Bab 15: LULUH

Romance Series 69241

Abang Hariz memapah aku masuk ke rumah. Walaupun aku tahu dia sedang marah, namun dia masih cuba bersabar. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi, tiada sepatah perkataan pun keluar dari mulut kami. Yang kedengaran hanyalah esak tangisan aku.

Abang Hariz membantu aku duduk perlahan-lahan di atas sofa. Kemudian, dia berdiri menghadap aku sambil berpeluk tubuh. Matanya mencerlung memandang aku.

"Selama ini kami manjakan kau, kami bagi semua kasih sayang kami pada kau, ini yang kau balas pada kami." Perlahan suara yang dilontarkan abang Hariz. Seakan cuba menahan marah.

"Kau conteng arang ke muka mak, ayah, along dan aku!" Kali ini suaranya bergema satu rumah. Aku tersentak mendengar jerkahannya itu.

"Tak cukup lagi ke kasih sayang kami ni sampai kau pergi meleser dengan jantan dekat luar sana! Sampai mengandung macam ni!"

Aku hanya mampu mendiamkan diri. Air mata kembali bercucuran menuruni pipi.

"Ohh! Patutlah kau sibuk sangat nak duduk dekat sini kan? Dah sedap-sedap buat benda tak senonoh. lepas tu pandai kau ye nak larikan diri dekat sini pulak! Kau ingat aku ni apa?!"

"Kau cakap dengan aku sekarang, siapa jantan tu. Siapa?!" Abang Hariz mencengkam kedua bahuku.

Aku tidak pernah melihatnya marah seperti itu. Aku menggelengkan kepala.

"Kau jangan cabar kesabaran aku Eyka! Jawab lah!"

"Aku kena rogol!"

Jeritan aku itu membuatkan abang Hariz terdiam.

"Apa kau cakap ni?" Kali ini abang Hariz memegang bahu aku. Suaranya mulai perlahan.

"Aku kena rogol dua bulan lepas. Aku bukan macam yang kau cakapkan. Aku tak semurah itu abang."

Kali ini abang Hariz terduduk di atas sofa. Kedua belah tangannya menekup muka. Sukar dipercayai apa yang didengarinya.

" Habis kenapa kau tak bagitahu kak Intan? sekurangnya boleh buat report polis."

"Aku takut. Aku takut kalau dorang tahu aku buat report, nanti dorang sebar gambar atau video aku."

"Dorang?" Abang Hariz merenung tajam wajah aku. Aku tertunduk memandang lantai.

"Aku tanya ni, dorang? Berapa ramai yang ada masa tu?!" Suara abang Hariz kembali meninggi.

"Li.. Lima." Jawab aku ringkas. Sesungguhnya kejadian hitam tersebut sangatlah pedih untuk aku ingati semula.

"Allah! Macam mana benda ni boleh jadi Eyka?"

Suaranya bergetar. Dia kembali menekup mukanya. Aku mendengar esakan abang Hariz. Seumur hidup aku, ini kali pertama aku melihat lelaki ini menangis. Aku tidak dapat menahan perasaan. Esakan aku semakin kuat. Tiba-tiba abang Hariz memeluk tubuhku.

"Rupanya dua bulan ni kau menderita sendiri, Eyka. Aku ni memang abang yang tak guna. Sepatutnya aku dah boleh baca semua ni dari mata kau. Kenapa kau sorokkan benda macam ni Eyka?"

Abang Hariz meleraikan pelukannya. Dia mengesat air mataku.

"Aku ada dengan kau. Aku akan pastikan kau selamat dekat sini. Cuma aku nak tahu, kau kenal tak dorang tu?"

"Adam. Adam Khalish."

*********************

Suasana di dalam dorm B018 menjadi kecoh dengan sorakan sekumpulan pelajar tingkatan 2. Adam berada di tengah-tengah kumpulan tersebut bersama-sama dengan seorang pelajar lelaki yang terduduk di atas lantai.

"Alif, Alif. Kau ingat kau boleh lawan aku ke? Kau ingat, kau tu ketua pengawas asrama, aku takut dengan kau?" Pelajar yang bernama Alif tersebut hanya mendiamkan diri.

"Yang sialnya kau ni, apasal kau pergi rampas rokok aku!" Adam menumbuk muka Alif.

Alif masih lagi mendiamkan diri. Dia tahu, dia takkan mampu melawan kumpulan itu. Darah dari bibir Alif yang pecah, menitik ke atas lantai. Kumpulan itu mentertawakannya.

"Bangunlah sial! Lawan dengan aku. Hari tu kau eksyen sangat duduk sebelah cikgu Bad. Hari ni apasal kau jadi lembik?" Sebiji lagi penumbuk hinggap di muka Alif.

"Kau pegang dia ni! Selagi tak mampus menatang ni malam ni, selagi itu aku tak puas." Adam mengarahkan rakannya membangunkan Alif dari duduknya.

Dua orang rakan Adam menarik Alif supaya pelajar itu berdiri. Adam kemudiannya mengepal penumbuk. Dia sudah bersedia untuk memukul tubuh Alif yang lemah itu. tiba-tiba pintu dorm tersebut terbuka dengan kuatnya.

Hariz, Cikgu Bad dan beberapa pengawas yang lain berdiri dimuka pintu. Cikgu Bad adalah warden asrama. Beliau di geruni kerana ketegasannya dalam mendidik para pelajar di situ.

Muka Adam dan rakannya yang lain mulai pucat. Hariz dan rakan pengawasnya bergegas mendapatkan Alif yang sudah semakin lemah. Badannya penuh dengan lebam dan kesan luka. Dia dipapah keluar dari dorm tersebut dan dihantar ke bilik sakit untuk diberikan bantuan awal. Kemudiannya di hantar ke hospital oleh warden lain.

Cikgu Bad menyuruh pelajar yang ada di dalam dorm tersebut beratur ditepi dinding. Di tangannya terdapat sebatang rotan yang tanpa segan silu akan digunakan sekiranya ada yang melanggar arahannya.

"Kau datang ke sini nak belajar ke nak jadi samseng?!" Cikgu Bad menjerkah pelajar-pelajar tersebut. Mereka yang tadinya tampak berani dengan Alif, mulai menunduk ketakutan.

"Kau ni Adam. Ayah kau tu pengerusi PIBG. Menyumbang dekat sekolah. Tapi kau ni nak jadi apa? Nak jadi samseng tahi kucing?! Malam ni, aku nak kau semua tidur dalam bilik ni. Jangan keluar. Esok pagi kau tahulah nasib kau!"

Cikgu Bad melangkah keluar dari dorm tersebut. Panas hatinya melihatkan perangai samseng pelajarnya itu. Dia mengunci pintu bilik itu dengan mangga.

Keesokan harinya, kecoh sekolah itu dengan kes gaduh antara pelajar. Yang menjadikan kes itu begitu sensasi kerana pelakunya adalah anak orang ternama di sekolah itu. Pada awalnya Cikgu Bad ingin melaporkan perkara ini kepada pihak polis. Tapi atas alasan tertentu, pengetua sekolah tidak membenarkannya. Katanya, ia hanya akan merosakkan nama sekolah.

Akibatnya, Adam dan rakan-rakannya hanya digantung sekolah selama 2 minggu. Kemudian, mereka akan bersekolah seperti biasa. Tetapi bagi Alif, dia terpaksa hidup dalam keadaan trauma akibat dibuli dengan teruk. Namun Hariz sudah berjanji akan menjaganya.

Selama ini, Hariz selaku ketua pengawas sekolah dan Alif selaku ketua pengawas asrama selalu bekerjasama menangani masalah salah laku pelajar. Dan antara pelajar yang sentiasa menjadi perhatian mereka berdua adalah Adam Khalish.

Pergaduhan tersebut pun, Hariz yang laporkan pada Cikgu Bad. Apabila Adam mendapat tahu tentang itu, dendamnya pada Hariz semakin membuak-buak. Dia berjanji akan menghancurkan hidup Hariz walau apa cara sekalipun!

Kini dia mendapat tahu yang adik Hariz baru mendaftar ke sekolah itu. Tetapi disebabkan Hariz masih lagi bersekolah disitu, dia tidak berani untuk mengusik adiknya. Jadi dia terpaksa tunggu Hariz menamatkan persekolahannya tahun hadapan, baru dia akan membuli adiknya pula.

********************

Hariz termenung di ruang tamu. Dia tidak menyangka Adam menyimpan dendam padanya sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk itu pada adiknya. Dia berasa yang semua ini adalah salahnya sehinggakan adiknya terpaksa lalui semua ini.

Hariz tidak senang duduk. Sekejap dia bangun, sekejap dia duduk. Sekejap dia mundar mandir. Dia tahu, sudah terlalu lewat untuknya melaporkan perkara ini kepada pihak polis. Lagipun adiknya kini berada di luar kawasan kejadian.

"Arghhh!!!"

Hariz menjerit akibat terlalu marah. Perasaan sedih dan kesal bercampur baur menjadi amarah yang meluap-luap. Sekiranya Adam berada didepan matanya sekarang ini, dia ingin menikam lelaki itu sehingga mati. Adiknya tidak bersalah sama sekali. Mengapa adiknya pula yang harus menderita.

Dia kemudiannya duduk semua. Tangannya menekup muka. Sekali lagi empangan matanya tidak mampu menahan air mata dari melimpah keluar.

Hariz teresak-esak sendiri di ruang tamu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience