Pulang ku ke madrasah bersama mak dan yang lain kecuali Saiful yang masih terlantar di hospital. Mak terpaksa bertemu mata dengan Ustazah Hayati untuk memberitahu kepadanya berita perit ini sendiri.
Aku tak sanggup memikirkan episod seterusnya, dengan kemungkinan kemurungan ustazah lewat berita itu disampaikan. Mujur sahaja baru mahu melangsungkan pertunangan. Bukan putus tunang. Tapi, hati siapa yang tidak sakit apabila sudah ditolak apa pun keadaanya...
Apakah aku yang salah?
Aku sendiri pun belum tahu, sejauh mana kebenaran kenyataan yang aku baru sekali dengar itu. Itu pun secara tidak sengaja.
" ... along cintakan Aiman..."
Kata-kata yang datangnya dari suara parau milik Saiful itu, terngiang kembali di gegendang telinga ku. Membuat aku mahu menutup mata... tetapi terasa macam drama sangat. Ah, ini bukan 'Drama Sangat' TV3! Aku menerawangkan pandangan ku melihat-lihat pokok kelapa sawit yang gah berdiri di kiri kanan jalan yang sedang kami lalui sekarang.
Oh, sudah sampai rupanya aku di perkampungan madrasah. Lupakan sahajalah berkenaan Saiful. Barangkali aku hanya tersilap dengar.
Setelah mak selesai berjumpa Ustazah Hayati di dalam, yang aku belum tahu lagi khabarnya, aku bersendirian dengan mak di luar kereta setelah mak meminta Khansa' untuk masuk dahulu ke dalam kereta bagi memberi ruang kepadanya untuk berprivasi dengan ku.
" Aiman... ngaji betul-betul ya. Capaikan target kamu. Mak tahu, kamu boleh. Mak tunggu sampai kamu habis..."
Aku pandang wajah mak. Tangannya kemas menggenggam tangan ku.
"... Abang Saiful juga akan tunggu sampai kamu habis."
Usai berkata begitu, terus tubuh ku di bawa ke dalam pelukannya, erat. Aku yang tersentak dengan kata-kata terakhir mak itu hanya mampu menyimpan rasa di balik tubuhnya yang sederhana besar itu. Kali ini, mata ku benar-benar terpejam. Terpejam rapat kerana merasakan apa yang aku dengar di sebalik langsir pemisah antara pintu masuk bilik wad dan katil pesakit pagi tadi, tidak salah. SEMACAM tidak salah.
Entahlah... Aku pun tidak tahu... Tapi pelukan mak memang terasa lain benar. Seperti tidak mahu berpisah dengan ku lagaknya...
Mak melepaskan aku dari pelukannya dan memandang mata ku kembali.
"Jaga diri kamu, baik-baik. Harapan mak, sentiasa ada dalam harapan setiap anak-anak mak. Mak tahu pilihan mereka terbaik, sebab mak yang lahirkan mereka."
Lagi-lagi aku bingung dengan ucapan mak yang seperti tiada kena-mengena dengan ku. Aku bukan anaknya, itu pasti. Lalu mengapa dengan harapan anak-anaknya?
Aku anggukkan sahaja kata-kata mak walau sebutir pun aku tidak faham. Hari ini sahaja, sudah lima chapter berlalu. Terasa banyak pula peristiwa yang berlaku dalam masa 24 jam.
Mak mula bergerak pergi dari ku. Tapi, setelah apa yang berlaku hari ini... Fikiran ku tiba-tiba laju memikir sesuatu sehingga satu keputusan telah muncul dalam fikiran ku.
"Mak."
Aku memanggil mak kembali sebelum mak sempat membuka pintu kereta.
Mak kembali berpaling ke arah ku dan aku segera menghampirinya.
"Mak... Aiman rasa... Cuti kali ni, Aiman nak balik jumpa ibu."
Aku lihat kening mak yang sudah berkerut hairan mendengarkan permintaan ku itu.
"Aiman dah mula rindu ibu Aiman sendiri. Boleh kan, mak, kalau cuti ni... Aiman balik jumpa ibu?"
Aku merayu kepada mak dan mengulangi lagi permintaan ku. Mak terkebil-kebil tidak percaya dengan ku.
"Aiman betul ke ni?"
"Betul, mak."
Aku mengangguk yakin. Niat asal sebenarnya mahu melarikan diri dari Saiful, kini menjadi satu tekad pula. Ya, aku mahu pulang!
Bersambung... P/S: Penulis suka target 10 chapter, baru publish. Maaf kalau lambat :)
Share this novel