BAB 16

Fantasy Completed 4906

UNIVERSITY OF OXFORD, ENGLAND

Susah-payah mereka berpakaian seperti pelajar universiti bagi mengelakkan diri mereka mengundang curiga orang sekeliling. Karin juga menempah khas sebuah 'map case' (sarung panjang berbentuk silinder yang digunakan untuk meletak peta) yang panjangnya menepati saiz pedangnya bagi mengaburi mata orang ramai.

Langkah mereka diatur menuju ke pejabat Professor Albert Hall. Setelah bertanya kepada beberapa orang pelajar di situ, akhirnya mereka sampai ke tempat yang dituju. Tapi sebaik saja menghampiri pejabat tersebut, kelihatan kawasan tersebut dikerumuni oleh para pelajar dan juga pensyarah.

Suasana begitu tegang sekali. Tiada siapa dibenarkan masuk ke pejabat tersebut yang telah ditanda dengan pita kuning oleh pihak polis. Sewaktu salah seorang anggota polis membuka pintu, mereka berempat sempat mencuri pandangan ke dalam. Kelihatan kertas bersepah di atas lantai. Perabut juga ada yang pecah dan terbalik.

Mei cuba mendapatkan salah seorang pensyarah di situ. "Puan, boleh saya tanya apa yang dah jadi?" Soalnya.

"Tak ada apa-apa yang berlaku dekat sini. Rasanya baik kamu masuk kelas sekarang," dia menyangka Mei adalah salah seorang pelajar di sini.

Mei dapat mengesan sesuatu dalam mindanya. Dia sedang menipu. Mungkin pensyarah tidak dibenarkan memberikan sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut.

"Maaf, puan. Tapi saya terpaksa buat semua ni," tiba-tiba Mei meminta maaf. Membuatkan wanita tadi berasa hairan.

Mei meletakkan tangan ke atas bahu wanita tersebut. Serta-merta wanita itu seperti dipukau, matanya hanya memandang tepat ke arah Mei. "Sekarang bagi tahu saya apa yang awak tahu."

***

"Pecah masuk?" Claretta cuba memastikan dia tidak tersilap dengar. "Entah-entah pemburu hantu!" Sambungnya lagi.

"Mungkin juga," balas Karin. Sudah tentu nalurinya menangkap sesuatu, tetapi masih belum pasti dengan apa yang dia rasa.

"Professor Albert Hall?" Malae bertanya pula.

"Dia cakap Professor Albert dah sebulan tak masuk kerja. Tak tahu kenapa," Mei memberi penjelasan.

Mereka berjalan melintasi pintu pagar hadapan University of Oxford. Kelihatan para pelajar dengan sibuk dengan rutin harian mereka. Ada yang sedang melepak, ada yang seperti terkejar-kejar (lambat masuk kelas mungkin), dan ada juga yang sedang sibuk berbincang sambil berjalan. Inilah zaman muda! Penuh dengan aktiviti seharian.

"Jadi sekarang kita nak pergi mana?" Claretta ingin tahu.

"Kita pergi rumah dia. Tengok-tengok kalau dia ada dekat sana," ujar Karin. Setahu mereka rumah Albert Hall berada tidak jauh dari universiti tersebut. Jalan kaki pun boleh.

"Tapi tadi pensyarah tu cakap Professor Albert dah lama tak ada dekat rumah. Pihak universiti pergi banyak kali tapi tak ada orang pun," Mei memberitahu maklumat yang dia perolehi.

Karin ligat berfikir. Entah kenapa dia rasa mereka perlu ke rumah Albert Hall. Ya, mungkin mereka bakal menerima nasib yang sama. Tapi apa salahnya mencuba.

"Tak apa, kita pergi je dulu."

Yang lain hanya menurut. Lagipun masing-masing sudah mati akal sekarang ini. Dengan maklumat yang tidak seberapa, mana mungkin mereka dapat mengagak apa yang sedang berlaku.

"Aku harap tak ada pemburu hantu yang tunggu kita kat sana," Malae sempat menyuarakan keluhannya.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience