BAB 19

Fantasy Completed 4906

Sedang mereka sibuk menyediakan makan malam di dapur, kedengaran berita semasa di televisyen melaporkan berkenaan rusuhan banduan yang semakin berleluasa. Beberapa negara seperti Moscow, Russia, dan Myanmar sudah ditawan sepenuhnya.

United Kingdom masih lagi dikawal ketat oleh pihak polis dan tentera. Namun keadaan di Scotland amat membimbangkan. Para banduan di sana sedang bertempur dengan pihak berkuasa. Seperti ada benda yang merasuk mereka untuk terus mencetuskan kacau-bilau.

Mereka hanya berdiam diri mendengar berita tersebut. Keadaan sudah gawat sekarang ini. Pembunuhan sedang rancak di seluruh dunia. Masing-masing menghela nafas panjang. Bagaikan ada beban yang tersangkut di bahu mereka.

"Sudahlah. Jom kita makan," Albert cuba menceriakan keadaan. Yang lain hanya menurut.

Mereka menikmati makan malam sederhana itu dengan berselera sekali. Albert turut rancak bercerita mengenai konsep tujuh cakra dalam badan manusia.

"Mei, boleh saya tahu setakat mana kemampuan kamu?" Tiba-tiba dia menyoal Mei.

Mei kelihatan bingung dengan soalan mengejut Albert. "Emm, saya boleh baca minda orang," dia membalas.

Tingkah laku Albert terhenti. "Itu je?"

Mei masih bingung. Dia teragak-agak untuk mengangguk. "Ya, itu je," balasnya lagi.

Albert hanya tersenyum sambil menuang air ke dalam gelas. "Kamu boleh buat lebih lagi daripada tu," ujarnya.

Gadis itu masih tidak faham. Tapi dibiarkan saja persoalan itu apabila melihat Albert bangun dari kerusinya dan menuju ke arah rak buku. Sekembalinya ke tempat duduk, dia memberikan sebuah buku yang agak lusuh kepada mereka. Buku tulisannya sendiri yang pernah menyebabkan dia ditangkap dahulu.

"Dalam tu ada semua benda yang kamu perlu tahu," ujarnya lagi.

Sambil makan, mereka membelek-belek buku tersebut. Agak tebal juga untuk ditelaah dalam tempoh masa yang singkat.

"Apa kata professor ceritakan isi buku ni pada kami? Lagipun buku ni professor yang tulis kan?" Malae cuba mencari akal. Sekurang-kurangnya mereka mendapat penjelasan terperinci mengenai buku tersebut.

"Tak boleh." Selamba Albert membalas.

Dahi mereka berkerut. "Kenapa tak boleh?"

Albert memasukkan potongan ayam terakhir ke dalam mulut. "Nanti kamu tak sempat balik."

Ah, sudah! Makin tak faham jadinya. Apa maksud Albert mereka tak sempat balik?

Tiba-tiba terdengar jeritan dari luar. Jeritan yang bercampur dengan bunyi bising hingga membingitkan telinga. Empat gadis tersebut menuju ke arah tingkap untuk mengintai apa yang telah berlaku.

Puak rusuhan sudah pun membanjiri kawasan kejiranan tersebut. Habis rumah di sekeliling mereka dirosakkan. Ada yang diheret keluar rumah lalu ditembak di bahagian kepala. Ada juga yang menembak ke arah orang ramai secara rambang. Jalan sudah diwarnai merah darah.

"Kita kena pergi sekarang," Karin bersuara dengan nada perlahan, "bawa professor sekali."

Mereka berlari ke meja makan semula. Namun Albert kelihatan tenang di disitu sambil meneguk segelas air walaupun gegendang telinganya dapat mendengar huru-hara di luar dengan jelas sekali.

"Professor, kita kena pergi sekarang!" Claretta memanggilnya.

"Bukan saya, tapi kamu yang kena pergi." Kata-katanya mengundang tanda tanya mereka.

"Professor, kalau kita tunggu dekat sini kita akan mati. Puak rusuhan dekat luar akan serbu rumah ni dan bunuh kita," Claretta masih belum mengalah.

Albert meletakkan semula gelasnya di atas meja. "Bila mereka masuk ke rumah ni, mereka takkan jumpa apa-apa melainkan mayat saya di tingkat atas."

Mendengar kata-kata Albert membuatkan bulu roma mereka tegak berdiri. Karin terasa sesuatu yang aneh. Dia lantas mengeluarkan aliran cakra dari jari-jemarinya dan membiarkan ia menular sehingga ke tingkat atas.

Tiba-tiba wajahnya berubah. Lidahnya seperti dikunci daripada bersuara. Dalam nada yang perlahan, dia berbisik, "dia sudah mati."

Serta-merta membuatkan yang lain turut tergamam. Mereka mengambil posisi berjaga-jaga apabila melihat Albert bangun dari tempat duduknya.

"Siapa kau sebenarnya?" Malae bersuara agak kasar.

Albert hanya tersenyum. "Saya adalah Albert Hall, seorang pengkaji teori cakra. The Flow telah melantik saya sebagai penasihat di dalam organisasi tersebut memandangkan saya ada ilmu yang mendalam dalam bidang ni. Semalam pemburu hantu telah datang ke sini. Nampaknya kita tak sempat berjumpa secara nyata."

Percakapannya diiringi oleh bunyi tingkap pecah di rumah sebelah. Hampir mahu luruh jantung dibuatnya. Rasa macam dalam cerita hantu la pulak!

"Mei, inilah kemampuan sebenar kamu. Kamu bukan saja mampu membaca minda orang lain, tapi roh kamu juga mampu bergerak ke dimensi lain. Bukan kamu seorang ja, kamu boleh bawa sesiapa saja yang kamu nak. Macam sekarang, kamu dah berjaya bawa kawan-kawan kamu ke sini."

Kali ini kedengaran bunyi tingkap rumahnya pecah dibaling batu. Puak rusuhan sedang merempuh masuk rumah Albert Hall.

"Saya sudah sampaikan apa yang saya nak sampaikan. Sekarang baliklah. Masa kamu semakin suntuk."

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience