Cukup sudah seminggu aku bercuti. Harini, aku akan pulang ke madrasah semula. Malam tadi, aku sudah berhempas-pulas melancarkan hafalan Al-Quran ku memandangkan seminggu ini, aku benar-benar leka dari membacanya.
Astaghfirullahalazim...
Aku tidak ke mana-mana sepanjang cuti ini memandangkan Saiful yang semakin sibuk dengan pengajaran kuliahnya. Aku tidak kisah. Sepanjang hidup ku pun, aku tidak pernah bersiar-siar bersama keluarga kandung ku. Hanya sering mendengar cerita kawan-kawan yang sering bersia-siar ke sana ke sini apabila tiba hari cuti persekolahan.
Cuma adakalanya, Khansa' akan mengajak ku ke taman permainan berhampiran untuk menghilangkan kebosanannya yang hanya terperuk di dalam rumah. Ceritanya, ketika ketiadaan ku, dia sering ke sana bersendrian.
Kesian Khansa'...
Selepas Zohor, Saiful sudah mengajak kami untuk bergerak. Terasa berat hati untuk pulang ke madrasah. Tetapi aku gagahi jua demi pengorbanan mak dan semua. Semoga suatu hari nanti, aku dapat bina keikhlasan semata-mata kerana Allah dalam niat ku.
Kereta yang dipandu Saiful bergerak ke arah sebuah pasaraya besar yang aku sentiasa teruja untuk menjejakkan kaki ke sana setiap kali berselisih dengannya. Tidak sangka, harini, Saiful mahu membawa kami semua ke sini!
"Yeay! Along bawa pergi shopping!"
Khansa' sudah keriangan. Tidak kurang juga aku!
Mak diam sahaja sambil tersenyum bisu dengan keceriaan Khansa'. Mungkin, mak dan Saiful sudah merancangnya lebih awal.
Aku membeli barang keperluan ku untuk dibawa pulang ke madrasah, sementara mak, membeli barang-barang keperluan di rumah. Tiba-tiba, aku rasa bersemangat untuk pulang ke madrasah dengan barang-barang yang baru ku beli ini.
Terimakasih Abang Saiful!
Selepas membeli-belah, Saiful mengajak kami untuk makan di Restoran KFC yang terletak di dalam mall itu sendiri. Ketika ini lah aku sudah lemah. Sebagai beginner pemakai niqab, aku tidak tahu harus bagaimana untuk makan di luar bersama niqab ku ini.
Usai, membuat pesanan, aku meminta mak untuk menghalang wajah ku dari dilihat orang, dan akhirnya aku dapat makan dengan selesa sambil dilindungi tubuh mak yang sederhana besar.
"Kak Aiman. Akak okey ke pakai niqab?"
"Okey."
Jawab ku ringkas kepada pertanyaan Khansa'. Sambil itu, aku kembali mengenakan niqab ku di muka setelah selesai aku menjamu selera.
"Akak cantik lah pakai niqab."
Tiba-tiba, kami mendengar bunyi semburan air yang datang dari arah Saiful.
Allah! Saiful tersedak! Habis basah muka dan bajunya dengan air pepsi yang sedang diminumnya. Dia kemudiannya terbatuk-batuk keras dan segera membawa dirinya ke sink yang terletak di suatu penjuru kawasan.
"Kenapa dengan along tu? Masa ni lah nak tersedak. Tak senonoh betul."
Khansa' sudah membebel perlahan. Terasa air mukanya jatuh dengan perlakuan Saiful yang dirasakan tidak semenggah itu. Apa tidaknya, bukan seorang dua yang memandang kami disebabkan bunyi semburan Saiful yang serupa air pancut itu.
'FRUUHHH!'
Aku sudah menahan tawa. Tidak terkecuali juga mak. Merah-merah mukanya apabila terpaksa menjaga kesopanan ketika ketawa di tempat awam ini. Geli hati pula aku lihat gelagat mak. Tanpa sedar, aku telah melepaskan tawa ku.
"Kak, kenapa ketawa kuat-kuat ni? Ya Allah! Kenapa semua orang nak buat Oncak malu harini!"
Khansa' sudah tertunduk ke bawah meja sambil menekup kepalanya sendiri dengan kedua belah tangannya. Sementara aku yang baru tersedar dari ketawa nyaring ku, segera menekup rapat mulut ku sendiri.
"Muka cantik tapi ketawa..."
Saiful yang sudah membasuh 'malunya' tadi, tiba-tiba datang hendak mengenakan aku pula.
"Long, along pun sama je tau. Muka je hensom, tapi sembur... Innalillah..."
Aku tidak sangka yang Khansa' mahu membela diri ku. Aku kuat menahan tawa ku dari berhamburan lagi. Ku lihat, Saiful sudah melabuhkan kembali punggungnya di tempat duduknya dan tersenyum senget di situ sambil berpaling ke arah lain.
Mak juga tidak terkata apa kerana sedari tadi menahan tawa. Hanya Khansa' yang mencemberut muka kerana ulah kami yang dirasakan telah menjatuhkan air mukanya.
Maaf, Khansa'...
Share this novel