BAB 3

Fantasy Completed 4906

Hon dibunyikan. Kelihatan skuter merah ditunggang oleh seorang gadis yang membunyikan hon bertalu-talu ke arah Malae. Saat itu matanya mampu menangkap aksi pertarungan antara pemburu hantu dengan... akar pokok?

"Uish! Ganas anak pokok diaaa." Sempat lagi Claretta berasa takjub.

Malae tidak buang masa. Lantas dia berlari laju ke arah skuter tersebut lalu melompat naik ke tempat pembonceng. Tangannya menepuk-nepuk bahu Claretta sebagai tanda 'dah boleh jalan dah kot.'

Tapi Claretta masih belum memulas minyak. Tiba-tiba tangannya menghulurkan sesuatu kepada Malae. Helmet?

"Hei, orang nak bunuh kita ni! Tak ada masa nak pakai helmet sekarang ni!" Tingkahnya. Ada pula suruh pakai helmet saat-saat genting macam ni.

"Aku tak nak bertanggungjawab kalau kau mati tergolek nanti eh." Dengan selamba Claretta membalas. Eh budak ni dah kira beruntung aku nak tolong tumpangkan!

Nak tak nak, Malae terpaksa akur. Dia menyarung helmet di kepala. "Okey dah! Jalan, jalan!" Nadanya bertambah cemas.

Enjin skuter mengaum kuat. Claretta memulas minyak hingga ke tahap maksimum. Hampir terlentang Malae dibuatnya. Okay, fine. Nasib baik ada helmet.

Matanya sempat melirik ke belakang dari tempat duduk pembonceng. Kelihatan empat ekor serigala bagaikan dirasuk hantu, mengejar dengan rakus sekali. Mata mereka merah menyala seperti tidak sabar hendak membaham mangsanya.

Claretta membuat pusingan mengejut di sebuah simpang. Mujur Malae sempat menarik bajunya agar tidak jatuh. Dah macam lumba haram dah lagaknya!

"Kau memang biasa bawak motor macam ni ya?" Sempat lagi Malae membuat sesi temu bual. Maklumlah pertama kali jumpa, apa salahnya berkenal-kenalan.

"Dulu aku selalu buat delivery guna skuter bos aku!" Suaranya seakan-akan menjerit bagi melawan bunyi angin yang begitu kuat sekali menampar gegendang telinga.

"Mesti skuter bos kau banyak kali masuk bengkel kan?"

"Eh, mana kau tahu?"

Kalau dah begini gayanya, orang gila pun tahu. Malae berbisik di dalam hati. Namun dibiarkan saja kata-kata itu bermain di kepalanya. Kerana saat ini ada masalah lebih besar yang harus dirisaukan.

Claretta menjeling ke cermin sisi kanan. Nampaknya drama mereka masih belum tamat di sini. Aksi kejar-mengejar ini masih belum sampai ke penghujungnya.

"Tepi tepi tepi tepi!" Jeritnya sambil membunyikan hon berkali-kali.

Kedengaran orang ramai bertempiaran melarikan diri supaya tidak dilanggar. Skuter merahnya membelah lautan manusia, lansung melintasi gerai tempat Karin dan Mei membeli makanan.

"Eh, apahal tu?" Mei tersentak ketika deruan enjin itu memalu telinganya.

Karin tidak menjawab. Matanya menangkap sesuatu dari belakang. Ada tenaga hitam sedang datang menghampiri. Rasanya dingin sekali sehingga menusuk ke tulang. Lantas dia memegang tangan Mei.

"Lari, sekarang!" Arahnya.

Ketika itulah muncul empat susuk tubuh berpakaian hitam sedang meluru ke arah mereka. Masing-masing menunjukkan wajah bengis, seperti pemangsa yang bersedia untuk menerkam bila-bila masa saja. Tiada pilihan, kedua-dua mereka turut terjebak dalam kejar-mengejar tersebut.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience