BAB 2

Fantasy Completed 4906

Malae menyemak baki akaunnya. Tidaklah terlalu banyak tapi sekadar cukup untuk perjalanannya kali ini. Ternyata berkerja di kedai bunga selama ini cukup untuk menampung keperluan hidupnya.

Mindanya kemudian melayang ke Samoan Island yang telah ditinggalkan dua tahun lepas. Sehingga kini masih tiada khabar berita daripada sesiapa. Ketika itu wajah nenek, Manuia, Mak Cik Iosefa, dan Aleki muncul dalam ruang mindanya. Selamatkah mereka?

Lantas dia menggelengkan kepalanya daripada berfikir yang bukan-bukan. Mereka pasti selamat, bisik hatinya. Langkahnya diatur ke pasar berdekatan. Pagi-pagi begini kalau dapat makan roti bakar disapu mentega pasti sedap!

Ketika dia melewati satu lorong, langkahnya terhenti. Nafasnya tiba-tiba menjadi sesak bagaikan urat sendinya dicarik-carik. Matanya tertumpu ke hadapan.

Dua ekor serigala hitam bermata merah sedang merenung ke arahnya. Renungan yang begitu tajam sekali sehingga menusuk kornea matanya. Setakat ini mereka masih belum bertindak, tapi mungkin akan menyerang bila-bila masa saja.

Sebaik saja mendongakkan kepala, kedua-dua serigala itu berubah menjadi manusia normal. Malae jadi kaget. Dia cuba membuat tafsiran sendiri. Siapa mereka ni? Hantukah?

Matanya terpaku melihat seorang lelaki dan perempuan dihadapannya. Wajah mereka hampir ditutup dengan hud kepala. Serta-merta si perempuan melontar sebilah pisau halus ke arah Malae. Dalam keadaan cemas, dia mengangkat tangan kirinya dan dihadapkan ke tanah.

Serta-merta benteng tanah membuak-buak naik dari perut bumi dan melindungi tuannya. Pisau tadi tertusuk kemas di tengah benteng. Serangan pertama gagal.

Malae juga tidak tunggu lama. Kakinya sudah rancak berlari di sudut-sudut bangunan. Aduh, dah la lapar ni! Sempat dia memegang perutnya yang berkeroncong.

"Kalau ya pun nak bunuh aku, bagi la aku makan dulu!" Dia membebel sendirian.

Apabila sudah terasa jauh, langkahnya terhenti. Nafasnya tercungap-cungap bagaikan meminta nyawa. Harapannya supaya hantu-hantu tadi tidak dapat mengejarnya.

Namun sangkaannya meleset apabila kelihatan seekor serigala hitam berada tidak jauh daripadanya sambil merenung tajam. Malae membalas pandangan. "Serius la?"

Serigala itu memulakan serangan dengan berlari ke arahnya. Sekali lagi Malae menghalakan tapak tangannya ke tanah. Kedengaran bunyi sesuatu sedang berlaku dari bawah. Beberapa saat kemudian muncul akar-akar pokok dari perut bumi, melimpah-limpah dan berseliarat di atas tanah.

Akar-akar tersebut menjalar dengan pantas sekali, cuba untuk menggagalkan serangan pihak musuh. Pertarungan antara serigala hantu dan 'root chakra' bermula!

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience