Aku duduk di tepi jendela dengan fikiran yang kosong. Siang sudah terik tetapi aku masih terperuk di dalam bilik. Pemergian ibu masih berbekas dalam jiwa duka ku. Aku tidak sangka ibu pergi secepat ini. Belum sempat aku memohon maaf kepadanya atas segala salah dan silap ku... dan belum sempat juga aku mengucapkan selamat tinggal kepada ibu buat kali terakhir...
"Akak, jom ziarah kubur ibu."
Sarah datang ke arah ku dengan wajah yang masih sembab akibat tangisan semalam. Aku memilih untuk duduk bersama maklong kerana maslahat hati ku sendiri. Biarlah ia menjadi rahsia ku, dan tiada siapa perlu tahu.
"Jom..."
Aku bingkas bangun dari duduk ku dan menyarung pakaian hitam ku, sempurna. Kini, aku semakin selesa mengenakannya sebagai pakaian ku di luar rumah. Aku berdoa supaya Allah beri aku taufiq untuk aku terus istiqamah memakainya sehingga akhir hayat ku. Ameen...
Aku, Sarah dan Fawwaz, duduk sebaris di pusara ibu sambil membacakan Yasin dan doa' di situ. Air mata ku tidak henti-henti mengalir kerana apa yang telah aku lakukan selama ini.
Aku mendapat keluarga sebaik mak, dan dihantar pula ke madrasah, rupa-rupanya berasalkan doa dari ibu yang sentiasa mengharapkan kebahagiaan dan kejayaan dunia dan akhirat ku. Betapa bersalahnya aku sebagai seorang anak yang sentiasa bersangka buruk kepada ibu selama ini...
Air mata ku semakin deras. Semoga ibu tenang di sana... Akak janji bu, untuk berikan ibu mahkota di akhirat kelak asbab pengajian akak sekarang, berkat doa dari ibu...
Aku sirami air mawar dipusara ibu diikuti Sarah dan juga Fawwaz.
Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan...
Senyum kemboja menghantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabdian
Insan kerdil menatap Tuhan...
-UNIC_ke makam bonda.
Share this novel