Aku merenung dinding yang kosong. Umpama terdapat layar kaca di situ yang menayangkan peristiwa hitam kelmarin. Aku terasa kosong. Kebas satu badan. Sedih? Tidak. Gembira? juga tidak. Takdir apakah ini? Mengapa aku yang terpilih untuk takdir ini? Hanya keluhan yang mampu ku lepaskan dari mulutku.
TUK! TUK! TUK!
Pintu bilikku diketuk. Perlahan lahan aku bangun dari katil. Lemah aku melangkah. Sejak dari kejadian semalam, aku tidak menjamah walau sebutir pun nasi. Perutku pedih, tetapi aku tiada selera. Aku membuka pintu. Abang Hariz berdiri dihadapan bilikku dengan senduk di tangan dan apron di badan.
"Ye abang?" Lemah suaraku.
"Abang kacau ke?"
"Taklah abang. Eyka baring je. Abang nak apa-apa ke?"
"Abang nak bercakap dengan adik abang pun tak boleh ke? Majok ah." Abang Hariz menjuihkan mulutnya.
Buruk benar kalau lelaki merajuk. Memang patutlah kalau merajuk ni sesuai untuk orang perempuan saja. Aku tersenyum melihat gelagatnya itu.
"Kan comel adik abang ni senyum." Abang Hariz mencubit pipi aku.
"Auuuu! Sakit la abang. karang makin labuh pulak pipi Eyka." Aku muncungkan mulutku.
"Haha. Ok-ok. Jom teman abang makan. Abang ada masak bubur. Bosan la makan sorang." Aku tak jawab apa-apa lagi dia dah tarik tangan aku keluar dari bilik.
Aku berjalan perlahan ke dapur. Abang Hariz memimpin tanganku. Risau kalau-kalau aku terjatuh ke apa. Tak pasal-pasal ke hospital lagi aku hari ni. Sesampainya di meja makan. Abang Hariz menarik kerusi dan menyuruh aku duduk di situ.
Di atas meja makan, sudah terhidang 2 mangkuk bubur nasi, sup sayur, bilis sangai dan sambal sahang. Sambal sahang ni sambal yang dibuat dari lada hitam, air asam jawa dan bawang putih. Tak lain tak bukan abang tanya mak ni. Aku terus berasa kecut perut. Macam mana kalau abang bagitahu mak dan ayah pasal ni?
"Jangan risau, abang tak bagitahu pun mak pasal ni. Abang call mak tadi tanya macam mana nak buat sambal tu je. Abang cakap, abang yang teringin nak makan. Yang lain abang google je." Kata abang.
Abang Hariz dan Kak Intan ni memang ada kuasa membaca pemikiran orang ke? Benda yang aku fikir semua dia dapat tahu. Tetapi mendengar kata-katanya itu membuatkan aku berasa lega. Aku juga berasa terharu mengenangkan kesungguhan abang mempelajari makanan yang sesuai untuk orang yang berpantang. Sejujurnya, aku sendiri tak tahu macam mana makanan orang yang berpantang.
"Eyka minta maaf sebab tak jaga diri Eyka elok-elok." Kataku sambil menunduk memandang mangkuk bubur yang berada di depanku.
"Jangan kata macam tu Eyka. Abang rasa bersalah dengan Eyka. Abang tak sangka Adam sejahat itu. Kalau abang tahu, abang tak bagi eyka belajar dekat sekolah tu."
"Dah. Benda yang dah lepas, kita tak payah ingat dah. Sekarang kita makan dulu. Abang dah lapar sangat ni. penat abang berkungfu kat dapur tadi." Katanya lagi. Cuba menghalang aku dari mengingati hal itu.
"Abang tu tak ajak Eyka sekali kenapa. Boleh Eyka tolong sikit-sikit."
"Tak payah. Eyka kena banyak berehat. Minggu ni abang dah mintak cuti kecemasan dari boss. Boleh la abang jaga Eyka. Eyka tu satu-satunya adik abang. Abang akan jaga Eyka macam nyawa abang sendiri."
"Terima kasih abang Ngah."
Bergenang mata aku mendengar kata-katanya. Terharu. Kami makan dengan berseleranya. Biarpun makanan tersebut simple je, tetapi kerana kehadiran dan keikhlasan abang Hariz menjemput semula selera makanku.
Sebenarnya, sebelum ini aku sangat kekurangan kasih sayang dari keluarga sendiri. Aku bersekolah di sekolah berasrama sejak dari tingkatan 1. Habis tingkatan 5, aku bekerja sekejap dibandar. Kemudian, aku lanjutkan pelajaran di kolej matrikulasi. Tamat pengajian di sana, aku belajar pula di Universiti di ibu negara dalam kursus kejuruteraan selama 4 tahun, termasuk 1 tahun yang aku terpaksa tangguhkan kerana masalah kesihatan.
Hampir 10 tahun aku berjauhan dari keluarga. Tambahan pula, kerana trauma akibat sering diejek, menjadikan aku semakin kurang keyakinan diri. Aku bandingkan pula diri aku dengan abang dan kakakku yang aku rasa lebih berjaya dari aku. Kak Intan bekerja sebagai jururawat masyarakat di sebuah klinik kesihatan dan abang Hariz pula adalah seorang jurutera kimia yang bekerja dalam industri minyak dan gas.
Aku pula, hanya mampu belajar sekerat jalan dalam bidang yang sama dengan abang Hariz. Aku tidak menyesal dengan pilihan aku, namun tipulah kalau aku kata yang aku tak pernah rasa terpinggir dalam keluarga. Sejak kejadian cubaan bunuh diri tempoh hari, barulah kami semua rapat semula.
Betullah, setiap apa yang terjadi ada hikmahnya. Aku masih cuba mencari hikmah yang tersembunyi disebalik takdir aku ini.
********************
Penantian 2 bulan Hadzry sudah berakhir. Hari ini dia perlu mendaftarkan diri ditempat baru. Hatinya semakin gusar memikirkan mama dan adiknya. Semua pembantu rumah yang datang semuanya surrender apabila terpaksa menjaga Ardry yang sangat aktif. Siapa yang akan menjaga mama dan adiknya ketika dia bekerja? Papanya pula selalu tiada di rumah kerana urusannya di luar negeri.
Sebenarnya, Hadzry sebelum ini bekerja di Terengganu. Oleh kerana terlalu jauh dari keluarga, mamanya mendesak dia supaya pulang semula ke Johor. Oleh kerana papanya mempunyai rakan perniagaan di Johor dan ditambah pula dengan pengalaman bekerjanya didalam bidang kejuruteraan selama lebih 5 tahun, pertukarannya ke Johor berjalan lancar. Hadzry tidak suka menggunakan kabel. Tetapi oleh kerana mamanya, dia mengalah.
Hadzry lengkap berpakaian kasual hari ini. Jambangnya masih ada, tetapi sudah disikat dan dikemaskan sedikit. Hari ini dia tak perlu memasuki kilang lagi. Dia akan ke pejabat untuk mengenal rakan sekerjanya dan mempelajari tempat baru. Hubungan dan komunikasi dengan rakan ditempat kerja amat dititik beratkan oleh Hadzry kerana tanpa elemen itu, kerjanya akan menjadi sukar. Lebih-lebih lagi berkerja sebagai jurutera amat memerlukan kerjasama dalam satu pasukan.
Rehat tengah hari tu, seniornya mengadakan jamuan untuk menyambut staff baru iaitu Hadzry. Beberapa jurutera dan juruteknik berkumpul di kafeteria untuk makan bersama. Dalam kelompok itu, mata Hadzry tertumpu kepada seorang lelaki yang seperti dikenalinya. Dia mendekati lelaki itu.
"Hariz?" Dia menyapa lelaki itu.
"Ya. Hariz. Maaf, tapi kita pernah jumpa ke?" Hariz cuba untuk mengingati jika dia pernah kenal lelaki dihadapannya itu. Namun dia gagal.
"Aku Hadzry. Junior kau dekat sekolah Kejora Bakti. Ingat tak?"
"Hadzry? Masa aku form 5 kau form berapa?" Berkerut dahi Hariz cuba untuk mengingatinya.
"Aku form 2."
"Owh. Kau batch Adam Khalish."
Mendengar nama itu, senyuman Hadzry serta-merta hilang.
"Ya, Batch Adam." Balas Hadzry lemah.
"Aku kawan dengan Eyka. Betulkan Eyka adik kau?" Sambungnya lagi. Menyebut nama itu membuatkannya teruja semula.
"Ya. Eyka adik aku. Oh! Kau ni Hadzry. Eyka pernah cerita pasal kau. Tak sangka boleh jumpa kau kat sini. Kecik betul dunia ni."
"Eyka ada cerita? Kami memang agak rapat. Lebih lagi masa dia kena buli dengan Ad..." Kata-kata hadzry terhenti.
Dia tahu dia sudah terlepas cakap. Dia tidak mahu merosakkan mood itu gara-gara peristiwa yang sudah lepas. Dia hanya mahu tahu tentang Eyka. Mereka telah terputus hubungan semasa dia melanjutkan pelajarannya di universiti di luar negara. Bukan dia, tetapi Eyka yang tiba-tiba senyap. Mungkin dia sudah ada teman lelaki baru masa tu. Jauh dia membawa hati kerana kecewa.
"Takpe. Kami semua dah tahu pasal Adam masa dia sekolah dulu. Terima kasih sebab ada dengan Eyka waktu susah senang dia masa tu."
"Sama-sama. Eh, dia sihat ke? Dia ada dekat mana sekarang?"
"Dia alhamdulillah sihat. Sekarang dia ada dekat Johor ni. Tinggal sekali dengan aku."
Mendengar kata-kata Hariz itu membuatkan Hadzry berasa sangat gembira. Entah kenapa. sedangkan mereka belum bersua lagi. Entah Eyka sudah kahwin atau belum pun dia tak tahu lagi.
"Tinggal dengan kau? Suami dia kerja luar ke?" Hadzry cuba mengorek cerita tentang Eyka sebanyak mungkin.
"Dia belum kahwin. Dia duduk sini sebab nak cari kerja. Bosan katanya kerja dekat kawasan pekan sana."
Belum kahwin? Yes!
"So sekarang dia kerja mana?"
"Aii. Pasal Eyka je dia tanya ni. Pasal kerja satu pun tak tanya." Hariz memerli juniornya itu.
Hadzry tersengih-sengih macam kerang busuk mendengar Hariz cakap macam tu.
"Dia tak kerja lagi. Tengah mencari la tu. Dia ada SPM je. Jadi susah sikit nak cari kerja." Kata Hariz lagi.
"SPM? Eyka tak sambung pelajaran ke lepas habis sekolah?" Pelik. Eyka tu pelajar yang bijak. Sia-sia je kalau tak sambung belajar
"Sambung. Panjang ceritanya." Wajah Hariz bertukar muram mengenangkan nasib adiknya itu
Dia menceritakan apa yang terjadi pada adiknya semasa di universiti. Hadzry amat terkejut apabila tahu yang Eyka mengalami kemurungan dan tidak habiskan pengajiannya. Namun siapalah dia untuk menghakimi gadis itu. Dia sendiri tahu apa yang dilalui Eyka.
"Kau duduk dekat mana?" Tanya Hadzry.
"Dekat Merak Residence."
"La. Dekat dengan kawasan rumah aku je." Hadzry semakin teruja.
"Kau cakap Eyka nak cari kerja kan? Mama aku nak cari maid. Gaji yang dia tawarkan RM3.5k. Nak suruh Eyka try?" Sambungnya lagi
"Huishh. Boleh tahan gaji dia. Nanti aku try tanya dia."
Hadzry tersenyum mendengarnya. Dalam hati, dia mengharapkan Eyka menerima tawarannya itu.
*******************
Aku menyiram pokok-pokok bunganya di tepi tembok. Sesekali aku menjenguk ke luar untuk mencari kucing yang boleh menemaniku. Tetapi tiada. aku sangat sukakan kucing. Tetapi seluruh ahli keluarganku tidak. Puas dah aku merayu pada ayah dulu untuk memelihara seekor kucing, namun ayah berkeras tidak mahu. Pelik. Kucing comel kot!
Sudah hampir sebulan aku habis berpantang. Dua minggu lepas, abang Hariz membawa aku ke klinik untuk menjalani ujian HIV. Oleh kerana aku telah diperkosa beberapa orang lelaki, jadi abang Hariz takut kalau ada di antara mereka pembawa penyakit tersebut.
Alhamdulillah, semalam keputusan yang keluar menyatakan aku bebas dari penyakit itu. Dua ujian telah dilakukan, ujian pantas (rapid test) dan ujian pengesahan (Confirmatory test). Kedua-duanya menunjukkan keputusan yang negatif.
Bunyi pintu pagar automatik terbuka merencatkan aku dari lamunan. Entah berapa lama aku siram pokok bunga tersebut. sampai banjir pasu bunga itu.
Aku berlari anak untuk menutup paip air. Kemudian aku berjalan ke arah kereta abang Hariz yang baru saja dipakir.
"Abang! Hehe." Aku menyapa abang Hariz. Beg bimbitnya aku ambil dari bahagian penumpang.
"Tak payah la bawak beg abang tu. Berat."
"Takpe. Tak berat pun."
"Haihh. Yela. Kamu tu kepala batu. Yang tak dibagilah dia beria nak buat." Abang Hariz sekeh kepala aku perlahan.
"Aduh. Sakitlah Abang." Aku gosok perlahan kepalaku
"Eleh. bukan kuat pun abang buat. Propa je lebih."
"Haha. Wekkk! Eyka bosanlah duduk rumah sorang-sorang. Bila abang nak bagi Eyka kakak?"
"Eh ke situ pulak budak bertuah ni. Meh aku nak sekeh kuat sikit kepala tu."
Dengar je abang Hariz cakap macam tu, aku cepat-cepat berlari masuk ke rumah. Kami berdua kemudiannya duduk di ruang tamu. Melepaskan lelah kerana berlari tadi.
"Eyka bosan duduk rumah? Nak kerja ke?"
Bersinar mata aku mendengarnya.
"Kerja apa abang?"
"Abang tak tahu la kamu nak tak kerja ni. Kerja jadi maid."
Maid? Menarik.
"Tapi rumahnya dimana? Kalau jauh dari sini Eyka tak nak. Takut."
"Dekat je. Kalau perasan rumahnya dekat simpang masuk depan tu."
"Banglo besar tu ke abang?"
"Ya. Selang beberapa buah rumah je dari sini."
"Tuan rumah tu garang tak abang?" Ragu-ragu pula aku rasa.
Aku tak pernah bekerja sebagai pembantu rumah. Aku jadi paranoid kerana selalu membaca kes dera pembantu rumah di internet.
"Dia kata, tak perlu tidur di sana. Lagipun rumah kan dekat je. Sebab tu abang berani tanya Eyka. Kalau tak, abang pun tak bagi Eyka kerja situ."
"Alololo. sayang jugak eh abang Hariz dekat Eyka." Abang Hariz mencubit pipiku setelah diusik begitu.
"Bila start kerja?" Kataku sambil mengusap pipi. Menyesal pulak usik dia ni.
"Esok boleh? Dia urgent nak pakai orang."
"Boleh."
Aku teruja. Malam itu aku tidur awal kerana ingin mengumpul tenaga supaya esok boleh bekerja dengan bersemangat. Biar majikan aku suka tengok aku bekerja. Untung-untung ada anak lelaki hensem. tiba-tiba berkenan ke nak buat aku jadi menantu. aku menutup muka sambil ketawa sendiri.
Namun kegirangan hatiku tidak lama. mengenangkan diri aku sudah tidak perawan, membuatkan aku rasa aku tidak layak untuk menjadi isteri sesiapa. Jadi esok aku kena behave! No gedik!
Pagi itu, abang Hariz menghantar aku ke rumah yang dimaksudkan. Aku tergamam melihat rumah yang tersergam indah tersebut. "Ini rumah ke istana?" Aku berbisik sendiri.
Aku menekan loceng rumah itu. 'Kediaman Qaseh Maya' . Aku membaca tulisan pada tembok batu yang memagari rumah tersebut sementara menunggu tuan rumah respon pada bunyi loceng yang aku tekan tadi. Sedap nama rumah ni. Rumah pun ada nama.
Tiba-tiba pintu pagar automatik dibuka. Seorang lelaki berjambang menjemput aku masuk ke dalam rumah.
"Eh! Betul ke apa yang aku nampak ni!" Jerit hati aku.
Share this novel