BAB 24

Fantasy Completed 4906

MASA KINI...

"Bila keadaan dah jadi teruk macam ni baru kau nak bagi tahu?" Malae nampak berang. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarinya. "Kau pun sama rahsiakan benda ni, Mei?"

Mei hanya berdiam diri. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Matanya memandang sekilas ke arah Karin yang sejak tadi tidak bersuara. Walaupun riak wajahnya nampak biasa, Mei dapat meneka bahawa emosinya terganggu. Kalau Claretta ada di sini pasti dia dapat melihat perkara yang sama.

"Jangan salahkan Mei. Aku yang suruh dia simpan rahsia ni," Karin membalas tanpa menunjukkan apa-apa riak wajah.

Malae merengus kasar. "Oh, yelah kan. Aku lupa. Korang berdua ni kawan baik. Dah kenal lama, even sebelum korang jumpa dengan kami lagi," dia membidas lagi. Serentak dia bangun dari duduknya. Suasana begitu tegang sekali di lorong sunyi tersebut.

"Jangan." Mei dapat membaca apa yang cuba dia lakukan.

Karin menjeling ke arah Malae. Dia dapat menduga sesuatu akan berlaku. Tiba-tiba Karin melompat dari tempat duduknya. Akar Malae menembus keluar dari bawah tanah. Mujur Karin sempat mengelak.

"Malae, Karin, kita tak ada masa untuk..." Mei tidak dapat meneruskan ayatnya apabila dia tercampak ke dinding akibat dihentam akar pokok yang muncul secara tiba-tiba.

Namun mereka berdua belum menunjukkan tanda untuk berhenti. Cuma kali ini Karin tidak menggunakan pedangnya. Ianya terlalu bahaya buat Malae. Tetapi dia tetap akan berlawan dengannya untuk memuaskan hati gadis itu.

Mereka berbalas serangan. Karin melemparkan cakranya untuk menembusi tembok tanah Malae. Malae juga tidak mengalah. Setiap serangan Karin dicantas oleh akar pokoknya. Kedengaran bunyi meletup di sana sini. Ada juga akar-akar pokok yang hangus terdampar di atas tanah.

Sedang rancak perbalahan berlaku, kaki Karin tiba-tiba menggeletar. Lalu dia jatuh dan berlutut di atas tanah. Tangannya dijadikan tongkat agar wajahnya tidak tersembam ke bumi. Seluruh tubuhnya menggeletar. Karin jatuh terbaring selepas itu. Nafasnya jadi turun naik.

Mei yang sudah pun melepaskan diri terus bergegas mendapatkan Karin. Malae jadi kaku. Serangannya turut terhenti. Hatinya tiba-tiba risau melihat keadaan Karin. Tidak pernah lagi hal seperti ini terjadi.

Anak mata Karin bersinar ungu. Dia bagaikan sedang melihat sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Mei cuba menembusi fikirannya tetapi dia bagaikan ditolak keluar. Malae hanya duduk di tepinya, tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Rasa menyesal muncul di segenap hatinya.

Beberapa minit kemudian, Karin bagaikan terjaga dari mimpinya. Dia kelihatan termengah-mengah, wajahnya jadi merah padam. Karin nampak penat. Dia seperti baru saja melalui satu perjalanan yang cukup panjang. Perlahan-lahan dia cuba bangun dan bersandar pada dinding.

Karin memandang Mei dan Malae bersilih ganti. Nampaknya dia tiada pilihan. Kali ini dia perlu menceritakan segala-galanya. Kalau dirahsiakan lagi, mungkin perbalahan seperti tadi akan berulang. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Segala cebisan memori diimbas kembali ke dalam kotak fikiran.

"Aku macam kau jugak, Mei. Aku ada satu kebolehan yang belum dikuasai sepenuhnya," akhirnya Karin memulakan cerita. Mei dan Malae menanti dengan penuh debaran di dada.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience