Masrina menutup pintu bilik dengan perlahan.
Ayahnya Tuan Iskandar memandang Masrina dengan kening berkerut.
“Along, apa sebenarnya jadi tadi? Pegawai baru tu tahan Along kenapa?”
“Dia… dia salah faham. Ingat Along tak patut ada kat situ.” Masrina tersengih menjawab.
“Salah faham apa?” nada Tuan Iskadar tegas.
“Dia tak tahu Along anak ayah, itu saja,” jawab Masrina cepat, menahan rasa malu.
Tuan Iskandar menghela nafas panjang.
“Jangan buat apa-apa yang merosakkan imej Ayah. Inspektor Firdaus tu pegawai baru yg bagus, tegas orangnya.”
“Faham, ayah.” Wajah Firdaus yang serius tapi kacak itu masih bermain di fikirannya.
-------
Selang dua hari kemudian ketika melangkah masuk ke balai untuk menghantar bekalan makan tengah hari, satu suara yang dikenalinya menyapa dari arah kiri.
“Cik Masrina. Hari ni ada lagi ‘kena rompak’ ke?”
Masrina berpaling.
Inspektor Firdaus berdiri bersandar pada meja, senyuman sinis terukir di wajahnya.
“Tak ada drama hari ni. Saya datang nak hantar makanan untuk ayah saya,” jawab Masrina dengan nada formal, cuba mengawal perasaan gementar.
“Baguslah. Drama awak hari tu dah cukup jadi cerita hangat.” Firdaus senyum.
Mata Masrina membulat.
“Encik cerita kat semua orang ke?”
Firdaus mengangkat bahu dengan senyum bersahaja.
“Adalah beberapa orang. Tapi nama mangsa rompak kami rahsiakan.”
“Tipulah,” balas Masrina sambil menjeling.
“Encik ni memang suka usik orang, kan?”
“Bukan selalu dapat kenakan anak boss,” jawab Firdaus dengan senyuman yang sedikit nakal.
“Lain kali kalau ada ‘eksperimen sosial’, jangan libatkan saya boleh?.”
“Takkan ada lagi, jangan risau," dengan yakin Masrina menjawab.
“Saya pegang janji tu,” balas Firdaus sebelum tunduk membaca fail di tangannya.
Masrina terus masuk ke pejabat ayahnya.
“Hai Along, lain macam ceria hari ni,” tegur Iskandar sambil memandang anaknya yang tersenyum lebar.
“Tak ada apa-apalah, ayah,” balas Masrina cepat, meletakkan bekalan di atas meja.
Otak Masrina ligat memikirkan selepas ini, dia akan cari alasan lagi untuk selalu ke balai.
-----
Inspektor Firdaus duduk di mejanya, meneliti fail kes sambil sekali sekala memandang pintu pejabat ASP Iskandar.
Bunyi gelak ketawa dari dalam bilik menarik perhatiannya.
"Apalah yang seronok sangat ayah dan anak tu?" fikirnya.
Dia terus menyemak kes-kes yang ada, bila pintu pejabat Tuan Iskandar tiba-tiba dibuka.
Masrina keluar dengan bekas makanan yang sudah kosong, kelihatan ceria.
Sebaik sahaja dia sedar Firdaus sedang memandang, wajahnya terus berubah.
Masrina memandang Firdaus sekejap, kemudian mejelirkan lidahnya sebelum terus melangkah laju keluar.
"Eh, tiba-tiba?" Firdaus tergelak kecil.
"Muda-muda lagi berani," bisiknya sambil menggelengkan kepala.
"Berapa umur dia agaknya?" Firdaus tertanya-tanya.
"Nampak macam bawah 20, tapi susah nak teka. Aku pun baru 35," bisiknya sambil mengerutkan dahi.
Firdaus cuba fokus pada fail-failnya, tetapi fikirannya masih terganggu dengan gelagat Masrina sebentar tadi.
Dia menggelengkan kepala, "Biar betul, aku ni..."
Setelah menutup fail terakhir, Firdaus bangkit dari kerusinya, meregangkan badan, dan berjalan menuju pintu.
"Ah, lantaklah," katanya pada diri sendiri, lalu menutup pintu pejabatnya perlahan-lahan.
Share this novel