Chapter 8

Drama Completed 4858

Aku duduk di barisan yang paling hujung di dalam kelas yang aku kira mempunyai 10 orang pelajar. Saiful kata, madrasah ini masih baru dan wajarlah bilangannya sebegitu.

Aku duduk di sebelah seorang budak yang bergigi siung ketika dia memandang aku dengan senyumannya yang menyeringai. Aku membalas kembali senyumannya, dan duduk di situ menghadap meja ku yang kosong.

Lagi sekali, aku terlupa untuk membawa barang yang paling penting ketika aku ke sini.

AL-QURAN!

Aku memandang budak di sebelah ku, dan ternyata, bukan dia sahaja yang sedang memandang ku sekarang. Bahkan, kesemua kelas sedang terarah ke arah ku seperti aku adalah bidadari cantik yang baru turun dari syurga.

Aku perasan begitu... Namun, aku buat muka tidak bersalah.

"Hai, nama awak siapa?"

Seorang kakak yang berpipi tembam bertanyakan nama ku tiba-tiba.

Aku senyum dahulu sebelum menjawab.

"Aiman."

Masing-masing ku lihat, sudah memasang wajah teruja. Atau mungkin senang ku tafsir, jakun.

Aku tahu nama ku unik. Nama yang biasa digunakan untuk lelaki. Namun nama ini, ayah letakkan untuk ku. Aku tidak pernah bertanya kepada ayah mengapa dia menamakan ku sebegitu. Mungkin penasaran mendapat aku sebagai anak sulungnya sedangkan mimpinya adalah untuk mendapatkan anak lelaki.

Mungkin?

"Aiman? Bukan ke itu nama lelaki?"

Mereka menceceh sesama sendiri di hadapan ku.

Tiba-tiba, aku jadi teringat dengan kumpulan nasyid Aiman yang masih popular sekarang. Aku suka lagu Ibu yang mereka nyanyikan dahulu, dan sekarang, ada pula lagu ayah. Aku lebih memilih untuk menyukai lagu ayah memandangkan ibu telah pun membuang ku.

"Ketika berjauhan... masih ku rasa... hangat kasih mu, ayah... betapa ku rindukan... redup wajah mu... hadir menemani ku... Terbayang ketenangan... yang selalu kau pamerkan... bagaikan tiada... keresahan.."

Aku baru nak masuk 'walau', tiba-tiba aku terdengar suara deheman yang keras di bahagian hadapan kelas.

Aku buka mata ku, dan ternyata, Ustazah Hayati telah selesa duduk di hadapan, entah berapa lama, aku langsung tidak sedar. Budak-budak yang lain telah kembali membuka Al-Quran mereka dan menyambung hafalan mereka. Aku terkebil-kebil memandang Ustazah Hayati di hadapan yang sedang terkidum-kidum di situ.

Tiba-tiba, ustazah memanggil ku ke hadapan.

"Kamu awal-awal datang, memang nak hiburkan mereka dulu ke?"

Ustazah tertawa kemudian, disusuli aku yang baru sedar kesilapan diri. Aku harap, mereka semua dapat maafkan aku yang telah merosakkan suasana kelas mengaji mereka dengan suara ku yang sumbang.

"Sudahlah. Saya tengok, meja kamu dari tadi kosong. Kamu bawa Al-Quran tak?"

Aku menggeleng perlahan.

"Kamu dah berapa kali khatam selama ni?"

Aku cuba mencongak-congak hari yang aku baru pandai mengaji sehingga sekarang.

"Sekali."

Jawab ku, jujur.

"Habis sekarang, kamu nak ngaji pakai apa, tak bawa Quran?"

Aku cuba memikirkan jawapan yang sopan untuk ku berikan kepada ustazah. Bimbang, jawapan tanpa fikir ku kelak akan membawa aku kepada kebinasaan.

"Saya boleh pinjam mereka, ustazah."

Aku lihat, ustazah mula berpaling dari ku sambil bahu ustazah terhincut-hincut laju. Aku penasaran melihatkan keadaan ustazah begitu. Namun, setelah ustazah kembali menghadap ku, aku lihat rupa ustazah sudah memerah bersama baki tawa yang terkemut dibibirnya. Baru aku tahu, bahawa ustazah sedang menyorokkan rasa geli hatinya daripada ku.

Tapi, aku tertanya-tanya. Apakah kerana terlalu sopan jawapan ku itu?

"Iiiish kamu ni."

Ustazah kembali tertawa, tak tertahan. Aku pula hanya mampu menyeringai melihatkan ustazah yang seperti didera kekek tawanya sendiri.

Tidak semena-mena, ustazah bangun meninggalkan ku, dan terus berlalu memasuki biliknya. Aku terbayang yang ustazah mahu termuntah kerana terlalu banyak ketawa. Tiba-tiba, aku jadi serba salah.

"Awak cakap apa dekat ustazah?"

Seorang budak kenit menegur ku.

Aku berpaling ke arahnya dan hanya mampu menjungkitkan bahu. Budak itu serta-merta menjeling ku dan membuat muka tidak puas hati.

Aku pantang dianiaya sebegitu tanpa sebab. Lalu, aku memicingkan pandangan ku ke arahnya dan menjelingnya sepuas hati ku.
Tidak lama setelah itu, Ustazah Hayati masuk ke kelas semula bersama senaskhah Al-Quran ditangannya. Apabila terpandangkan aku, ustazah tersenyum lebar. Aku juga turut tersenyum meraikan senyuman ustazah.

"Ini Quran lama saya. Saya dah lama tak guna. Tapi masih elok lagi. Kamu gunalah dulu."

Al-Quran yang berwarna hitam itu terhulur untuk ku, dan aku menyambutnya dengan rasa senang hati.

"Kamu buka Surah Yasin. Saya nak dengar bacaan kamu dahulu. Kalau baik, kamu boleh terus menghafal."

Aku pun bersemangat mencari Surah Yasin di dalam Al-Quran tersebut, dan sekejap sahaja, muka surat 440 sudah terpampang di hadapan mata ku.

Majoriti Al-Quran rasm Uthmani, Surah Yasin nya berada di muka surat 440. Tidak peraya, sila buka.

Aku memulakan bacaan ku dengan penuh berhati-hati. Bermula basmalah, aku memulakan nya dengan penuh penghayatan agar harapan ku untuk terus mengafal Al-Quran menjadi nyata.

Aku menarik nafas dalam-dalam, dan memulakan pula bacaan ayat pertama dalam Surah Yasin. Ustazah Hayati terangguk-angguk mendengarkan bacaan ku yang tidak tumpah seperti qariah Malaysia, Nor Farhatul Faizurah Panut. Perasaan bangga ku, sehingga aku merasakan yang hidung ku sudah mula kembang-kempis.

Bacaan ku telah sampai pada ayat ke lima Surah Yasin, dan Ustazah Hayati telah meminta aku untuk menghentikan bacaan. Komennya, bacaan ku baik. Cuma, aku perlu perbaiki bacaan ku agar tidak semua huruf aku baca melalui hidung.

Syukur... akhirnya, aku dapat meneruskan bacaan Al-Quran ku secara hafalan, tanpa perlu bermula daripada iqra'.

ALHAMDULILLAH!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience