Keesokan paginya, Ustazah Hayati memanggil aku masuk ke dalam biliknya dan aku ditanya tentang nama penuh ku, asal-usul ku, dan sebab aku ke sini.
Semua soalan itu aku jawab mudah dan tidak ada satu pun yang tersalah. Cuma mata ku yang sembab sahaja tidak mudah bagi ku sekarang. Aku sukar untuk menatap ustazah dengan keadaaan ku begini. Pasti rupa ku terlalu buruk untuk menjadi tatapan ustazah sekarang.
Ustazah turut bertanyakan tentang tangisan ku sepanjang hari semalam dan segala-galanya aku ceritakan kepada ustazah sambil menahan sebak yang datang kembali.
Aku tidak tahu kenapa aku perlu menceritakannya sehingga aku terpaksa menangis lagi melainkan sebab aku sudah tekad untuk mengotakan harapan mak, dan mengaji bersungguh-sungguh di sini sehingga aku tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyusahkan mak membayar kos pembelajaran di sini.
Saiful kata, tempoh pengajian pondok mengikut selama mana kita dapat sempurnakan hafalan tiga puluh juzu Al-Quran beserta syahadahnya. Dan aku berazam untuk meyingkatkan masa itu walaupun aku belum tahu sesusah apa menghafal Al-Quran.
Ustazah Hayati turut memberikan kata-kata semangat kepada ku untuk memulakan hafalan Al-Quran dan memberi kelebihan kepada sesiapa yang menghafal Al-Quran. Antaranya, dapat memberikan mahkota yang sinarannya melebihi cahaya matahari apabila ia berada di dalam rumah, kepada kedua ibu bapa si pembaca dan dapat menaiki tingkatan syurga mengikut sebanyak mana ayat yang akan dibaca di akhirat kelak.
Aku terkenangkan ayah yang sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas kerana lemas di sungai ketika sedang menjala ikan untuk makanan kami anak-beranak. Aku berazam untuk memberikan mahkota itu nanti kepada ayah, dan juga ... ibu...
Hati ku pedih mengenangkan ibu. Tetapi, untuk aku mengecualikan ibu dari pemakaian mahkota itu, bukanlah aku yang akan memakaikannya kelak. Jika aku boleh buat pilihan, pastilah mahkota itu aku mahu pakaikan kepada mak. Semoga mak juga mendapat saham yang banyak dari hafalan Al-Quran ku kelak.
Perbualan kami terhenti di situ dan ustazah telah menghadiahkan kepada ku sehelai niqab untuk aku jadikannya sebagai salah satu pakaian wajib apabila aku keluar ke rumah nanti. Tetapi, memandangkan ustazah tahu yang aku ini beginner dalam pemakaian niqab, maka ustazah hanya meminta aku untuk memakainya sebagai pakaian rasmi madrasah. Selepas ini, setiap kali aku outing, aku diwajibkan untuk memakainya bersama tudung labuh hitam dan juga jubah hitam.
Aku angguk mengerti sebelum aku dibenarkan untuk masuk ke kelas pada pagi itu.
Hanya sebuah catatan...
Share this novel