Chapter 15

Drama Completed 4858

Selesai makan malam hari itu di rumah mak, mak memanggil kami semua untuk duduk bersama di ruang tamu. Aku sememangnya sudah rindu untuk menonton drama pada malam ini. Maka, langkah ku segera sahaja menuruti suruhan mak.

"Kak Aiman... Sekarang dah ada cerita sekian... Mak pun suka tau tengok cerita tu."

Khansa' yang sekepala dengan ku mula memberitahu ku drama yang on going sekarang.

"Iya ke? Mesti mak nak ajak akak tengok sama-sama kan?"

Aku benar-benar teruja.

Saiful masuk ke ruang tamu sambil membawa secawan air kosong ditangan. Dia dan secawan air memang tidak dapat dipisahkan.

"Mak nak tengok drama sekian dengan kita kan, long?"

"Drama apa tu? Along tak minatlah."

Balas Saiful bersahaja sambil meneguk air kosongnya.

"Bukan tengok drama malam ni, Oncak."

Mak pula masuk ke ruang tamu sambil melabuhkan punggung, duduk di sofa tunggal berhadapan dengan Saiful.

"Alah, mak..."

"Mak tahulah cerita tu off malam ni. Dia kan setiap hari Isnin hingga Rabu je."

Mak memang fantastic. Aku rasa macam nak tergelak, tapi aku tahan.

"Oh, yeke? Habis tu, kenapa mak nak kita berkumpul sama-sama malam ni?"

Khansa' bertanya lanjut. Aku pun sudah mula suspen dengan kelakuan mak pada malam ini.

"Ada perkara yang mak nak bincang."

Kali ini, Saiful pula mengangkat muka dan memandang tepat ke wajah mak. Ada kehairanan yang tergambar di muka itu.

"Ubai ke mak?"

Ubai? Siapa tu?

Aku memandang Khansa' dan bertanya kepadanya siapakah gerangan Ubai yang dimaksudkan Saiful.

"Angah..."

Ringkas sahaja jawapan Khansa' yang membuatkan aku terus mengangguk, faham .

Aku menyandarkan tubuhku ke sofa kerana merasakan apa yang mak akan bincangkan nanti, tiada kena mengena dengan ku.

"Berkenaan kamu, long."

"Along?" Along mengisyaratkan dirinya sendiri.

"Ya."

"Tadi, Ustazah Hayati tu jumpa mak."

Mendengarkan nama Ustazah Hayati, aku kembali menegakkan posisi duduk ku.

"Dia... tanya pasal kamu."

"HA?!"

Kami serentak tercengang. Saiful lagi tidak tertahan terkejutnya. Aku bimbang rahang mulutnya akan terjatuh.

"Kenapa ustazah tanya pasal Abang Saiful?"

Aku bertanya hairan. Sepatutnya, bukan aku ke yang jadi perbualan antara ustazah dan mak?

Kali ini, aku lihat, Saiful sudah mencerlung pandang ke arah ku. Aku tidak dapat menangkap maksud dia memandang ku sebegitu.

"Dasar along! Kenapa pandang Kak Aiman macam tu?"

Sebiji bantal berbentuk bulat dibaling tepat ke arah Saiful. Saiful terngadah dan memegang hidungnya kemudian.

"Sakit lah, Cak!"

Bantal dibaling semula ke arah Khansa' tetapi Khansa' cekap menangkapnya.

"Bwekk... Oncak dapat."

Saiful sudah cemberut muka menahan sakit. Sementara Khansa' mencebir kemenangan.

"Sudah lah kamu berdua! Mak nak cakap benda serius ni."

Mak meleraikan ulah mereka berdua.

"Apa yang serius sangat ni, mak? Kenapa ustazah tu tanya pasal along? Aiman ada sampaikan apa dekat ustazah tu pasal along?"

Saiful bertanya bertubi-tubi. Sedangkan aku yang sudah tersentak apabila nama ku disebut mula terfikir-fikir, apakah aku ada terceritakan kepada Ustazah Hayati apa-apa berkenaan diri dia?

"Tak ada... Bukan... Semua bukan. Aiman tak cerita apa-apa pun dekat ustazah tu... Ustazah tu sendiri yang ternampak kamu dan dia berkenan dengan kamu."

Saiful sudah panas telinga. Kepalanya kemudian tersandar ke sofa sambil dia menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangannya.

"Along... Along kan dah dewasa. Ustazah itu pun senasib kamu juga, sedang mencari jodoh yang baik untuk diri dia."

Aku lihat, Saiful sudah kembali duduk tegak dan menghadap wajah mak dengan penuh keserabutan di wajahnya.

"Mak rasa, along baik untuk dia ke?"

Kedengaran Khansa' terkekek-kekek di sebelah ku.

"Lawak lah, along... Oncak suka aja kalau ustazah tu jadi kakak ipar Oncak. Kan, Kak Aiman?"

Khansa' menyiku bahu ku, dan aku tidak tahu mengapa aku tidak segembira Khansa' untuk menerima ustazah sebagai kakak ipar ku.

Eh? Kakak ipar siapa?

Aku menggeleng perlahan. Salah betul label itu untuk diri ku. Aku siapa? Menumpang kasih je pun.

"Eik? Kak Aiman tak suka?"

"Eh... Bukan... A... A... Akak okey je.. Akak pun okey. "

Ah, hairan kenapa aku boleh tergagap-gagap begini. Pandangan Saiful kembali ke arah ku dan kali ini pandangan mata itu benar- benar sarat.

Argh, aku betul-betul tidak faham kenapa dengan perasaan ku ini!

Andai kau tahu yang sebenarnya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience