Chapter 10

Drama Completed 4858

"Assalamualaikum, mak."

Aku mencium tangan mak yang semakin kedut dimamah usia.

Harini, mak datang menziarahi ku dengan membawa kek coklat buatan Khansa'. Aku pun tidak sangka yang Khansa' pandai membuat kek. Katanya, dia pun pertama kali mencuba semata-mata kerana terlalu rindu untuk bertemu dengan ku. Aku semakin terharu dengan layanan Khansa' yang tidak pernah menganggap aku sebagai orang asing yang mengganggu hidupnya. Bahkan, apabila aku sudah berpindah ke sini pun, dia masih merindui ku.

Tidak seperti Saiful.

Dia yang menjadi pemandu perjalanan mak ke sini hanya diam sepanjang masa kami berbual. Hanya sekali-sekala aku melihat matanya menjeling kepada ku ketika aku menceritakan kepada mak yang aku sudah mula menghafal juzu' satu. Selebihnya, dia banyak termenung sendiri melihat-lihat pemandangan laman madrasah ku yang agak luas.

"Itu pokok manggis. Sekarang ni musim buah. Diorang suka panjat pokok sambil makan manggis atas tu. Abang Saiful nak rasa tak buah manggis tu?"

Aku bercerita kepada Saiful tanpa dipinta.

Seperti biasa, Saiful hanya akan memandang ku seketika, dan kemudian matanya di arahkan ke arah pokok manggis yang aku maksudkan.

"Oncak pun nak rasa!"

"Jom!"

Aku mengajak Khansa', dan langkahan kami mendahului Saiful yang mula mengikuti kami kemudian. Mak juga tidak ketinggalan untuk menyertai kami.

Kami bersama menjamah buah manggis yang segar dari atas pokok. Pada mulanya, aku yang menawarkan diri untuk mengambil buah yang masih berada di atas pokok yang lebat itu. Namun, Saiful menghalang, dan dia yang mahu melakukannya untuk kami. Kami makan hasil kutipannya di bawah, sementara dia hanya makan di atas pokok.

Bahagianya aku rasakan hari ini. Berbeza ketika aku menjamahnya bersama kawan-kawan yang lain. Aku seperti merasai kehangatan kasih sayang mereka untuk ku.

Diam-diam, aku tersenyum bahagia. Keikhlasan mereka dalam meraih nasib ku yang malang ini begitu jelas terpancar dari raut wajah mereka. Aku benar-benar bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya yang besar ini.

Tiba-tiba, aku melihat dari jauh, seseorang memanggil ku dengan lambaian tangannya, meminta agar aku segera mendekat.

Aku pamit sebentar meninggalkan mereka, dan laju berlari ke arah budak yang memanggil ku itu.

Rupa-rupanya, budak itu adalah utusan Ustazah Hayati yang ingin menitipkan sesuatu untuk mak.

Aku mengambil bungkusan itu dan kembali berlari kepada mak yang masih berada di bawah pohon manggis bersama Khansa' dan Saiful yang telah turun dari atas pokok.

"Mak, ni ustazah bagi. Dia kata, untuk mak."

Bungkusan bertukar tangan dan tanpa menunggu lagi, mak terus membukanya di hadapan kami semua.

Sehelai tudung bawal berbidang 60 terpampang di mata-mata kami yang bersinar dek kilauan yang terpancar dari tudung tersebut. Aku dan Khansa' teruja sesama sendiri sedang Saiful sudah berkeadaan seperti biasa. Mungkin kerana dia tidak pernah berkeinginan untuk memakainya.

"Oncak pun nak!"

Khansa' terkinja-kinja mahukan tudung yang sama seperti mak.

"Kalau kamu nak nanti, mak bagilah pinjam. Sekarang ni, mak punya..."

Pujuk mak, membuatkan Khansa' suka.

"Along tahu tudung tu. Kalau Oncak nak, nanti along belikan."

Tawaran Saiful membuatkan mata Khansa' terbeliak besar. Tidak kurang juga aku!

"Wah! Along nak belikan untuk Oncak? Yeay!"

Aku sekadar menelan liur dengan tawaran yang hanya ditujukan kepada Khansa' itu. Keinginan ku terpaksa disorok kerana aku merasa cukup dengan setiap keperluan ku yang telah banyak ditanggung oleh mereka anak-beranak.

Aku hanya mampu tersenyum melihat kegembiraan Khansa' tanpa ada rasa iri.

"Jom. Outing sekejap."

Tiba-tiba Saiful mengeluarkan kenyataan yang mencengangkan kami semua.

Ke mana?

Cerita ini hanya berpihak kepada Aiman semata. Tiada campur perasaan Saiful bersama. Kerana perasaan pria itu sentiasa menjadi hak cipta terpelihara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience