BAB 28

Fantasy Completed 4906

Keranda dibuka perlahan-lahan. Kali ini hanya Jannes yang berada di ruangan tersebut bersendirian. Semua orang bawahannya diarahkan keluar dari tempat tersebut. Tiada siapa dibenarkan berada di situ termasuk Loukas.

Anak mata Jannes terpaku pada isi kandungan keranda tersebut. Dia bagaikan orang yang melepaskan rindu yang lama terpendam. Seraut wajah dicapai oleh jari-jemarinya. Wajah pucat lesi itu lansung tidak mengganggu perasaan Jannes ketika itu.

"Maya..." Dia memanggil nama wanita yang terbujur kaku di dalam keranda tersebut. Air matanya bertakung. Sudah lama dia tidak menatap wajah kesayangannya itu.

Tiba-tiba pintu dibuka. Empat gadis tadi meluru masuk ke ruangan yang agak gelap dan kosong tersebut. Serta-merta mengganggu konsentrasi lelaki tua itu. Dia memejamkan matanya. Seperti menyerap semula semua perasaannya agar tidak kelihatan.

"Anak-anak," panggilnya dengan suara yang agak serak. Jannes berpusing untuk bertentang mata dengan mereka. "Selamat datang ke Edinburgh!"

Ucapan selamat datangnya tidak disambut oleh mereka. Karin memerhatikan keranda dibelakangnya. Ya, keranda itulah yang muncul dalam bayangannya. Tak salah lagi.

"Dialah ketua dekat sini," Claretta berbisik pada mereka.

"Macam mana perjalanan kamu setakat ni? Seronok?" Jannes berlagak selamba. Dia berjalan menuruni anak tangga. Jubahnya agak meleret sedikit sehingga mencecah lantai.

Lantai pecah secara tiba-tiba, tidak jauh daripadanya. Muncul akar pokok gergasi cuba untuk menyerang Jannes. Mereka bertiga tertumpu ke arah Malae. Nampaknya dia sudah memulakan serangan.

Lelaki itu nampak tenang. Tiba-tiba muncul kabus hitam mengelilinginya. Ia seperti melindungi Jannes daripada menjadi mangsa serangan mengejut Malae. Sebaik saja terkena kabus hitam tersebut, akarnya menjadi kering-kontang dan jatuh ke tanah.

Karin memegang lengan Malae, sebagai isyarat supaya dia menghentikan serangan. Malae hanya menurut. Tetapi mereka tetap dalam posisi berjaga-jaga. Mana tahu ada serangan hendap yang sudah dirancang oleh lelaki tersebut.

"Kenapa kau buat semua ni?" Karin nampak tenang walaupun jantungnya berdegup kencang bagaikan nak pecah.

"Pewaris Shino, kan?" Ternyata dia kenal setiap seorang daripada mereka. "Biar aku teka, ayah angkat kau tak pernah cerita apa-apa, betul tak?"

Soalannya dibiarkan begitu saja. Langkahnya diatur beberapa tapak lagi ke depan, kemudian dia berhenti. Nampaknya dia sudah bersedia untuk membuka semua cerita lampau yang sudah lama terkubur.

"Mungkin kamu semua anggap The Flow tu baik. Tapi aku tak. Nak tahu kenapa? Sebab The Flow dah bunuh satu-satunya orang yang aku sayang!"

Mereka tergamam seketika. Tiada seorang pun yang berani bersuara. Masing-masing sibuk melayani fikiran sendiri.

"Aku cuma ada Maya dalam hidup aku. Isteri aku! Waktu dia kena bunuh dulu, aku merayu pada Horace supaya dia sembuhkan balik Maya. Tapi nak tahu apa dia buat? Dia tolak permintaan aku macam tu je! Aku ni kawan dorang. Selama ni aku setia dengan The Flow tapi apa yang aku dapat!?"

"Tak ada manusia dalam dunia ni yang boleh hidupkan orang yang dah mati!" Akhirnya Claretta bersuara. Rakan-rakannya hanya membiarkan dia berdebat dengan Jannes. Lagipun ini melibatkan maruah bosnya.

"Walaupun kami ada kuasa untuk sembuhkan orang lain, tapi bila seorang manusia tu dah mati, kami sendiri tak boleh buat apa-apa. Tu semua akan melanggar sifat semula jadi manusia. Sebab yang boleh buat semua tu hanyalah..."

"Jangan libatkan Tuhan dalam hal ni!!!" Jeritan Jannes mematikan kata-kata gadis itu. Gemanya menular ke setiap inci ruangan tersebut.

Mei memegang lengan Claretta. "Sudahlah, dia takkan dengar cakap kita. Dia dah rasa diri dia Tuhan sekarang," bisiknya.

Jannes menghela nafas panjang. Urat mukanya yang tegang kembali kendur. "Selamat bergembira, anak-anak. Maaflah sebab tak dapat bermain dengan kamu semua sekarang. Tapi jangan risau, anak-anak aku akan temankan."

Lalu muncullah sekelompok pemburu hantu yang tidak dapat dipastikan bilangannya. Mungkin melebihi dua puluh orang. Jannes terus melangkah ke arah keranda. Dia perlu teruskan rancangannya yang tergendala sebentar tadi.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience