BAB 27

Fantasy Completed 4906

Akibat terlalu kuat meronta-ronta, Claretta dihumban ke lantai. Manuia cuba untuk menolongnya, tetapi dihalang oleh dua orang pemburu hantu yang menolaknya sehingga berlutut. Aleki turut direntap kuat oleh mereka.
Kini mereka dipisahkan. Claretta akan dibawa ke ruangan lain, manakala Manuia dan Aleki akan dibawa ke tempat lain. Mereka masih cuba untuk melawan walaupun telah dicengkam kuat oleh pemburu hantu.

Claretta diiringi oleh empat orang pemburu hantu, manakala kedua-dua lelaki tersebut diawasi oleh lapan orang. Manuia dan Aleki cekap dalam pertempuran. Kalau tidak diawasi dengan baik, mereka mungkin akan terlepas lagi.

Ketika dalam perjalanan ke suatu destinasi yang tidak diketahui, Claretta sempat berselisih dengan beberapa orang pemburu hantu yang baru saja keluar dari sebuah bilik sambil membawa tawanan. Namun tawanan mereka nampak lain. Wajahnya seperti kosong. Seperti...

Tak mungkin! Kalau betul apa yang bermain di fikirannya, dia tidak boleh berdiam diri saja. Dia harus cari jalan untuk lepaskan diri dari semua ini.

'Aku tak boleh biarkan dorang tukar aku jadi pemburu hantu!' getus hatinya.

Kali ini dia bertaruh dengan nyawanya. Apa nak jadi, jadilah! Andai kata dia mati, sekurang-kurangnya dia mati mencuba.

Sepantas kilat dia menendang seorang pemburu hantu yang berjalan di hadapannya sehingga tersembam ke atas lantai. Tendangan kedua hinggap di lutut lawannya yang berada di kiri dan kanannya. Kedua-duanya tersandar ke dinding.

Belum sempat dia membuat serangan pada seorang lagi di belakang, lelaki itu sudah pun merangkul pinggangnya lalu dilemparkan ke dinding. Claretta jatuh terjelupuk di atas lantai. Kepalanya jadi pening akibat hentakan kuat.

Belum sempat dia meraih kewarasannya, lehernya dicengkam lalu dipasakkan ke dinding. Kakinya tidak menjejak tanah. Claretta cuba melepaskan diri dari pemburu hantu tersebut. Namun kekuatan mereka sangat jauh berbeza.

Nafasnya sudah tersekat. Mukanya menjadi pucat lesi. Kalau dia gagal melakukan sesuatu sekarang, dia boleh mati bila-bila masa saja. Ketika itu air matanya sudah mahu mengalir. Terbayang-bayang di fikirannya wajah Horace yang memandangnya dengan segaris senyuman.

"Aahhhhhhhhhh!!!" Jeritannya menandakan yang dia sudah putus harapan. Lalu perasaannya dilepaskan habis-habisan. Andai mati sekarang, dia merelakan segalanya.

Tiba-tiba angin kuat menampar wajah pemburu hantu tersebut sehingga melambung ke siling terowong dan jatuh ke lantai. Sekali lagi Claretta jatuh ke tanah. Nafasnya menjadi kencang bagaikan nyawa disambung semula.

Tetapi kali ini dia dihambat rasa terkejut. Dari mana datangnya angin kuat begitu? Tunggu! Adakah dia yang menghasilkannya? Adakah ini salah satu dari...

"Claretta!" Kedengaran seseorang memanggilnya. Suara tu macam...

"Malae!" Dia begitu terharu dengan perjumpaan semula mereka. Claretta mendepakan tangannya untuk memeluk Malae tetapi tangannya direntap kasar.

"Tak ada masa nak sweet-sweet sekarang ni! Lari dulu!" Malae memberi amaran. Tidak jauh daripada mereka kelihatan Karin dan Mei turut mengatur langkah seribu.

Lalu berlarilah empat gadis tersebut. Sesekali Karin berpusing ke belakang untuk menghalang tembakan pihak lawan daripada mengenai mereka. Ternyata kali ini kekuatan mereka meningkat dua kali ganda dari yang sebelumnya.

Tiba-tiba Malae berhenti. Claretta yang mengekori dari belakang terhantuk kepalanya pada kepala Malae. "Weh, asal berhenti mengejut ni?" Soalnya sambil menggosok kepala yang sakit.

Karin dan Mei muncul beberapa saat kemudian. Mei hampir terlanggar mereka berdua kalau tidak disebabkan Karin yang menahan tangannya.

"Aaaa... Kenapa kita berhenti ya?" Mei mengulangi soalan Claretta. Sesekali dia menoleh ke belakang. Pemburu hantu sudah semakin dekat.

"Aku tak tahu nak ikut jalan mana," Malae nampak buntu. Ada tiga lorong di hadapannya sekarang. Tapi yang mana satu laluan yang betul?

Tiba-tiba dinding berhampiran mereka disambar tembakan laser lalu meletup meninggalkan serpihan. Keempat-empat gadis itu tersentak lalu menoleh ke belakang. Pemburu hantu dah sampai!

"Hentam jelahhh!" Mereka tidak sempat membuat keputusan dalam keadaan genting begitu. Masing-masing berlari bagaikan tak cukup tanah. Harap-harap ada jalan keluar dari sini.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience