Chapter 12

Drama Completed 4672

Sebulan sudah berlalu dari hari kemasukan aku sebagai pelajar baru di madrasah ini. Aku tiba-tiba menghadapi demam panas sehingga seluruh tubuh ku menjadi lemah. Sudah lama aku tidak demam. Mungkin, masih boleh dikira sebelah tangan, demam ku sepanjang hidup.

Kebanyakan masa, aku hanya terlantar di atas katil dan Ustazah Hayati lah yang banyak merawat ku.

Pernah aku terjaga, dan aku lihat, budak kenit yang suka menyakitkan hati ku itu sedang menyentuh tangan ku. Aku akui, kami seteru dalam hafalan Al-Quran kami. Aku fikir, dialah punca aku jatuh sakit kerana dia mahu mendahului ku. Kami baru sahaja selesai hafalan juzu' satu, dan sekarang, dia telah mendahului ku dalam ulangan satu juzu'.

Ternyata, budak kenit itu telah mengubah persepsi ku terhadap dirinya selepas kejadian itu.

"Nama awak siapa?"

Ketika itu, aku baru terasa ingin tahu dan ingat namanya. Kedengaran pelik. Namun, aku memang akan sentiasa menutup telinga ku apabila berada di dekatnya, agar apabila ada yang memanggil namanya, maka aku sama sekali tidak akan mendengarnya.

Aku menerima tamparan keras pada tangan kiri ku kerana pertanyaan ku itu. Tubuh ku yang sedia sengal-bengal membuatkan aku terjerit kecil dengan tamparannya itu.

"Pengajaran! Lain kali jangan sombong sangat!"

Dan dia berlalu pergi dari situ tanpa langsung menjawab soalan ku. Aku kira, mungkin dia senang untuk aku terus memanggilnya kenit. Biarkan.

Tetapi aku tetap hargai keprihatinannya untuk mengambil tahu keadaan ku tadi.

"Aiman. Bangun. Makan bubur ni. Lepasni nak makan ubat pula."

Seperti biasa, Ustazah Hayati lah yang akan berusaha menjaga makan dan ubat ku. Aku lihat, ustazah begitu bersungguh-sungguh untuk ku. Tidak pula aku tahu kenapa. Cuma, aku hanya mampu berterimakasih setiap kali ustazah telah bersusah payah untuk ku. Dan seperti biasa, ustazah hanya akan membalas ucapan ku dengan senyuman dan anggukan. Mungkin penat untuk menyatakan 'sama-sama' apabila aku terlalu kerap berterimakasih.

Ustazah Hayati duduk di hujung katil ku sambil memerhatikan aku makan bubur yang dimasaknya. Wajahnya kelihatan letih. Tetapi aku tidak mampu menghalang ustazah dari bersusah payah menjaga aku apabila ustazah sendiri yang menawarkan diri. Ramai lagi pelajar yang ustazah boleh wakilkan untuk membantu aku. Tapi ustazah tidak berbuat demikian.

"Aiman, ustazah nak tanya boleh?"

Aku memandang ustazah yang ternyata masih lesu. Mulut ku yang masih penuh dengan bubur membuat aku hanya mampu menjawab dengan anggukan kepala.

"Berapa lama dah kamu duduk dengan keluarga angkat kamu tu?"

"Mereka tak angkat saya, ustazah. Saya hanya menumpang duduk dengan mereka."

Jawab ku sopan. Namun ku lihat, ustazah tertawa perlahan dengan jawapan ku itu.

"Anak Cik Maznah tu ada berapa orang?"

Tiba-tiba aku rasa, ustazah tersilap orang untuk bertanyakan kepada ku tentang Makcik Maznah. Eh, siapa tu?

Muka ku yang pelik membuatkan ustazah berkerut kening melihat aku.

"Kenapa? Saya salah tanya ke?"

Aku menggeleng sekali.

"Saya tak kenal Cik Maznah."

Jawab ku, jujur.

Ustazah menepuk dahi ustazah sehingga bunyinya sampai ke pendengaran ku. Aku bimbang, ustazah pula yang akan jatuh sakit selepas ini. Minta dijauhkan...

"Cik Maznah tu, orang yang jaga kamu itu lah... Kamu tak tahu nama dia ke?"

Ustazah semakin kehairanan dengan ulah ku. Aku pun baru teringat yang selama ini, aku hanya memanggil mak dengan panggilan mak sahaja. Tidak pernah pula aku mahu ambil tahu namanya.

"Oh. Maaf, ustazah. Selama ni, saya panggil Cik Maznah, mak sahaja."

Mata ustazah membesar, entahkan teruja atau terkejut mendengarkan pengakuan ku itu.

"Kamu panggil mak? Kamu ada apa-apa hubungan lain ke dengan Cik Maznah selain kamu menumpang duduk dengan dia?"

Bertubi-tubi pertanyaan ustazah sehingga aku naik pusing. Aku memegang dahi ku yang pening dan aku benar-benar ingin baring dan lelap sekarang.

Ustazah yang menyedari perubahan ku itu, segera mengambil mangkuk bubur yang telah habis dari tangan ku. Lalu membiarkan aku rebah sendiri sambil tidak henti-henti meminta maaf atas pertanyaannya yang dia sangka telah membuat aku terganggu.

Aku terpaksa memekakkan telinga ku kerana aku benar-benar pusing sekarang. Aku harap, aku tidak termuntah di sini. Bimbang pula akan menyusahkan ustazah kelak.

Mata ku pejam rapat dan akhirnya, aku tertidur sebelum sempat makan ubat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience