Khansa' menghampiri aku pada waktu petang, mengajak aku untuk ke taman di belakang rumahnya.
Khansa' adalah anak ketiga mak, selain Saiful, dan seorang lagi yang aku belum pernah nampak. Katanya, masih belajar di universiti sekian dan itu bukan urusan aku.
Petang ini, aku dan Khansa' ke taman belakang untuk melihat hasil bunga mawar yang kami tanam bersama. Sebenarnya, aku tanam sekuntum, dan Khansa' sekuntum. Jadi, kami bersama mahu lihat hasilnya hari ini. Ternyata, pokok bunga aku yang sudah menampakkan hasil dahulu sebelum Khansa'. Tetapi, kami sama-sama gembira untuk melihat hasilnya lagi.
Aku memang agak berbakat dalam bercucuk tanam. Sementelahan di rumah ibu, aku lah yang mengusahakan taman bunga ibu secara kecil-kecillan di laman, dan kini, aku kembali gian untuk menanam bunga-bungaan bagi memenuhi ruang belakang rumah mak yang nampak kosong.
Tiba-tiba, motor kepunyaan Saiful kedengaran memasuki ruang parkir di hadapan rumah. Dia baru pulang berkuliah barangkali. Sedikit sebanyak, aku sudah tahu hal ehwal ahli rumah ini apabila aku sudah menjadi sebahagian daripada mereka secara tidak rasmi. Walaupun aku tahu Saiful tidak berapa senang dengan kehadiran ku, tetapi aku tidak lah mengganggu kerjanya sehingga dia perlu menghalau aku kan?
Khansa' tiba-tiba menyambar pasu bunga mawar ku dan berlari laju mendapatkan abangnya di depan.
"Along! Along! Tengok ni bunga mawar Kak Aiman! Dah jadi!"
Khansa' pula yang teruja menyuakan pokok bunga ku kepada abangnya. Aku tersenyum sendiri kerana dia lah satu-satunya rakan yang aku ada sekarang. Dia tidak pernah menunjukkan kebosanannya untuk menerima aku sebagai salah seorang ahli di dalam rumahnya. Aku sangat berterimakasih kepadanya dalam hal ini.
"Oh. Oncak punya mana?"
"Oncak punya belum lagi. Tapi yang ni dah jadi! Mesti cantik kalau bunga dia dah kembang kan, Long?"
Aku lihat, Saiful tersenyum sahaja dengan telatah adik bongsunya itu dan aku juga turut terhibur dengan sikapnya yang keanak-anakan itu. Aku melihat lagi reaksi Saiful bersilih ganti dengan Khansa'.
Tiba-tiba, Saiful memandang ke arah ku sedang silihan-ganti mata ku sedang terarah kepadanya. Senyuman ku masih berbaki tetapi senyuman Saiful perlahan-lahan mengendur apabila melihatkan aku. Menonong aku memutarkan biji mata ku ke arah lain. Tahu benar yang dia sedang tidak suka dengan ku. Aku juga terasa, ada baiknya jika aku masuk ke dalam sahaja tanpa perlu menonton mereka berdua. Lalu, kaki ku segera melangkah mahu meninggalkan mereka berdua.
"Aiman."
Tiba-tiba, aku terdengar nama ku dipanggil Saiful. Segera aku berpaling ke arahnya semula yang sentiasa berwajah serius apabila berhadapan dengan ku.
"Bulan depan, mak nak Aiman masuk madrasah."
Aku terbuntang sekejap mendengarkan kata-katanya itu. Madrasah? Biji mata aku berputar. Sekarang juga mahu katakan perkara itu, ya? Macam mendadak sahaja?
"Madrasah mana? Mak tak bagitahu pun sebelum ni?"
"Malam ni kita bincang."
Mata Saiful sudah menekur ke bawah. Aku tahu, dia sudah tidak selesa untuk terus memandang aku. Tetapi aku tidak puas hati dengan cadangannya itu! Pasti dia yang mengusulkan sendiri keputusan itu, memandangkan dia lah orang yang paling tidak suka aku berada di dalam rumah ini. Oh, kejamnya!
"Tapi, Abang Saiful.."
Aku memang sudah terbiasa memanggil dia sebegitu sebagai rasa hormat ku kepadanya yang nampak lebih tua daripada aku.
"... saya punya cita-cita, nak masuk kolej sekian. Kalau pun Abang Saiful tak suka saya di sini, saya mahu ke kolej itu. Bukan ke madrasah."
Aku membantah perlahan. Walaupun aku tidak bersetuju, tetapi ibu selalu mengajar aku untuk tidak bersikap kasar dengan orang lain.
Aku lihat, Saiful kembali memandang ke arah ku dengan kerutan di kedua belah keningnya.
"Aiman ada kelulusan apa untuk ke kolej?"
Pertanyaan Saiful terasa agak kejam. Tetapi aku cuba telan dan hadam. Aku diam tanpa jawapan. Sesungguhnya, bermacam-macam perkara sedang aku fikirkan sekarang. Mungkin ada benarnya kata-kata Saiful itu.
"Maaf, saya tak bermaksud untuk sakiti Aiman dengan kata-kata saya. Tapi, saya tak jamin kolej baik untuk Aiman. Kolej terlalu sosial untuk perempuan. Saya cuma tak bersetuju yang itu."
Saiful menjelaskan maksudnya kepada ku sambil pandangannya di arah ke tempat lain.
Tiba-tiba, Khansa' yang sedari tadi diam menyaksikan perbualan antara kami berdua, mula mencelah.
"Tapi, along. Oncak pun sekolah biasa juga. Along tak pernah suruh Oncak masuk madrasah pun."
Soalan jujur dari Khansa' itu, langsung tidak diendahkan Saiful. Malah, dia kembali melihat ke arah ku semula.
"Malam ni, kita bincang. Saya nak... Aiman persiapkan diri."
Selesai berkata, Saiful terus berlalu pergi, masih dengan wajah tegangnya. Aku dan Khansa' saling berpandangan dan Khansa' menjongketkan bahu ke arah ku dengan bibirnya yang terjuir sedikit. Kami sama-sama tidak faham mengapa Saiful setegas itu. Sedangkan, aku bukanlah adiknya. Tambahan lagi, dia tidak menyukai aku.
Aku mendecit tidak puas hati.
Persiapkan diri mu...
Share this novel