Chapter 11

Drama Completed 4858

Untuk pertama kali dalam hidup ku, aku masuk ke kedai butik terkemuka. Kami semua tidak sangka yang Saiful akan membawa kami ke sini. Mak juga teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke sini, tidak kurang juga Khansa'.

Butik Tudung XXX.

Aku terpaku melihat papan tandanya yang gah terpampang di atas pintu masuk.

"Saya bawa sini bukan suruh Aiman tenung papan tu."

Suara parau Saiful membuat aku menoleh. Pandangannya juga tertala ke arah papan tanda itu tanpa melihat aku.

"Saya nak Aiman masuk pilih tudung."

Aku berkerut, takjub. Aku harap, Saiful sudi mengulang kembali tawaran hebatnya yang kedengaran seperti angin lalu tadi.

Namun hampa, apabila Saiful terus melangkah masuk ke dalam butik meninggalkan aku dalam ketidak pastian.

"Kak Aiman! Tengok ni!"

Tiba-tiba, suara Khansa' membingit memanggil nama ku dari dalam. Aku segera mendapatkannya di dalam, walaupun aku terlalu bimbangkan diri ku yang bakal 'kerasukan' melihat tudung-tudung yang 'wow' tarikan nafsunya itu.

"Kak, ni cantikkan? Warna turquoise! Oncak suka!"

"Iya lah. Cantik sangat. Sesuai dengan Oncak."

Mata ku terlalu silau dek gemerlapan cahaya tudung-tudung di sini. Aku rasa, aku sudah tidak dapat menahan keinginan ku untuk meneroka kesemua jenis tudung yang ada di dalam butik ini!

"Kak, akak dah pilih belum? Oncak nak bayar dah ni."

"Eh, tak apa lah. Akak tengok-tengok je."

Aku tak yakin duit poket yang mak titipkan untuk ku sebagai perbelanjaan di madrasah mampu untuk aku miliki sehelai tudung di sini. Lagipun, duit poket yang jumlahnya dua puluh ringgit itu adalah peruntukan ku untuk selama sebulan. Ini baru dua minggu aku di madrasah. Lagi tiga minggu untuk aku berjaga-jaga dengan dua puluh ringgit itu untuk apa-apa keperluan yang mendesak.

Aku hanya mampu menelan liur melihatkan pelbagai jenis tudung yang begitu menggugah iman ku. Hanya itu yang aku mampu.

Aku redho.

"Kak, along marah kalau akak tak ambil sehelai pun. Ambillah, kak. Mana-mana yang akak suka. Bukan senang tau along tu nak belanja. Nanti datang mood kedekut dia... jangan mintalah... Baik..."

"Ehem! Oncak mengumpat along ke?"

Tiba-tiba, entah bila Saiful datang, dia sudah terpacak di belakang kami. Mujur aku bukan jenis yang kuat melatah. Kalau tidak... bersilat gayung lah aku dek kerana sergahan suaranya yang parau itu.

"Dah, cepat. Zohor dah masuk dah ni."

Sebentar kemudian, Saiful sudah mendahului kami ke kaunter pembayaran. Aku tiada pilihan lain, selain mencapai sehelai tudung yang menjadi pusat pemerhatian ku sedari tadi antara berjuta pilihan yang ada. Lalu, aku dan Khansa' berlari ke kaunter sebelum Saiful bertindak untuk menarik telinga kami pula.

Aku lihat, Saiful tenang sahaja membayarkan tudung-tudung kami yang entah, aku pun tidak tahu berapa harganya. Mak juga ada berbisik kepadanya yang aku faham dari gerakan bibir dan riak muka mak, bertanyakan kecukupan duitnya untuk membayar tudung-tudung yang mahal itu. Namun, aku lihat, dia hanya tersenyum dan berkata,

"InsyaAllah, cukup, mak."

Usai solat, kami ke kiosk makanan di aras satu mall tersebut untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong.

Aku yang kini sudah mengenakan niqab, tidak tahu bagaimana untuk memenuhi tuntutan perut ku yang semakin lapar.

Duduk di salah satu meja makan, aku semakin bingung untuk memesan makanan. Khansa' sudah menyuakan kepada ku kad menu makanan untuk aku membuat pilihan bersama dengannya.

"Kak, makan nasi goreng kampung jom. Oncak dah lama tak makan nasi goreng kampung."

"Kamu ni, pergi sampai sini pun, nak pesan nasi goreng kampung lagi. Tengok lah yang best-best sikit."

Mak mula mengambil kad menu yang berada di tangan Khansa' lalu membeleknya.

Aku mengalihkan pandangan ku kepada Saiful yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Matanya juga terarah kepada ku dan aku tahu, mungkin dia mahu juga melihat kad menu itu untuk memilih pesanan makanan. Tetapi aneh, apabila dia jadi kelam-kabut menukar arah pandangannya ke tempat lain.

Aku kira, penyakitnya sudah datang. Sindrom-tidak-pernah-melihat-orang yang dihidapinya itu, selalu membuatkan dia berkelakuan pelik sebegitu.

"Along. Along nak makan apa?"

"Apa-apa yang mak pesan."

Menurut sahaja jawapannya. Mungkin, mak dikira bertuah punya anak seperti Saiful. Sedangkan aku...

Terimbau kembali peristiwa lepas di dalam ingatan ku. Ketika aku memaksa ibu untuk menurutkan aku berjualan kuih-muih di hadapan sebuah rumah agam. Rumah itu terletak betul-betul di tepi jalan raya, dan aku kira, jualan kami akan laku di sana. Ibu menuruti ku, dan ternyata sangkaan ku benar. Hari-hari berikutnya, ibu meneruskan lagi jualan di sana, namun, satu kejadian tidak disangka berlaku kepada ibu, ketika ibu berjualan sendirian sedang aku di sekolah.

Bakul kuih-muih ibu ditolak kasar sehingga bertaburan segala kuih-muih di dalamnya dan ibu diherdik pemilik rumah agam yang berbangsa cina itu untuk tidak berjualan lagi di hadapan rumahnya.

Ibu menangis ketika menceritakan peristiwa itu kepada ku sehingga aku menjadi terlalu bersalah kepada ibu kerana telah memaksanya untuk berjualan di sana.

Kini, apabila aku melihatkan Saiful, aku berasa yang aku adalah anak yang paling teruk untuk ibu kerana tidak pernah menyenanginya seperti yang Saiful lakukan kepada mak. Mungkin, aku memang layak dibuang kerana sikap ku yang teruk ini.

Aku menginsafi diri ku sendiri sehingga terbit air mata ditubir mata ku. Aku rindukan ibu.

Rindu yang tiba-tiba datang...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience