BAB 26

Fantasy Completed 4906

"Tempat ni?" Malae menyoal untuk meminta kepastian. Pandangannya beralih ke arah Karin.

Karin mengangguk. "Kalau berdasarkan bayangan yang aku dapat, sinilah tempatnya," dia membalas. Nampaknya hubungan mereka sudah baik seperti sedia kala, malah mereka semua semakin rapat.

Selepas sesi membuka rahsia sesama mereka tempoh hari, hubungan mereka semakin pulih. Cuma Mei kebelakangan ini tidak banyak bercakap. Karin dan Malae hanya membiarkannya begitu. Bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri dengan perkara yang baru saja diketahuinya.

Fikiran Mei mengimbas semula kata-kata Karin di lorong tempoh hari. "Kalau kau nak tahu, perempuan yang aku selamatkan dulu adalah mak kau, Mei. Masa Tuan Nakamura buat lawatan gudang senjata api di China, mak kau dipaksa menjadi salah seorang pelayan dekat hotel dia. Beberapa hari lepas kau lahir, Nakamura dapat tahu pasal hal ni. Mei, kau adalah anak kepada Eiji Nakamura."

Ketika itu jantung Mei bagaikan direntap. Namun, dia tidak mudah melatah. Dia tetap mahu Karin meneruskan ceritanya walaupun dia tahu kebenarannya pasti pahit untuk ditelan.

"Lepas dia dapat tahu pasal hal ni, dia hantar aku suruh bunuh mak kau. Dekat tokong tempat kau tinggal tu la, pertama kali aku jumpa dengan mak kau. Dia tengah perhatikan kau disebalik pokok. Masa tu aku nampak ada seorang lelaki tua tengah dukung baby. Aku rasa baby tu kau, Mei." Nada suaranya mendatar.

Karin menarik nafas dalam-dalam. Masih segar dalam mindanya setiap perincian kejadian itu. "Waktu tu aku dah pegang pedang aku. Aku memang betul-betul nak bunuh mak kau. Sampailah dia berlutut dan pegang kaki aku. Itulah pertama kali aku dapat bayangan macam apa yang jadi tadi," dia bercerita.

"Apa yang kau nampak?" Sifat ingin tahu Mei tidak dapat dibendung lagi. Malae juga ternanti-nantikan sambungannya.

"Aku nampak kau, Mei. Aku nampak wajah kau dengan mak kau bersilih ganti. Masa tu pulak, kau senyum dekat aku. Masa tu naluri aku kuat mengatakan yang mungkin suatu hari nanti kita ditakdirkan untuk berjumpa. Sebab tulah waktu pertama kali aku jumpa kau dekat atas kapal, aku terus teringatkan mak kau."

Perasaan Mei terhadap ibunya bercampur-baur ketika itu. Marah, sedih, rindu. Semuanya muncul serentak. Dalam masa yang sama, dia juga kasihan dengan nasib ibunya. Kerana hakikatnya mereka berdua adalah mangsa keadaan terhadap sifat rakus manusia bernama Eiji Nakamura.

"Mei? Mei!"

Mei tersentak dari lamunan apabila Karin memanggilnya. Dia terpinga-pinga seketika. Nampaknya dia sudah lari jauh dari perbincangan mereka.

"Sorry, sorry. Apa dia tadi?" Mei cuba meraih fokusnya semula.

"Ada dengar suara apa-apa tak dekat sini?" Malae mengulang soalannya. Kalau betul ada orang di sini, pasti Mei dapat mendengar suara-suara dari fikiran mereka.

Mei cuba menumpukan perhatian. Tetapi keadaan di situ sangat sunyi. Setelah mencuba beberapa kali, dia menggelengkan kepala. "Aku tak dapat apa-apa," jawabnya.

Di hadapan mereka kini terbentang luas sebuah kawasan yang sunyi sepi. Mereka lansung tidak melihat kelibat manusia di sini. Karin menoleh ke arah papan tanda yang ada di situ. 'Old Calton Burial Ground.' Sebuah kawasan perkuburan di Edinburgh, Scotland.

"Aku rasa betul dah tempat ni," Karin bersuara. Di dalam bayangannya tempoh hari muncul sekilas wajah Claretta, bersilih ganti dengan tulisan di papan tanda tersebut. Dia juga dapat menangkap bayangan sebuah keranda di situ. Tetapi Karin masih gagal membuat tafsiran.

Seterusnya Malae mengambil alih. Dia meletakkan tangannya ke tanah, cuba mengesan sesuatu di situ. Karin juga turut serta. Tenaga cakranya dilepaskan ke setiap ruang di perkuburan tersebut. Kalau ada sesuatu yang mencurigakan, pasti dia dapat mengesannya.

Serta-merta kedua-dua mereka berhenti. Mata mereka tertumpu pada suatu arah. Langkah mereka diatur ke arah sebuah makam tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Pagarnya tidak berkunci.

Lalu mereka bertiga melangkah masuk. Tiada apa-apa di ruangan kecil itu melainkan sebuah pintu bawah tanah.

"Nak masuk?" Malae meminta kepastian.
"Hmm... Masuk jelah," Karin membalas.

Sebaik saja pintu dibuka, perlahan-lahan mereka berjalan menuruni anak tangga yang sangat tinggi sehinggalah mencecah tanah. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat sebilangan besar pemburu hantu sudah pun menunggu di bawah.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience