SAMOAN ISLAND, POLYNESIA

Fantasy Completed 4906

Malae memejamkan matanya rapat-rapat. Dia sengaja membiarkan deruan ombak bermain-main dengan batang tubuhnya. Terasa terik matahari menembusi perairan cetek itu lalu menikam kulitnya.

Sesekali terasa tangannya menyentuh terumbu karang di dasar laut. Matanya masih terpejam rapat. Gadis Samoan itu berasa tenang dibuai air laut yang tidak deras.

"Malae!" Kedengaran suara seorang lelaki dari darat. Suara yang dia cam benar sejak dari dulu lagi.

Malae hanya memekakkan telinga. Nafasnya dikunci dalam-dalam supaya tumpuannya tidak hilang di dasar laut cetek itu.

"Malae, aku tahu kau dengar."

Kali ini dia tiada alasan lagi. Terpaksalah dia bangun dari 'tidurnya' untuk bersua muka dengan sepupunya itu.

"Apa?" Soalnya agak berang.

Sepupunya merengus kasar. "Kau sepatutnya dah kena bersiap untuk majlis kau malam ni," ujarnya.

Malae berjalan ke arah pasir pantai sambil mengeringkan air di rambut ikalnya. Dia tidak mempedulikan kata-kata Manuia sebentar tadi.

Manuia hanya memerhatikan gerak-gerinya tanpa berkata apa-apa. Mereka sudah berkenalan dari kecil, dia sudah masak benar dengan perangai degil gadis itu.

"Aleki mencari kau tadi," sambung sepupunya. Kali ini dia menyebut nama tunang Malae.

"Nantilah. Aku nak pergi tempat lain dulu," balas Malae lansung hilang disebalik hutan rimba Samoa.

***

Tetamu sudah menunggu di luar. Kelibat Malae masih belum kelihatan lagi. Ahli keluarganya turut resah memikirkan yang mungkin gadis itu sudah lari meninggalkan pulau ini. Pasti malu dibuatnya nanti!

Iosefa sudah berkali-kali memberi isyarat mata kepada anaknya, Manuia. Namun lelaki itu hanya mampu mengangkat bahu. Kali terakhir mereka berjumpa pun ketika berbual di pantai petang tadi.

Aleki nampak tenang. Jauh di sudut hatinya dia tahu Malae tidak rela dengan perkahwinan ini. Namun apakan daya, dia juga hanya menurut perintah kedua-dua belah keluarga.

Tapi itu tidak bermakna dia tidak menyukai Malae. Gadis itu lain dari yang lain. Dia ada cara dia tersendiri. Cara yang menarik minat Aleki untuk menerima gadis itu sebagai isteri.

"Kita batalkan majlis ini!" Tiba-tiba nenek mereka kedengaran tegas.

Tetamu terkesima. Iosefa dan Manuia bingkas bangun. Apa yang sudah berlaku?

Ketika itulah Malae keluar dari rumahnya, kelihatan anggun dengan baju pengantinnya. Namun, aksi neneknya tadi mengundang tanda tanya. Tidak semena-mena menyuruh perkahwinan ini dibatalkan.

Tangan Malae diraih neneknya. "Kamu perlu tinggalkan pulau ini!" Dia memberi arahan keras.
Malae nampak bingung. Begitu juga yang lain. Benak mereka tertanya-tanya apa yang sedang berlaku sebenarnya.

"Mak, kenapa ni?" Iosefa cuba meredakan keadaan. Tetamu juga sudah bercakap-cakap sesama sendiri.

"Mereka sudah ada disini!" Ujar nenek tua itu.
"Siapa maksud mak?"
"Orang yang telah membunuh kakak dan abang ipar kamu!"

Iosefa terdiam. Dia terpaku dengan apa yang baru saja didengarinya. Lantas pandangannya berubah kepada Malae. Kali ini dia tiada pilihan. Selama ini Malae selamat dari buruan mereka, itupun kerana ayahnya yang melindunginya.

"Manuia, Aleki! Bawa dia pergi dari sini!" Arah wanita itu serta merta.

Kedua-dua mereka terpaksa akur. Malae masih tidak mengerti. Apa semua ni?

Neneknya sempat menyambut tangannya sebelum dibawa pergi lalu membisikkan sesuatu. Walaupun gadis itu tidak berapa faham, namun dia hanya akur.

Lalu mereka berlari merentasi hutan untuk sampai ke sebuah kanu di tepi pantai. Ketika itu juga kedengaran bunyi letupan dan jeritan orang-orang kampung dari arah pulau.

Malae hampir berpatah balik kalau bukan disebabkan Manuia yang mengangkatnya lalu diletakkan di atas kanu.

"Aku boleh tolong mereka, Manuia!" Jeritnya.

"Kau perlu tinggalkan tempat ni, Malae. Kalau mereka dapat kau, mereka akan dapat apa yang mereka nak. Kau kena pergi sekarang!"

Dengan gagah dia menolak kanu ke air laut. Sebelum melepaskan gadis itu pergi, Aleki memberikan sesuatu ke telapak tangan Malae.

"Aku harap kau tak lupakan aku."

Ombak menghanyutkan Malae ke tengah laut, diiringi pandangan mata sepupu dan tunangnya.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience