Aku ingin mencari kerja. Tetapi Abang Hariz tak bagi. Dia suruh aku berehat saja dahulu. Boleh tolong dia kemas-kemas rumah atau memasak a.k.a aku kena jadi bibik dia. pandai abang hariz kalau bab nak mengelat ni.
pagi itu, aku meneruskan rutin harianku seperti biasa. bangun tidur, gosok gigi dan cuci muka dahulu. Kemudian aku kemas rumah. Boleh tahan besar rumah abang aku ni. Mengah kalau aku yang kemas sorang. Sapu sampah, kebas habuk dari perabot dan perhiasan. Terakhir sekali, aku akan keluar rumah untuk menyiram pokok. Pokok itu semua aku yang tanam. Yang tolong beli Abang Hariz. Yela, aku tak kerja. Mana datang duit.
Aku membelek satu-satu pokok bunga aku. Sudah ada yang mula mengeluarkan putik bunga! yeayy! Sedang aku asyik membelek pokok-pokok bunga tersebut, tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi kucing bergaduh. Terjengket-jengket kaki aku cuba mencari kucing-kucing tersebut disebalik tembok. Rumah abang aku ni dah macam penjara. Tembok tinggi kemain lagi.
Tidak puas hati, aku keluar dari kawasan rumah melalui pintu pagar kecil di hujung tembok. Seekor kucing liar melarikan diri setelah melihat aku mendekatinya.
Yang tinggal cuma seekor kucing berwarna putih. Bulunya kembang. Seperti kepulan awan yang bergerak. Kucing itu dipakaikan dengan tali leher. Dibawah leher kucing tersebut, terdapat tanda nama (Snow) berbentuk hati. Dibelakangnya terdapat nombor telefon. Aku rasa itu nombor telefon tuannya.
Aku memeriksa jika ada sebarang luka pada kucing tersebut. Manja betul kucing ni. Sikit pun tak marah bila aku memegang badannya. Aku mengusap perlahan kepala kucing tersebut. Tiba-tiba...
"Err. Adik. Itu kucing saya." suara lelaki menegurku dari arah belakangku.
Aku yang masih fobia dengan lelaki terus menggeletar satu badan. Aku memusingkan badanku mengadapnya. Kucing tersebut aku gendong seperti budak kecil. Seorang lelaki dengan muka yang penuh berjambang berdiri sejauh 5 kaki dariku.
"Yee.. yee kee kucing ni kucing awak? k.. Kalau awak tuan dia cuba buktikan." Tergagap-gagap aku bercakap dengannya.
Biarpun aku ketakutan melihat lelaki tersebut. Namun, aku tidak mahu semudah itu menyerahkan kucing itu padanya. Sering kali aku melihat di media sosial kes kucing cantik diculik untuk dijual semula dengan harga yang tinggi. Sangat tidak berperikemanusiaan!
"Dekat leher dia ada nombor telefon. Cuba awak call." Jarinya menunding ke arah leher kucing putih itu.
Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari poket seluarku dan mendail nombor tersebut. Walaupun dia tahu pasal nombor telefon dekat kucing ni, selagi tak buktikan, selagi itu aku tidak percaya.
Beberapa saat kemudian, telefon lelaki tersebut berdering. Sah! Kucing ini milik lelaki tersebut. Aku menyerahkan kucing itu kepadanya.
"Sorry. Saya kena pastikan kucing ni kucing awak. Takut kalau awak menyamar sebab nak culik kucing ni." Lelaki itu tersenyum mendengar kata-kata aku.
Ngeri aku melihat senyumannya. Dahlah macam Pakistan jual karpet. penuh jambang satu muka. Namun cara dia bercakap macam lelaki tempatan je. Dia tinggal dekat-dekat sini je kot.
"Takpe. Terima kasih ya. Kucing ni terlepas dari rumah sa..."
AYAYAI MAK AJI MAKAN PETAI! AYAYAI MAK AJI MAKAN PETAI!
Suara lelaki yang menyanyi lagu pelik merencatkan perbualan kami. Telefon aku yang bergetar menandakan ada panggilan masuk. Siapa yang tukar nada dering aku bunyi pelik-pelik ni! Merah muka aku menahan malu. Cepat-cepat aku menjawab panggilan tersebut.
"Hello eyka."
"Hello. kau tukar ringtone aku eh!" Bentak aku. Geram!
Bertambah geram mendengar suaranya yang berdekah dihujung talian.
"Best tak suara aku? Aku saje call kau nak bagi dengar suara aku tu. Kahkahkah!"
"Kau ni kan. Aku dah la tengah berborak dengan jiran. Malu la aku. Dah la bye!" Pantas aku tamatkan panggilan.
Dah tak ada kerja agaknya orang tua ni. Bila masa pulak dia tukar ringtone dekat handphone aku ni? Telefon aku ni memang dah lama aku tak letak kata laluan. sebab ada kes aku terlupa sampai kena hantar ke kedai telefon.
Aku melihat lelaki dihadapan aku sudah merah mata menahan ketawa. Malunya aku!
Setelah mengucapkan terima kasih kepadaku, lelaki itu terus berlalu. Aku pula dah tak ada mood nak buat kerja, terus masuk ke bilik.
"Biarlah tak masak. Malas aku. Siapa suruh menyakat aku. Padan muka." Aku mengomel sendiri.
Aku baring di atas katil. Entah kenapa, hari ni perut aku berasa tidak selesa. Rasanya seperti ingin datang bulan. Aku serta merta terasa lega. Mungkin sebab 2 bulan ni, aku terlalu stress kerana trauma dengan apa yang telah terjadi. Kalau terlalu stress memang akan ada masalah dengan kitaran haid aku.
Aku keluarkan handphone aku dari poket. Aku melayari youtube. Melihat video-video sejarah dan cerita seram. Entah sejak bila aku mula berminat dengan kisah-kisah genre sebegini. Mataku mulai terasa berat.
Akhirnya aku terlelap dengan telefon yang masih di tangan.
********************
Syed Mohammad Hadzry pulang kerumahnya sambil menggendong kucingnya yang bernama Snow. Dari tadi senyuman tidak lekang dari wajahnya. Semuanya gara-gara wanita yang membantu menyelamatkan kucingnya tadi. Terngiang-ngiang bunyi nada dering wanita itu ditelinganya. Akhirnya terkeluar juga tawa kecil dari mulut yang penuh dengan jambang itu.
Sudah lama dia tidak tersenyum begitu. Sejak dari dia terputus hubungan dengan Eyka, hati dia menjadi keras seperti batu. Dia sudah tidak berminat untuk berkawan dengan perempuan.
"Ya Allah!" Datin Nurmaya terjerit melihatkan seorang lelaki masuk ke dalam pagar rumahnya
"Mama! Kenapa?" Terkejut Hadzry mendengar mamanya menjerit.
"Mama ingat ada orang pecah masuk rumah kita tadi. Rupanya kamu Ery." Datin Nurmaya mengurut dadanya perlahan
"Ish mama ni! Ingat kenapalah terkejut macam tengok hantu. Buat risau orang je."
"Memang mama nampak hantu pun. Kamu bila nak cukur jambang tu. Rimas mama tengok."
"Nantilah." Balas Hadzry ringkas.
"Eh mama kenapa sidai baju tu. Kan Ery dah kata, kejap lagi Ery buat. Kejap. Ery letak Snow dalam rumah jap." Sambungnya lagi.
Hadzry kemudiannya laju berjalan ke pintu. setelah meletakkan kucingnya itu ke dalam rumah dan menutup pintu, Ery cepat-cepat berjalan ke arah mamanya pula.
"Bukan berat pun kerja ni. Mama boleh buat la." Kata Datin Nurmaya apabila anak sulungnya itu mengambil baju lembab dari tangannya.
"Mama jangan degil. Kan Ery ada ni. Biar Ery je la yang buat kerja rumah. Nanti lagi 2 bulan, Ery carikan mama bibik baru."
"Entahlah. Mama risau tak tahan lama je macam bibik-bibik kita sebelum ni." Kata mamanya.
Bibik di rumah ini baru sahaja melarikan diri. Padahal keluarga Datin tidak pernah melayan mereka seperti orang asing. Gaji yang diberi juga agak tinggi dari purata gaji seorang pembantu rumah. Datin tahu mereka semua lari kerana tidak tahan menjaga anak keduanya itu, Ardry. Ardry penghidap penyakit Autism. Dia disahkan menghidap penyakit itu sejak umurnya 2 tahun. Kini umurnya sudah 5 tahun. Semakin anaknya itu membesar, dia menjadi semakin aktif sampaikan bibik yang ada tidak mampu mengawalnya.
kini ada Hadzry. Bolehlah dia tolong tengokkan adiknya itu. Lagipun mereka sangat akrab. Jadi hanya Hadzry yang mampu menenangkan Ardry apabila dia mengamuk.
"In Sha Allah nanti jumpa mama. Kita usaha ya." Hadzry memujuk mamanya.
Selesai membantu mamanya menyidai baju, Hadzry cepat-cepat masuk ke rumah untuk memeriksa keadaan adiknya. Tadi sebelum dia keluar, Ardry masih tidur.
Hadzry duduk di birai katil adiknya itu. Gadis tadi kembali bertamu difikirannya. Wajah gadis itu seperti biasa dilihat. Namun seingatnya, dia tiada kawan perempuan buat masa ini.
Senyuman terukir lagi dibibirnya.
********************
Aku tersedar apabila terasa badan aku berbahang. Seluruh badanku dibasahi peluh. Aku periksa suis penghawa dingin. Rupanya dari tadi lagi tidak dibuka. Jam dinding menunjukkan pukul 4 petang. Dah alang-alang aku terjaga, aku terus capai tuala dan mandi.
"Eh. Darah? Dah period ke?" Kataku selepas melihat darah yang agak banyak di seluar dalamku.
Aku terasa senang hati. Sekurangnya aku tahu yang aku tidak mengandung. Selesai mandi, aku memakai baju dan terus ke dapur. Aku capai sebiji cawan kaca. Perut aku terasa lapar. Tapi aku cuma mahu bancuh air milo untuk mengalas perut. Selera aku hilang dek kerana perut yang memulas. Makin menjadi pulak sakitnya. Biasa tak sakit macam ni.
Sebelah tanganku memegang cawan, sebelah lagi menekan perut. tiba-tiba aku terasa kepala ku berpusing. cawan kaca tadi terlepas dari genggaman aku, berderai di atas lantai. Aku hilang imbangan badan. Tubuhku jatuh menggeletak ke atas lantai.
Gelap.
********************
Hariz pulang agak lewat hari ini. Pukul 8 malam baru sampai ke rumah. Namun dia agak pelik melihat keadaan rumahnya hari ini. Gelap. Biasanya Eyka akan buka lampu luar. Adiknya itu takut gelap. Jadi sebolehnya dia akan memasang semua lampu yang ada apabila hari sudah mulai gelap. Tetapi hari ini tidak.
"Ni mesti nak prank aku ni. Ingat aku mudah nak kena tipu agaknya." Bisik Hariz sendiri.
Perlahan-lahan dia membuka pintu. Menunggu kalau-kalau adiknya akan menyergahnya. Namun tiada. Dia membuka lampu garaj dan lampu ruang tamu.
"Eyka! Tak bangun lagi ke? Elok sangat la tidur maghrib hari ni." Suara Hariz bergema memanggil adiknya.
Dia berjalan ke arah bilik adiknya. Tombol pintu bilik itu dipulas. Tidak berkunci.
"Eyka. Uii." Sekali lagi Hariz memanggil nama adiknya.
Tangan kanannya memetik suis lampu bilik itu. Kosong. Dia berjalan ke dapur pula. Dia mula berasa tidak sedap hati.
Lampu dapur dibuka. Sekujur tubuh adiknya terbaring di atas lantai. Ada darah yang mengalir dibawah kaki adiknya itu.
"Eyka!!"
Share this novel