BAB 32

Fantasy Completed 4906

Larian mereka begitu kencang sekali melewati lorong-lorong bawah tanah tersebut. Kali ini mereka bertarung dengan masa. Runtuhan semakin rancak berlaku. Gegaran yang kuat menyukarkan mereka untuk mengimbangkan diri.

Mereka perlu mencari pintu keluar secepat mungkin. Kalau tidak, tak lama lagi kewujudan mereka akan terkubur di perut bumi ini. Tidak jauh dari situ, mereka terlihat pancaran cahaya dari sebuah lubang. Itu menandakan bahawa mereka sudah menghampiri pintu keluar.

"Depan tu je, cepat!" Malae menunding jari ke arah cahaya tersebut.

Langkah mereka semakin laju. Gegaran semakin kuat sehingga menggoncang konkrit di bahagian siling. Tiba-tiba runtuhan berlaku diiringi bunyi letupan yang sangat kuat. Malae yang berada di hadapan adalah yang paling berisiko.

Lantas Aleki menyambar pergelangan tangannya lalu ditarik semula ke belakang. Kalau tidak, Malae akan tertimbus di bawah runtuhan konkrit yang mungkin boleh meragut nyawanya.

Kini mereka sudah pun terperangkap. Kiri kanan mereka telah dipenuhi dengan runtuhan batu-batu dan simen yang membina terowong tersebut. Laluan mereka telah dihalang.

Masing-masing ligat mencari akal. Siling di tempat mereka berdiri juga tidak akan bertahan lama. Beberapa minit lagi mungkin akan ranap semuanya.

Tiba-tiba Karin melirikkan mata ke arah Claretta. Dia seperti memberitahu sesuatu dengan isyarat matanya. Ideanya mungkin agak gila tetapi itu sahaja yang dia ada.

Claretta memandang ke siling terowong tersebut. Kalau berdasarkan pemahamannya, Karin mahu dia menghasilkan angin yang kuat sehingga boleh meruntuhkan siling tersebut. Terpinga-pinga Claretta dibuatnya.

"Jangan risau. Aku dengan Karin akan tolong kau," Malae mencelah. Dia juga dapat membaca perancangan mereka.

Claretta menghela nafas panjang. Kalau itu saja caranya, dia terpaksa bersetuju. Sekiranya perkara yang tak diingini berlaku, dia berharap agar Karin dan Malae dapat membantunya.

Keadaan sudah sangat kritikal. Tanpa membuang masa, Claretta menarik nafas dalam-dalam sambil matanya terpejam. Sebaik saja dia membukanya semula, sinaran hijau terpancar di anak matanya. Berserta dengan tiupan angin yang sangat kuat lalu menghentam siling terowong tersebut sehingga bergegar dan runtuh.

Ketika itulah Karin melakukan tugasnya. Perisai tenaga dibina di sekeliling mereka bagi menghalang serpihan runtuhan yang jatuh bagaikan air mengalir. Dia mencuba sehabis baik untuk bertahan. Bukan senang untuk memanipulasi tenaga cakra dalam keadaan yang dia sendiri sudah penat akibat pertarungan yang sengit sebentar tadi.

"Malae, sekarang!" Karin memberi arahan.

Dengan pantas Malae menyeru akar-akarnya yang muncul dari dinding lalu membelit pinggang mereka. Setiap seorang diangkat ke udara, merentasi laluan runtuhan tersebut. Perjalanan terasa begitu jauh sekali memandangkan mereka berada di ketinggian lima puluh kaki di bawah tanah. Entah bagaimana Jannes boleh membina pangkalan sedalam itu.

Sinaran mentari semakin kelihatan. Tak lama lagi mereka akan sampai ke atas. Harap-harap tidak ada mayat yang terkeluar dari kubur yang hancur kerana perbuatan mereka. Sampai saja di permukaan, keenam-enam mereka dilambung ke atas tanah. Habis jatuh tersembam kesemuanya.

"Sorry, guys. Aku hilang fokus tadi," Malae bersuara dalam kesakitan. Dia menumbuk-numbuk bahunya bagi melegakan sendinya.

"Kau memang," Manuia menyampuk sambil cuba untuk meraih kewarasannya. Malae sempat menendang kaki sepupunya. Tulah, mulut tak reti duduk diam sangat, kan dah kena!

Masing-masing terbaring di atas tanah. Keletihan terpancar di wajah mereka. Untuk seketika, mereka hanya mendiamkan diri. Yang kedengaran hanyalah kicauan burung dan bunyi daun-daun kering ditiup angin.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience