

"Kalau macam tu apa kata awak pergi ke sebelah barat, saya ke timur. Kita berpecah."

"Tak bahaya ke untuk awak?"

"Taklah. Walaupun saya tak pernah masuk sini, tapi saya yakin saya boleh selamat. Awak okey kan kalau kita pisah?"

"Saya okey."

Setelah mendapat kata putus akhirnya mereka berpecah. Zehra berjalan perlahan-lahan melepasi ranting-ranting pohon. Daun-daun yang boleh dia makan dia cabut sedikit sebanyak dengan alatan tajam yang sudah dibawa.

Tengah hari ini suhu cukup selesa baginya. Tidak terlalu panas tapi tidak juga mendung. Sengaja dia mahu cari lagi bekalan makanan pada hari ini, jadi nanti tak perlulah dia nak cari lagi. Langkahnya diteruskan sambil telinga menyambut bunyi kicauan burung-burung.

Dedaun pucuk paku hutan lereng bukit yang berada di hadapan matanya kini dicabutnya juga dan diisi ke dalam beg yang sudah dibawa. Agaknya bagaimanalah keadaan Henry sekarang? Dia sebenarnya tak mahu Henry ikut. Bukan apa, lelaki itu baru saja sihat, tak mahulah kalau ada apa-apa pula yang jadi nanti. Tapi Henry berdegil mahu ikut. Minta-minta semuanya baik-baik sajalah hari ini.

Kanopi-kanopi pokok yang hijau merimbun memayungi setiap langkah Zehra di kawasan itu. Sesekali dia mengeluh penat dan berehat pada akar banir pokok-pokok besar itu sebelum menyambung semula perjalanannya.

Akhirnya Zehra tiba di tepi kawasan paya. Dia tahu di kawasan paya sebegini banyak lokan yang boleh dia bawa pulang. Makan lokan bakar pada malam ini bersama sayur pucuk paku sedap juga rasanya. Tapi entah kenapa dia rasa was-was pula untuk masuk ke dalam paya. Yalah, tempat baharu.

Satu ranting kayu diambil sebelum Zehra beranikan juga dirinya untuk masuk ke dalam paya yang dalamnya hanya setinggi paras lutut. Menggunakan ranting kayu itu dia menguis-nguis tanah untuk mencari menu utama makan malamnya pada hari ini. Selangkah demi selangkah dia maju ke hadapan dan secara tiba-tiba sebelah kakinya tersangkut pada sesuatu, seperti diikat oleh reranting lembut di bawah air.

Kakinya cuba direntap sekuat mungkin namun masih juga tak lepas. Ah, apa patut dia lakukan sekarang? Liurnya ditelan.

•••

Zehra. Sungguh, gadis itu buat dia tak berhenti-henti tersenyum dari tadi. Mengenangkan wajah gadis itu saja sudah mampu buat dia merasa gembira. Barangkali itulah juga kebahagiaan yang dia tunggu-tunggu selama ini namun tak dia dapatkan. Jauh di sudut hatinya, dia merasa rindu. Rindu akan seseorang dan Zehra menggamit memorinya kembali mengenai seseorang itu.

Henry berjalan perlahan-lahan sambil mencabut daun-daun yang boleh dijadikan hidangan untuk dia dan Zehra. Dia tidaklah arif tentang hutan namun demi gadis itu apa saja juga akan dia lakukan. Ranting pokok ditebas sedikit-sedikit dan langkahnya masih lagi diteruskan.

Sss~

Bunyi sesuatu yang berdesir merencatkan perjalanan Henry. Dia berdiri tegak dan kaku. Dia tahu gerangan yang membuat bunyi tersebut dan yang paling penting itu bukan petanda yang baik.

Sss~

Sss~

Seekor ular kapak yang berada kurang 500 meter dari kedudukannya sekarang membuatkan dia sedar yang dia perlu ambil langkah untuk beredar dari sini. Perlahan-lahan dia mengundur kebelakang. Bunyi daun-daun kering yang dipijak menakutkan jiwanya sendiri. Dia cuba elak daripada membuat sebarang bunyi-bunyian tapi nampak gayanya tak berhasil.

•••

Pergelangan kaki Zehra rentap sekuat mungkin. Jiwanya mula dirundung rasa panik dan gelisah tak tentu arah apabila saraf optiknya menangkap objek yang bergerak perlahan sambil menuju ke arahnya. Buaya.

Dia perlu lepaskan diri untuk terus hidup. Mahu menjerit namun suaranya cuma sampai dikerongkongan. Manik-manik peluh jatuh menitis di bahagian kepalanya. Nafas terasa mencungap bersama getaran jantung yang terlalu laju rentaknya.

Tolong, tolonglah. Sesiapa tolong selamatkan dia. Akhirnya jarak antara tubuhnya dan haiwan pemakan daging itu hanya tinggal satu meter saja. Saliva ditelan lagi. Pahit. Kakinya cuba ditarik terus-menerus. Dia tak mahu mati, tolonglah.

"Argh!" Jeritannya lepas juga.

Srak!

Kakinya terlepas dan tubuhnya terasa diangkat untuk ke tebing kemudian dibawa berlari sedikit jauh dari kawasan tadi. Zehra hangat. Hangat dalam pelukan seseorang.

"Henry." Halus bicaranya.

•••

"Betul cakap awak. Bintang dekat sini memang cantik," kata Henry perlahan.

Zehra cuma senyum nipis. "kan?"
Henry mengangguk tanda setuju. Kini mereka berada di hadapan sebuah tasik di belakang gua. Pastinya, cukup gelap dan agak seram juga dengan bunyi cengkerik yang cukup mendominasi suasana. Tapi jika difikirkan semula rasanya juga cukup tenang dan nyaman.

Unggun api yang dinyalakan di hadapan mereka menaikkan suhu dingin malam dan membuatkan suasananya terasa hangat dan begitu romantis. Meskipun nyawa Zehra berada dalam situasi yang cukup menggerunkan namun masih sempat juga dia membawa pulang lokan beberapa ekor. Lokan-lokan itu kini dibakar dengan daun pucuk paku dan pucuk ubi yang juga dikutip tadi.

Di tasik Maharani ini bintang-bintang yang berkerlipan itu terlihat begitu indah bagi seorang Zehra.
Tempat di mana dia meluangkan masa sendiri di waktu malam bagi menyembuhkan lara yang mungkin pernah terlakar pada jiwa. Zehra menghembus nafas sebelum akhirnya wajah Henry yang ada di sebelah di pandang.

Lelaki ini, lelaki ini seperti seseorang yang dulunya dia pernah kenal tapi bila dicari-cari di kotak memori, dia sendiri tak kunjung menemukan jawapan. Entah kenapa dia rasa seperti ada suatu ikatan antara dia dan Henry.

"Terima kasih sebab selamatkan saya tadi. Kalau tak ada awak saya tak tahulah apa yang akan jadi."

"Sama-sama. Awak anggap ajelah yang saya balas budi awak sebab dah rawat saya selama ni."

Zehra mengangguk. Lokan yang sudah benar-benar masak isinya dikeluarkan daripada unggun api menggunakan penyepit yang dia cipta daripada ranting. Isi lokan dibawa keluar daripada cengkerangnya sebelum disua ke mulut Henry.

Henry menerima suapannya dengan satu senyuman manis. "Terima kasih."

Puas mengunyah akhirnya Henry membuka bicara. "Awak lagi suka malam ke siang?"

"Saya tak boleh pilih sebab kedua-duanya saling melengkapi."

"Maksud awak?"

"Takkan ada istilah gelap tanpa cahaya, tak mungkin tercipta kata cahaya tanpa kegelapan. Daun saja perlukan tanah kerana pada hakikatnya di dunia ini, alam dan kita semuanya saling memerlukan dan saling menyokong."

"Kita juga manusia yang hidup perlu bekerjasama antara satu sama lain. Kata orang, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh."

"Saya suka cara awak berfikir."

Senyum manis Zehra ukir. Tanpa sedar dia telah pun menatap cukup lama dan dalam ke wajah Henry.

"Kenapa pandang saya macam tu? Handsome sangat ke?" seloroh Henry.

Zehra tergelak kecil.

"Kalau saya cakap awak tak handsome, saya tipulah. Tapi muka macam awak ni bukan tipikal yang saya suka."

Bentuk segi empat dibuat oleh Zehra menggunakan jarinya di hadapan wajah Henry.

"Belum pernah lagi tau ada orang cakap yang saya ni bukan lelaki tipikal dia orang."

"Dia orang lain. Saya, saya punya sukalah," bicara Zehra lagi

"Yalah, tahulah dia tu cantik,"

"Saya tahu saya cantik."

"Eh, masuk bakul angkat sendiri pula awak ni."

"Habistu? Nak minta orang lain angkatkan? Sampai bila pun takkan kesampaian."

"Betul juga."

Mereka sama-sama ketawa sambil menikmati makan malam. Malam-malam Zehra yang terasa sunyi selama ini kini terasa begitu indah dan ceria dengan kehadiran Henry.

"Oh ya, saya ada benda nak tunjuk dekat awak," kata Zehra sambil menghabiskan sisa-sisa makanan yang tinggal sebelum bersiap sedia untuk bangun.

"Apa dia?"

"Kita balik ke gua."

Unggun api terus dipadamkan.

•••

Sekeping layang-layang dengan saiz gergasi dibawa keluar dari belakang gua. "Saya dah lama teringin nak main benda ni tapi belum kesampaian." Zehra berkata seraya tersenyum.

"Awak nak terbang?"

Zehra angguk. "Saya ada dua. Awak ikutlah saya esok, kita terbang sama-sama."

"Macam menarik." Henry mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju dan sedikit teruja. Dia sendiri pun belum tahu bagaimana indahnya rasa terbang.

"Kotak apa dekat belakang tu?" Henry menyoal.

Zehra terus memalingkan tubuhnya menghadap belakang sebelum kotak kayu berukiran motif mawar itu diambil dan dibawa ke arah Henry. Layang-layangnya diletak sebelum Zehra mengambil tempatnya untuk duduk. "Kotak ni ke?"

Henry mengambil kotak tersebut lalu membukanya perlahan-lahan. Seutas rantai berloket hati dikeluarkan. Loket itu kemudiannya dibuka dan ada nama yang terukir di dalamnya. 'Riz.'

Kemudian ada kanvas kecil yang berisi sekeping gambar seorang wanita dengan kulit yang bernanah teruk. Ada juga senaskhah diari di dalam kotak tersebut. "Awak punya ke?" Mata Henry mencerlung wajah Zehra tajam.

"Taklah. Saya jumpa kotak tu. Dah lama dah pun. Kenapa?"

"Tak. Tak ada apa-apa."

•••

"Dah bersedia ke nak terbang?" soal Henry sambil mengapit layang-layang miliknya dilengan. Bola matanya menatap wajah berkeyakinan Zehra di sebelah.

"Mestilah bersedia."

"Kalau awak memang bersedia, awaklah terbang dulu."

"Tak nak. Saya nak tengok awak yang terbang dulu. Kata berani sangat."

"Awaklah dulu."

"Awak dulu."

"Okey kita terbang sama-sama."

Zehra mengangguk. Dia mula memegang tulang layang-layang yang sudah direka khas dan bersedia untuk terbang bebas. Begitu juga dengan Henry yang tampak begitu teruja. Dari atas bukit ini, mereka dapat lihat dengan jelas pemandangan pulau yang dilitupi dengan hutan yang hijau merimbun bersama dengan biru laut yang menghempas pantainya.

"Saya kira satu, dua, tiga, kita terbang," bicara Zehra.

"Satu, dua, tiga."

Mereka akhirnya lepas ke udara layaknya seperti seekor burung pada dunia langit birunya. Terbang mengepakkan sayap palsunya membelah angin menuju daratan yang di sebelah sana. Bunyi burung-burung berkicau seolah-olah mengiringi pergerakan mereka. Sekejap mereka terbang ke kanan, kemudian ke kiri sebelum sempat memusingkan tubuh di udara buat seketika waktu.

Meluncur di udara membuatkan Zehra tersenyum puas kerana ini ialah saat pertamanya merasa bebas dan sebahagia ini. Barangkali sudah tiba masanya dan telah datang gilirannya seperti orang-orang lain juga yang menemui cinta sejati mereka.

Zehra dan Henry membawa tubuh sekali lagi untuk bergerak ke timur kemudian sekali lagi ke barat dan membuat pusingan secara serentak. Tawa Zehra pecah dalam diam meski tak kedengaran. Lucu rasanya melihat diri sendiri dan juga Henry melakukan  pergerakan serentak.

Wajah Henry yang ditolak oleh tekanan juga buat dia geli hati walhal mungkin wajahnya sendiri lebih parah daripada wajah Henry.

Puas merasa bebas akhirnya pelunciran mereka kembali ke pasir putih di tepi pantai. Zehra memandang Henry sambil tersenyum.

"Terima kasih sebab sudi teman saya."

"Terima kasih juga sebab ajak saya timba pengalaman yang menarik macam ni."

Layang-layang tadi terus mereka apit dan langkah mereka saling mendekati antara satu sama lain bagi mendekatkan jarak antara jasad. Henry kelihatan sedikit gusar dan menunduk memandang pasir putih kristal di bawah kaki mereka.

"Kenapa ni?"

Lengan Zehra dipegang dan diusap lembut. "Saya dah lama nak cakap benda ni dekat awak."

"Cakap apa?"

"Ikut saya balik."

Dunia Zehra terasa seakan-akan berhenti daripada berputar.

•••

Keesokan harinya,

Saya tak boleh." Genggaman tangan Henry dilepaskan. Langkah Henry yang sudah dia ikuti hingga ke pesisir pantai yang berada di kawasan utara hutan terhenti. Semalam dia ada memberi kata putus untuk setuju namun tiba-tiba hari ini hatinya kembali berbelah bahagi.

Mahu ditinggal oleh Henry dihutan ini, dia tak sanggup untuk melihat Henry pergi. Mahu ikut Henry pulang ada rasa terlalu takut di hati.

Sebuah helikopter yang berada di hadapannya dan sedang bersedia untuk terbang buat dia rasa gementar. Ikutkan hati, dia mahu ikut Henry, tapi melihatkan kemewahan hidup yang dimiliki lelaki itu, dia rasa tak layak. Kasta mereka terlalu banyak bezanya.

"Saya tak boleh ikut awak, Henry." Zehra bersuara lagi.

"Tapi kenapa? Semalam awak dah setuju,"

"Kita tak sama."

Henry merenung dalam ke anak mata Zehra. Dia tak mahu kejadian yang pernah berlaku dulu, berulang lagi.

"Tolong, ikut saya. Bagi saya masa tiga hari lepas tu kalau awak pilih untuk balik semula ke kediaman awak, saya lepaskan."

Ada sebuah memori yang Zehra ingin cari dan entah kenapa dia rasa Henry ialah orang yang mampu bawa dia ke arah memori yang pernah hilang tadi. Akhirnya, dia juga bersetuju untuk mengikut Henry pulang.

Setibanya di atas helikopter, Henry berbisik lembut dicuping telinga Zehra. "Terima kasih."

Daily update!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience