BAB 22

Fantasy Completed 4906

IMBAS KEMBALI...

Bunyi tapak kaki cuba disembunyikan sebaik mungkin. Langkah diatur begitu cermat sekali. Takut-takut nanti menarik perhatian puak rusuhan yang sedang meliar di luar hotel. Kini mereka sudah berada di tingkat bawah.

Ternyata bukan mereka sahaja yang terperangkap di situ. Masih ramai orang awam yang menginap di hotel tersebut sedang bersembunyi di bilik masing-masing. Ada juga orang luar yang berlindung di dalam hotel tersebut sebaik saja rusuhan membanjiri Camberley.

Pintu hadapan hotel telah pun disekat oleh perabot bagi menghalang kemaraan puak rusuhan. Suasana begitu tegang sekali. Kedengaran bunyi pintu dihentak-hentak dari luar. Orang awam sedang berselindung di sebalik kaunter penyambut tetamu. Termasuk mereka berempat.

"Karin, naluri aku mungkin tak kuat macam kau. Tapi aku rasa pintu tu takkan bertahan lama," Malae bersuara perlahan.

Karin tidak membalas. Dia mengintai dari belakang kaunter. Benar apa yang dikatakan oleh Malae. Lama-kelamaan puak rusuhan pasti akan masuk juga. Keadaan pintu sudah tidak kukuh lagi. Kalau mereka tidak mencari jalan keluar sekarang, mautlah jawabnya.

"Pintu depan dah tak selamat. Sekarang ni kita kena cuba..."

Ayat Karin tergantung apabila seorang pelayan hotel wanita berlari melintasinya dan meluru ke arah pintu. Tujuannya untuk menolak semula perabot yang sudah semakin lekang dari pintu akibat dihentak bertalu-talu.

Tiba-tiba naluri Karin menangkap sesuatu. Perlahan-lahan dia merangkak ke arah tingkap berdekatan. Kepalanya dijuntaikan sedikit untuk melihat ke arah luar. Alangkah terkejutnya apabila dia tahu apa yang bakal terjadi. Matanya terus beralih ke arah pintu. Wanita itu masih disitu.

"Grenade!!" Jeritnya sebagai amaran.

Wanita tadi terperanjat. Dia menjadi kaku sebentar. Kali ini terdengar bunyi sesuatu dicampakkan ke arah pintu. Ia seperti sedang mengira detik untuk meletup. Sejurus mengundang debaran di dada masing-masing.

Mei berlari ke arahnya, memandangkan dia yang paling dekat. Beberapa saat sebelum bom meletup, dia sempat meraih pinggang wanita tersebut lalu menariknya. Ledakan pertama di pintu hadapan membuatkan mereka tercampak ke tepi dan terbaring di atas lantai.

Pertahanan mereka sudah musnah. Serpihan pintu berterbangan di udara. Orang ramai mula menjerit dan lari bertempiaran. Claretta, Malae, dan Karin berlari mendapatkan Mei. Mujur dia tidak cedera. Wanita tadi sudah pun melarikan diri.

Kini mereka bergegas ke pintu belakang hotel. Keadaan sesak menyebabkan ada yang jatuh dan cedera. Dari depan, puak rusuhan sudah membanjiri hotel tersebut. Ada yang berlari ke tingkat atas sambil membawa senjata api. Ada juga yang berteriak tidak tentu hala seperti orang hilang akal.

Tenaga cakra Karin dilepaskan. Dia cuba untuk mencari jalan keluar yang lain. Itu dia, arah dapur! Pasti ada lagi satu pintu di sana. Mereka pun berlari dengan kencang, membelah lautan manusia dan menuju ke arah pintu dapur. Sebaik saja pintu dibuka, langkah Karin terhenti. Begitu juga yang lain.

"Ryuzaki..." Karin berbisik pada dirinya sendiri.

Ryuzaki dan ahli kumpulannya hanya melemparkan senyuman sinis. Ternyata selama ini dia tidak putus asa untuk menjejaki Karin dan akhirnya mereka berjumpa di saat-saat genting begini.

"Rindu aku tak, Karin?" Soalnya bersahaja.

Claretta dan Malae terpinga-pinga. Mei hanya mendiamkan diri. Walaupun Mei tidak pernah berjumpa dengan Ryuzaki, tapi melihat pada gayanya dia tahu dengan siapa mereka berhadapan sekarang ini.

"Ryuzaki, sekarang bukan masanya. Kau tak nampak ke apa yang jadi sekarang ni? Keadaan dah tak selamat sekarang!" Karin cuba melepaskan diri. Dia tiada masa untuk bermain-main sekarang ini.

Ryuzaki hanya menganggukkan kepala, sekadar mengajuknya. "Betul, keadaan sekarang ni dah tak selamat lagi. Tapi itu bagi kau, bukan aku. Setakat orang-orang gila tak tentu hala ni, aku boleh uruskan. Tak ada hal."

Mereka sudah tiada masa. Bila-bila masa dari sekarang puak rusuhan akan sampai ke tempat mereka. Kalau sampai hal itu terjadi, susahlah hendak melepaskan diri.

"Karin, siapa semua ni?" Malae seperti mengesyaki sesuatu. Macam mana mereka berdua boleh kenal? Melihat kepada cara Ryuzaki, dia boleh agak yang lelaki itu bukanlah orang yang baik-baik.

"Tak kisah semua tu. Sekarang ni, kalau kita semua nak selamat, kita kena lepaskan diri daripada sini," Karin berbisik kepadanya.

Walaupun agak tidak puas hati, tetapi Malae memilih untuk bersikap rasional. Bergaduh sesama mereka sekarang ini tidak dapat mengubah situasi yang sedang berlaku.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience