Chapter 5

Drama Completed 4858

Aku kini berada di dalam kebun-kebun kelapa sawit menuju ke tempat pengajian baru ku. Berbeza sekali dengan angan-angan ku sebelum ini. Tempat pengajian yang terletak di bandar, dengan bangunan-bangunan yang gah berdiri di sekelilingnya bersama lanskap yang indah-indah. Aku hanya mampu berkeluh sendiri. Selagi aku masih di dalam harapan mak, selagi tu aku rasa tidak mampu untuk menolak. Mak sudah terlalu baik untuk aku selama ini. Apa salahnya kali ini aku turutkan permintaannya. Walaupun aku tahu, ini semua perancangan Saiful.

Tiba-tiba Saiful yang sedang memandu terbatuk-batuk keras. Mak yang duduk di sebelah tempat pemandu, segera menghulurkan air kosong kepadanya.

"Tak sihat ke, along? Teruk benar kau batuk?"

Saiful menyudahkan tegukan terakhirnya sebelum menjawab.

"Tersedak, mak."

"Haih... siapa yang menyebut anak mak ni? Calon menantu mak ke?"

Saiful tersedak lagi.

"Calon menantu mana pula mak ni? Tak ada lah..."

Dari cermin pandang belakang, aku lihat Saiful menjengahkan biji matanya tepat memandang ke arah aku. Sekejap sahaja dan aku perasan setelah itu, sebuah motor kapcai di sebelah kiri kenderaan datang menyusup dari arah belakang.

Suasana kembali sepi. Khansa' di sebelah ku sudah lama terlena dek kerana perjalanan yang agak jauh ini. Aku pula tidak pernah suka untuk terlena di dalam kereta kerana suka melihat jalan raya.

Saiful sibuk memunggah barang-barang ku dari dalam but kereta ketika kami sudah sampai di tempat pengajian baru ku. Bukan aku tidak boleh buat sendiri. Tetapi dia yang baik hati bergegas-gegas ke but kereta untuk menurunkan barang-barang ku. Aku tahu dia suka aku sudah tidak tinggal sebumbung dengannya lagi. Lalu, aku pergi menghampirinya setelah dia selesai mengeluarkan barang-barang ku yang hanya sebuah beg pakaian, dan sebuah baldi yang berat. Mak belikan aku sabun TOP cecair berwarna ungu yang tiga kilo beratnya. Aku pun tidak tahu mengapa mak membelikan aku sabun cecair? Sedangkan, aku lebih suka menggunakan sabun serbuk Biozip warna-warni.

"Abang Saiful suka ke saya duduk sini?"

Bam!

Berdentum bunyi but kereta Toyota Airis itu ditutup Saiful sebelum dia lambat-lambat memandang aku. Wajahnya berkerut-kerut dan aku baru teringat kepada seterika baju yang aku lupa nak list kan dalam senarai barang yang aku perlu bawa.

Wajah Saiful kehairanan seperti tidak sempat menangkap butir bicara aku tadi. Tapi aku tahu, dia tidak akan suruh aku mengulangnya kembali.

"Saya lupa nak bawa seterika."

Aku lihat, Saiful menahan senyum selepas aku katakan begitu. Ini baru pertama kali aku lihat dia mahu tersenyum pada ku. Tapi aku tidak tahu mana yang lucunya sehingga dia mahu menahan senyum sebegitu.

"Tak perlu. Bahaya."

Ujarnya sebelum mak pula datang ke arah kami disusuli Khansa'. Khansa' menarik tangan ku untuk bersalaman.

"Kak Aiman... Maaf ya apa-apa yang kurang selama ni. Khansa' doakan, semoga Kak Aiman mudah hafal Quran. Khansa' pun nak. Tapi mak belum bagi. Tunggu lepas UPSR kut. Akak doakan Khansa' juga eh."

Khansa' tersenyum pada ku sebelum mengucup tangan ku kemudian.

"Terimakasih Khansa' dah sudi terima akak selama ni. InsyaAllah, kita sama-sama doakan."

Giliran aku membawanya ke dalam pelukan ku. Hangat. Kemudian, aku pergi kepada mak yang sedari tadi memandang aku dengan senyuman manis di muka tuanya.

"Mak, doakan Aiman. Terimakasih sudi terima Aiman selama ni. Halalkan makan, pakai Aiman ya, mak."

Aku mengucup tangan tuanya kemudian sebelum aku merasakan yang bahu kiri ku disentuh tangan kiri mak.

"Mak dah anggap kamu macam keluarga mak sendiri. Mak harap, kamu sungguh-sungguh lah mengaji di sini. InsyaAllah, mak akan datang jenguk kamu dua minggu sekali jika ada kelapangan."

"Terimakasih, mak."

Aku saling berbalas senyum dengan mak kemudian. Selepas itu, aku pandang ke arah Saiful. Aku lihat, kali ini dia betul-betul tersenyum kepada ku.

"Abang Saiful sukakan, saya duduk sini?"

Persoalan yang tidak terjawab tadi, aku tanyakan lagi kepadanya. Bahagia betul melihat roman mukanya yang sudah berjaya menghantar aku ke sini.

Saiful sekadar membalas pertanyaan ku dengan senyumannya yang kaku. Aku pelik melihat matanya yang langsung tidak bergerak daripada memandang ke arah aku.

Tiba-tiba, Khansa' menepuk bahu Saiful dengan sekali hentaman. Saiful terkejut sehingga mengaduh kesakitan.

"Along dengar ke tak apa yang Kak Aiman cakap tadi tu? Memang kurang asam betullah along ni. Kalau memang suka Kak Aiman dah tak duduk dengan kita, tak payahlah nak tunjuk sangat."

Khansa' mula membebel sebelum sempat Saiful menjelaskan apa-apa.

"Mana ada... Along tak ada niat pun macam tu."

Saiful mempertahankan dirinya.

"Sudah lah kamu berdua. Aiman nak duduk sini pun masing-masing bergaduh."

Mak mula meleraikan perbalahan mereka berdua sedang aku masih melihat ke arah Saiful, masih mahu menafsir yang senyumannya itu adalah kerana lega aku sudah tidak tinggal sebumbung dengannya lagi.

Sukahati dialah. Aku menumpang rumah mak dia. Bukan rumah dia. Aku mengalihkan pandangan daripadanya apabila dia pun sudah tidak memandang aku lagi.

Mereka kemudian beransur menaiki kereta dan bersiap-sedia mahu pergi. Aku redha dengan keadaan ku kini. Mak akan datang menjenguk ku dua minggu sekali. Walaupun aku tidak terlalu berharap, tapi mak sudah katakannya dan aku tahu, mak mengasihi aku.

Lambaian Khansa' kemudian, membuat aku sebak. Aku teringatkan hari yang aku ditinggalkan ibu di stesen bas tempoh hari. Tiba-tiba, aku tidak dapat menahan kolam air mata ku yang mula pecah. Bibir ku mula bergetar kuat dan aku menangis kuat di situ. Aku menutup wajah ku dengan kedua belah tapak tangan ku sambil bahu ku terhincut-hincut menahan tangis yang semakin lebat. Terbayang satu-persatu kejadian aku ditinggalkan ibu.

Pedih... PEDIH!

Bermula langkahan pertama...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience