OKINAWA, JEPUN

Fantasy Completed 4906

Nafasnya turun naik, bagaikan baru dilanda ribut taufan. Dia masih tidak berpeluang untuk menoleh ke belakang, memandangkan para pengikut bosnya masih belum selesai 'berurusan' dengannya.
Kali ini tiang tempat dia bersembunyi dipalu sedas tembakan peluru sesat. Betul-betul selari dengan telinga kirinya membuatkan ia berasa bingit. Nampaknya mereka tidak akan berkompromi.

"Aku tak nampak dia di mana-mana," jelas seorang dari mereka.

Ketua memandangnya. "Kau mahu kepala kau dipenggal?" Soalnya.

Lelaki tadi terdiam, tidak mampu berkata apa-apa lagi.

"Jadi aku sarankan kau cari dia sampai jumpa sebelum kita lapor diri pada Tuan Nakamura."

Mereka terpaksa akur dengan arahan ketua. Ryuzaki ternyata seorang yang tegas orangnya, sudah pasti tiada yang berani membantah.

Pemburuan mereka sudah genap seminggu sejak Tuan Nakamura mengarahkan Karin dibunuh kerana tidak taat. Ternyata nyawa Karin begitu liat sekali.

"Aku sudah pesan sebelum ni, Karin. Kalau bos suruh bunuh, bunuh saja. Sekarang jangan salahkan aku sebab buat semua ni." Ryuzaki sengaja bermadah untuk memancingnya keluar dari persembunyian.

Karin masih di balik tiang, sedang berkira-kira waktu sesuai untuk melepaskan diri. Dia tidak boleh menerjah membabi buta sahaja. Maut jawabnya.

Dalam masa yang sama, dia masih sempat mengamati keliling. Rumahnya kini rosak bagaikan kawasan baru diratah peperangan. Lantai sudah hancur, dinding pula dipenuhi bekas bekas peluru sesat.

"Aku terfikirlah, apa yang membuatkan kau sanggup selamatkan perempuan tu dan ingkar arahan Tuan Nakamura. Setahu aku, kau tak selembut tu," Ryuzaki menambah api lagi.

Karin tidak berminat untuk berbual. Akalnya rancak mencari jalan keluar. Ketika itulah, anak matanya menangkap pergerakan aura tenaga yang keluar dari badan Ryuzaki.

Tahulah dia bahawa Ryuzaki sudah menghampiri tempat persembunyiannya. Dia tiada masa untuk mati akal sekarang.

Hanya ada satu cara saja untuk melepaskan diri. Cara yang sebelum ini tidak pernah digunakan di hadapan orang lain. Seraya matanya mengerling gambar Master Shino di dinding.

'Maaf, ayah.' Getus hatinya.

Karin menarik nafas dalam-dalam, seiring dengan pergerakan halus jari jemarinya. Dia cuba memanipulasi tenaga cakra di dalam badannya yang sedang disalurkan keluar ke tangan kanannya.

Tangan kirinya memegang kemas tali pedang samurai yang tersemat di belakangnya. Dengan kudrat yang berbaki, Karin melangkah keluar dari persembunyian.

Sepantas kilat dia melemparkan tenaga cakra dari tangan kanannya terus ke abdomen ketua. Serangan hendap yang gagal diramal oleh musuhnya.

Ryuzaki yang sedang kaget tidak mampu berbuat apa-apa lalu terpelanting beberapa kaki ke belakang, membelah pintu kamar. Sedang dia terguling di atas lantai, Karin menyusup keluar dari tingkap.

Dengan tangkas kakinya melompat ke pohon bersebelahan rumah dan terus memanjat bumbung.

Hujan mencurah-curah tanpa belas kasihan, bagaikan langit menangisi pemergian Karin dari rumah tempat dia membesar.

Walaupun bumbung agak licin, Karin masih mampu berlari laju membelah angin malam yang menampar mukanya tidak henti-henti.

Gegendang telinga sempat menangkap bunyi tapak kaki dari belakang. Ternyata masih ada sekumpulan ahli yakuza sedang rakus memburunya.

Sekali lagi Karin melemparkan tenaga cakra dari tangannya, tepat mengenai kaki beberapa orang lalu tersadung jatuh dari bumbung. Namun dia masih belum selamat.

Lewat beberapa bumbung, langkahnya mati. Anak matanya menular ke segenap ruang. Ternyata dia sudah dikepung. Nafasnya masih kencang.

'Tak guna!' Bisik hatinya.

"Tuan Nakamura cuma suruh kau bunuh perempuan tu, apa yang susah sangat?" Kedengaran suara Ryuzaki di sebalik anak-anak buahnya.

Lelaki itu tampil ke depan, dengan terincut-incut menahan sakit di abdomennya. Ryuzaki boleh tahan tangkas orangnya, tidak mudah mengalah. Ini pertama kali dia melihat 'kebolehan' Karin, namun dia sembunyikan rasa gerunnya.

"Lepas tu apa? Jadi macam kau? Anjing yang hanya ikut perintah tuan."

Ryuzaki semakin hilang sabar. "Aku berbakti..."

"Aku dah tak minat nak berbakti dengan sesiapa. Jadi aku akan buat apa yang aku suka," Karin mencelah.

Tanpa bertangguh lagi, dia membiarkan graviti menarik badannya menjunam ke bawah lalu lesap dalam kegelapan malam.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience