[14] Palsu

Fantasy Completed 3250

Aku menatap langit malam yang ditaburi dengan bintang-bintang. Bulan sabit juga menghiasi langit itu. Perbualan antara aku dan Kamelia terlantar kembali diminda sebelum dia akhirnya keluar dari sini.

Kamelia melangkah masuk ke dalam bilik gelap itu sekali lagi dan ini mungkin kali terakhir dia akan menjejakkan kaki.

"Aku kena keluar lepas ni, jadi aku nak ucap selamat tinggal dan selamat maju jaya," tuturnya.

"Terima kasih sebab tolong aku sampai ke tahap ni."

"Tapi aku nak tanya kau satu soalan terakhir sebelum aku undur diri," bicara Kamelia lagi.

Aku mengangkat kening. "Soalan apa?"

"Selain daripada kau nak menuntut kembali takhta dan harta yang kau pernah miliki, ada apa-apa lagi yang kau nak dan aku tak tahu pasal tu?"

Mendengar soalan Kamelia, aku menarik nafas panjang. Ya, memang ada lagi satu hal yang aku mahukan.

"Ada."

"Apa yang lagi yang kau nak?"

"Anak aku."

"Anak? Bukan kau cakap anak kau..."

"Yang sulung." Nafas aku hembuskan.

***

Mentari yang awalnya tinggi kini mula turun sedikit demi sedikit namum panasnya masih jua terasa. Tekaknya dahaga, perutnya berkeroncong. Kebiasaannya dia diberi makan sekali sehari tapi hari ini, satu pun tidak ada. Sebelah tangan Zehra digari pada salah satu tiang yang ada di kandang kuda.

"Awak memang tak percaya saya langsung, kan?" bicara Zehra. Dia letih untuk menghadap segala masalah yang tampak seolah-olah tak akan kunjung selesai ini. Dirinya asyik menjadi tempat jari untuk dituding. Sungguh dia lelah.

"Tak pernah dan tak akan percaya." Tegas bicara Bella. Sangkaannya tak pernah meleset. Dia tidak akan terpedaya dengan wajah-wajah yang naif begitu saja.

Lagipun, dia ada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian. Kalau Zehra tidak diikat, keadaan akan menjadi semakin rumit. Dia tak boleh buat keputusan sendiri, walau bagaimanapun dia perlu menunggu Henry.

***

"Azalea adalah seorang puteri." Suara Connor kedengaran tanpa nada. Panggilan itu dibuat sejurus selepas maklumat yang dicari diperolehi.

Nafasnya dihembus perlahan sebelum kata-katanya disambung lagi.
"Puteri dari empayar Myla yang koma selama 10 tahun, dah sedar tiga tahun yang lepas dan nama dia Kamelia."

"Empayar Myla?" Henry bangun dari duduknya.

"Jadi maksudnya..."

"Ya." Selesai mendengar pernyataan Henry dia membalas hanya dengan sepatah kata.

Satu kenyataan yang cukup mengejutkan dirinya juga. Dia langsung tak menyangka akan gerangan sebenar Azalea. Gerangan itu juga membawa kepada satu lagi kebenaran yang cukup pahit.

"Kau pasti itu aje yang kau tahu?" Soalan itu dilontar. Kalau Azalea adalah Kamelia tak mungkin cuma itu saja yang Connor tahu.

"Y...ya tuan." Untuk pertanyaan itu, suaranya sedikit menggeletar ketika menjawab.

"Betul kau tak tahu?"

"Betul."

Senyum sinis Henry terukir. Pasti masih ada sesuatu yang disembunyikan.

"Betul ke kau tak tahu yang Stephan dulu mati ditangan aku, bukan Riz Ruziana?"

Connor menelan liur.

"Aku tahu apa yang terjadi antara kau dengan George. Jadi, fikir baik-baik sebelum kau tikam belakang aku."

Connor terjaga daripada mimpi ngerinya. Peluh merenik didahi miliknya. Nafasnya tercungap-cungap. Persoalan itu terus bermain-main difikiran. Ah, mengapalah dia yang tahu tentang rahsia ini.

Keadaannya kini seolah tersepit dan keliru pada siapa seharusnya dia berpihak. Mahu ditelan mati emak, mahu diluah mati bapa. Tapi, mahu tak mahu dia harus memilih juga. Situasi sekarang seolah-olah telah pun melibatkan dirinya.

***

Kalau kau betul-betul nak jumpa aku tanpa sebarang topeng, jumpa dihadapan pagar belakang istana tengah malam ini.

Nota yang ditulis dengan cat merah itu sekali lagi menganggu dirinya. Siapa yang menghantar nota ini kalau Zehra sudah pun digari?

Bella terus melangkah untuk keluar dari bilik. Satu-persatu anak tangga diinjak laju. Langkahnya segera menuju ke kandang kuda. Siapa lagi yang menjadi tali barut kali ini? Zehra yang masih digari ditatap tajam.

"Siapa lagi yang tolong kau kali ni?"

"T...tolong apa?" Suara Zehra kedengaran lemah kerana perutnya yang tidak diisi
semenjak pagi.

"Nota ni, siapa yang hantar?"

"Macam mana saya nak tahu? Nota tu bukan saya punya."

Nota tadi dikoyak-koyak hingga menjadi kepingan sebelum ditabur dihadapan Zehra.

"Memang kena tunggu malam ni ke untuk kau mengaku? Okey, faham. Kita jumpa malam ni, Riz Ruziana. Aku menantikan wajah sebenar kau." Ayat itu diucap sebelum dia melangkah pergi.

***

Wajah Connor aku tatap sambil satu senyuman aku sembunyikan. Kerusi yang sedang duduki aku gerakkan sedikit ke kiri dan ke kanan manakala sebatang pen aku mainkan di atas meja.

Suasana yang hanya diterangi dengan sebiji mentol kuning pada kamar yang sudah lama ditinggalkan membangkitkan rasa ngeri di antara kami. Sekarang Kamelia terpaksa keluar, jadi aku akan ambil Connor sebagai penggantinya.

Nafas aku hembus. Connor yang duduk berhadapan cuma menunduk. Kami sama-sama berada di bilik yang sepatutnya dia tak tahu. Tapi kerana aku yakin jawapannya akan memihak kepada aku, aku pecahkan rahsia itu. Jujur aku tak sabar menantikan jawapannya.

"Aku pilih untuk tolong kau."

Senyum sungging aku tarik. "Selamat bekerjasama."

***

Dalam kegelapan malam, perlahan-lahan Connor menapak untuk melakukan tugasnya di luar istana. Malam ini tampak sedikit suram dan mendung tanpa kehadiran sang purnama.

Lampu suluh di arahkan ke hadapan sebelum salah seorang orang bawahannya dihampiri bagi mengeluarkan arahan. Dia harus memastikan segala rancangan berjaya dilaksanakan dengan cukup rapi.

"Malam ni kau jaga kawasan hadapan istana, pagar belakang biar aku yang jaga."

Orang bawahan itu hanya mengangguk dan menurut arahan. Lagipun, Connor adalah ketua bahagian keselamatan istana.

***

Bulan sudah pun lama mengganti mentari dilangit biru. Jarum jam berdetik tepat pada pukul 12. Rambut Bella sanggulkan. Malam ini, semuanya akan terbongkar.

Gaunnya dibetulkan sedikit sebelum dia keluar dari istana itu menuju ke tempat yang dijanjikan. Keadaan di dalam istana kini gelap gelita. Langkah Bella perlahan dan begitu tenang. Dia berjalan ke arah pintu belakang istana dan hanya sepi menghuni suasana sepanjang perjalanannya.

Ketika tiba ditempat yang sudah dijanjikan dengan waktu yang tepat. Matanya melilau ke kiri dan kanan namun tidak ada satu pun figura. "Kau cuba permainkan aku pula, sekarang?"

"Kau kena ingat Riz, istana ni istana aku. Aku pemilik segalanya yang ada dekat sini. Kalau kau betul-betul nak bersemuka, tunjukkan wajah kau sekarang!" teriak Bella.

Tubuhnya dipusingkan ke belakang dan ke hadapan namun keadaan masih saja kosong. Nampaknya dia perlu ke kandang kuda. Perempuan itu tak menepati janji.

Pap!

Satu kain ditekup pada kawasan mulut dan hidungnya. Kain yang sudah diletakkan cecair kimia itu akhirnya membuatkan Bella tidak sedarkan diri. Namun sebelum segalanya berubah gelap, ada satu suara yang masuk ke corong telinganya. "Betul cakap kau, aku memang Zehra palsu."

***

Aku melangkah perlahan menuju ke arah pintu besi yang dikunci rapat. Sepinggan hidangan berada ditangan dibawa untuk si penghuni bilik. Pinggan itu kemudiannya aku letakkan melalui lubang kecil yang disediakan khas.

"Lepaskan aku!" Langkah milikku yang baru saja diatur untuk beredar terhenti sebentar.

"Kau nak apa lagi, Adelia?" Aku bertanya dengan nada tegas disebalik pintu besi itu. Wajahnya tidak aku lihat, hanya suara saja yang aku perdengarkan. Aku sudah memberikan 'penginapan' yang cukup selesa. Apa lagi yang kurang?

Ada sebabnya aku lakukan semua ini. Ada satu hal yang Bella tak tahu dan biarlah masa yang membuka kotak rahsia yang kemas terkunci sejak sekian lama itu.

"Jangan panggil aku guna nama belakanglah, pengecut!" Suara Bella kedengaran berang. Wajah aku kekalkan tanpa riak.

"Kalau kau rasa kau boleh menang, kenapa kau kurung aku? Atau kau memang penipu besar?" Soalan dari Bella menyebabkan bibir aku tersungging dengan senyum sinis.

Aku berjuang untuk semua ini sudah lama, tak mungkin aku akan kalah. Penipu? Bella, kau belum kenal lagi siapa penipu sebenar.

"Aku bukan tak boleh menang, Cuma aku takut kau yang tak sanggup untuk hadap kebenaran."

"Lepaskan aku, permainan ni tak adil!"

"Lebih baik kau makan. Tak penat ke bertikam lidah? Aku minta maaf, kalau kau tak selesa. Tapi aku buat semua ni untuk selamatkan nyawa kau."

"Aku tak minta pun kau jagakan!"

"Bella Adelia, kau nak tahu sesuatu?" Ayat itu aku gantung.

"Kau nak tipu aku lagi? Aku tak akan terpedayalah."

"Azalea yang kau pecat tu, Kamelia."

"Aku tahu."

"Dan Kamelia ialah adik perempuan Stephan."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience