2. Pertemuan Pertama

Romance Completed 25949

“Assalamualaikum, along dah balik!” jerit Masrina sambil menendang kasutnya ke tepi pintu.

Beg sekolahnya terus dicampak, melayang ke sudut ruang tamu.

“Balik-balik menjerit, macam orang kalah judi,” suara ibunya bergema dari dapur.

Masrina tersengih, terus menuju dapur bila terhidu bau pengat pisang.

“Mmm, pengat pisang Mama buat ke? Power!”

Di meja makan, adiknya, Masliza, sedang melukis dengan penuh tekun.

“Kakak! Jangan kacau!” jerit Masliza bila Masrina tiba-tiba meramas rambutnya yang baru disikat.

“Lukis apa tu?” Masrina menunduk, memerhati. Dia tergelak kecil.

“Ni kakak ke? Apa benda tompokan merah besar ni?”

“Cantiklah tu! Kakaklah hero dengan baju merah!” Masliza membela sambil menunjukkan lukisannya yang tak menyerupai manusia langsung.

Masrina mengangguk-angguk, menahan gelak.

“Kalau macam ni, mesti boleh masuk muzium seni moden.”

Ibu memandang mereka sambil mengacau pengat di dalam periuk.

“Dah, jangan kacau adik kau. Macam mana latihan tadi, Along?”

“Lega dah habis,” jawab Masrina sambil duduk. Dia menjentik plaster di lututnya.

“Tapi tengoklah ni, nasib baik ada Nemo jaga.” Plaster di kakinya agak comel dengan gambar ikan Nemo kecil.

Ibu ketawa kecil.

“Baguslah kalau okay. Makan pengat ni dulu, lepas tu tolong Mama hantar makanan kat ayah.”

“Okie!”

Masrina dah mula menyenduk pengat pisang ke dalam mangkuk. Dia makan seperti orang yang baru keluar dari penjara kerja berat.

“NAK IKUT! NAK IKUT!” tiba-tiba Masliza menjerit sambil membanting krayon ke lantai.

Ibu memandang tajam.

“Kamu duduk sini teman Mama. Jangan buat perangai.”

“ALAAAA!” Masliza merungut.

Dia mengutip krayon, membawa lukisannya naik ke bilik sambil menghentak kaki.

“Aish budak ni ikut perangai siapa entah,” keluh ibu sambil menggeleng kepala.

Masrina tersenyum nipis, tak berani komen.

-------

Masrina tiba di balai polis dengan bekas makanan di tangan.

Baru sahaja dia mahu memulas tombol pintu pejabat ayahnya, suara garau di belakang mengejutkannya.

“Cik, bilik ini dilarang masuk.”

Masrina tersentak, segera berpaling.

Seorang lelaki tinggi dalam seragam polis berdiri di belakangnya. Wajahnya serius, mata tajam memerhati.

“Oh, err… saya cari ayah saya,” jawab Masrina tergagap.

Namun, suaranya terasa tersekat. Lelaki itu kelihatan seperti watak utama drama detektif Korea yang biasa ditonton ibunya.

“Siapa ayah awak?” lelaki itu bertanya tegas, dengan nada tak sabar.

“ASP Iskandar,” balas Masrina pantas.

Lelaki itu mengangkat kening. “Tuan Iskandar? Ayah awak? Apa urusan awak?”

Masrina menggenggam bekas makanan erat-erat. Terasa gugup. Tiba-tiba, otaknya memberikan idea yang tidak masuk akal.

“Saya… saya kena rompak!” katanya, menahan senyum sendiri kerana merasa keterlaluan.

Lelaki itu mengerutkan dahi.

“Awak kena rompak? Di mana? Bila?”

Masrina berpura-pura menarik nafas dalam, seperti mahu mengingati kejadian palsu itu.

“Dekat jalan besar tadi… ada dua lelaki naik motor. Mereka rampas beg saya.”

Lelaki itu memandang Masrina dari atas ke bawah, matanya menilai.

“Ada kecederaan? Kenapa awak nampak elok saja?”

“Err… saya sempat elak! Tapi beg saya… dah hilang!” Masrina meletakkan tangan di dada, berlakon cemas.

Lelaki itu menoleh ke arah bekas makanan di tangan Masrina.

“Jadi… itu? Bukankah beg awak? Macam mana bekas ni boleh ada?”

Masrina terdiam, wajahnya berubah merah. Dia tak bersedia dengan soalan susulan.

“Oh, bekas ni… err… sebenarnya saya sempat selamatkan!”

Lelaki itu mengangkat kening lebih tinggi, jelas tak percaya.

“Cik, saya rasa awak tipu.”

“Saya tak tipu! Saya… saya…”

Masrina menggagau mencari alasan, namun tak sempat menyelesaikan ayatnya.

Pintu pejabat ayahnya terbuka, dan ASP Iskandar muncul.

“Along? Kenapa berdiri di sini?” Tuan Iskandar memandang anaknya dengan hairan sebelum menoleh ke arah lelaki itu.

“Inspektor Firdaus, apa hal ni?”

“Anak Tuan kata dia kena rompak,” jawab lelaki itu, tersenyum kecil.

Tuan Iskandar memandang Masrina dengan mata tajam.

“Along. Apa cerita ni?”

Masrina memeluk bekas makanan erat-erat.

“Err… Sebenarnya… saya cuma nak tengok reaksi polis kalau saya kata kena rompak…”

Inspector Firdaus tersenyum lebar, cuba menahan tawa.

“Oh awak nak buat eksperimen sosial di balai polis.”

Tuan Iskandar menghela nafas panjang sambil menggeleng kepala.

“Ikut ayah masuk pejabat sekarang. Lepas ni, jangan buat lawak macam ni lagi.”

Masrina cepat-cepat berlalu, tak sanggup bertentang mata dengan Inspektor Firdaus lagi..

“Handsome. Macam pelakon k drama sungguh,” bisik Masrina sendiri, tersengih malu.

Masrina melambai kecil pada Firdaus sebelum melangkah ke pejabat ayahnya. Dia sempat mencuri pandang sekali lagi. Dalam hati, dia tersenyum.

Tak sangka, hantar makanan boleh jumpa hero drama real life.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience