PRANGGG!!!! PEKKK PEKKK PEKKK PEKKK PEEKKK PUISHHHH!
Dua tiga kali bunyi bingit itu menganggu tidur Mak Leha. Rimas mendengarnya, Mak leha pun berjalan ke muka pintu. Kelihatan Acik Amin sedang bersungguh-sungguh cuba untuk menghidupkan motor lamanya yang telah berkarat.
"Dah-dah la bang. Guna je motor yang Eyka dah belikan untuk abang tu. Simpan lama-lama nak buat tukun ke?"
Pelik Mak Leha dengan perangai suaminya tu. Motor elok ada disimpannya. Motor buruk la di harak ke sana ke sini. Dah la bingit bunyi ekzos tu. risau mengganggu jiran-jiran je.
Acik Amin menjeling isterinya. Motor yang lama itu disorong kembali ke dalam garaj.
"Abang bukan apa. sayang nak guna motor dia tu. takut rosak. Nanti dia balik bising pulak motor rosak."
"Kalau simpan pun lama-lama rosak juga kalau tak diguna. kong pulak bateri tu nanti. Eyka pun entah bila nak balik ke sini semula." Ada sendu dalam suara Mak Leha. dia sangat merindui anaknya yang ketiga itu. Namun apakan daya. Hati Eyka terlalu keras. Sukar nak dilembutkan hati budak itu.
"Kalau awak tak bising dekat dia hari tu. tak adalah dia merajuk sampai macam ni."
"Habis awak nak suruh saya buat apa? duit banyak berabis dekat dia. macam tu je nak berhenti belajar. Lepas tu mulalah buat benda bukan-bukan. Dah la. malas saya bercakap dengan awak ni." Mak leha cepat-cepat menutup pintu. kalau lama-lama nanti makin panjang pulak ceramah suaminya tu.
Akhirnya bunyi motor yang di tunggang Acik Amin semakin hilang dari pendengaran Mak Leha. Lega hati Mak leha. sudah tiada lagi pencemaran bunyi dari motor lama milik suaminya itu. Motor itu anaknya beli pun sebab motor lama suaminya terlalu uzur. bayangkan sudah hampir 20 tahun berkhidmat. Ekzos pun dah berkarat. boleh terbalik rumah kalau Acik Amin start motor itu.
Mak leha kembali teringatkan anak bongsunya itu. semua mesej yang Mak leha kirimkan padanya satu pun tidak berbalas. Dia sudah pening memikirkan cara untuk memujuk anaknya. Entah ikut perangai siapalah agaknya keras kepala macam ni.
*******************
"Mak, Eyka nak berhenti belajar." Berdebar Eyka menanti tindak balas ibunya.
Mata Mak Leha terbeliak. Tak pernah sangka dia akan mendengar permintaan anaknya sebegitu.
"Kau mengarut apa ni Eyka. Setahun je lagi kan. Apa yang susah sangat nak habiskan?" Suara Mak Leha mula meninggi.
"Eyka. Eyka dah tak boleh mak. Susa..."
"Dah kau nak buat apa lepas berhenti belajar?" mak leha pantas memintas, tidak memberi ruang untuk Eyka menyatakan alasannya.
"Eyka nak kerja. cari duit. Nak bayar sikit-sikit hutang belajar Eyka." Perlahan suaranya menjawab pertanyaan Mak leha.
"Kau nak kerja apa setakat ada SPM tu?!
"Eyka boleh kerja pasaraya."
"Kau jangan nak malukan muka akulah Eyka. Masa SPM dulu result kau elok. Siap jadi pelajar No 1 sekolah kau. Sekarang kau nak kerja pasaraya? Kau habiskan jugak belajar dekat U tu tak kira apa pun yang jadi!" Bentak Mak Leha. Dia tetap dengan pendiriannya supaya Eyka menghabiskan pelajarannya di peringkat Ijazah.
Dia lantas bangun dan meninggalkan Eyka yang sudah mula tersedu sedan menangis. Eyka sangat mengharapkan ibunya boleh memahami beban yang ditanggungnya. Namun hampa. Petang itu juga Eyka balik ke rumah sewanya. Mak Leha sedikit pun tidak menghalang Eyka. Membiarkan anaknya pergi bersama hati yang luka.
Keesokannya petangnya, Mak Leha menerima satu panggilan telefon.
"Hello, Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan waris Nurul Syafieqah Izzati?" suara wanita jelas kedengaran sebaik sahaja Mak Leha menjawab panggil telefon itu.
"Ya, saya Ibu Syafieqah. Boleh saya tahu kenapa?" Hati Mak leha mulai berdebar. Dia dapat merasakan sesuatu yang buruk telah berlaku pada anaknya.
"Saya pensyarah anak puan. Anak puan berada di Zon Merah sekarang. Kawan serumah dia temui dia dalam keadaan tak sedarkan diri di bilik tidur"
"Ya Allah!" Muka Mak Leha pucat.
"Macam mana keadaan anak saya sekarang? Dia di hantar ke hospital mana? Macam mana dia boleh pengsan?" Bertalu-talu persoalan keluar dari mulut Mak Leha.
"Sabar puan. Sekarang dia masih belum sedarkan diri. Dia sekarang berada di hospital dekat bandar ni. Di bahagian kecemasan." Suara dari talian itu cuba menenangkan Mak Leha. Namun hati ibu mana yang boleh tenang apabila tahu anaknya sakit, apatah lagi berada dalam keadaan tak sedarkan diri macam ni.
"Baiklah. terima kasih. Sekejap lagi saya akan ke sana. Assalamualaikum." Mak leha pantas menamatkan panggilan tersebut dan mendail nombor telefon suaminya. Menyuruh suaminya segera pulang ke rumah.
Sesampainya di bahagian kecemasan di hospital, Mak Leha dan suaminya disapa oleh seorang wanita. Wanita tersebut adalah salah seorang pensyarah Eyka. Jelas terpancar kerisauan dari wajah pensyarah tersebut, Mak Leha dan suaminya. Namun mereka semua hanya mampu menunggu khabar dari doktor tentang keadaan Eyka.
"Boleh saya tahu waris err.. Syafieqah?" Seorang lelaki yang memakai jubah makmal dengan seutas stetoskop yang melingkari lehernya mengakhiri penantian kedua pasangan setengah abad itu. Tanda nama yang disematkan didadanya tertulis Dr. Hariz.
"Ya saya ayahnya, ini ibunya. macam mana dengan keadaan anak saya Doktor?" jawab Acik Amin.
"Alhamdulillah anak tuan selamat dan stabil. cuma kami terpaksa tunggu anak tuan sedar dahulu sebelum dirujuk ke wad Kemboja."
"Wad kemboja? dekat mana tu doktor?"
"Ya wad kemboja. wad psikiatrik yang dekat sebelah jabatan forensik belakang tu tuan."
"Tu bukan wad gila ke doktor? anak saya pengsankan. bukan gila." Laju Mak Leha memintas penerangan doktor Hariz. Doktor Hariz sempat tersenyum sebelum kembali bersuara.
"Wad kemboja bukan wad gila puan. Wad psikiatrik. wad untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Sebab kenapa anak puan perlu dirujuk ke wad itu kerana dia telah melakukan percubaan membunuh diri. perasaan mahu membunuh diri adalah salah satu simptom penyakit kemurungan. sebab itu dia perlu ke sana untuk didiagnosis secara rasmi oleh doktor psikiatris. lagipun anak puan overdose antidepressant. ubat terkawal yang hanya boleh di periskripsi oleh doktor kepada pesakit kemurungan atau bahasa inggerisnya depression."
Doktor Hariz cuba untuk membetulkan persepsi wanita dihadapannya itu tentang wad psikiatrik. Stigma sebegitu adalah perkara biasa bagi masyarakat di Malaysia. mungkin kena kurangnya pendedahan dan juga sifat judgemental masyarakat itu sendiri membuatkan mereka selalu salah faham tentang penyakit ini.
"ohh. macam tu ye doktor. saya ingatkan wad kemboja ni wad untuk orang gila sahaja. Terima kasih ya."
Malam itu, Mak Leha dan Acik Amin tumpang bermalam dirumah adik Acik Amin. Mujur rumah adiknya dekat sahaja dari hospital. Namun, mereka kecewa apabila mendapat tahu yang Eyka sudah pun sedar tetapi anak mereka tidak mahu berjumpa sesiapa buat masa ini. Jadi mereka terpaksa memberi ruang untuk Eyka berehat dan menenangkan fikiran.
********************
Seminggu sudah pun berlalu. Eyka akhirnya dibenarkan keluar wad apabila keadaannya disahkan stabil. Doktor mengesahkan Eyka menghidap penyakit Major depressive Disorder (MDD) bersama dengan Borderline Personality Disorder (BPD). Semua ini berpunca dari trauma dari zaman kanak-kanaknya bercampur aduk dengan masalah lain. Tak lain tak bukan semuanya kerana Eyka berterusan diejek semasa bersekolah yang membuatkan dia mengalami stress melampau.
Mak Leha dan Acik Amin menjemput Eyka dari hospital. Sepanjang perjalanan pulang, Eyka sedikit pun tidak bersuara. Suasana dalam kereta Acik Amin menjadi sangat janggal. Terlalu sunyi.
"Eyka. Eyka nak makan apa-apa tak? Boleh kita singgah jap makan dulu ke. nak?" Ayahnya cuba menghalau suasana janggal tersebut. Namun hampa. Eyka hanya menggelengkan kepala kemudian kembali merenung keluar tingkap kereta.
Mak Leha dan suaminya berpandangan sesama sendiri. Namun mereka tetap memberikan ruang kepada eyka. Itulah yang dinasihatkan oleh doktor sebelum mereka bergerak pulang. Untuk memberikan ruang dan tidak memaksa anak mereka supaya dia tidak bertindak diluar kawalan lagi. Mereka tidak sanggup melihat anak mereka menderita lagi.
"Mak, ayah. Eyka nak cari kerja dekat Pekan. Eyka nak tangguh dulu pelajaran Eyka dekat U tu." Akhirnya Eyka bersuara.
Pada mulanya mereka tidak mahu setuju dengan permintaan Eyka. Tetapi mengenangkan apa yang telah terjadi sebelum ini, mereka akhirnya terpaksa akur dengan kehendak anak bongsu mereka itu.
"Macam nilah. Petang nanti ayah telefon kakak. tanya dia boleh tak Eyka tumpang duduk rumah dia. dekat kawasan rumah kakak tu ada pasaraya tak silap ayah." Kata-kata ayahnya itu membuatkan mata Eyka kembali bersinar.
"Betul ke ayah?" Eyka inginkan kepastian.
"Ya. Dah Eyka jangan fikir dah. Ayah, emak, abang dan kakak ada dengan Eyka."
Kata-kata ayahnya itu umpama memberikan sinaran baru buat Eyka. Umpama memberikan Eyka ruang untuk meloloskan diri dari masalah dan kenangan yang mengingatkannya dengan trauma masa lalu. Rumah, sekolah, universitinya dan lain-lain ingin Eyka lupakan satu persatu.
Kini Eyka sudah hampir setahun berada jauh dari rumah ibu dan ayahnya. Motor yang Eyka belikan untuk kegunaan ayahnya juga hanya dihantar melalui pos sahaja. Terbaru, Mak Leha ada menghubungi Eyka untuk memberitahu bahawa Eyka sudah diberhentikan dari pengajiannya. Namun anaknya sekalipun tidak pernah membalas mesejnya itu. Hanya sekali sekala Eyka akan berhubung dengan ayahnya untuk bertanya khabar mak dan ayahnya. Selebihnya Eyka hanya memilih untuk berdiam diri.
*******************
PINGG! PINGGG!
Tersentak Mak Leha dari lamunan apabila bunyi hon motorsikal yang bingit menyerang gegendang telinganya. Spontan, air mata jatuh ke pipi Mak Leha. Mak Leha cepat-cepat mengesat air matanya itu.
"Leha! ooo Leha!! Dompet abang tertinggal. tolong hulur jap dekat tingkap ni." Acik Amin menjerit memanggil isterinya dari luar rumah. Mak leha bergegas mengambil dompet suaminya yang diletakkan di atas meja solek di dalam bilik mereka.
"Apa la abang ni. Benda penting macam ni pun lupa. Mujur tak kena kejar dengan polis." Kali ini giliran Acik Amin pula kena bebel dengan Mak Leha. Asyik-asyik telinga Mak Leha je yang bernanah dengar bebelan suaminya itu. Bosan jugak.
"Yelah-yelah. I'm sorry my dear wife." Sempat Acik Amin speaking London dengan Mak Leha. untuk mengambil hati isterinya. Lagipun lelaki itu perasan mata isterinya yang tercinta itu sedikit merah. sepertinya baru lepas menangis. dan dia cukup tahu mengapa.
Sekali lagi motor Acik Amin perlahan-lahan hilang dari pandangan mata Mak Leha. Dia hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya perlahan mengenangkan gelagat suaminya itu. Daun pintu ditutup. Mak leha mengeluh kecil.
"Baliklah Eyka. Mak rindu kamu."
Share this novel
bedekah aku baca bunyik motor tu.. hahahaha