" Untuk kebaikan Aiman, Aiman ikutlah cadangan Abang Saiful, ya?"
Malam ini, mak pula yang mengatakan perkara itu kepada aku. Sedang Saiful berada di meja makan di dapur, mendengar perbualan kami dari jauh. Dari tadi aku melihatnya menghirup kopi panasnya itu tidak habis-habis. Aku menjeling ke arahnya sedang di hadapan mak, aku hanya mengangguk lemah tidak berdaya untuk melawan.
"Mak tahu, Aiman tak suka. Tapi, insyaAllah... lepas Man habis, Man boleh sambung ke kolej yang Man nak."
Aku memandang tepat ke wajah mak. Tertanya-tanya, adakah mak mahu menanggung aku pula untuk ke kolej selepas perbelanjaan madrasah ini pun, mak yang tanggung? Oh... mak adalah seorang ibu tunggal... Aku tidak pernah melihat dia bekerja melainkan hanya menjahit pakaian. Itu pun tidak tetap. Aku langsung tidak faham mengapa ibu sekejam ini kepada aku. Sudahlah aku dibuang. Sekarang ini tambah menyusahkan orang lain pula. Aku ke yang salah? Atau salah ibu yang meninggalkan aku tanpa sebab?
"Mak, betul ke mak nak bagi Aiman masuk kolej pula selepas ini? Kos perbelanjaan madrasah pun belum tahu lagi, mak. Sekarang mak dah cakap pasal kolej. Aiman tak nak menyusahkan siapa-siapa pun. Aiman cukup dengan belanja makan minum Aiman yang mak dah bagi selama ni. Kalau boleh, itu je yang Aiman nak. Tapi, sekarang... disebabkan Abang Saiful tak suka Aiman tinggal sini..."
Tiba-tiba aku lihat, Saiful berkalih pantas ke arah ku dan mak juga turut mencelah kata-kata ku,
"Bukan, Aiman... Aiman jangan salah faham... Abang Saiful tu bukan tak suka Aiman duduk sini... Tapi Aiman masih muda... Kami semua faham keadaan Aiman. Kami terbuka untuk terima Aiman dalam keluarga kami. Tapi Aiman masih muda... Aiman perlu rebut peluang ini untuk teruskan pengajian Aiman. Mak pun setuju kalau Aiman masuk madrasah, sebab itulah pengajian yang mak dapat jamin kebaikannya untuk Aiman..."
Aku pandang wajah mak yang penuh pengharapan. Mak ikhlas mengucapkan kata-kata itu kepada aku. Aku pun jadi tersentuh dan mula menghampiri mak sambil menggenggam tangannya.
"Baik, mak. Aiman ikut aja kata mak kalau itu yang mak harapkan. Terimakasih, mak. Sudi bagi Aiman..."
"Dah, dah, Aiman... Asalkan Aiman dalam keadaan baik..."
Mak merangkul kepala ku dekat ke bahunya dan dia menangis terharu di situ. Aku hanya mampu memejamkan mata ku tanpa tangis sambil mengharapkan segala ini akan segera berakhir. Aku tak sanggup menyusahkan mak lama-lama. Lepas habis mengaji nanti, aku akan pulang ke rumah ibu walaupun aku sudah terlalu tawar hati untuk ke sana lagi.
Maaf, yang klise aja...
Share this novel