"Ibu! Ibu!"
Aku berlari laju ke dalam rumah dan mendapati sekujur tubuh terbaring kaku di tengah-tengah rumah dengan lengkap diselubungi kain batik lepas menutupi keseluruhan jasadnya.
Kesemua mata memandang ke arah ku. Aku dapat menangkap susuk tubuh adik-adik ku yang berada tidak jauh dari jasad yang terbaring kaku itu. Mata mereka kesemuanya sembab dan merah!
"Sarah! Sarah, bagitahu akak, apa yang dah jadi ni?"
Aku menerpa ke arah Sarah, adik ku, dan menggoncang-goncangkan bahunya dengan kuat.
"Awak ni siapa?!"
Fawwaz, adik bongsu ku, menepis tubuh ku kerana menyangka aku adalah orang asing yang tiba-tiba mahu menyerang kakaknya.
"Ini akak..."
Aku segera menanggalkan niqab yang ku pakai, dan akhirnya, dapat ku lihat kedua orang adik ku itu sangat terkejut dengan kehadiran ku.
"AKAK!"
Mereka berdua menerpa ke arah ku dan saling memeluk ku erat.
"Ibu dah tak ada, kak... Ibu dah tak ada..."
Luruh jantung ku mendengarkan perkhabaran itu sehingga longlai tubuh ku tidak berdaya. Ibu pergi sebelum aku sempat melihatnya, dan mengucup tangannya buat kali terakhir...
Share this novel