Saiful tidak lagi seperti dahulu. Semenjak berita dia dirisik Ustazah Hayati, dia terus menjadi seorang yang lebih pendiam dari sebelumnya. Aku lihat, dia hanya suka masuk ke dalam biliknya apabila tiada apa-apa yang perlu dia lakukan bersama kami.
Mak selalu juga menjengah dia di dalam biliknya, dan aku tidak tahu apa yang berlaku di dalam apabila mak selalu menutup rapat pintu biliknya sesudah mak menyusup ke dalam.
Khansa' kelihatan biasa sahaja dengan perubahan alongnya itu. Selama ini pun, dia hanya bersendirian membesar tanpa alongnya itu. Yang menjadi kawannya hanya angah yang sampai sekarang aku masih belum nampak batang hidungnya.
Aku teringat dengan spekulasi Khansa' tentang kehilangan bunga ros ku kelmarin. Pelik benar spekulasi itu kedengaran ditelinga ku. Aku tidak tahu samada mahu mempercayainya atau tidak. Dan aku juga terasa tidak penting untuk mencari kebenarannya. Aku sudah redha dengan kehilangannya. Biarlah... walaupun kejadiannya pelik.
Tiba-tiba, mak keluar dari dapur dan menghampiri ku.
"Aiman..."
"Ya, mak."
Aku memandang wajah tuanya yang sentiasa tenang walaupun seorang anaknya sedang dirundung kemurungan.
"Okey, mengaji dekat sana?"
"Okey..."
"Ustazah kata, kamu cepat menghafal."
Aku tersenyum dengan kenyataan tersebut. Bahagia bila mak tahu, duit yang mak laburkan untuk aku selama ini tidak sia-sia.
"Alhamdulillah... Aiman tak nak mengaji lama-lama, mak."
"Kenapa?"
"Tak nak susahkan mak."
Mak tertawa mendengarkan alasan ku.
"Mak tak susah lah. Insya Allah, untuk Aiman ada je bahagiannya."
Mak tersenyum ikhlas memandang ku membuatkan aku sebak.
"Minta maaf, mak. Aiman banyak menyusahkan mak."
"Mana ada, Kak Aiman..."
Tiba-tiba sofa di sebelah ku tenggelam dan aku merasakan kehangatan dibahu ku apabila tangan Khansa' mendarat di situ.
Aku berpaling menghadap ke arah Khansa' dan cuba tersenyun kepadanya tetapi aku sudah tidak mampu. Perasaan sebak telah mengatasi ku, dan aku menangis di situ.
Mak memaut bahu ku dan mengusap-usapnya lembut.
"Mak dah anggap kamu macam anak mak sendiri. Kamu sikit pun tak menyusahkan mak. Kamu anak yang baik..."
"Kak Aiman, baik..."
Giliran Khansa' pula memaut bahu ku, sekaligus menyandarkan kepalanya di sisi bahu ku.
Aku semakin hanyut dalam tangisan ku sehingga aku tidak mampu menyembunyikan suara tangisan ku. Kedua tangan ku menekup wajah ku.
Mereka terlalu baik untuk ku, mak.. Khansa'... Abang Saiful... Mengenangkan pula hari aku ditinggalkan ibu, sendu ku semakin menjadi-jadi.
Share this novel