BAB 30

Fantasy Completed 4906

Tangan Maya digenggam erat. Mulut Jannes terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Tubuh Maya masih kaku di situ, tidak bergerak. Wajah pucatnya nampak menyeramkan.

Karin dan Claretta berlari ke arahnya. Namun pergerakan mereka dihalang oleh musuh. Karin tak tunggu lama. Pedangnya sudah sedia terhunus untuk mencantas pihak lawan. Kali ini sesiapa saja yang menghalangnya pasti akan menerima ajal.

Claretta hanya berdiri di tepi. Dia masih belum mahir menggunakan kuasanya. Takut nanti rakan-rakannya pula yang cedera. Dia cuba untuk mendapatkan Jannes tetapi Karin menghalang niatnya dengan isyarat mata. Selagi dia belum selesai, Claretta tidak selamat untuk ke sana sendirian.

Ketika fokus Karin tertumpu pada Claretta, satu tendangan hinggap di peha kanannya menyebabkan dia terguling di atas lantai. Namun dia sempat berpusing dan mengambil posisinya semula. Kakinya sedang menahan sakit. Berdenyut-denyut rasanya.

Pemburu hantu tidak duduk diam. Mereka beradu tenaga untuk melakukan serangan seterusnya. Claretta yang menjadi pemerhati sejak tadi bertambah panik. Pandangannya beralih ke arah Karin yang masih dalam posisi tidak bersedia.

Kali ini dia tiada pilihan. Melihat pemburu hantu yang semakin hampir, dia berusaha menghasilkan tiupan angin seperti tadi. Tapi nak buat macam mana? Ahhhh, belasah jelah!

Tak sangka kali ini hasilnya lebih kuat dari yang sebelum ini. Buktinya, pemburu hantu dan Karin melambung jauh ke dua arah yang bertentangan. Bukan mereka sahaja, Claretta juga turut terpelanting ke belakang lalu terhumban ke atas lantai. Well, there's always a price for being a hero.

Karin yang hampir berdiri semula memandangnya. Claretta mengangkat isyarat tangan dengan panik yang bermaksud - 'sorry, sorry. Aku tak boleh control lagi benda ni.'

"Claretta!" Malae muncul di hadapannya. "Tolong, Manuia..."

Melihat riak wajah Malae, dia dapat menduga apa yang berlaku. Pasti ada yang cedera. Matanya beralih pada Karin semula. Karin hanya menganggukkan kepala, sebagai isyarat yang dia boleh menghadapinya seorang diri.

Malae dan Claretta berlari mendapatkan Manuia. Nampaknya dia sudah kehilangan banyak darah. Claretta cuba menenangkannya. Dia memeriksa luka tembakan di bahunya.

Sedang dia ralit dengan kerjanya, sedas bunyi tembakan berhampiran membuatkan Claretta terperanjat. Malae dan Aleki terpaksa meninggalkan mereka berdua buat sementara untuk membalas serangan pihak lawan.

Claretta cuba mendapatkan semula konsentrasinya yang terganggu akibat serangan tadi. Dia meletakkan telapak tangannya pada bahu Manuia.

"Mula-mula memang rasa sakit. Tahan sikit ya," ujarnya lembut. Manuia hanya mengangguk lemah.

Pertarungan Karin juga masih belum berakhir. Kini lapan pemburu hantu akan menentang dia seorang. Serangan demi serangan dilancarkan. Kali ini, Karin tidak akan berlembut lagi. Jannes sudah hampir selesai melakukan ritualnya. Kalau mereka tidak selesai dalam masa yang singkat, lelaki itu akan terlepas.

Setiap libasan pedang Karin menemui sasaran. Kepala pemburu hantu terputus dari badan satu persatu dan tergolek di atas lantai. Tenaga cakranya sudah banyak digunakan dalam perlawanan kali ini. Kalau bukan disebabkan latihan Master Shino, berkemungkinan besar dia sudah tumbang selepas beberapa siri serangan.

Jannes nampak keletihan. Tenaga hitam yang diserap sebelum ini sudah habis dipindahkan kepada Maya. Itulah niatnya yang sebenar. Selama ini dia berjaya memperdayakan rakan kongsinya yang lain untuk turut serta dalam rancangan ini.

Katanya, tenaga hitam itu akan dikongsi bersama-sama. Tapi sebenarnya Jannes memerlukan semua tenaga tersebut untuk menghidupkan kembali isterinya yang sudah mati. Sesuatu yang dilarang oleh The Flow sebelum ini.

Maya membuka matanya. Perlahan-lahan dia bangun dari persemadiannya. Jannes adalah orang yang paling gembira sekali. Air matanya menitis melihat wajah isteri yang dicintainya kini hidup semula.

"Maya..." Dia memanggil wanita itu. Wajah isterinya masih kelihatan pucat. Mungkin dia perlukan sedikit masa untuk kembali seperti sedia kala.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience